
18 Disember 2007
'Korban Berkelompok' sambut Aidiladha

15 Disember 2007
Fungsi masjid sudah kaku?
MASJID adalah institusi tertinggi dan paling mulia dalam Islam, tidak hanya kepada urusan ibadat semata-mata, malah sebagai pusat yang menjana kecemerlangan umat Islam. masjid mempunyai pelbagai fungsi, termasuk hal ehwal kemasyarakatan dan keilmuan.Di Malaysia, masjid yang didirikan tidak kurang hebatnya. Jika masjid generasi dulu kaya dengan nilai estetikanya seperti Masjid Kampung Laut, masjid alaf baru kini memperlihatkan ciri keindahan yang menggabungkan pelbagai unsur senibina.Malah, secara keseluruhannya semua masjid mempunyai jawatankuasa masing-masing bagi urusan mentadbir institusi terbabit dan dalam masa yang sama merencanakan pelbagai program untuk kemaslahatan umat. Semua usaha itu hanya satu matlamat, iaitu mahu memakmurkan masjid, sekali gus menjadikan masjid dekat di hati setiap umat Islam. Tetapi sejauh manakah masjid di negara ini mencapai matlamat yang disasarkan itu?Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, dalam komentarnya melahirkan perasaan tidak senang terhadap institusi masjid di negara ini yang dianggap gagal berfungsi dalam pelbagai lapangan.Beliau menyentuh beberapa aspek, termasuk layanan kurang mesra orang masjid terutama kepada remaja dan kanak-kanak, disusuli bidang keilmuan yang pada pendapatnya masih terikat kepada mata pelajaran tertentu.“Banyak aktiviti masyarakat Muslim sepatutnya berpusat di masjid. Kempen penjagaan alam sekitar, kempen hak-hak wanita, pembinaan ekonomi Muslim dan sebagainya,” katanya.Malah, menurutnya, pengisian kuliah di masjid juga mesti ditingkatkan ke tahap sesuai mengikut perkembangan masyarakat, dengan menghindari fekah yang menyusahkan supaya menjadikan Islam itu mudah dan praktikal.Komentar itu dapat disimpulkan kebanyakan masjid di negara ini gagal berfungsi seperti sepatutnya iaitu aspek ad-din, politik dan kemasyarakatan.Bagaimanapun, ketika syiar Islam semakin berkembang dan di tengah kerancakan usaha kerajaan merencanakan program pembangunan modal insan, apakah benar masjid kita kaku dan tidak mesra pelanggan? Imam Besar Masjid Negara, Datuk Syaikh Ismail Muhammad al-Hafiz, berkata secara umum masjid di negara ini tidak kaku.“Masjid Negara sendiri ada lebih 900 murid, manakala Masjid Jamek di Bandar Baru Uda, Johor ada pelbagai aktiviti yang sangat baik dan patut dicontohi, termasuk mengadakan program terhadap golongan remaja.“Di masjid mukim juga banyak aktiviti, malah kadangkala lebih rancak, mengalahkan masjid di bandar dengan jemaah lebih ramai. Macam mana boleh kata masjid kita kaku?“Bukan saya mengatakan semua masjid itu bagus,” katanya, sambil mengakui memang ada segelintir masjid tidak cemerlang.Beliau juga menyedari senario dalam masyarakat Melayu, apabila sebut saja masjid ia seolah-olah untuk golongan berusia atau warga emas sehingga menyisihkan remaja dan orang muda.“Masjid kita ada jemaah, cuma hendak menjadikan masjid itu lebih dekat lagi sebagai tempat berkenalan, beramah mesra dan kerjasama, supaya semua tertumpu ke masjid.“Barangkali persepsi orang kita masjid untuk orang tua dan ustaz saja, sebab itu orang muda tidak ke masjid. Kata Nabi, orang yang kuat imannya saja ke masjid,” katanya.Mengambil contoh Masjid Negara, katanya, imarahnya cukup terserlah dengan pelbagai program siang dan malam, malah turut terbuka kepada pelancong yang ingin melihat dari dekat masjid berkenaan, sekali gus merapatkan mereka dengan Islam.“Pengurusan masjid ada pelbagai cara mengimarahkannya dan kita kena memberikan kerjasama dan semangat,” katanya.Penolong Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Zamihan Mat Zin al-Ghari, turut tidak bersetuju mengatakan masjid di negara ini tidak aktif dan mesra pelanggan.Malah, tegasnya, adalah satu fitnah jika mendakwa institusi yang paling mulia dalam Islam itu sebagai kaku.“Persoalan atau dakwaan aktif atau sebaliknya tidak sepatutnya dibuat jika tiada angka dan fakta yang jelas. Apa kriteria yang membolehkan masjid dikatakan kaku dan apa pula syarat supaya tidak menjadi kaku?“Sebelum itu juga kita kena lihat persekitaran masjid itu sendiri, apakah didiami mereka yang ‘kaki masjid’ atau sebaliknya dan menjadi satu kesalahan besar apabila kita mengatakan masjid sedemikian rupa secara umum,” katanya.Beliau juga menegaskan, ilmu fekah yang susah tidak sepatutnya dihindari, kerana dibimbangi akan melahirkan generasi yang jahil.“Jika jumpa bahagian ilmu yang susah kita lari, sudah tentu tidak selesai kerana orang tidak akan menguasai ilmu itu.“Sepatutnya yang susah dipermudahkan dengan pendekatan yang lebih baik dan menghubungkan dengan soal semasa.“Apabila ambil yang mudah saja, saya bimbang akan lahir generasi jahil dan jadilah masyarakat yang mentadbir agama, bukannya agama mentadbir masyarakat. Nama lagi fekah, iaitu teliti betul-betul dan mendalam,” katanya. Zamihan berkata, memang jauh untuk membandingkan kemakmuran masjid dan fungsinya yang pelbagai pada masa ini dengan zaman kecemerlangan umat Islam seperti zaman Rasulullah s.a.w dan Khalifah Umar Abdul Aziz.“Dulu masjid tidak dikunci tidak mengapa, kerana tiada orang mencuri. Tetapi sekarang lain, cuai sedikit habis wang tabung masjid dilarikan. “Sebab itu sesetengah zon di masjid dikunci demi menjaga keselamatan, tetapi masih ada ruang lain yang tersedia boleh digunakan sesiapa bertamu untuk menunaikan solat,” katanya, yang turut bersetuju dengan cadangan Dr Mohd Asri supaya mempelbagaikan subjek pengajian di masjid.>>INFODalam sejarah Islam, masjid paling utama ialah Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah yang menjadi tumpuan masyarakat Islam seluruh dunia.Ini diikuti masjid besar yang lain seperti Masjid al-Azhar di Kaherah, yang begitu makmur kerana menjadi pusat penyebaran ilmu.Banyak lagi masjid lain yang tidak kurang hebatnya, malah ditambah dengan senibina yang mengagumkan, membuatkan banyak pihak jatuh cinta pada sesebuah masjid, sekali gus terpanggil memakmurkannya.Cadangan mempelbagaikan ilmu seperti subjek sains di masjid boleh diterima setakat seminar sains seminggu atau sebulan sekali tidak mengapa, tetapi jika mahu dijadikan sebagai teras tidak praktikal, sebab apa guna institusi lain seperti sekolah dan institusi pendidikan tinggi.
p/s :
kepada ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah BKKIMM yang balik abis , sila daftarkan diri antum untuk menjadi nadi penggerak / jentera penggerak operasi pengimarahan surau-surau dan masjid-masjid di tempat tinggal masing masing. Doasa jika kita tak campur sebab ada ilmu tak nak beramal dan sebarkan ..
tarannum makruh ?? harus ??
TILAWAH al-Quran bukan asing bagi masyarakat Islam di negara ini, malah Malaysia antara negara pelopor mengadakan acara itu setiap tahun.Dalam mana-mana majlis tilawah, qari dan qariah akan memperdengarkan bacaan dengan seni lagu atau tarannum. Kehandalan seseorang pembaca bukan sekadar diukur kepada kebolehan tajwid tetapi sedap atau tidak pembacaannya.Melagukan al-Quran berbeza daripada nasyid, qasidah dan burdah malah menurut Imam Syafie, melagukan al-Quran ialah mengelokkan kitab suci itu tanpa melanggar hukum tajwid. Namun, timbul perselisihan pendapat di antara ulama salaf (dahulu) dan ulama khalaf (kemudian) mengenai kesenian lagu al-Quran. Ada berpendapat hukum berlagu makruh dan harus.Antara ulama yang berpendapat hukum berlagu makruh ialah Anas bin Malik, Said bin Jabir, Ibn Sirin, Imam Malik dan Imam Ahmad. Mereka bersandarkan kepada hadis yang berbunyi:“Bacalah al-Quran dengan bentuk suara dan lagu Arab, hendaklah dijauhkan dengan bentuk lagu ahli kitab dan orang fasik. Sesungguhnya akan datang selepas aku kaum tertentu yang membaca al-Quran seperti orang bernyanyi dan cara ahli kitab dan cara seperti meratap iaitu keluar huruf melalui kerongkong mereka tidak sesuai dengan makhraj huruf semata-mata bertujuan mempesona dan menakjubkan orang saja.”Selain itu, Imam Ahmad berpendapat, pembacaan al-Quran secara berlagu suatu perkara bidaah dan ia melarang daripada mendengarnya.Ulama yang berpendapat hukum berlagu adalah harus ialah Umar Ibn Khattab, Ibn Abbas, Ibn Mas'ud, Imam Hanafi dan Imam Syafie. Mereka berpandukan hadis nabi, antaranya: “Daripada Barra' bin Azib berkata: Rasulullah bersabda (maksudnya): Seseorang yang mahir membaca al-Quran ditempatkan di syurga bersama Malaikat dan hiasilah al-Quran dengan suaramu.”Menurut Imam Mawardi, melagukan al-Quran itu boleh selagi tidak keluar daripada kaedah hukum tajwid sehingga lagu merosakkan bacaan.Ijmak ulama menyatakan, menjadi suatu yang digalakkan mendengar bacaan al-Quran seorang yang mempunyai suara baik kerana ia lebih jelas kepada makna yang dikehendaki.Pensyarah al-Quran dan Tarannum, Kolei Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Muhammad Lukman al-Hafiz Ibrahim, berkata masyarakat Islam perlu menganggap tarannum suatu tuntutan dengan melihat kepada beberapa hadis sahih Rasulullah s.a.w yang menyuruh dan beramal demikian. Asas bertarannum, katanya, ialah hadis Rasulullah s.a.w bermaksud: “Bukanlah umat kami mereka yang tidak bertaranum dengan al-Quran.” (Sahih Bukhari: 6/273) “Suatu bukti yang tidak dapat disangkal ialah mereka yang belajar ilmu tarannum adalah lebih baik tilawah serta tajwidnya berbanding dengan mereka yang tidak belajar,” katanya.Beliau berkata, ini sesuai dengan gesaan Rasulullah s.a.w supaya membaca al-Quran dengan cara yang paling baik, seperti yang dapat difahami melalui satu hadis bermaksud: “Hiasilah al-Quran dengan suaramu kerana suara yang baik akan menambah keelokan al-Quran.” (Riwayat Hakim 1/768).“Suara perlu dibentuk dengan tarannum yang baik untuk menyambut suruhan Rasulullah s.a.w ini. Jika tidak bacaan akan menjadi buruk dan tidak elok. Ini bertentangan dengan kemuliaan al-Quran. “Seorang yang berkata tidak mampu bertaranum dengan alasan suaranya tidak baik hanya memberi alasan yang remeh. “Mereka sebenarnya tidak belajar bertaranum yang betul untuk al-Quran. Realiti ini memang terbukti melalui kursus dan kelas yang diadakan. “Sehingga guru dan penceramah agama sendiri yang mahir dalam ilmu tafsir, hadis, fiqah dan lain-lain tidak membaca al-Quran dengan baik malah salah,” katanya.Punca perkara itu, katanya, hanya satu kerana tidak belajar al-Quran sedangkan mereka mendalami ilmu tafsir, hadis, fiqah dan lain-lain.“Sekiranya dilihat dari sudut masyarakat Islam pula, mereka yang lemah dalam membaca al-Quran masih ramai bahkan sebahagiannnya tidak tahu membaca langsung. Itu belum lagi dibincangkan persoalan membaca dengan baik dan bertarannum,” katanya. Jelas, berdasarkan keterangan itu termasuk beberapa hadis menegaskan supaya membaca al-Quran dengan suara elok dan berlagu menyumbangkan kepada keelokannya. Tetapi ini tidak bermakna mereka yang tidak boleh berlagu dipaksa agar berbuat demikian, sesuai dengan hadis bermaksud: “Sesungguhnya mengelokkan suara dalam pembacaan al-Quran adalah dituntut. Jika tidak berkemampuan hendaklah diperelokkan sekadar termampu saja.”Menurutnya, amalan berlagu dalam pembacaan al-Quran bermula sejak era kegemilangan generasi pertama Islam, iaitu zaman Rasulullah s.a.w.“Imam Ibn Hajar Asqalani meriwayatkan, masyarakat Arab cukup suka berlagu sama ada ketika menunggang unta, di halaman rumah dan di mana sahaja. Apabila al-Quran diturunkan, Rasululah s.a.w mahukan minat berlagu itu dipindahkan kepada tarannum al-Quran (Fath al-Bari 6/69). “Satu riwayat lain dari Imam Ibn Batthal menyebutkan, Saidina Umar meminta Abu Musa al-Asy`ari (qari ulung di kalangan sahabat) membaca al-Quran di hadapannya. Maka, Abu Musa membaca sambil bertarannum. Kata Umar r.a sesiapa yang mampu untuk bertaranum seperti Abu Musa, silalah (Syarah al-Bukhari oleh Ibnu Battal 9/342) “Asasnya di sini ialah mengutamakan bacaan bertajwid dan tarannum bertujuan untuk memperelokkan lagi bacaan al-Quran,” katanya. Jenis lagu adalah pelbagai, tetapi yang biasa bagi masyarakat di Malaysia ada tujuh, membabitkan lagu Bayati (dimasyhurkan orang Mesir), lagu Soba (berasal dari Arab Mesir), lagu Hijaz (berasal dari Hijaz iaitu Makkah dan Madinah), lagu Nahawand (berasal dari Hamdan, Parsi), lagu Rast (berasal dari Parsi), lagu Jaharkah (berasal dari Afrika) dan Sikah (berasal dari Parsi).Muhammad Lukman berkata, seseorang yang ingin membaca al-Quran boleh memilih mana-mana tarannum yang sesuai dengan suara mereka. “Umat Islam memang dituntut mempelajari tarannum sepanjang zaman dengan tujuan untuk memperelokkan (tahsin) tilawah al-Quran. “Namun, asas dalam tarannum al-Quran adalah tajwid. Al-Quran wajib dibaca dengan tajwid. “Taranum juga adalah tuntutan, namun tidak boleh sekali-kali mendahului tajwid dan melampau dalam tarannum sehingga membelakangi tajwid. Perkara ini mesti dijauhi,” katanya. Cuma, katanya, syarat pembelajaran tajwid dan tarannum adalah secara talaqqi dan musyafahah (belajar secara langsung dan menghadap guru). “Kaedah menggunakan kaset, cakera padat video (VCD) dan media lain hanyalah sebagai satu alat bantu tambahan dan ia bukan asas kepada pembelajaran al-Quran,” katanya
Perkahwinan Kerana Allah
ALAM perkahwinan adalah fitrah semula jadi manusia, menjadi impian semua orang. Melaluinya akan terbentuk institusi keluarga dan melahirkan zuriat yang dapat meneruskan keturunan manusia.Dalam Islam perkahwinan satu tuntutan yang perlu dipenuhi.Sebelum ke gerbang perkahwinan, aspek pemilihan jodoh perlu diberi perhatian kerana kesilapan membuat pilihan mengakibatkan masalah kemudian hari.Senario masa kini mendapati kebanyakan anak muda lebih gemar memilih faktor keluarga, harta benda, kecantikan dan pangkat untuk mengikat tali percintaan dan membina gerbang perkahwinan.Secara fizikal, kriteria pemilihan jodoh tiada cacat celanya, tetapi apabila ia dijadikan keutamaan sehingga agama diketepikan, maka ia satu kesilapan besar kerana boleh menyebabkan kemanisan alam perkahwinan menjadi pudar dan akhirnya berlaku perpisahan. Pakar motivasi, Ahmad Shukri Yusof, berkata kesilapan besar bagi pasangan yang ingin berkahwin tidak meletakkan agama sebagai keutamaan dalam membuat pilihan jodoh mereka.Menurutnya, kesilapan itu juga mengakibatkan hubungan suami isteri tidak bertahan lama, malah berlaku pelbagai kejadian tidak diingini.“Kriteria Nabi Muhammad s.a.w sebut walaupun sudah lama, ia masih relevan. Agama perlu menjadi asas memilih jodoh supaya perkahwinan dan kebahgiaan yang dibina bertahan hingga ke penghujung nyawa.“Jika betul-betul berasaskan kriteria yang disebut nabi, tiada timbul pelbagai perasaan dalam alam rumah tangga, seperti ragu-ragu atau takut tidak berasas,” katanya.Islam menggariskan beberapa panduan kepada umatnya memilih jodoh, seperti mengutamakan lelaki atau wanita beragama dan berakhlak, sebagaimana sabda nabi bermaksud: “Apabila datang kepada kamu seorang yang kamu puas hati dari sudut agama dan akhlaknya, maka kamu kahwinkan anak kamu dengannya segera. Jika kamu tidak berbuat demikian, nescaya timbul fitnah di muka bumi ini dan kerosakan yang akan ditempuhnya nanti.” (Riwayat Abu Hurairah)Umat Islam juga perlu mengelak memilih jodoh dari kalangan lelaki atau wanita fasik.Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang mengahwinkan anak perempuannya dengan lelaki fasik maka sebenarnya dia telah memutuskan silaturahim dengan anaknya.”Selain itu, kita dianjurkan memilih jodoh dari kalangan yang sihat, bebas dari penyakit yang dibimbangi mengganggu tugas sebagai suami atau isteri.Pasangan itu pula biarlah sepadan bagi mengelak keaiban pada beberapa perkara tertentu dan untuk mencapai persamaan dalam bidang sosial, sekali gus menjamin kesejahteraan hidup suami isteri, tanpa ada yang berkecil hati atau rendah diri.Walaupun aspek itu bukannya syarat sah perkahwinan dan tidak dipersoalkan ketika majlis ijab dan kabul, namun ia mempunyai pengaruh besar terhadap hubungan suami isteri.Ahmad Shukri turut mengingatkan anak muda supaya tidak mudah terpedaya dengan istilah cinta, seperti cinta pandang pertama kerana ia tidak boleh dijadikan asas dalam memilih jodoh.“Cinta hanya sementara, malah cinta itu buta. Jika cinta tidak berteraskan anjuran agama, ia boleh pudar sedangkan mahligai yang mahu dibina seboleh-bolehnya berpanjangan,” katanya.Beliau berkata, golongan muda perlu menilai dan memahami perkara ini supaya cinta yang selalunya bersemi sebelum perkahwinan tidak menjerat diri pada kemudian hari.“Tidak sukar memilih pasangan mengikut garis panduan terbabit.“Pelbagai cara boleh dilakukan untuk menentukan calon pasangan anda beragama dan berakhlak seperti bertanya orang lain termasuk saudara, kawan, malah melihat tindak tanduknya.“Ini bukan bermakna Islam menolak calon berharta, berkedudukan dan cantik malah ciri ini juga penting kerana sudah menjadi sifat semulajadi manusia suka kepada kecantikan.“Cuma, apa yang penting dahulukan agama. Jika sudah beragama, cantik dan kaya raya, itu tentu pilihan yang baik,” katanya.
P/s
mabruk buat ustaz faizul rizwan yang bakal melangsungkan pernikahan pada minggu depan
Muda Biar Cemerlang Tua Biar Gemilang
RASA syukur meresapi diri kerana hingga saat ini kita masih bernafas di bumi Allah. Diberi kesihatan, kecergasan, kesenangan malah kelapangan masa agar kita dapat manfaatkan semua kurnia itu untuk menjadi manusia cemerlang di dunia dan akhirat. Kata-kata “masa itu ibarat pedang, jika kamu tidak mencantasnya dia akan memotong kamu” memang benar kerana masa ibarat senjata tajam yang amat berguna jika digunakan dengan cara betul dan baik, namun jika tidak betul cara mengguna masa, nescaya ketajaman masa itu akan memakan diri kita sendiri.
Mereka yang tidak memanfaatkan masa sebaik mungkin akan mewarisi seribu ketinggalan dan kemunduran sama ada dalam pekerjaan, rumah tangga, pelajaran, pergaulan, teknologi, politik mahupun agama. Ketika semua bersyukur dan berbangga di atas kejayaan rakyat Malaysia, Dr Sheikh Muszaphar Shukor, menjejak kaki ke angkasa lepas. Jangan pula kita masih seperti pungguk yang menantikan bulan, kerana kejayaan dan kecemerlangan tidak mungkin datang bergolek.Masa berlalu pantas tanpa kita sedari. Sebulan Ramadan yang berkat sudah berlalu dan setahun lagi baru muncul kembali, tanpa kita tahu apakah kita masih menyedut udara di bumi ini pada tahun depan. Kejar dan gunalah masa keemasan yang kita miliki kini. Islam amat mengambil berat mengenai masa sehingga Allah bersumpah dengan masa bukan sekali, malah berpuluh kali dalam al-Quran. Ada satu surah khusus dalam al-Quran iaitu surah al-Asr (Masa) yang intipatinya menegaskan bahawa manusia berada dalam kerugian jika tidak manfaatkan masa untuk beriman dan beramal soleh serta tidak berpesan-pesan sesama manusia dengan kebenaran dan kesabaran.Sehubungan itu, Rasulullah s.a.w berpesan kepada umatnya agar memanfaatkan masa dalam lima keadaan iaitu: masa muda sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, masa kaya sebelum miskin, masa lapang sebelum sibuk dan masa hidup sebelum mati.Masa muda jangan persia-siakan, kecergasan fizikal dan mental sepatutnya digunakan untuk menimba ilmu dan pengalaman sebaik dan sebanyak mungkin, kerana apa yang terjadi pada hari tua bergantung apa yang kita lakukan ketika usia muda. Masa muda tidak bertahan lama, bila tiba hari tua keremajaan dan kemudaan hanya tinggal kenangan. Bila tua kadang-kadang tidak indah, tenaga sudah lemah, selera sudah menurun, sakit-sakit pula selalu singgah. Remaja atau anak muda yang cemerlang akan menjadi warga emas yang gemilang. Manakala yang kecundang menguruskan masanya akan menjadi warga emas yang malang. Bukan rugi di dunia saja, akhirat juga dipersoal, usia remaja bagaimana dijalani.Masa sihat pula adalah nikmat yang sangat berharga. Badan kita milik Allah, maka wajib kita jaga amanah ini sebaik mungkin. Sebarang kegiatan yang menjejaskan kesihatan kita disifatkan oleh al-Quran sebagai mencampakkan diri dalam kebinasaan. Namun, ramai tidak menghargai nikmat sihat ini sehingga membinasakan diri dengan mengambil dadah, kokain, Ecstasy, ketagihan alkohol mahupun rokok, atau menjadi Mat Rempit yang mendedahkan diri kepada kecelakaan. Gunakan masa sihat untuk menuntut ilmu dan pengalaman serta membantu yang lain di samping melaksanakan ibadat, bukan menyamun, merompak, memperkosa, menyusahkan orang lain atau melakukan perkara dilaknat.Masa kaya adalah nikmat juga ujian bagi kita. Ramai yang terpesona dengan kekayaan dimiliki. Kekayaan tidak kekal, ia boleh bertambah dan hilang sekelip masa.Kekayaan adalah amanah, maka cari kekayaan dan gunakan mengikut peraturan Allah. Harta boleh dicari sebanyak mungkin, tetapi bukan untuk menjadi seperti Qarun yang mabuk dengan kekayaan lalu dilanda laknat dan diazab. Atau bukan seperti Tha'labah yang kaya harta tetapi subur kebakhilan. Perlu diingat, kaya adalah alat untuk mencapai kebaikan dan keburukan. Dengan harta kita boleh menjadi dermawan, dengan harta juga kita boleh menjadi tamak haloba. Dengan harta kita boleh ke syurga, dengan harta juga kita boleh ke neraka.Masa dan peluang terakhir yang disebut Rasul s.a.w ialah yang amat penting dan tidak mungkin dicuaikan iaitu masa hidup sebelum mati. Kata Saidina Ali: “Sesiapa yang ingin hidup selepas mati, bersedialah dengan amalan dan sesiapa yang tidak beramal tiada lagi kehidupan (nikmat) selepas mati.” Maka fikir-fikir dan renungkanlah.
Kem Malaysia Ceria ..
KUALA LUMPUR: Kontinjen Malaysia berjaya mencapai sasaran merangkul 64 pingat emas pada temasya Sukan Sea edisi ke-24 di Korat, Thailand, semalam sesudah menokok 10 lagi pingat emas pada hari kedua terakhir pertandingan. Pingat emas ke-64 itu diraih menerusi acara perseorangan lelaki snuker apabila Moh Keen Ho menewaskan peserta tuan rumah, Noppadol Sangnil 4-1 pada perlawanan akhir. Kejayaan itu bermakna kontinjen negara berjaya melepasi rekod pungutan pingat emas terbanyak ketika temasya itu dilangsungkan di luar Kuala Lumpur dengan rekod terdahulu adalah 61 emas di Manila, pada 2005. Malaysia kini menduduki tangga ketiga dengan 64 emas, 49 perak dan 89 gangsa serta hanya dipisahkan dengan Vietnam yang menduduki tangga kedua menerusi perbezaan pingat perak. Dengan gimnastik berirama menawarkan empat pingat emas pada hari penutup hari ini, peluang Malaysia untuk melepasi angka sasaran cerah. Sasaran awal Majlis Sukan Negara (MSN) meraih 64 pingat emas menjadi kenyataan semalam apabila acara terjun menyapu bersih semua lima pingat emas yang ditawarkan dalam acara berkenaan. Malaysia kini menduduki tangga ketiga dengan 64 emas, 49 perak dan 89 gangsa serta hanya dipisahkan dengan Vietnam yang menduduki tangga kedua menerusi perbezaan pingat perak. Dengan gimnastik berirama menawarkan empat pingat emas pada hari penutup hari ini, peluang Malaysia untuk melepasi angka sasaran cerah. Sasaran awal Majlis Sukan Negara (MSN) meraih 64 pingat emas menjadi kenyataan semalam apabila acara terjun menyapu bersih semua lima pingat emas yang ditawarkan dalam acara berkenaan.
Selamat Berangkat
5 Disember, Rumah Kelantan, Hayyu Sabi' - Seramai 19 orang pelajar Malaysia di Mesir telah berangkat ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan ibadah haji hari ini. Rombongan haji di bawaah kelolaan PMRAM ini terdiri dari 16 orang pelajar dari Syubra, seorang dari Tanta dan sepasang suami isteri beserta seorang cahaya mata.Rombongan telah bertolak dari perkarangan Rumah Kelantan Hayyu Sabi' pada jam 6.30 pagi (waktu Mesir) menuju ke Terusan Suez untuk meneruskan perjalanan ke Tanah Suci melalui kapal laut. Seluruh ahli PMRAM mendoakan agar Allah menerima ibadah haji para rombongan dan mengurniakan kesihatan kepada mereka sehinggalah selamat pulang kembali ke Mesir.
08 Disember 2007
Hidup Sempit jika Tolak Tazkirah
Tazkirah adalah satu pendekatan yang dianggap penting bagi menyampaikan mesej agama kepada manusia. Ia bertujuan memberi kesedaran tentang hakikat tanggungjawab diri manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi, iaitu mengajak manusia seluruhnya kepada yang makruf (perkara-perkara yang baik menurut pandangan Allah) dan mencegah mereka dari melakukan yang mungkar dan keji.Peranan serta fungsi tazkirah tidak boleh dipertikaikan sejak wujudnya Nabi Adam a.s. di dunia ini hinggalah ia diperhebat serta dikemas-kini oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w. Berdasarkan Sirah Nabi Muhammad s.a.w., baginda telah berjaya melaksanakan tugasnya sebagai seorang nabi dan rasul dengan menyampaikan mesej daripada Allah iaitu sebagai penguasa (khalifah) dengan memastikan tazkirah sebagai wadah atau pendekatan yang cukup berkesan hingga ramai di kalangan mereka pada waktu itu yang beraliran jahiliyah bertukar kepada Islam. Ini semua hasil penerimaan mereka terhadap tazkirah yang disampaikan oleh baginda. Bagi mereka yang menolak tazkirah seperti Abu Lahab dan Abu Jahal, mereka menemui kesudahan riwayat hidup mereka dengan mati dalam kesesatan dan dimasukkan dalam api neraka Allah di akhirat. Sehubungan itu, Allah menjelaskan menerusi ayat 124 hingga 127 surah Taha yang bermaksud: “Sesiapa yang berpaling (menolak) daripada peringatan-Ku (Allah, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari Kiamat dalam keadaan buta. Berkatalah dia, Wahai Tuhanku, mengapa Engkau menghimpunkan aku dalam buta, padahal aku dahulu (di dunia) adalah orang celik dapat melihat? Allah berfirman: Demikianlah, telah datang kepadamu ayat-ayat peringatan Kami, tetapi kamu melupakannya (menolak), dan begitu pula pada hari ini (Kiamat) giliran kamu pula dilupakan. Dan demikianlah Kami membalas orang yang melampaui batas dan tidak percaya kepada ayat-ayat Tuhannya. Dan sesungguhnya azab di akhirat itu lebih dahsyat dan kekal (tanpa berhenti). Jelas daripada penjelasan ayat di atas, memberi kita panduan dan pedoman berguna, bahawa Allah SWT akan menghukum manusia yang ada dalam perasaan hati mereka rasa sombong untuk tidak menerima tazkirah (peringatan) yang boleh memotivasikannya menjadi manusia terbaik di sisi Allah SWT.
Justeru, apabila kita menyingkap kepada peninggalan sejarah generasi silam, kita dapati mereka yang berjaya bergelar ulama adalah mereka yang terdidik dengan menerima tazkirah sebagai alat memajukan mereka sebagai manusia yang sanggup berkorban untuk agama
Bala Allah - Antara persoalan dan punca berlaku
Apabila dilihat telatah, gelagat dan perwatakan umat Islam hari ini memperlihatkan benar-benar mereka mengundang bala daripada Allah SWT. Kita amat berharap agar cukuplah bala yang ditimpakan sejak peristiwa tsunami agar ia tidak berulang dengan yang lebih besar daripada itu. Bermacam-macam persoalan timbul mengenai bala yang merisaukan banyak pihak. Tapi apakah sebenarnya bala itu? Bala yang diambil daripada perkataan Arab iaitu 'bala' bermakna hukuman daripada Allah akibat salah laku manusia kerana mengingkari sepenuhnya atau sebahagian daripada perintah Allah SWT. Bala ini pernah terjadi di zaman para Anbiya' sebelum Nabi Muhammad s.a.w., seperti yang diceritakan oleh Allah dalam al-Quran menerusi ayat 133 surah al-'Araf~ yang bermaksud: Telah Kami kirimkan ke atas mereka (umat Nabi Musa) ribut taufan, belalang, kutu, katak dan darah, sebagai tanda yang cukup jelas keingkaran mereka terhadap ajaran Nabi Ibrahim, mereka menyombong diri dan sesungguhnya mereka adalah golongan penjenayah (yang melakukan kerosakan di muka bumi). Begitu juga Allah menceritakan mengenai kaum Nabi Lut yang melakukan perbuatan terkutuk yang disifatkan oleh Nabi Lut sendiri sebagai perbuatan yang tidak pernah berlaku di dunia sebelum itu, maka Allah musnahkan mereka tanpa memberi peluang untuk mereka bertaubat ke jalan kebenaran, sila rujuk ayat 81 surah al-'Araf~. Kesalahan yang patut terima hukuman Sesungguhnya bala tidak akan diturunkan oleh Allah ke atas manusia, melainkan kerana didahului dengan kesalahan yang dilakukan oleh mereka. Bezanya umat nabi-nabi terdahulu dikirimkan bala tanpa memberitahu isyarat kehadirannya, namun bagi umat Nabi Muhammad s.a.w., isyarat atau tanda-tanda kehadiran bala itu dapat dikesan oleh mereka yang kuat berpegang kepada agama dengan pelbagai kaedah, pendekatan dan bentuk tertentu. Ini menandakan bahawa Allah SWT amat sayang kepada kita hingga menzahirkan isyarat atau tanda agar kita segera mengingati-Nya, boleh juga disifatkan diri kita sebagai hamba emas yang amat disayangi di sisi Allah, cuma umat ini sahaja yang tidak mengenal erti kasih sayang Allah. Jelas di sini bahawa kesalahan umat terdahulu hingga ditimpakan pelbagai bentuk bala daripada Allah, kerana melakukan perkara-perkara yang becanggah dengan ajaran nabi-nabi mereka, tetapi kita perlu ingat, bahawa Allah Yang Maha Berkuasa boleh mengirim bala kepada kita serupa dengan apa yang pernah berlaku pada zaman lampau dan juga mampu mengirim bala yang tidak pernah ketika itu.
Ini dapat kita lihat pada hari ini seperti penyakit HIV, selesema burung yang menggerunkan banyak pihak, penyakit kaki, tangan dan mulut dan macam-macam lagi, ia dikirimkan agar manusia kembali ke pangkal jalan.
Sepatutnya sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w. kita berjaya meloloskan diri daripada bala-bala yang disebutkan di atas, tetapi kenapa berlaku juga? Ia merupakan satu persoalan yang patut segera mencari jawapannya. Ini tidak lain kalau tidak kita melakukan perkara yang menyanggah tuntutan agama, terdapat selain kita yang sanggup menggadai maruah agama. Mari kita selidik secara halus tindakan manusia hari ini yang mengundang bala daripada Allah, program hiburan keterlaluan walaupun telah disanggah dan diingatkan oleh golongan ulama khususnya para mufti seperti JomHeboh, Mentor musim kedua, Akademi Fantasia musim keempat, kelima dan banyak lagi. Cuba kita perhatikan reaksi manusia selepas tamat program-program seumpama itu, laporan akhbar arus perdana menyebut, 70 pasangan Melayu daripada peringkat usia 15-40 tahun disaman atas pelbagai kesalahan hingga ibu bapa mereka turut dipanggil ke pejabat agama. Kesalahan mereka yang dikenal pasti kerana meminum arak, berkhalwat dan bermacam-macam jenis maksiat yang canggih-canggih, ini tidak termasuk laporan yang menyebut 21 kes anak luar nikah berlaku dalam tempoh sebulan baru-baru ini. Kita dikejutkan dengan berita seorang ibu muda yang sanggup menjerut leher kedua anak lelakinya dengan wayar seterika hingga membawa kepada kematian. Laporan akhbar arus perdana juga ada menyebut menyebut mengenai gejala samseng pelajar-pelajar perempuan yang memukul, menerajang rakan mereka di alat sulitnya hingga menyukarkannya untuk menduduki peperiksaan SPM, terdapat juga gejala samseng ini menular di sekolah-sekolah menengah hingga ada pelajar perempuan yang mengugut rakan mereka untuk menyebarkan gambar bogelnya setelah dia dipaksa berbuat demikian atas kesalahan yang kecil dan bermacam-macam lagi. Terbaru seperti yang dilaporkan muka surat depan akhbar Berita Harian bertarikh 21 November 2007 (Rabu) yang memaparkan gambar-gambar model yang kononnya mempamerkan aksesori barangan kemas pada majlis pelancaran Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007. Persoalannya adakah pihak editorial BH tidak ada sensitiviti mengenai penampilan para gadis yang mendedahkan aurat apatah lagi pada majlis hiburan yang mengundang bala daripada Allah SWT. Begitu juga dengan kerajaan Malaysia yang mengundang pemain tenis nombor dua dan lapan dunia, Rafeal Nadal dari Sepanyol dan Richard Gasquet dari Perancis, masalahnya dari paparan iklan terdapat penaja arak Heineken di gelanggang permainan tersebut, apatah lagi perlawanan itu disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak dan isteri, Menteri Belia dan Sukan serta orang-orang kenamaan.
Apa untungnya perlawanan itu diadakan di Malaysia, arak menjadi antara penaja, isteri TPM juga sibuk hendak bersalam dengan pemain-pemain tersebut dengan penampilan yang tidak selari dengan ajaran Islam Hadhari, para penonton juga tidak kurang yang berpakaian tidak senonoh dengan memakai pengikat kepala tertulis Nadal. Tidakkah orang-orang besar rasa bahawa dia akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT pada hari Kiamat dengan membiarkan banyak perkara yang menyinggung kesucian islan berlaku di hadapan mata?
Sama-samalah kita fikirkan sebelum terlambat, tidakkah kita perasan mengapa Allah sudah mula menurunkan banjir kilat dan hujan lebat di negeri Johor, sama-samlah kita renung dan muhasabah diri akan kesalahan yang telah kita buat.
Faktor atau punca berlaku bala
Dalam kesempatan ini, forum agama cuba menyelongkar pendekatan daripada hadis-hadis sohih Nabi Muhammad s.a.w. sejak 14 abad yang lalu yang menyebut secara jelas faktor, sebab atau punca berlaku bala yang dikirim oleh Allah SWT ke atas umat baginda:
1- Ilmu Islam akan beransur hilang sedikit demi sedikit.
2- Umat Islam sanggup mengikuti jejak langkah Yahudi dan Nasrani dalam tindakan, teladan, pertuturan dan cara hidup mereka.
3- Muncul golong anti hadis (yang tidak dibendung).
4- Umat Islam yang terlalu banyak bergelumang dalam keseronokan.
5- Terlampau mewah.
6- Menghimpun harta sebanyak mungkin (hingga lupa untuk menggarap ilmu agama).
7- Tipu menipu dalam perkara dunia.
8- Saling bertengkar dalam urusan remeh-temeh (yang sepatutnya boleh dimaafkan).
9- Tersebar luas hasad dengki serta hasut menghasut di kalangan mereka.
10- Islam dianggap sebagai agama asing atau berdagang di negara umat Islam sendiri.
11- Berleluasa amalan rasuah dengan pelbagai bentuk dan helah.
12- Orang yang baik terlalu sedikit, malah orang yang jahat semakin ramai.
13- Muncul orang yang tidak peduli sumber harta yang diperolehinya.
14- Riba wujud di mana-mana.
15- Ramai yang minum arak dan menamakannya sebagai bukan arak.
16- Golongan lelaki semakin sedikit dan golongan wanita semakin ramai.
17- Golongan lelaki yang menyerupai wanita dan sebaliknya.
18- Ibu melahirkan tuannya.
19- Bangunan pencakar langit.
20- Muncul ramai ahli ibadat tapi jahil dan ramai golongan ulama tapi fasiq.
21- Orang yang berpegang dengan Islam bagai menggenggam bara api.
22- Berlaku peperangan demi peperangan.
23- Masa akan menjadi singkat.
24- Muncul galian-galian bumi.
25- Ujian yang dahsyat terhadap iman.
26- Peperangan di kawasan sungai Furat kerana menyebut kekayaan.
27- Ketiadaan iman untuk bersolat jamaah.
28- Al-Quran akan hilang dan ilmu akan diangkat menghadap Allah.
29- Bermegah-megah dengah keindahan masjid dan kosong dengan pengisian agama.
30- Menggadai agama kerana dunia.
31- Pelaksanaan haji dan umrah bukan kerana Allah.
32- Harta negara bertukar tangan di kalangan pemimpin.
33- Sesuatu amanah dianggap sebagai batu loncatan untuk mengaut keuntungan.
34- Bayaran zakat dianggap sebagai denda/saman.
35- Suami yang terlalu tunduk kepada isteri.
36- Anak-anak yang menderhaka terhadap ibu mereka.
37- Muncul ramai orang yang patuh dan setia yang tidak berbelah bagi kepada kawan dan rakan.
38- Golongan bapa yang hampa kerana disia-siakan oleh anak-anak mereka sendiri.
39- Berlaku pertengkaran dalam masjid.
40- Apabila orang yang rendah maruahnya dipilih menjadi ketua sesuatu kaum.
41- Apabila orang memuliakan orang lain kerana takutkan kejahatannya.
42- Apabila minuman keras tersebar luas.
43- Ramai golongan lelaki yang memakai sutera.
44- rtis-artis wanita diagung-agungkan.
45- Alat-alat muzik diguna-pakai (sebagai mata pencarian).
46- Kesilapan manusia hari ini mengutuk generasi terdahulu.
Apabila perkara yang disebutkan itu berlaku, maka kata Nabi, tunggulah ketika itu akan datang kepada manusia angin panas, ribut taufan, puting beliung dan bahaya-bahaya yang lain serta hingga berlaku penukaran corak dan rupa
Apabila hukum Allah diketepikan
Al-Quranul Karim, terkawal daripada sebarang penyelewengan, pindaan dan perubahan. Ayat-ayatnya terpelihara, kekal abadi sebagai ayat Allah tanpa penyelewengan hingga ke hari Kiamat. Ini adalah jaminan Allah, selaras dengan firman-Nya (mafhum): "...Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia, tetapi hendaklah kamu takut kepada-Ku; dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang kafir." (Surah al-Maidah, ayat 44) "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memeliharanya dan menjaganya." (Surah al-Hijr, ayat 9) Dalam kedua-dua ayat ini, Allah memberi jaminan bahawa Dia akan menjaga ayat-ayat (al-Quran) daripada sebarang penyelewengan. Tidak seperti kitab-kitab sebelum al-Quran, tiada jaminan sebelumnya daripada penyelewengan. Oleh kerana al-Quran tidak boleh diubah atau dipinda, maka manusia kufur cuba mencari jalan untuk mengubahnya dengan pelbagai cara dan menukar-nukarkan ayatnya jika memungkinkan mereka berbuat demikian. Sepertimana orang-orang Yahudi dahulu, apabila Allah SWT menurunkan at-Taurah kepada mereka, yang di dalamnya Allah melarang mereka menangkap ikan pada hari Sabtu. Mereka mengikut perintah Allah dengan tidak menangkap ikan pada hari Sabtu, sebaliknya mereka menyelewengkan hukumnya dengan memasang jaring pada hari Sabtu dan mengumpulkan ikan ke dalam jaring. Keesokan harinya (hari Ahad), barulah mereka menangkap dan membawa ke darat, ikan-ikan yang sudah terperangkap di dalam jaring sejak hari Sabtu. Itu suatu helah jahat atau suatu penyelewengan. Selepas itu, mereka menyelewengkan perintah Allah dalam a-Taurah sesuka hati mereka. Riba yang diharamkan Allah, Yahudi menghalalkannya. Menipu helah mengambil harta orang secara batil (yang diharamkan), dihalalkan jika (orang tersebut) bukan daripada kalangan Yahudi. zina yang diharamkan Allah, dihalalkan mereka kalau bukan dengan Yahudi. Menipu, mengkhianati yang diharamkan, dihalalkan kalau bukan dengan Yahudi. Ada banyak lagi perkara (perlanggaran hukum) yang kaum ini lakukan. Dalam agama Nasrani juga berlaku berbagai perbezaan di antara satu kitab dengan kitab al-Injil yang berlainan versinya, bercanggah hukum dan amalan sehingga jelas memecahbelahkan orang-orang Kristian kepada beberapa puak. Setiap puak tersebut, hanya percaya dengan amalan mereka sahaja dan menyalahkan amalan puak yang lain. Hal-hal yang sedemikian, tidak sangat berbeza dengan apa yang berlaku di kalangan umat Islam, khasnya yang terkini. Bezanya, umat Islam tidak mengubah al-Quran, tidak meminda isinya dan menjaga al-Quran itu dengan baik. Tetapi apabila mereka (umat Islam) diberi kuasa memerintah, hukum-hukum Allah digendalakan dan menggantikannya dengan hukum ciptaan manusia. Undang-undang Allah diketepikan, manakala undang-undang manusia diketengahkan. Hukum-hukum manusia diagung-agungkan, manakala hukum Allah diremehkan. Contoh terdekat yang boleh kita lihat, penyelewengan hukum-hukum Allah di kalangan umat Islam, sama ada dengan cara penuh kesedaran atau kejahilan. Dalam hal undang-undang seperti kesalahan membunuh, mencederakan, mencuri, merompak, berzina, menuduh orang lain berzina, meminum minuman yang memabukkan dan murtad, semuanya diperuntukkan di bawah hukuman undang-undang ciptaan manusia. Malangnya tidak satu pun kesalahan-kesalahan itu dihukumkan dengan hukum yang ditetapkan Allah. Semua kesalahan tersebut ada yang dibicarakan di mahkamah ciptaan manusia yang dinamakan Mahkamah Sivil, ada yang dibicarakan di Mahkamah Syariah. Malah Mahkamah Syariah juga tidak mensabitkan semua kesalahan tersebut dengan hukum Allah. Seluruhnya (kesalahan jenayah) dihukum dengan undang-undang manusia, didenda dengan ringgit atau dipenjarakan atau kedua-duanya sekali. Tidak berpandukan kepada hukum Allah dan mengenakannya dengan hukuman manusia, ini bererti ia merupakan penyelewengan kepada hukum Allah dengan meminda ketetapan Allah. Sebagai Muslim atau pemerintah negara umat Islam yang jelas beragama Islam, sebenarnya tidak diberi pilihan kepada mereka untuk menghukum mereka, selain daripada hukum Allah. Firman Allah (mafhumnya): "Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka...(hingga akhir ayat)." (Surah al-Maidah, ayat 49) Perintah Allah kepada yang beriman dengan-Nya dan kitab-kitab-Nya agar melaksanakan hukum Allah berulang banyak kali dalam al-Quran. Sebagai contoh, Surah al-Baqarah (ayat 213), Surah ali-Imran (ayat 23), Surah al-Maaidah (ayat 42, 44, 45, 47, 48 dan 49), Surah Shaad (ayat 22 dan 26), Surah an-Nuur (ayat 51) dan Surah Mumtahanah (ayat 10). Banyak lagi ayat-ayat sedemikian, di mana Allah memberi penekanan, khususnya pemerintah agar melaksanakan hukum-hukum Allah dan jangan diselewengkan hukum tersebut. Penyelewengan kepada hukum Allah SWT ini tidak sahaja sekadar menukarkan hukum hudud kepada hukum lain, tetapi sampai kepada peringkat menentang hukum Allah dan melaksanakan undang-undang mereka. Riba yang diharamkan diubah kepada mengharuskannya dengan undang-undang perbankan konvensional, judi yang diharamkan dibolehkan dengan mendapat lesen, minuman yang memabukkan dibolehkan membuat perniagaannya serta dihidangkan sebagai minuman dengan permit perniagaan yang khusus. Inilah yang Allah SWT sebutkan dalam firman-Nya (mafhumnya): "...Oleh itu siapakah yang lebih zalim lagi daripada mereka yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah dan berpaling daripadanya? Kami akan membalas orang-orang yang berpaling daripada ayat keterangan Kami (dengan) azab seksa yang seburuk-buruknya, disebabkan mereka sentiasa berpaling (mengingkarinya)." (Surah al-An'aam ayat 157) Manusia tidak sepatutnya berpaling daripada hukum Allah atau meninggalkannya, sebaliknya mengambil hukum manusia, kelak mereka akan menempuh azab Allah. Wallahua'lam.
muhasabah bersama : Mengapa manusia berani menentang Allah secara terbuka?
Sejak akhir-akhir ini, para ulama' sering menekankan keprihatinan dan kepekaan mereka mengenai telatah serta gelagat umat Islam, khususnya yang melibatkan gaya hidup masyarakat umat Islam yang semakin tersasar daripada landasan Islam sebenar.Ia dapat disingkap dalam aspek hiburan dan sukan yang keterlaluan yang disuburkan oleh pihak tertentu yang bertopengkan Islam, sedangkan realiti hidup mereka (pihak penganjur sesuatu program hiburan atau sukan tertentu) tidak mencerminkan minat mendalam kepada gaya hidup Islam. Benarlah kenyataan ayat 7-9 daripada surah as-Syams (91), Allah berfirman yang bermaksud : 7. Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); 8. serta
mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa;- 9. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan
dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan).
Kecenderungan jiwa atau hati manusia kepada perkara jahat merupakan naluri dan lumrah biasa, sebab itu al-Quran mendedahkan bahawa penghuni Neraka lebih ramai daripada penghuni Syurga.
Kejahatan manusia menjangkau apa yang tidak dapat dicapai oleh pemikiran, kerana penentangan bukan sekadar menolak kerasulan baginda Nabi Muhammad s.a.w, menolak al-Quran, terlibat dalam rasuah, judi,meninggalkan solat, tidak berpuasa, merosakkan alam sekitar dan yang lebih parah lagi ialah menentang Allah dengan menghina hukum-hukum- Nya.
Sebab Penentangan Manusia terhadap Allah
Justeru, mari kita menyingkap pandangan ulama’berhubung faktor yang menyebabkan penentangan manusia terhadap Allah SWT selaku Pencipta mereka.
1- Alpa terhadap matlamat sebenar penciptaan manusia di muka bumi ini.
2- Iman yang amat lemah terhadap rukun-rukun iman yang enam.
3- Jahil mengenai Allah, suruhan dan larangan-Nya,pahala dan dosa serta Syurga dan Neraka.
4- Tidak waspada terhadap bisikan syaitan yang sentiasa mengajak untuk melakukan kejahatan.
5- Tertipu dengan habuan dunia hingga tidak mahu memohon ampun dan bertaubat kepada Allah.
6- Berputus asa dari rahmat Allah (kasih sayang-Nya).
7- Tidak mempercayai qada’ dan qadar Allah malah mempertikainya.
8- Berbangga dengan maksiat dan tidak memperakui dosa besar yang dilakukannya.
9- Panjang cita-cita (banyak berangan-angan dalam perkara dunia).
10- Berlebihan cinta kepada dunia hingga tidak menjalankan tugas utama sebagai manusia bernama Islam.
11- Tersungkur dengan mengikut hawa nafsu yang rosak.
12- Terlibat dalam perkara-perkara syubhat yang menjurus kepada kemurkaan Allah SWT.
13- Ego dan sombong diri terhadap Allah, Rasul dan manusia seluruhnya.
14- Suka bergaul (bercampur) dengan ahli maksiat dan menolak untuk bersama golongan yang soleh.
15- Suka melakukan fitnah dalam masyarakat hingga memporak-perandakan hubungan sesama mereka.
16- Merosakkan gambaran Islam dengan penggunaan istilah yang menyalahi konsep sebenar seperti melabelkan orang Islam yang berjanggut dengan pengganas dan lain-lain.
17- Bergelumang dengan ada-adat yang menyalahi hukum Syariat Islam.
18- Meninggalkan tugas utama Amar Ma'ruf dan Nahi Munkar.
Bagaimana boleh jadi seorang muslim yang baik? Setiap insan bernama Islam, sama ada lelaki ataupun perempuan, berusaha meningkatkan diri dengan pelbagai amal ibadat yang boleh mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Ini kerana masing-masing mahukan diri mereka mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah sebagai hamba-Nya yang taat dengan melakukan segala titah perintah-Nya
dan meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya dengan penuh rasa rendah diri dan berserah diri kepada-Nya.
Justeru, mengetahui kaedah terbaik bagi tujuan di atas, adalah sesuatu yang amat digalakkan, agar setiap muslim/muslimah mencapai status hamba Allah yang diterima di sisi-Nya, antara kaedah berkenaan yang perlu diberi perhatian adalah seperti berikut :
· Melakukan solat lima waktu dengan baik (sama ada dari sudut pada awal waktu pelaksanaannya, kaifiat serta tata-cara bagi menjamin penerimaannya) .
· Mengetahui sedalam-dalamnya bahawa meninggalkan solat dengan sengaja boleh membawa kepada kekufuran,kerana ia adalah tiang agama dan perkara pertama yang akan ditanya oleh Allah di akhirat kelak.
· Melaksanakan seluruh hukum-hukum syariat Islam,bagi kaum muslimah, memakai hijab, kerana ia adalah arahan Allah dalam al-Quran, membaca al-Quran dengan memahami isi kandungannya.
· Mengkaji secara mendalam serta mentelaah sirah Nabi Muhammad s.a.w, sirah para sahabat Nabi, bagi muslimah, perlu memilih serta bercampur wanita-wanita solehah bagi menjamin pegangan dan akidah mereka.
· Sentiasa melakukan muhasabah diri, khususnya memerhatikan persiapan buat hari esok di akhirat dengan amalan, sumbangan kepada agama, perkara-perkara kebajikan buat umat Islam, menjauhi perkara yang menjadi kemurkaan Allah dan sebagainya.
· Perbanyakkan program kebaikan yang membawa ketaatankepada Allah dan banyak berdoa kepada Allah agar diri diberi petunjuk ke jalan kebenaran dengan tetap dan cekal terhadapnya.
Mudah-mudahan kita sentiasa mendapat rahmat dan naungan daripada Allah agar boleh mati pada jalan yang diredai-Nya. Amin
18 November 2007
Kerajaan hina Islam, bila bina replika Kota Portugis RM12.9 juta
Melaka, 17 Nov - 'Dibina oleh Portugis, diperkukuhkan oleh Belanda, dimusnahkan oleh Inggeris dan dibina semula oleh Kerajaan Malaysia' itulah catatan yang tertera di depan tapak pembinaan semula Kota Portugis berhampiran Muara Sungai Melaka.
Pelbagai pihak melahirkan kekesalan berikutan tindakan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) dan Kerajaan Negeri Melaka untuk membina semula Kota Portugis dengan peruntukan RM12.9 juta setelah mendapat kelulusan dari kabinet baru-baru ini.
Ia tidak perlu diberi peruntukan jutaan ringgit bagi pembinaannya semula kerana hanya akan menaikkan semula imej penjajahan Portugis seterusnya menghina bangsa Melayu Islam yang telah mengecapi kemerdekaan 50 tahun yang lalu.
Menurut Ketua Pemuda PAS Melaka, Ustaz Kamaruddin Sidek, Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka mengulangi pendiriannya membantah sekeras-kerasnya cadangan itu kerana menghina bangsa Melayu dan agama Islam.
Beliau berkata, kerajaan Negeri Melaka dan KeKKWa tidak sensitif dengan perasaan orang Melayu Islam yang pernah dijajah suatu ketika dulu, ini menunjukkan pemikiran mereka masih dijajah kerana masih mengagung-agungkan penjajah.
"Tak logik walau atas alasan ingin menarik pelancong kerana tinggalan sejarah seperti 'A Formosa', Perigi Portugis, Bukit St. Paul dan Perkampungan Portugis sudah lebih dari mencukupi," katanya.
Ustaz Kamaruddin juga mempersoalkan apakah rasionalnya cadangan Ali Rustam itu sedangkan dalam masa yang sama peruntukan bagi perkembangan pendidikan Islam iaitu Sekolah Agama Rakyat disekat sehingga Kerajaan Negeri terpaksa menyerahkannya kepada Kerajaan Pusat.
"Sepatutnya peruntukan yang sebegitu besar diberi kepada perkara yang lebih penting dan mereka yang memerlukan, bukannya dengan melakukan pembaziran sebegini rupa," katanya.
Kota Portugis
Pada awalnya tembok Kota ini dibina oleh Kerajaan Kesultanan Melayu Islam Melaka mengelilingi Istana Raja, ia dibina daripada tanah dan diperkuat dengan batang kelapa dan batang nibung serta pagar kayu.
Manakala Kota Batu ini dibina oleh Portugis setelah menawannya dalam tahun 1511 mengelilingi Bukit Melaka (Bukit St Paul) dan siap pada tahun 1548 dan kota ini diperkukuh semula oleh Portugis setelah serangan Belanda dalam tahun 1605- 1606.
Belanda seterusnya memperkukuhkan lagi tembok kota dan menambah beberapa bastion setelah menawan Melaka pada tahun 1641 termasuklah Bastion Middleburg yang terletak di pintu masuk Sungai Melaka.
Namun hampir keseluruhan Kota Melaka akhirnya dimusnahkan oleh Inggeris dalam tahun 1806-1807 dan yang terselamat hanyalah sebuah pintu kota yang dikenali A' Formosa.
Kini Kota Melaka ini sedang dikaji dan didokumentari secara komprehensif oleh Jabatan Warisan Negara dan sebahagian tembok kota ini akan dibina semula oleh KeKKWa.
Munsyi Abdullah
Dalam buku Hikayat Abdullah, Munsyi Abdullah (1796-1854) menulis tentang bagaimana Residen William Farquhar (1774- 1839) meruntuhkan kubu Portugis di Melaka pada tahun 1807. Farquhar, seorang jurutera yang hidup sezaman dengan Stamford Raffles, menjadi Residen di Melaka antara 1803-1818.
Kata Munsyi Abdullah: "Sebab Inggeris itu terlalu cerdiknya itulah sebabnya dipecahkannya kota ini; kerana jikalau kiranya kota ini dapat ke tangan bangsa lain, nescaya beberapa lama pun diperanginya tiadalah akan alah, oleh sebab demikianlah kukuhnya dan hikmatnya kota ini."
Di kota itu juga, kata Munsyi Abdullah, terdapat penjara untuk menyeksa tahanan.
Beliau menyambung: "Ada pun seri negeri Melaka itulah kota itu. Maka apabila sudah pecah kota itu, maka negeri Melaka tiada berseri lagi, umpama seorang perempuan yang kematian suaminya, tiadalah berseri mukanya.
"Akan tetapi sudahlah dengan takdir Allah, itulah alamat dunia ini tiada kekal, yang ada ditiadakan, dan yang tiada diadakan, berubah-ubah adanya." - mks.
16 November 2007
PAMERAN KERJAYA & UCAPAN PERDANA SEMPENA KARNIVAL TIMUR TENGAH 2007 BAKAL BERLANGSUNG DI MESIR.
PMRAM mengalu-alukan kedatangan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi beserta dengan rombongan yang bakal menjejakkan kaki ke Mesir pada Isnin, 26 November ini. PMRAM menyeru seluruh para ahli dan rakyat Malaysia yang menuntut ilmu di Mesir untuk tidak melepaskan peluang untuk bertemu dengan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia.
Menurut sumber yang diperolehi daripada Tuan Yang Terutama, Duta Malaysia Ke Kaherah, Dato Zainal Abidin Abdul Kadir, beliau menyatakan bahawa sebanyak 40 buah syarikat dari Malaysia akan turut menyertai Karnival Timur Tengah yang bertujuan untuk mendedahkan kepada para mahasiswa Islam di Mesir peluang-peluang pekerjaan yang boleh diceburi oleh para mahasiswa apabila pulang ke tanah air kelak. TYT Dato Duta juga mendedahkan bahawa sebanyak 500 jawatan yang bakal disediakan kepada para mahasiswa Islam di Mesir.
Karnival Timur Tengah yang akan dijalankan selama dua hari ini akan diadakan di Dewan CICC bersebelahan dengan Makam Presiden Sadat, Hayyu Sadis Madinat Nasr, Kaherah.
Bagi PMRAM, program dan pertemuan bersejarah antara para mahasiswa dan YAB Perdana Menteri Malaysia ini merupakan satu peluang keemasan yang perlu direbut oleh para mahasiswa Islam bagi menyuarakan pandangan secara terus kepada pemimpin tertinggi Malaysia yang prihatin terhadap para mahasiswa Islam di Mesir secara khusus. Para Mahasiswa juga dapat memperolehi maklumat-maklumat berkaitan dengan peluang pekerjaan di Malaysia secara terus daripada 40 syarikat yang bakal tiba ke Mesir. PMRAM berharap para mahasiswa Islam di Mesir akan memeriahkan lagi kedatangan YAB Perdana Menteri Malaysia.
Untuk melihat tentatif penuh program, sila download.
14 November 2007
PEKEJ HAJI PMRAM 2007

Liqa Ketua Fakulti Dan Malam Munajat & Motivasi Perdana
Pada 6 November 2007, sebuah perjumpaan di antara ketua dan timbalan pendidikan setiap BKAN dan DPM telah diadakan di dalam program Liqa’ Ketua Fakulti dan Malam Munajat & Motivasi Perdana bertemakan “KEJAYAAN HAK KITA”. Dewan Ibnu Sina, Rumah Johor, Hayyu Thamin menjadi tempat berlangsungnya program tersebut. Seramai 43 peserta ikhwah dan 40 peserta akhwat dari pelbagai BKAN dan DPM dikumpulkan bersama bagi membincangkan dan menyelesaikan masalah pendidikan.
Antara agenda program ialah Taklimat Kelas Tutorial, Taklimat Study Group dan Taklimat Nota. Program yang dimulakan dengan pendaftaran peserta bermula dari jam 8.30 pagi hingga 3.30 petang ini hangat membincangkan segala permasalahan pendidikan yang timbul. Pelbagai juga buah idea yang dilontarkan bagi menyelesaikan masalah-masalah tersebut agar dapat meningkatkan lagi prestasi pelajaran Azhari dan Azhariyyah. Objektif utama program ini diadakan adalah untuk meningkatkan pencapaian akademik ahli-ahli PMRAM khususnya, memberi penerangan kepada semua ketua fakulti tentang kaedah pembelajaran serta teknik ulangkaji yang berkesan dan menyuntik kesedaran dan semangat ahli PMRAM bahawasanya kejayaan adalah hak milik semua ahli PMRAM. Ucapan sekalung tahniah dan jutaan terima kasih bagi semua yang menjayakan program ini.
Malam Munajat & Motivasi Perdana
Objektif PMRAM tidak terhenti sekadar di program Liqa’ Ketua Fakulti sahaja, bahkan diteruskan dengan program MALAM MUNAJAT & MOTIVASI PERDANA. Program ini telah dilangsungkan di Dewan Ibnu Sina, Rumah Johor,Hayyu Thamin pada sebelah malam program Liqa’ Ketua Fakulti. Antara agenda program ialah Kalam Taujihat dari Presidan PMRAM, saudara Hairul Nizam Bin mat Husain Husain, Solat Sunat Hajat yang diimamkan sendiri oleh Presiden PMRAM dan dihangatkan lagi dengan Talkshow Kecemerlangan yang menggabungkan dua ahli panel yang cukup mantap.
Program yang bermula pada jam 4.30 petang telah berakhir pada jam 12.30 malam. Program ini telah dihadiri oleh kebanyakkan pelajar tahun 1 setiap jurusan untuk dijadikan sebagai penyuntik semangat beljar dan mencapai kejayaan.Ribuan terima kasih diucapkan kepada semua yang menjayakan program ini.”KEJAYAAN HAK KITA”
SELAMAT BERANGKAT
Pihak AJKT dan HEWI BKKIMM sesi ini, mengucapkan selamat berangkat dan selamat menempuh pengajian di muhafazah masing-masing kepada mahasiswa dan mahasiswi baru.
Pihak pimpinan BKKIMM amat berharap mahasiswa/wi dapat menyesuaikan diri di muhafazah masing-masing dan memberikan kerjasama sebaik mungkin kepada Dewan-Dewan Perwakilan Mahasiswa-Mahasiswi masing-masing.
30 Oktober 2007
Aurat wanita 'dera' emosi kaum lelaki - Nik Aziz

Sumur akan diperluas ???
TANJUNG KARANG 29 Okt. – Kementerian Pelajaran akan memperluaskan Modul Sahsiah Unggul Murid (Sumur) di semua sekolah jika modul tersebut terbukti berkesan dalam meningkatkan disiplin di kalangan pelajar sekolah.
Timbalan Menterinya, Datuk Noh Omar berkata, buat masa ini, modul Sumur yang berteraskan kepada 5C iaitu Murid Contoh, Cerdas, Cerdik, Cergas dan Ceria itu sudah dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).
Beliau berkata, matlamat modul itu ialah untuk melahirkan murid yang memiliki personaliti terpuji dan dicontohi murid lain serta sentiasa memburu ilmu dunia dan akhirat.
Menurut beliau, modul tersebut juga mempraktikkan amalan penjagaan kesihatan yang cemerlang dalam kehidupan seharian, mempunyai ketahanan diri dan berusaha meningkatkan daya kepimpinan serta bersemangat patriotisme.
‘‘Selain tindakan hukuman dan kaunseling, pendekatan mendekati pelajar dan kesedaran didapati memberi kesan kepada penurunan kes-kes disiplin di sekolah.
‘‘Jika modul Sumur berhasil, ia akan diperluaskan ke sekolah-sekolah lain,’’ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Modul Sumur dan Kelab Braille al-Quran peringkat Kebangsaan di Sekolah Agama Menengah Tanjung Karang, di sini hari ini.
Menurut Noh, modul Sumur selaras dengan teras kedua dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) iaitu membangunkan modal insan dan ia dilaksanakan di dalam dan luar bilik darjah.
Pakar jantung terulung negara maut nahas di Karak

Barang dah banyak naik harga ????
Harga tepung naik: Restoran cadang naikkan harga roti canai
PULAU PINANG 29 Okt. - Persatuan Restoran Islam Pulau Pinang bercadang untuk menaikkan harga makanan berasaskan tepung seperti roti canai, capati, bihun dan mee berikutan kenaikan harga tepung.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang, Lau Chiek Tuan berkata, melalui permohonan yang dibuat minggu lepas, persatuan itu mahu harga roti canai dinaikkan ke 80 sen sekeping dari 60 sen mulai bulan depan.
“Kerajaan akan menimbang permohonan persatuan tersebut. Namun cadangan kenaikan sebanyak 80 sen sekeping itu di lihat agak tinggi dan akan membebankan pengguna.
“Selain roti canai, persatuan berkenaan juga turut memohon untuk menaikkan beberapa jenis makanan lain berasaskan tepung seperti mee, bihun dan capati,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemantauan harga barang sempena perayaan Deepavali, di Jalan Penang di sini hari ini.
Pada 15 Mei lepas, harga tepung di Semenanjung dinaikkan 15 sen sekilogram iaitu pada RM1.35 berbanding RM1.20 sebelumnya.
Untuk Sabah dan Sarawak, harga baru ialah RM1.45 sekilogram berbanding RM1.30 sebelum itu.
Kenaikan harga barang kawalan itu hanya melibatkan tepung gandum serba guna dan tidak bagi tepung gandum bukan serba guna yang harganya tidak dikawal.
Harga tepung gandum tidak pernah mengalami perubahan sejak 1998 walaupun kos bahan mentah dan pengangkutannya dikatakan mengalami kenaikan setiap tahun.
- Bernama
Ulamak seumpama sebuah telaga – Prof. Dr. Saad Saad Jawish.
Isnin, 22 Oktober 2007
KAHERAH, 20 Oktober - "Ulamak seumpama sebuah telaga, tempat manusia menceduk untuk mengambil minuman darinya", kata Prof. Dr. Saad Saad Jawish.
Prof. Dr. Saad Saad Jawish yang merupakan pensyarah jurusan Usuluddin dalam bidang Hadith dari Universiti Al-Azhar ketika menyampaikan ucapan sempena Festival Konvokesyen dan Anugerah Mahasiswa-mahasiswi Cemerlang (FKAMC) ke-15 di bawah anjuran PMRAM telah melahirkan rasa gembira dengan komitmen pelajar Al-Azhar khususnya, mahasiswa-mahasiswi dari Malaysia terhadap bidang ilmu.
Beliau yang berucap sebelum penyampaian anugerah kecemerlangan kepada graduan-gradunita dan mahasiswa-mahasiswi cemerlang mengaitkan kehidupan ulamak mahupun penuntut ilmu adalah seperti telaga. Menurut beliau, umat Islam akan menjadikan ulamak tempat rujukan dan bertanyakan sesuatu berkaitan agama yang mereka tidak ketahui.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan graduan-graduanita dan mahasiswa-mahasiswi yang hadir agar memperbanyakkan bacaan, di samping membuat kajian dan juga mengikuti kelas-kelas tafaqquh.
Beliau menegaskan, Al-Azhar dan ilmu Islam bukan untuk bangsa Arab sahaja malah terbuka kepada semua umat Islam seluruh dunia.
Akhir ucapannya, beliau mengajak supaya menitikberatkan amanah dan bersama mempertahankan aqidah Islam.
Sambutan Hari Raya Peringkat PMRAM berjaya
Isnin, 22 Oktober 2007
HAYYU SABI’ 18 Oktober 2007 – Sekali lagi Perseketuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) telah berjaya mengadakan rumah terbuka sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dipanggil Haflah Idil Fitri PMRAM (HATI) untuk semua warga Malaysia yang bermukim di Mesir. Bagi siswa, lokasi yang dipilih untuk menjamu selera adalah di Rumah Kelantan Baru manakala siswi pula bertempat di rumah Melaka. Majlis bermula pada jam 12.30 tengahari dengan ucapan ringkas daripada saudara Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PMRAM yang merupakan pengarah HATI PMRAM dan ditutupi dengan ucapan daripada Presiden PMRAM, saudara Hairul Nizam Mat Husain.
Di dalam ucapan Presiden PMRAM, beliau mengingatkan kepada para hadirin agar menjadi masyarakat pelajar yang bertakwa kepada Allah dan menjauhkan diri daripada melakukan dosa kepada Allah Taala. Beliau menegaskan bahawa mahasiswa Islam di Mesir yang terdiri daripada mahasiswa jurusan Islam dan mahasiswa jurusan perubatan adalah bertanggungjawab dalam menyampaikan dakwah dan mesej Islam kepada masyarakat kelak. Ini kerana dua golongan ini adalah pengubat kepada masyarakat. Mahasiswa jurusan agama akan menjadi pengubat rohani manakala mahasiswa jurusan perubatan adalah pengubat kepada jasmani. Beliau menegaskan bahawa kemahiran para mahasiswa Islam di Mesir yang boleh mendekati masyarakat melalui ‘dua bidang perubatan’ ini perlu dijadikan sebagai pemangkin dan katalis dalam menyampaikan mesej dan dakwah Islam.
Sejurus selepas ucapan Presiden PMRAM, saudara Hairul Nizam Mat Husain, seluruh para hadirin dijamu dengan jamuan ‘nasi moi’ sempena hari raya Idul Fitri. Kedatangan para mahasiswa ke HATI PMRAM sangat menggalakkan sehingga HATI PMRAM terpaksa dilajakkan sehingga sekitar jam 5.30 petang.
PMRAM mengucapkan ribuan terima kasih kepada para tenaga pelaksana yang telah berpenat lelah di dalam menjayakan HATI PMRAM dan para hadirin yang memeriahkan HATI PMRAM yang secara tidak langsung telah mengikat tali ukhuwah Islamiah di kalangan para mahasiswa Islam di perlembahan Nil bertuah ini.
22 Oktober 2007
Pelajar di Mesir harus bersatu mendepani tekanan pegawai kedutaan
KAHERAH, 22 Okt (Hrkh) - Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) menyeru ke arah kesatuan ahli dan pendokong persatuan pelajar itu agar sentiasa berusaha serta berdoa supaya tekanan daripada pegawai rumah negeri dan kedutaan akan berkurangan.
Presiden PMRAM Hairul Nizam Mat Husain berkata demikian di dalam suatu perutusannya yang dikeluarkan di Mansourah, Kaherah bersempena sambutan Hari Raya Adilfitri baru-baru ini.
Tekanan yang ditimbulkan daripada pihak tertentu ada hubungannya dengan Kedutaan Malaysia di Mesir termasuk pusat zakat di Malaysia.
Antara tekanan itu ialah ugutan sekatan wang zakat, pengusiran daripada rumah anak negeri dan lain-lain jika mereka didapati terlibat dengan PMRAM atau Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) ataupun lain-lain pertubuhan yang tidak diiktiraf oleh kedutaan.
"Marilah bermunajat agar Allah memberi kekuatan kepada para pimpinan BKAN yang mendapat pelbagai tekanan daripada para pegawai rumah negeri yang ingin melepaskan hubungan erat di antara PMRAM dan BKAN selama ini. "Kita tidak setuju dengan tindakan beberapa pegawai rumah negeri yang menyekat kebebasan pimpinan BKAN dalam membuat keputusan demi kepentingan mereka. Mereka ini perlu diberikan kebebasan dalam menentukan pendirian sendiri," kata Hairul Nizam.
Antara badan kebajikan mahasiswa anak negeri dan jaringan pertubuhan pelajar yang berada di bawah PMRAM ialah BKPJM (Johor), BKMIP (Pahang), MKKK (Kedah), KPKM (Kelantan), KPT (Terengganu), BKPPP (Pulau Pinang), KPIPM (Perak), DPM Zagaziq, DPM (Tanta), DPM Maqaz Shoubra, DPM Mansoura, dan pelajar Perubatan.
Tambahnya, kalau pelajar terus diugut dengan sekatan zakat, ancaman dinafikan hak menetap di rumah-rumah negeri dan sebagainya, ini mengakibatkan lahirnya generasi penakut, menghalang kelahiran idea dan gagal menjadi pimpinan yang kreatif di samping memberi kritikan membina.
"Ini tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan pihak terbabit memandangkan misi PMRAM adalah berorientasikan kebajikan sama ada dalam bentuk rohani, material dan pendidikan.
"Saya seru semua pelajar memperjuang kebebasan mereka dalam bersuara dan berpersatuan di mana persatuan mereka ini ingin dihakis sedikit demi sedikit. Mahasiswa harus bersama-sama PMRAM dalam memperjuangkan agenda ilmu dan kebajikan," tambah beliau.
Menurut Bernama pada Julai 2005: "Mais Tarik Balik Dermasiswa 9 Penuntut Tajaanya". Dalam laporan itu, sembilan pelajar Universiti al-Azhar menganggotai pertubuhan yang tidak diiktiraf Kedutaan Malaysia di Mesir, iaitu PMRAM dan Badan Kebajikan Anak Melayu Selangor.
Menurut suatu sumber, para pelajar itu ditarik balik wang zakat pengajian berdasarkan Perkara 4 (G) Fasal 12 Perjanjian Dermasiswa Zakat Mais yang menyebut-mereka tidak boleh mengambil bahagian dalam apa-apa kegiatan yang difikirkan Pusat Zakat Selangor (PZS) sebagai tidak selaras dengan kepentingan pelajar, kepada PZS dan Malaysia.
Mereka juga didapati bersalah kerana melanggar Perkara 4 (H) yang tidak membenarkan pelajar memegang apa-apa jawatan dalam apa-apa pertubuhan, badan atau kumpulan tanpa mendapat keizinan daripada PZS terlebih dahulu.
PMRAM ialah organisasi yang ditubuhkan pada 1930 dengan nama Persekutuan Putera-Putera Semenanjung (PPS) kemudian bertukar nama kepada Persekutuan Melayu Mesir (PMM) pada 1952. Ia ditukar nama sekali lagi kepada Persekutuan Melayu Republik Arab Bersatu (PMRAB) dan akhirnya pada 1971 ia ditukar kepada Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).
Sambil menyeru ke arah perpaduan PMRAM, Hairul Nizam berkata adalah tidak adil jika pelajar cuma melihat dari jauh atau melepaskan kritikan kepada PMRAM sahaja.
"Malah kita patut menjiwai perjuangan, penat lelah PMRAM di samping membangun kritikan, mengerah tenaga fikiran dan wang bagi memastikan PMRAM yang cuba dihapuskan terus mampu hidup dan untuk menjaga kebajikan bersama," tambahnya.
Menurut satu sumber, antara persatuan yang diiktiraf kedutaan ialah Kelab Umno Republik Arab Mesir (NUMRAM), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Mesir, Persatuan Pelajar Malaysia Mesir (PPMM) dan ALAMI. - mks.
20 Oktober 2007
Ayam Babi ????

Pro Mahasiswa berjaya pertahankan kemenangan di UIAM

Syeikh Muhammad Ibrahim Al-Kattani Akan Merasmikan Festival Konvokesyen

Nadwah Mirath 2007, Peluang Keemasan Untuk Mendalami Ilmu Warisan Harta Islam

06 Oktober 2007
Malam-malam yang istimewa...
Ihya di malam-malam terakhir Ramadan
Baginda Rasulullah s.a.w apabila masuk sepuluh malam terakhir (bulan Ramadan), baginda menghidupkan malam-malam tersebut dengan mengejutkan isterinya dan mengikat kainnya (menunjukkan kesungguhan baginda pada malam tersebut dengan menjauhkan diri daripada bersama isteri-isterinya). Hadis riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim daripada Aishah r.a. sabda baginda s.a.w lagi yang bermaksud : Sesiapa yang bangun pada malam al-Qadr (beribadat) dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah SWT, maka dosa-dosanya yang telah lalu diampunkan oleh Allah SWT. (hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim).Kepentingan waktu malam dalam kamus Islam
Malam merupakan satu waktu yang hening dan penuh kedamaian, ia amat sesuai untuk dilakukan amal ibadat kerana pada waktu itu, ramai di kalangan manusia sedang tidur dan mungkin juga melakukan perkara-perkara yang tidak disukai Allah seperti menonton pertandingan bolasepak secara langsung dan sebagainya.
Mereka dengan sendirinya boleh terjaga dari tidur walaupun tidak mengunci jam loceng untuk bangun, tetapi masa untuk Allah agak liat dan sukar untuk dilakukan, sehingga mereka menzalimi diri kerana tidak sanggup melakukan ibadat walaupun hanya dua rakaat.
Justeru, Islam melihat waktu malam adalah penting, kerana peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah Islam berlaku pada waktu malam seperti turunnya al-Quran pada malam al-Qadr, penghijrahan baginda Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Madinah waktu malam, Israk Mikraj juga berlaku pada waktu malam, Qiyamullail waktu malam ia tidak berlaku pada waktu siang, kerana ia masa yang amat sesuai untuk mengadu nasib kepada Allah setelah penat bekerja pada siang hari.
Sesungguhnya Allah SWT memuji hamba-hambaNya yang sanggup bangun waktu malam semata-mata untuk beribadat, bermunajat kepada-Nya dan menjadikan waktu malam bagi menempah tempat di dalam Syurga-Nya, perkara ini disebut oleh Allah dalam ayat 16 surah as-Sajadah yang bermaksud: "Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya (mereka tidak tidur di waktu biasanya orang tidur, kerana melakukan sembahyang malam), sedang mereka berdoa kepada Tuhan mereka dengan rasa tahut dan penuh pengharapan."
Firman Allah lagi dalam ayat 17-18 menerusi surah az-Zariyat: "Mereka (orang-orang yang bertakwa) sedikit sekali tidur di waktu malam - Dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun kepada Allah.
Malam al-Qadr di sepuluh malam terakhir Ramadan
Jelas dari apa yang disebutkan oleh baginda Rasulullah s.a.w dalam dua hadis di atas, membayangkan kepada kita tentang kesungguhan baginda untuk bangun malam beribadat dan bermunajat kepada Allah, sedangkan dosa-dosa baginda yang telah lalu dan akan datang diampunkan Allah SWT.
Bukan sahaja baginda melakukannya secara bersendirian, malah memastikan agar isteri dan ahli keluarganya juga tidak membiarkan waktu malam berlalu begitu sahaja tanpa melakukan aktiviti kerohanian sebagai jalan untuk menempah tempat dalam syurga.
Apatah lagi pada malam-malam terakhir Ramadan yang terdapat padanya malam al-Qadr.
Allah SWT sebut dalam al-Quran, bahawa malam al-Qadr adalah lebih baik dari 1000 bulan, iaitu kira-kira 83 tahun empat bulan, ini bermakna jika seseorang itu menghidupkan malam-malam terakhir Ramadan dengan solat fardu berjamaah, tarawih, membaca al-Quran, Qiyamullail menepati malam al-Qadr, maka dia akan meraih pahala sebanyak 83 tahun empat bulan, sedangkan umurnya mungkin baru mencecah 63 tahun, seolah-olah pahalanya tahun ini melebihi dua puluh tahun daripada umurnya, inilah yang dikatakan rahmat dan bonus setahun beribadat.
Kerana pada malam al-Qadr juga para malaikat dan malaikat Jibril turun dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan, tugas nalaikat pula ada yang mencatat segala amalan yang tidak akan dikurangkan atau ditambah dengan sewenang-wenangnya.
Tetapi mengapakah masih ramai lagi di kalangan umat Islam dalam negara kita tidak bersungguh untuk merebut peluang keemasan ini yang hanya dating setahun sekali?
Menurut para ulama, antara sebab mengapa mereka tidak mengisi malam-malam sepuluh terakhir Ramadan dengan amalan yang bermanfaat, kerana tidak memiliki iman yang kental, kurang membaca al-Quran, tidak berkawan dengan orang-orang yang bertakwa, orang-orang soleh, tidak istiqamah dalam mengamalkan amalan-amalan Islam, tidak memiliki ilmu pengetahuan yang cukup mengenai ajaran Islam sebenar.
Faktor yang memudahkan seseorang itu boleh bangun untuk berqiyamullail
Menurut Syeikh Muhammad Solih al-Munajjid, terdapat beberapa faktor penting yang dilihat boleh membantu umat Islam untuk bangun bagi melakukan solat di tengah malam seperti di bawah ini:
1. Ikhlas kepada Allah dalam setiap tindakan yang dilakukan bagi meraih keredaan-Nya, iaitu melakukan solat malam dengan merahsiakannya daripada pengetahuan orang ramai, ia bertujuan supaya tidak ada rasa riak dalam diri.
2. Hendaklah bagi orang yang melakukan solat malam itu mempunyai perasaan dalaman, bahawa Allah SWT menjemputnya untuk bangun di tengah malam.
3. Mengetahui sedalam-dalamnya ilmu mengenai kelebihan bangun di tengah malam berdasarkan pengajian dan perbincangan.
4. Memerhati kepada kesungguhan individu-individu terdahulu daripada kita yang istiqamah dan iltizam melakukan qiyamullail khususnya para solihin di kalngan para sahabat dan ulama.
5. Tidur di atas lambung sebelah kanan akan memudahkan seseorang itu boleh bangun di tengah malam seperti yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah s.a.w.
6. Tidur dalam keadaan berwuduk seperti ditegaskan oleh Rasulullah; "Apabila anda hendak masuk tidur, berwuduklah seperti untuk menunaikan solat." Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim daripada al-Barra Bin Azib.
7. Bersegera masuk tidur (tidur di awal waktu) terutama lepas solat Isyak seperti amalan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.
8. Berzikir dengan wirid-wirid yang Ma'thur seperti Ma'thurat sebelum tidur, kerana ia menjadi benteng diri daripada kejahatan Syaitan dan membantu untuk mudah bangun, atau ayat-ayat pilihan dari al-Quran, baca doa tidur, membaca tiga Qul dan sebagainya.
9. Seboleh-bolehnya tidur sebentar di siang hari yang dikenali sebagai 'Qailulah', iaitu sebelum masuk waktu Zohor atau selepasnya, ala kadar setengah jam.
10. Elak daripada banyak makan dan minum, kerana ia boleh membantutkan hasrat untuk bangun di tengah malam.
11. Bertekad sedaya upaya untuk bangun malam dalam apa jua keadaan.
12. Menjauhkan dosa dan maksiat, kerana ia dikenal-pasti sebagai penghalang pertama dan utama dari mudah untuk bangun di tengah malam.
13. Membuat perhitungan diri (muhasabah) jika tidak mampu untuk bangun di tengah malam.
Ketahuilah wahai saudara-saudaraku sekelian!
Qiyamullail adalah ibadat yang menghubungkan hati kita dengan Allah selain ia adalah sunnah muakkadah yang sangat dianjurkan oleh Nabi s.a.w. Baginda bersabda : "Hendaklah kamu lakukan solat di tengah malam, sesungguhnya ia merupakan kebiasaan kepada orang-orang soleh sebelum kamu, ia boleh mendekatkan kamu kepada Tuhan kamu, ia juga penghapus segala dosa, penghalang daripada terjebak kepada maksiat dan dosa dan penawar kepada penyakit yang ada di tubuh." Hadis riwayat Imam Ahmad dan Tirmizi.
29 September 2007
TAHNIAH BUAT YANG BERJAYA
Tunaikan Zakat Fitrah ...

Pengajian Syeikh Nuruddin Secara Online

Lailatul Qadr: Malam misteri yang dirindui kedatangannya
Umat Islam di seluruh dunia akan memasuki fasa ketiga pelaksanaan ibadat puasa serta amal-amal ibadat sunat yang lain pada minggu hadapan, ini bermakna sedar atau tidak, Ramadan tetap akan meninggalkan kita buat tempoh setahun.
Apa yang perlu sama-sama kita ingatkan antara satu sama lain, ialah kenangan positif yang kita kecap sepanjang berada dalam bulan Ramadan, iaitu bulan yang dipenuhi dengan segala macam keberkatan, rahmat, keampunan Ilahi serta program-program yang dapat membebaskan diri daripada api neraka.
Itulah bulan yang banyak memberi kita peluang untuk mendapatkan rahmat Allah, keampunan-Nya dari segala kesalahan yang telah kita lakukan sebelum ini, memohon kepada-Nya agar diri kita, keluarga serta anak-anak bebas daripada siksaan api neraka.
Masa yang paling sesuai untuk kita lakukan kesemua itu adalah di tengah malam, di ketika ramai manusia sedang seronok tidur dan mungkin juga sebahagian mereka sedang menonton rancangan kesukaan mereka, kerana pada waktu itu suasana hening menyelubungi manusia, justeru waktu itu juga amat berkesan untuk menyatakan rasa hati kepada Maha Pencipta.
Apatah lagi pada malam akhir-akhir di bulan Ramadan, terdapat satu malam yang disebut oleh Allah SWT dengan jelas sebutan namanya yang mulia dalam satu surah yang pendek, malam yang diturunkan padanya kitab suci al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia menuju jalan kebenaran dan keselamatan di dunia dan akhirat, iaitulah malam yang sangat dikenali dengan Lailatul Qadr - atau diterjemahkan sebagai malam takdir.
Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!" (Quran, Al-Qadr 97: 1-5)
Berdasarkan ayat di atas dapat dilihat bahawa malam al-Qadar disebut juga dengan malam yang penuh keberkatan. Sebab pada malam itu Allah mencucuri pelbagai rahmat, keampunan dan keberkatan kepada orang yang beramal dengan khusyuk dan berdoa dengan penuh keikhlasan.
Kepada mereka Allah memberikan ganjaran kebaikan yang sama nilainya dengan beramal seribu bulan. Firman Allah bermaksud: "Malam al-Qadar itu itu lebih baik daripada seribu bulan" (Surah al-Qadr, ayat 3) .
Sebab-sebab Allah adakan Lailatul Qadr
Allah SWT Taala yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, amat menyayangi hamba-Nya yang taat beribadat kepada-Nya, ia tidak lain adalah untuk menganugerahkan kepadanya pahala-pahal yang banyak, supaya dengannya dia akan dapat masuk syurga.
Terdapat beberapa pandangan ulama yang menyebut bahawa, Allah SWT mempunyai sebab kenapa Dia mengadakan Lailatul Qadr buat umat Nabi Muhammad s.a.w antara lain;
Menurut Imam Malik, Rasulullah melihat bahawa umur umatnya tidak sepanjang umat sebelum mereka, baginda bermohon kepada Allah memberikan peluang di mana umatnya supaya dapat beramal dengan yang nilainya sama dengan amalan umat sebelum mereka.
Sementara Imam al-Qurtubi pula berpendapat, Rasulullah diperlihatkan kepadanya usia umat terdahulu, maka Baginda berasa usia umatnya terlalu pendek hingga tidak mungkin dapat mencapai amal seperti yang diraih oleh umat terdahulu yang usianya panjang. Purata usia umat Muhammad antara 60 hingga 70 tahun menurut maksud satu hadis Rasulullah. Sebab itu Allah menawarkan malam al-Qadar yang mempunyai nilai pahala seribu bulan kepada Rasulullah, para sahabat malah kepada seluruh umat baginda s.a.w.
Justeru, malam al-Qadar adalah satu kurniaan Ilahi yang dianugerahkan oleh Allah kepada Rasulullah dan umatnya sebagai tanda kasih sayang dan rahmat-Nya yang menyeluruh. Amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan selama seribu bulan atau menurut ulama sebagai 83 tahun empat bulan.
Dorongan Nabi supaya umatnya terus beribadat pada malam tersebut
Kerana keutamaan ini, Rasulullah menganjurkan umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan malam al-Qadar yang penuh keberkatan itu. Dalam hal ini, Rasulullah perlu dijadikan ikutan yang menampilkan teladan terpuji dalam menghidupkan malam terakhir Ramadan.
Ini dilakukan dengan melaksanakan iktikaf, membangunkan keluarga agar lebih meningkatkan amalan ibadat pada malam hari dan tidak mendekati isterinya dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat di masjid seperti solat tahajud, Witir, solat Tarawih, membaca dan tadarus al-Quran serta berzikir kepada Allah dan amalan solih lain yang dianjurkanIslam.
Rasulullah sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Antara yang sering Baginda baca ialah doa maksudnya: "Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih."
Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar satu permohonan untuk memperoleh kebajikan dunia dan akhirat, malah untuk memantapkan langkah dan kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang dijanjikan Allah. Ini kerana doa itu sendiri membawa maksud satu permohonan yang penuh tulus dan pengharapan, di samping disusuli dengan usaha melipatgandakan amal ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah.
Selain itu, setiap Muslim dianjurkan bertaubat dan memohon ampun kepada Allah daripada sebarang kesalahan dan dosa selama ini. Setiap manusia tidak terlepas daripada kealpaan dan seterusnya melakukan kesalahan yang dilarang Allah. Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya: Setiap anak Adam tidak akan terlepas daripada melakukan dosa dan sebaik-baik orang daripada kalangan yang berdosa itu ialah yang bertaubat kepada Allah. (Hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)
Berdasarkan permohonan inilah maka Allah menurunkan Lailatul Qadar.
Hikmah dirahsiakan kehadirannya
Sesungguhnya ayat al-Quran yang menceritakan tentang masa berlaku Lailatul Qadr, tidak dijelaskan secara jelas, kerana ia bertujuan agar manusia tidak hanya tertumpu pada satu malam sahaja jika mereka tahu malam tersebut, justeru ia dirahsiakan agar mereka menghidupkan setiap malam terakhir Ramadan dengan amalan-amalan yang pernah dilakukan oleh baginda, para sahabat dan para solihin terdahulu.
Syeikh Muhammad Abduh berpendapat bahawa sebab malam itu diturunkan kepada umat Muhamad kerana Qadar itu bermakna ketentuan atau takdir. Pada malam itu Allah mula mentakdirkan agama-Nya dan memerintahkan nabi-Nya untuk menyeru manusia kepada agama yang melepaskan mereka daripada segala kehancuran dan kerosakan.
Pendapat Syeikh Muhammad Abduh ini berdasarkan kenyataan bahawa al-Quran pertama kali diturunkan pada malam al-Qadar. Turunnya al-Quran pada dasarnya adalah watikah pelantikan Muhammad sebagai nabi dan rasul yang bertanggungjawab menyampaikan risalah Islam. Begitu juga dalam mengubah corak hidup manusia daripada alam jahiliah kepada suasana Islam. Ertinya malam al-Qadar itu adalah malam disyariatkan Islam kepada umat Nabi Muhammad sebagai agama penyelamat untuk seluruh alam.
Ada ulama lain yang menyatakan bahawa penyebab dikatakan dengan malam al-Qadar kerana pada malam itu Allah menetapkan takdir setiap makhluk baik berupa rezeki, umur atau sakit atau sihatnya seseorang untuk jangka masa setahun, iaitu dari malam al-Qadar tahun ini hingga ke malam al-Qadar tahun depan.
Mengenai jatuhnya malam al-Qadar, ulama berbeza pendapat mengenainya. Imam Nawawi berkata bahawa sebahagian ulama menyatakan malam itu bergilir dari tahun ke tahun. Ertinya apabila pada tahun ini berlaku pada malam 29 Ramadan, maka tahun akan datang datang pada malam berbeza.
Hal sama dikatakan oleh Ibn Hazm bahawa Lailatul Qadar itu ada kalanya pada malam 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan.
Sementara menurut jumhur ulama, Lailatul Qadar berlaku pada malam yang sama pada setiap Ramadan iaitu pada malam 27 Ramadan. Ini berdasarkan hadis Rasulullah daripada Ubai bin Ka'ab yang diriwayatkan oleh Tirmizi dan hadis dari Mu'awiyah yang diriwayatkan Abu Dawud. "Saya mendengar Rasulullah bersabda carilah Lailatul Qadar itu pada malam 27."
Sebahagian sahabat dan ulama mencuba menentukan Lailatul Qadar dengan cara lain, iaitu menggunakan rumusan tertentu.
Ibnu Abbas berkata bahawa surah al-Qadr itu terdiri daripada 30 kalimah. Kata salamum hiya (selamat sejahteralah malam itu) berada pada kalimah yang ke-27. Oleh itu Ibnu Abbas menyatakan bahawa malam al-Qadar berlaku pada malam ke-27.
Sementara sebahagian ulama menyatakan bahawa kalimat Lailatul Qadr terdiri daripada sembilan huruf. Dalam surah al-Qadr kata-kata Lailatul Qadr itu diulang-ulang sebanyak tiga kali. Maka sembilan darab tiga adalah 27. Maknanya Lailatul Qadar itu berlaku pada malam 27.
Sementara ulama lain seperti Ahmad Marzuk dan Ibnu Arabi berpendapat bahawa Lailatul Qadar itu berlaku pada malam Jumaat ganjil pada 10 malam terakhir Ramadan.
Namun dalil yang paling kuat mengenai Lailatul Qadar adalah hadis daripada Aishah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari. "Carilah sedaya-upaya kamu Lailatul Qadar itu pada sepuluh malam ganjil pada akhir Ramadan."
Perbezaan pendapat sahabat dan ulama ini sebenarnya adalah satu kenyataan bahawa tidak ada satu dalil jelas yang menunjukkan bila malam ini berlaku. Tetapi sahabat dan ulama bersepakat dengan hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Aishah tadi bahawa malam itu berlaku pada sepuluh malam ganjil akhir Ramadan.
Menurut Prof Wahbah al-Zuhayli, sebab dirahsiakan Lailatul Qadar supaya umat Islam sentiasa berusaha beribadah pada setiap malam Ramadan tanpa menumpukan pada satu malam saja. Ini kerana setiap malam pada Ramadan memiliki hikmah dan rahsia tersendiri.
Tanda-tanda berlakunya Lailatul Qadr
Di antara tanda yang sempat terlihat pada masa Nabi s.a.w adalah bahwasanya ketika baginda bersujud di waktu Subuh di atas tanah yang dibasahi dengan air, ertinya bahawa pada malam itu turun hujan sehingga baginda sujud di atas tanah yang berair.
Lailatul Qadr adalah malam dibukanya seluruh pintu kebaikan, didekatkannya para kekasih Allah, didengarkannya permohonan dan dijawabnya segala doa, amal kebaikan pada malam itu ditulis dengan pahala sebesar besarnya, malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Maka hendaknya kita berusaha untuk mencarinya dengan bersungguh-sungguh.
Malam itu tenang dan hening, keadaannya tidak dingin dan tidak panas; siangnya pula memancarkan cahaya matahari yang warnanya pucat; pada malam itu juga malaikat Jibril akan menyelami orang yang beribadat pada malam itu dan secara tiba-tiba kita akan rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak.
Ada pendapat yang berkata, bahawa orang yang menemui lailatul qadar akan melihat nur yang terang benderang di segenap tempat hingga keseluruhan ceruk yang gelap gelita.
Ada pula menyatakan bahawa kedengaran ucapan salam dan kata-kata yang lain daripada malaikat.
Ada juga yang melihat segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah sujud.
Ada yang berkata doa permohonannya makbul.
Fokus umat pada malam tersebut
Lailatul Qadr seperti yang dijelaskan di atas, adalah masa yang paling sesuai untuk mengajukan segala permohonan kepada Allah SWT, apa yang perlu dilakukan pada malam tersebut ialah dengan perkara-perkara berikut:
Menghayati malam tersebut dengan ibadah
Beriman dengan yakin bahawa malam lailatul qadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadah.
Amal ibadah itu dikerjakan kerana Allah semata-mata dengan mengharapkan rahmat dan keredhaanNya.
Kesimpulan, persoalan bila sebenarnya berlakunya Lailatul Qadr, hanya Allah SWT sahaja yang tahu.
Apa yang telah dinyatakan kepada kita melalui hadis-hadis Nabi s.a.w ialah tanda-tanda dan juga malam-malam yang kemungkinan berlakunya Malam al-Qadr.
Berdasarkan hadis Nabi s.a.w menghidupkan 10 malam terakhir dengan beriktikaf, ramai di kalangan ulama' cenderung mengatakan bahawa malam tersebut kemungkinan besar akan berlakunya Malam al-Qadr.
Mengenai cerita pelik yang berlaku, usahlah dijadikan pegangan, oleh kerana para sahabat juga mencari Malam Al-Qadr dengan berdasarkan tanda-tanda yang telah Nabi saw ceritakan kepada mereka. Malah, tidak terdapat sebarang periwayatan mengenai apa yang telah dilihat oleh para sahabat. Maka tidak melihat, tidak bermakna tidak mendapat ganjaran Malam al-Qadr!
Fikir masalah umat ketika sedang beritikaf adalah ibadat
Bukan sahaja melakukan ibadat qiyamullail itu dikira sebagai satu amal ibadat yang baik di sisi Allah SWT, malah memikirkan sesuatu khususnya mengenai masalah yang melanda umat Islam hari ini juga dikira sebagai ibadat yang besar, apatah lagi ketika menjalani proses beri’tikaf dalam masjid pada malam-malam terakhir Ramadan.
Lebih-lebih lagi masalah umat secara global, sama ada keruntuhan moral, perilaku, akhlak di kalangan remaja lelaki mahupun perempuan, masalah krisis keyakinan terhadap Islam di kalangan mereka yang mempunyai profil tinggi dan lain-lain, kesemua itu dapat ditangani jika masing-masing memainkan peranan sebagai hamba Allah yang mempunyai jati diri sebagai orang yang bertakwa seperti yang dituntut dalam ayat mengenai matlamat pelaksanaan ibadat puasa.
Fadilat Lailatul Qadr
Mungkin terdapat sesetengah orang menyangka bahawa mendirikan Qiyamullail pada disepertiga (1/3) malam iaitu dengan hanya bersolat Tarawih (Qiyam Ramadan) berjemaah pada awal malam, iaitu selepas Solat Ba'diyah Isya'. Apakah orang seperti ini mendapat ganjaran atau pahala seperti mereka yang bersolat di malam Al-Qadr (sekiranya berlaku Lailatul Qadr pada malam tersebut)?
Berkata Muhaddis terkenal, Sheikh Nasyirudin Al-Albani (didalam buku Risalah Qiyam Ramadan) :
"Sebaik-baik malam ialah Malam Al-Qadr, kerana baginda s.a.w bersabda :'Barangsiapa yang berqiyam pada Malam Al-Qadr (berjaya mendapatkannya) dengan keimanan dan pengharapan, telah diampunkan dosa-dosa yang telah lalu' - [Hadith riwayat kedua Sheikh dari hadith Abu Hurairah, Ahmad 5/318].
Sementara Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi menceritakan mengenai syarat beramal pada malam Al-Qadr, katanya :
"Membawa kepada apa yang harus dilakukan oleh seorang Islam pada malam tersebut ialah : bersolat Isya' berjemaah, Solat subuh berjemaah dan pada malamnya mendirikan qiyamullail.
Di dalam Sahih diriwayatkan bahawa Nabi bersabda :"Barangsiapa yang bersolat Isya' berjemaah, seolah-olah ia berqiam di separuh malam, dan barangsiapa yang bersolat subuh berjemaah, seolah-olah ia bersolat disepanjang malam tersebut. (Riwayat Ahmad, Muslim dan lafaznya, dari hadis Osman, Sahih Jami' Saghir - 6341).
Dan tujuannya ialah : Barangsiapa yang bersolat Subuh dengan tambahan-tambahan di dalam waktu Isya', adalah sebagaimana yang diriwayatkan di dalam Hadis Abu Daud dan Tirmizi :
"Barangsiapa yang solat Isya' berjemaah bagaikan berqiyam separuh malam, dan barangsiapa bersolat Isya' dan Fajar bagaikan ia berqiyam sepenuh malam (sumber yang sama - 6342)."
Semoga tahun ini kita mendapat rezeki untuk bertemu dengan Lailatul Qadr, iaitu satu malam yang penuh dengan misteri, supaya pahala amalan kita dilipat gandakan oleh Allah dan dikira sebagai amal-amal yang solih
Langgan:
Catatan (Atom)