28 Ogos 2007

Tuan Tabal - Penyebar Thariqat Ahmadiyah pertama di Nusantara

Hubungan Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman al-Kalantani dengan Tuan Tabal yang diriwayatkan sebagai saudara ipar dalam Ruangan Agama, Utusan Malaysia, Isnin, 13 September 2004/28 Rejab 1425H, masih dirasakan perlu diberi keterangan lanjut. Oleh itu pada terbitan kali ini dipilih judul mengenai ulama yang berasal dari Tabal itu. Nama sebenarnya ialah Haji Abdus Shamad bin Muhammad Saleh Tabal al-Fathani al-Kalantani. Sebelum bergelar Tuan Tabal beliau juga pernah digelar Tuan Kutan. Oleh sebab semua tulisan yang meriwayatkan Tuan Tabal sebelum ini tidak pernah menyebut bahawa beliau adalah beripar dengan Syeikh Wan Ali Kalantani, maka sebelum meneruskan riwayat ini dirasakan perlu menulis perbandingan di bawah ini. Para penulis Kelantan selama ini menyebut bahawa isteri Tuan Tabal itu bernama Wan Tsum atau Wan Kaltsum anak Tok Semian. Maklumat daripada keluarga ini di Terengganu menyebut bahawa Tok Semian adalah nama gelar kepada Haji Abdur Rahman. Apabila kita teliti maklumat ini, maka salasilah yang diperoleh dari Terengganu ada benarnya, kerana ayah Syeikh Wan Ali Kutan dan Wan Kaltsum, adiknya memang bernama Abdur Rahman. Cuma ayah Abdur Rahman di sini bernama Abdul Ghafur, sedangkan ayah Abdur Rahman pada konteks isteri Tuan Tabal sebelum ini dikatakan bernama Lebai Muda. Kemungkinan Lebai Muda di sini adalah nama gelar juga bagi Abdur Ghafur pada konteks datuk kepada Syeikh Wan Ali Kutan dan saudaranya Wan Kaltsum tersebut. Penulis meyakini maklumat versi Terengganu ini, namun walau bagaimana pun penelitian tetap masih perlu dijalankan tanpa hentinya. KELAHIRAN DAN PENDIDIKAN Ada pertikaian pendapat tentang tahun kelahiran Tuan Tabal. Yang pertama mengatakan bahawa beliau lahir tahun 1816 Masihi, dan pendapat yang kedua menyebut tahun 1840 Masihi. Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Hassan dalam buku Sejarah Perkembangan Ulama Kelantan menentukan bahawa Tuan Tabal lahir pada tahun 1840 Masihi, yang diikuti oleh Hamdan Hassan dalam bukunya Tarekat Ahmadiyah di Malaysia Suatu Analisa Fakta Secara Ilmiah (DBP, 1990, hlm.72). Disebabkan ada dua pendapat di atas, maka penulis masih ragu dengan kedua-dua tahun yang disebutkan itu. Kedua-dua tahun yang disebutkan penulis-penulis lain tidak menyebutkan tahun Arabiyahnya. Padahal pada zaman itu tidak ada ulama kita mencatatkan tahun kelahiran dan tahun wafat menggunakan tahun Masihi. Pemindahan dari tahun Arabiyah kepada tahun Masihi sering terjadi kekeliruan, sebagai contoh Nik Abdul Aziz dalam buku yang sama tersebut di atas (lihat hlm. 99) menyebut bahawa Syeikh Ahmad al-Fathani lahir tahun 1872, padahal hanya salah menyalinnya sahaja daripada tulisan penulis dalam majalah Dian bil. 49, 1972, yang penulis tulis tahun 1272 Hijrah bukan 1872 Masihi. Tulisan terawal Tuan Tabal ialah Munabbihul Ghafilin yang beliau selesaikan dalam tahun 1285 Hijrah yang jika dijadikan tahun Masihi lebih kurang tahun 1868 Masihi, bererti ketika itu Tuan Tabal baru berusia 28 tahun. Kitab yang tersebut itu walaupun nipis sahaja, namun mencorakkan falsafah mistik peringkat tinggi, yang menurut tradisi ulama dunia Melayu, ilmu tasawuf semacam itu tidak pernah ditulis oleh orang-orang yang berumur 28 tahun. Walaupun mereka menguasai ilmu tasawuf, namun mereka lebih suka menulis ilmu-ilmu yang bercorak zahir saja. Oleh sebab hal-hal yang tersebut di atas tahun 1840 Masihi itu perlu penyelidikan lebih lanjut. Setelah memperoleh ilmu di Patani, Tuan Tabal melanjutkan pelajarannya ke Mekah. Oleh sebab ilmu Arabiyah beliau kurang kemas sewaktu di Patani, beliau diperintah oleh gurunya Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki memperdalam ilmu-ilmu Arabiyah itu daripada Syeikh Ahmad al-Fathani, walaupun Syeikh Ahmad al-Fathani sendiri jauh lebih muda daripada Tuan Tabal. Tuan Tabal lebih muda sedikit umurnya daripada Syeikh Muhammad Zain al-Fathani, ayah kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Mengenai Tuan Tabal belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani itu sangat masyhur diceritakan oleh guru-guru pondok. Juga telah dirakamkan berupa tulisan oleh beberapa orang di antaranya Muhammad Uthman El-Muhammady, Hamdan Hassan (dalam buku yang sama di atas) dan lain-lain. Namun demikian tulisan Hamdan Hassan mengenai kepulangan Tuan Tabal dari Mekah sebelum tahun 1860 Masihi (lihat hlm. 74) masih meragukan. Sebab, dalam tahun 1860 Masihi itu Syeikh Ahmad al-Fathani baru berumur 4 tahun, jadi dalam tahun berapakah Tuan Tabal belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani ? Sebab itu mahu tidak mahu kita terpaksa memilih salah satu daripada dua, iaitu Tuan Tabal benar pernah belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani jauh sesudah tahun 1860 Masihi, atau Tuan Tabal tidak pernah belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani kerana ketika beliau turun dari Mekah pada tahun 1860 Masihi, Syeikh al-Fathani masih kanak-kanak. Penulis tetap masih berpegang kepada cerita yang mutawatir bahawa Tuan Tabal memang pernah belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani, namun yang perlu penelitian ialah tahun-tahun yang bersangkutan dengan Tuan Tabal kerana masih banyak yang diragui. Ada pun tahun-tahun yang melibatkan Syeikh Ahmad al-Fathani mulai lahir, aktiviti kepelbagaian dalam kehidupan dan tarikh wafat semuanya cukup jelas kerana dokumen mengenai beliau memang tercatat secara teratur. Dalam waktu yang sama Tuan Tabal, Syeikh Wan Ali Kutan dan Syeikh Ahmad al-Fathani menerima Thariqat Ahmadiyah daripada Sidi Syeikh Ibrahim ar-Rasyidi. Sidi Syeikh Ibrahim ar-Rasyidi adalah murid kepada Sidi Ahmad Idris, iaitu daripadanya dinisbahkan Thariqat Ahmadiyah yang tersebut. Oleh sebab Tuan Tabal pulang ke Kelantan sedangkan Syeikh Wan Ali Kutan dan Syeikh Ahmad al-Fathani tetap tinggal di Mekah, maka dipercayai Tuan Tabal adalah orang pertama menyebarkan thariqat tersebut di Kelantan dan sekitarnya, atau tempat-tempat lain di Nusantara. Sampai artikel ini ditulis memang belum diketahui orang lain yang lebih awal menyebarkan thariqat itu di dunia Melayu, bagaimanapun penyebaran yang dilakukan oleh Tuan Tabal tidaklah secara besar-besaran seperti yang dilakukan oleh Syeikh Muhammad Sa'id Negeri Sembilan yang muncul agak terkebelakang sedikit daripada Tuan Tabal. AKTIVITI Maklumat mengenai Tuan Tabal, pengamal Thariqat Ahmadiyah yang tersebut dapat disemak daripada surat Raja Kelantan ibnu Sultan Muhammad kepada Syeikh Ahmad al-Fathani tarikh 14 Ramadan 1323 Hijrah, tertulis,''... orang yang dahulu beberapa banyak terima Thariqat Rasyidi, seperti Tuan Haji Abdus Shamad Tabal ...'' Dipercayai beliau telah mengajar thariqat yang tersebut terutama kepada anak-anak beliau. Bagaimanapun pengajaran Thariqat Ahmadiyah yang disebarkan oleh Tuan Tabal bukanlah merupakan pengajian asas. Pengajian yang asas dan pemantapan beliau mula mengajarnya di kampung Kutan, Kelantan, selanjutnya pindah ke Terengganu. Di antara muridnya di Terengganu ialah Bentara Guru Haji Wan Saleh, iaituDato' Bentara Guru Mufti Terengganu. Selanjutnya beliau mengajar pondok di kampung Tempoyak Tabal. Setelah berpindah ke Kota Bharu, Kelantan, pengajaran dan dakwah lebih dipergiatkan lagi. Beliau telah berhasil membangun sebuah surau tempat beribadat dan mendidik umat di Lorong Semian. PENULISAN Karya Tuan Tabal yang telah ditemui ialah: 1. Munabbihul Ghafilin, diselesaikan hari Sabtu, 2 Muharam 1285 Hijrah/ 1868 Masihi. Kandungannya membicarakan tasawuf, merupakan petikan daripada kitab Ihya Ulumid Din dan Masyariqul Anwar. Naskhah yang dicetak berasal daripada salinan anak beliau, Nik Abdullah pada hari Sabtu, 29 Syaaban 1320 Hijrah. 2. Jalalul Qulub bi Zikrillah, diselesaikan pada waktu Zuhur, hari Rabu, 18 Muharam 1287 Hijrah/1870 Masihi. Kandungannya juga mengenai tasawuf. Cetakan pertama oleh Majlis Ugama Islam Kelantan, 29 Zulhijjah 1254 Hijrah/ 1935 Masihi. Cetakan yang kedua, Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, Kelantan. Diberi kata pendahuluan oleh Tuan Guru Haji Nik Daud bin Ahmad Jambu, di Bukit Rahmah Tanah Merah, Kelantan. 3. Kifayatul `Awam fima Yajibu `alaihim min Umuril Islam, diselesaikan 14 Safar 1295 Hijrah/1878 Masihi. Manuskrip kitab ini telah penulis miliki pada 3 Syawal 1411 Hijrah, dihadiahkan oleh salah seorang keturunan Tuan Guru Haji Ahmad bin Abdul Manan (ulama Kelantan murid Syeikh Ahmad al-Fathani). Manuskrip tersebut tidak lengkap dan merupakan salinan yang dilakukan pada akhir bulan Syawal 1321 Hijrah/1903 Masihi. Selain manuskrip penulis juga memiliki cetakan batu yang diperoleh di Senggora (1991). Tempat dan tarikh cetakan tiada tersebut dalam cetakan huruf batu tersebut. 4. Mun-yatu Ahlil Auwab fi Bayanit Taubah, oleh sebab saya tidak dapat merujuk kitab asli, maka tidak dapat memastikan yang mana sebenarnya judul yang betul, apakah seperti yang penulis tulis itu atau yang satu lagi tertulis ``... al-Awbah ...'' bukan `` ... Auwab ...''. Tertulis Auwab berdasarkan senarai tulisan tangan yang penulis peroleh daripada salah seorang keturunan Tuan Tabal, dalam senarai Nik Abdul Aziz juga sama demikian. Yang menulis al-Awbah ditulis oleh beberapa penulis termasuk Hamdan Hassan (lihat hlm. 238). Daripada senarai Hamdan Hassan diperoleh maklumat bahawa kitab ini pernah diterbitkan oleh Mustafa Press, Kota Bharu (tanpa tahun). 5. Bab Harap, dicetak oleh Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, 1359 Hijrah/ 1940 Masihi. 6. Bidayatu Ta'limil `Awam fi Tarafi min Arkanil Islam, tanpa menyebut tarikh. Pernah dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, 1323 Hijrah/1906 Masihi. Cetakan kelima oleh Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu. 7. Manhatul Qaribil Mujib wa Mughnir Raghibin fit Taqrib, diselesaikan pada Jumaat, 10 Zulhijjah 1300 Hijrah/1882 Masihi. Kandungan kitab ini ialah usuluddin, fikah dan tasawuf. Tetapi yang terpenting ialah fikah. Cetakan yang kedua oleh Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, 1354 Hijrah/ 1935 Masihi. Kitab ini adalah karya Tuan Tabal yang paling tebal, 327 halaman menurut ukuran model kitab-kitab Melayu/Jawi. 8. Mun-yatul Muridin fi Ba'dhi Ausafi Saiyidil Mursalin, kitab ini tidak sempat diselesaikan kerana beliau meninggal dunia. Kitab ini pernah diterbitkan oleh Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, 1345 Hijrah/1926 Masihi. Beberapa orang anak dan keturunan Tuan Tabal yang menjadi ulama, di antaranya Mufti Haji Wan Muhammad, Mufti Haji Wan Musa dan lain-lain akan dibicarakan dalam siri-siri berikutnya

MANSUH COMMON LAW GANTI ISLAMIC LAW

Ketika berucap merasmikan seminar mengenai pemikiran ilmiah dan sumbangan Allahyarham Profesor Emeritus Tan Sri Ahmad Ibrahim anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di Petaling Jaya pada 21 Ogos lepas, Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim telah mencadangkan rujukan kepada Common Law Inggeris dimansuhkan daripada undang-undang sivil negara ini kerana ia menggambarkan minda pengamal undang-undang tempatan yang masih terjajah. Beliau juga menegur sesetengah pengamal undang-undang yang terus mengguna pakai Common Law Inggeris dalam kes-kes perbicaraan tertentu. Sambil menyifatkan mereka sebagai ‘katak di bawah tempurung penjajah’, Ahmad Fairuz menegaskan, gejala tersebut tidak seharusnya berlaku selepas 50 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan. Menurut beliau, setelah negara merdeka selama lima dekad, pakar-pakar perundangan tempatan seharusnya sudah mampu mewujudkan undang-undang yang lebih bermutu dan sesuai dengan keadaan semasa. “Sudah 50 tahun kita merdeka, sudah 50 tahun kita terlepas daripada cengkaman penjajah, tetapi Seksyen 3 dan 5 Undang-Undang Sivil 1956 masih kekal dalam perundangan kita. Apakah ini petanda bahawa Common Law Inggeris itu adalah undang-undang yang paling baik di dunia? Apakah ini petanda bahawa pakar undang-undang kita masih di bawah tempurung penjajah?” , soalnya. Katanya lagi, di Malaysia, Common Law Inggeris masih dirujuk dalam kes-kes mahkamah jika tiada akta undang-undang tempatan yang boleh dipakai sebagaimana terkandung dalam Seksyen 3 dan 5 Akta Undang-Undang Sivil 1956. Ahmad Fairuz memberitahu, sudah tiba masanya kedua-dua seksyen tersebut dipinda dengan memansuhkan semua rujukan kepada Common Law Inggeris dan undang-undang serta kaedah-kaedah ekuiti yang ditadbirkan di England [UM 22/08/07]. Sebagai seorang yang telah lama bergelumang dengan undang-undang sekular, pandangan Ketua Hakim Negara di atas mesti diberi perhatian serius dan tidak patut dibiarkan begitu sahaja. Sedikit sebanyak ia mencerminkan perubahan paradigma yang ketara dalam pemikiran seorang profesional dan intelektual, walaupun dalam koridor yang masih sempit. Setidak-tidaknya pandangan tersebut jauh lebih baik dari pandangan golongan ulama dan profesional yang menyeru agar dikekalkan undang-undang British (common law) yang dah lapuk ini. Kita sedia maklum bahawa pandangan sebegini bukanlah suatu yang baru, cuma yang baru di sini ialah ‘orang’ yang bercakap. Walaupun selama ini terdapat begitu banyak suara yang menyeru agar diganti hukum British yang kufur ini kepada hukum Allah, namun, seruan tersebut tidak pernah tersiar di muka hadapan, mahupun muka tengah suratkhabar. Kita berdoa agar seruan (baca: usaha) yang lebih baik dari ini, nanti dilakukan pula oleh golongan yang memegang pemerintahan dan kekuasaan, kerana di tangan merekalah terletaknya kuasa untuk menerapkan undang-undang. Insya Allah perubahan akan lebih cepat berlaku jika yang berusaha adalah mereka yang berkuasa itu sendiri. Jika mereka mengabaikan kewajiban ini (mengubah hukum manusia kepada hukum Allah), mereka perlu ingat bahawa Allah Maha Berkuasa untuk mencabut kekuasaan mereka dalam sekelip mata dan menyerahkannya kepada siapa jua yang Dia kehendaki! Sejarah Penerapan Undang-Undang British Sebelum Tanah Melayu jatuh ke tangan British, kita sedia maklum bahawa Tanah Melayu telah dijajah lebih awal oleh Portugis (1511–1641) dan Belanda (1641–1795). Tanah Melayu juga pernah berada di bawah pemerintahan Jepun untuk sementara waktu. Bagaimanapun, kesemua penjajah ini tidak menerapkan undang-undang mereka secara nyata di Tanah Melayu sehinggalah kedatangan British pada tahun 1796. Sebelum penjajahan British, penduduk Tanah Melayu masih berpegang kepada pemerintahan Islam, walaupun tidak secara keseluruhan. Ternyata, semenjak penjajahan Britishlah Tanah Melayu mula menerapkan undang-undang kufur penjajah. Perundangan kufur Brtitish bermula dengan pengenalan ‘the Royal Charter of Justice’ pada tahun 1807. Charter (Piagam) ini melakar sejarah penting di dalam sistem perundangan Malaysia kerana ia menandakan bermulanya undang-undang berkanun Inggeris di negara ini dan dari sinilah ditubuhkan ‘the Court of Judicature of the Prince of Wales' Island’' (nama lama Pulau Pinang). Kemudian, setelah Singapura dan Melaka jatuh ke tangan British, maka dibentuklah Negeri-negeri Selat (the Straits Settlement) pada tahun 1826, lalu diperkenalkan pula the Charter of Justice yang baru dan diwujudkan sebuah mahkamah baru yang dinamakan ‘the Court of Judicature of Prince of Wales’ Island, Singapore and Malacca'. Dengan ini, penerapan undang-undang kufur British menjadi semakin luas dan rasmi. Walaupun Charter baru telah dilaksanakan, namun pentadbiran undang-undang British masih amat tidak memuaskan. Maka, pada tahun 1855 the Charter of Justice yang ketiga pula diperkenalkan yang membolehkan penstrukturan semula sistem mahkamah. Pada tahun 1867, mahkamah disusun sekali lagi apabila pentadbiran Negeri-negeri Selat telah dipindahkan dari India ke tanah jajahan. Mahkamah baru yang diberi nama ‘the Supreme Court of the Straits Settlements’ ditubuhkan pada tahun 1873 dengan empat orang hakim, kemudian diikuti dengan penubuhan Court of Appeal. Sejak itu, sistem perundangan semakin berubah ke arah bentuk yang lebih moden. Undang-undang Perdagangan British (English commercial law) diperkenalkan secara rasminya melalui Seksyen 6 Civil Law Ordinance 1878 dan masih terpakai hingga sekarang di Pulau Pinang dan Melaka, sebagaimana termaktub di dalam pindaan Civil Law Act, 1956 (Revised 1972). Pada tahun 1937, British mengukuhkan cengkaman undang-undang mereka di Tanah Melayu dengan menggubal Civil Law Enactment 1937 yang berkuatkuasa ke atas Negeri-negeri Melayu Bersekutu (Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan). Setelah Negeri-negeri Melayu Tak Bersekutu (Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu) bergabung membentuk Federation of Malaya pada tahun 1948, British terus membuat pindaan, menjadi Civil Law (Extension) Ordinance, 1951, bagi memastikan undang-undang sivil mereka ini diterapkan di kesemua negeri yang telah bergabung tadi. Ia kemudian diganti dengan Civil Law Ordinance, 1956 dan apabila Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963 (setelah penggabungan Sabah dan Sarawak), Ordinan tersebut ditukar sekali lagi menjadi Civil Law Act, 1956 (revised 1972) berkuatkuasa pada 1 April, 1972 hinggalah sekarang. Adapun common law, secara mudah untuk difahami, ia bermaksud undang-undang yang berasal dari keputusan-keputusan hakim di mahkamah. Dengan kata lain common law adalah undang-undang yang dibuat oleh hakim di dalam kes-kes tertentu yang menjadi ‘precedent’ (duluan) yang mengikat untuk kes-kes selepasnya (prinsip ini juga dikenali sebagai ‘stare decisis’). Common law adalah sebahagian dari undang-undang, walaupun ia bukannya undang-undang berkanun atau bertulis yang digubal oleh Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Yang jelas dan pasti, common law ini berasal dari praktis mahkamah di England berdasarkan amalan dan adat kebiasaan mereka. Ringkasnya, common law merupakan sebahagian dari undang-undang Malaysia (walaupun kes-kes yang dirujuk adalah dari England) dan ia menjadi undang-undang kerana dibenarkan oleh Civil Law Act, 1956 (revised 1972). Wahai kaum Muslimin! Demikianlah sepintas lalu sejarah bagaimana undang-undang kufur British boleh masuk ke bumi Malaysia dan kekal hingga sekarang. Britain sebagai sebuah negara yang berideologi Kapitalis menjajah bukan sahaja Tanah Melayu, tetapi banyak lagi negeri-negeri umat Islam lainnya. Mereka masuk ke tanah umat Islam dan menancapkan sistem kufur mereka ke atas kita. Pada masa yang sama, British juga memasuki Palestin, India, Pakistan serta Bangladesh dan menerapkan undang-undang sekular mereka. Mereka membunuh umat Islam dan mengaut kekayaan di setiap bumi yang mereka jajah. Setelah puas berseronok dan setelah yakin bahawa umat Islam akan tetap mewarisi sistem mereka, mereka lalu menghadiahkan kemerdekaan kepada negara yang berkenaan dengan terlebih dahulu memastikan yang pemimpin (umat Islam) yang mengganti mereka adalah agen mereka atau orang yang sepemikiran dengan mereka. Justeru, kita menyaksikan kini bahawa walaupun penjajahan fizikal telah lama berakhir, pemerintahan yang ada tetap mengekalkan sistem dan undang-undang penjajah. Pemikiran Islam ditanam dan ditimbus sedalam-dalamnya oleh sang kafir penjajah dan terus terkubur hingga kini dari benak pemimpin kaum Muslimin, seolah-olah pemerintahan Islam tidak pernah wujud. Inilah hakikat yang telah dan sedang terjadi. Hanya orang yang bodoh sombong sahaja yang akan menafikan hakikat dan kebenaran ini. Mencampuradukkan Hak Dan Batil? Di dalam cadangannya untuk memansuhkan common law, Ketua Hakim Negara seterusnya menyatakan, sebagai ganti, pengamal undang-undang mungkin boleh merujuk kepada keputusan-keputusan mahkamah di negara ini yang mengikut undang-undang tempatan dan memberi keutamaan kepada keadaan di negeri-negeri di Malaysia. Beliau menambah, mungkin juga sudah tiba masanya untuk memartabatkan undang-undang Islam bukan sahaja dalam perundangan negara tetapi juga perundangan antarabangsa. Sekiranya idea itu diterima, jelas beliau, sudah pasti keharmonian undang-undang sivil dan undang-undang syariah dapat dicetuskan sehingga memberi impak maksimum kepada masyarakat [UM 22/08/07]. Akibat nila setitik rosaklah susu sebelanga. Begitulah keadaannya apabila yang jernih dicampurkan dengan yang keruh dan yang baik dicampurkan dengan yang buruk. Tepatnya, rosaklah kebenaran apabila yang hak dicampur dengan yang batil. Dalam pada kita ingin mengganti common law yang jelas-jelas merupakan undang-undang kufur yang diambil dari England ini, penyelesaiannya di sini bukanlah untuk kita menggantikannya dengan undang-undang tempatan. Jika kita ingin membuang Carslberg, penyelesaiannya bukanlah dengan mengambil Guiness Stout, tetapi ia wajib diganti dengan air bersih yang halal, yang suci lagi menyucikan. Undang-undang yang dibuat oleh British adalah haram bagi kita kerana ia merupakan undang-undang kufur ciptaan manusia. Begitulah juga haramnya bagi kita untuk mengambil undang-undang Malaysia, Mesir, Jordan, Arab Saudi dan sebagainya selama mana ia adalah undang-undang ciptaan manusia. Tidak ada bezanya proses pembuatan undang-undang oleh kerajaan British dengan kerajaan Malaysia, kedua-duanya adalah undang-undang buatan manusia yang digubal atau dibuat dan seterusnya diluluskan dengan mendapat undi majoriti. Begitulah juga kedudukan common law atau undang-undang kes (stare decisis) yang terang-terang terhasil dari produk akal-akal manusia tanpa berpandukan al-Quran dan as-Sunnah sedikitpun. Ya benar, undang-undang Islam perlu dimartabatkan bukan sahaja di dalam negara malah di peringkat antarabangsa, sebagaimana dinyatakan oleh Ketua Hakim Negara. Bahkan ia bukan sekadar perlu, malah wajib! Dan ia wajib diterapkan secara kaffah (sempurna dan menyeluruh) tanpa ada campur aduk dengan undang-undang sivil buatan manusia sedikitpun. Manusia pada hakikatnya langsung tidak ada hak untuk membuat undang-undang. Allah telah menyempurnakan agama ini yang sekaligus bermaksud bahawa Allah telah menyempurnakan segala undang-undangnya. Maha Suci Allah! Allah tidak perlu bersyarikat (bersekutu) dengan manusia untuk membuat undang-undang dan Allah Azza wa Jalla tidak perlu campurtangan dari manusia untuk membuat undang-undang. Undang-undang ciptaan Allah adalah satu-satunya yang hak (benar) dan segala undang-undang ciptaan manusia adalah batil adanya. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala, “...menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah...” [TMQ al-An’am (6):53]. Justeru, di dalam Islam tidak ada konsep ‘mengharmonikan’ undang-undang sivil dan syariah. Hak untuk membuat undang-undang hanyalah di tangan Allah sahaja. Jika kita benar-benar ingin kembali kepada Allah, maka undang-undang Allahlah satu-satunya yang wajib kita ambil dengan meninggalkan segala undang-undang batil ciptaan manusia. Yang hak dan yang batil sekali-kali tidak boleh dimadukan. Apakah seseorang dibolehkan meminum arak, berjudi atau menyembelih babi jika dia membaca ‘Bismillah’ sebelumnya? Apakah seseorang dikatakan mengikut hak apabila selalu menepati waktu di dalam membayar riba? Apakah membahagi harta curi secara adil (sama banyak) kepada 2 orang pencuri dikatakan hak? Apakah sesuatu itu dikatakan hak (kebenaran) apabila membelakangkan ketetapan dari Allah dan RasulNya? Apakah menghukum penzina dengan sebatan 6 kali, denda RM5,000 atau penjara 3 tahun dikatakan hak (benar)? Apakah menghukum 7 tahun penjara bagi sipencuri dikatakan hak (benar)? Apakah mendenda RM2,000 kepada simurtad dikatakan hak? Apakah mencampuraduk atau mengharmonikan undang-undang sivil dan undang-undang syariah di dalam negara bertepatan dengan hak? Apakah bertepatan dengan hak bila dicampur susu dengan arak, kemudian diminum? Apakah ini yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNya? Sedarlah wahai kaum Muslimin, yang hak dan yang batil itu tidak akan bersatu selama-lamanya! Firman Allah, “Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu sedang kamu mengetahui” [TMQ al-Baqarah (2):42]. Kecelaruan dan ketidakjelasan dalam berfikir dan menyelesaikan masalah menyebabkan umat Islam tersadung di tengah jalan. Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala telahpun menurunkan al-Furqan (Pembeza) kepada manusia dan Dia telah menunjuki manusia dua jalan, iaitu jalan baik dan jalan buruk [TMQ al-Balad (90):10] dan tidak ada jalan tengah di antara keduanya. Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memisahkan di antara jalan fajir dan jalan takwa dan mengilhamkannya kepada manusia [TMQ as-Syams (91):8] dan Allah Subhanahu wa Ta’ala juga telah memperjelaskan jalan petunjuk dari jalan yang sesat [TMQ al-Baqarah (2):256]. Oleh yang demikian, satu-satunya jalan petunjuk hanyalah dengan kembali berhukum dengan hukum Allah, bukannya kekal berhukum dengan undang-undang buatan manusia, samada dibuat oleh manusia kafir atau Muslim. Amat aneh apabila seseorang itu ingin menghapuskan undang-undang dan pemikiran penjajah, tetapi dalam masa yang sama menyeru kepada penyelesaian yang diberikan oleh penjajah juga. Hasratnya ingin menghapuskan common law, namun dikekalkan pula undang-undang sivil untuk diharmonikan dengan undang-undang syariah! Hapus Common Law Ganti Islamic Law Wahai kaum Muslimin! Sekiranya kita diajukan persoalan, ‘undang-undang manakah yang lebih baik ataupun terbaik untuk manusia, adakah undang-undang dari Allah Subhanahu wa Ta’ala atau undang-undang ciptaan manusia'? Sudah tentulah kita akan menjawab undang-undang Allah. Demi Allah! Walaupun seluruh manusia dan jin berkumpul untuk membuat undang-undang atau merubah apa yang Allah telah tetapkan, nescaya undang-undang Allah dan apa sahaja yang Allah telah tetapkan untuk manusia, itu adalah yang terbaik bagi manusia untuk selama-lamanya. Oleh itu, jika kita ingin mengganti undang-undang ciptaan manusia yang melingkari hidup kita sekarang, apakah kita akan beralih kepada undang-undang ciptaan manusia juga? Sudah tentu tidak! Oleh itu, satu-satunya jalan keluar dari segala fitnah dan kegelapan ini adalah dengan kembali kepada Kitabullah dan Sunnah RasulNya, bukannya kembali kepada kitab undang-undang dan sistem ciptaan manusia. Inilah perintah dari Tuhan sekelian alam ke atas manusia, firmanNya, “...kemudian jika kamu berbantah-bantah tentang sesuatu, kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (as-Sunnah) jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian...” [TMQ an-Nisa’(4):59]. Wahai kaum Muslimin! Kami ingin bertanya, mahukah kalian jika kehidupan kalian ditentukan sepenuhnya oleh jiran kalian? Sukakah kalian jika yang menetapkan apa yang kalian boleh dan tidak boleh lakukan adalah jiran kalian? Mahukah kalian jika jiran kalian adalah orang yang menentukan halal dan haram untuk kalian? Sudah tentu pelik dan tak masuk akal bunyinya! Tetapi tahukah kalian bahawa inilah yang kalian sedang hadapi sekarang. Kehidupan kalian sebenarnya ditentukan oleh orang-orang yang berdekatan dengan kalian. Mereka adalah orang yang membuat undang-undang untuk mengatur hidup kalian, menetapkan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh kalian lakukan dan mereka menetapkan hukuman bagi orang-orang yang bersalah di kalangan kalian. Mereka adalah orang yang terpilih untuk membuat undang-undang, lalu mereka ke Parlimen atau Dewan Undangan Negeri untuk ‘menentukan’ perjalanan hidup kalian, melalui proses pengundian demi pengundian. Maha Suci Allah! Apakah ini yang kalian inginkan? Bukankah hidup kalian sepatutnya ditentukan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala? Bukankah Allah yang sepatutnya mengatur hidup kalian, dengan hukum dan undang-undang yang datang dariNya? Bukankah Allah yang sepatutnya menentukan halal dan haram, yang boleh dan yang tidak boleh dilakukan, yang menetapkan hukuman bagi pesalah dan yang wajib ditaati? Jadi siapakah yang kalian pilih untuk menentukan hidup kalian, manusia selain kalian atau Allah Subhanahu wa Ta’ala, Pencipta kalian? Allah bertanya, “Apakah hukum Jahiliyyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” [TMQ al-Ma’idah (5):50]. Wahai kaum Muslimin! Satu-satunya jalan untuk menggantikan segala kebatilan hukum ciptaan manusia adalah dengan kembali mengamalkan hukum ciptaan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Kita tidak mahu berhukum dengan common law dan kita juga tidak mahu berhukum dengan mana-mana man-made law, tetapi kita mahu berhukum dengan hukum Allah. Man-made law adalah produk kufur yang lahir dari sistem sekular dan tidak layak untuk umat Islam. Umat Islam adalah umat yang mulia dan terbaik dan status ini hanya dapat dicapai apabila umat Islam itu berhukum dengan hukum Allah. Jika tidak, kehinaanlah yang akan meliputi. Lebih dari itu, Allah mengingatkan kepada sesiapa sahaja yang memegang tampuk pemerintahan tetapi tidak menerapkan hukum Allah, “...dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir” [TMQ al-Ma’idah (5):44]. “...dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim” [TMQ al-Ma’idah (5):45]. “...dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik” [TMQ al-Ma’idah (5):47]. Khatimah Wahai kaum Muslimin! Sesungguhnya suara untuk kembali kepada Islam semakin hari semakin kuat kedengaran dan benteng kekufuran semakin hari semakin meretak. Walaupun ada yang menyeru di jalan yang keliru, namun suara mereka tetap mewujudkan satu gelombang perubahan. Insya Allah, semoga gelombang ini akan mengikuti, berpadu dan menyatu dengan gelombang kebenaran dan akan menghasilkan ombak yang cukup besar untuk menerjah dan seterusnya meruntuhkan segala benteng kekufuran. Sesungguhnya benteng kekufuran itu amat lemah, ia nampak berdiri kukuh kerana selama ini tidak ada ombak yang mendatang. Justeru, ayuhlah wahai saudaraku, kita sama-sama bergabung membentuk satu gelombang kebangkitan yang besar, yang satu sama lain akan saling memperkuatkan. Bergerak dan teruslah bergerak dengan mengumandangkan suara kebenaran, Insya Allah ia akan menenggelam dan melenyapkan semua suara yang batil. Inilah janji Allah Subhanahu wa Ta’ala, “Dan katakanlah: ‘Yang benar telah datang dan yang batil pasti lenyap’. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap” [TMQ al-Isra’ (17):81].

Gejala Merokok Perlu Dibendung Dan Dibanteras.

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya menyokong penuh cadangan pelbagai pihak yang mengesyorkan kerajaan untuk menaikkan harga rokok bagi membendung gejala merokok rakyat Malaysia yang kian parah hari ini. Namun begitu kaedah yang dilihat lebih berkesan adalah dengan mengenakan cukai yang lebih tinggi kepada syarikat-syarikat rokok. Cukai yang diberikan oleh Kerajaan kini perlu dikaji semula kerana kadar ini dilihat jauh lebih rendah berbanding negara jiran yang lain seperti Singapura dan Thailand yang mengenakan 71.5% cukai untuk jualan runcit rokok. Ia juga tidak menepati syor Bank Dunia yang mencadangkan cukai adalah di antara 65% ke 80% untuk membanteras gejala merokok ini. Kadar cukai yang rendah di Malaysia membolehkan syarikat-syarikat rokok menetapkan harga yang murah bahkan boleh pula menurunkannya kepada kadar yang lebih rendah mengikut kehendak pelanggan. Hal ini dilihat menggalakkan para remaja yang merupakan 30 peratus dari jumlah perokok di Malaysia dan golongan berpendapatan rendah untuk mendapatkan rokok dengan harga yang murah. Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan 1995 perlu dikuatkuasa. Selain itu, PMIUM mencadangkan kempen membanteras gejala merokok perlu dilaksanakan secara konsisten dan berterusan serta tidak bermusim. Apa yang perlu ditekankan oleh kerajaan dalam menggerakkan kempen ini ialah dengan menerapkan kefahaman Islam mengenai bahaya merokok kepada masyarakat Malaysia khususnya masyarakat Melayu beragama Islam. Kebanyakan perokok yang beragama Islam berpegang kepada hukum harus atau makruh merokok untuk terus merokok kerana perbezaan pendapat di kalangan ulama silam. Namun perlu dimaklumi bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia kali ke 37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 sebulat suara memutuskan bahawa merokok adalah haram kerana terdapat terlalu banyak kemudaratan yang berpunca dari amalan merokok ini. Hal ini bagaimanapun tidak dikuatkuasakan secara bersungguh oleh jabatan-jabatan agama setiap negeri sehingga menyebabkan fatwa ini hanya tertulis di atas kertas semata-mata. Walaupun terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama’ mengenai hukum merokok namun keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskannya sebagai haram perlu dicermati semua pihak. Perbezaan pendapat yang berlaku dalam menetapkan hukum ini membabitkan ulama’-ulama’ silam yang belum terdedah sepenuhnya dengan perkembangan dan kemajuan sains. Ulama’ silam yang berpendapat hukum merokok adalah harus berhujah bahawa sebarang usaha untuk mengharamkannya perlu disandarkan kepada nas syara’ yang berautoroti dan jelas sedangkan merokok tidak pernah dinyatakan secara jelas oleh mana-mana nas syara’. Oleh sebab itu mereka berpegang untuk mengekalkannya sebagai halal atau harus. Ulama’ yang menghukumnya sebagai makruh pula berhujah bahawa tabiat merokok walaupun diakui mendatangkan kemudaratan namun tiada bukti jelas ia membawa kematian kepada perokok tersebut. Manakala ulama’ yang mengharamkannya pula berhujah bahawa walaupun hukum asal semua benda adalah harus dan halal selagimana tiada dalil syara’ yang mengatakan sebaliknya, namun kaedah yang menyatakan hukum asal bagi semua benda dan tindakan yang memudaratkan adalah haram boleh dikaitkan dengan hukum haram merokok ini. Tambahan pula kajian terkini yang memaparkan bahawa merokok menjadi punca utama kepada kematian dan penyakit-penyakit yang lain menunjukkan hukumnya adalah jelas haram tanpa syubahah berdasarkan banyak bukti-bukti saintifik yang diyakini. Kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa asap rokok mengandungi lebih daripada 4000 bahan beracun dengan pelbagai bahan kimia disedut oleh perokok seperti butana, kadmium, ammonia, benzena, plumbum, arsenik dan banyak lagi. Hal ini menyebabkan 10,000 orang mati setiap tahun dan menyebabkan ratusan ribu yang lain menderita pelbagai penyakit seperti sakit jantung, paru-paru, kanser dan gangguan kardiovaskular. Berdasarkan fakta dan faktor ini Islam tidak dapat berkompromi dengan mengharuskannya kerana ia jelas mendatangkan kemudaratan dan pembaziran bukan sahaja kepada si perokok bahkan juga kepada orang lain. Oleh hal yang demikian PMIUM juga mencadangkan supaya keputusan yang telah ditetapkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1995 dikuatkuasakan secara serius oleh setiap jabatan agama negeri-negeri. Keputusan ini harus diperkasakan dan diambil cakna oleh kerajaan-kerajaan negeri secara lebih serius dan tanggungjawab. Usaha membendung dan membanteras gejala merokok ini tidak dapat dilaksanakan hanya dengan menaikkan harga rokok semata-mata tanpa memberikan kesedaran bahaya merokok menurut pandangan dan hukum Islam semasa. Sistem nilai dan hukum Islam yang memandang buruk tabiat merokok ini dapat membantu kerajaan dalam mengurangkan jumlah perokok beragama Islam di Malaysia yang kini berada pada tahap yang sangat membimbangkan.

27 Ogos 2007

Hayati kemerdekaan melalui khutbah Jumaat

2007 merupakan tahun yang istimewa kerana pada tahun ini genap 50 tahun negara kita menyambut ulang tahun kemerdekaan. Kemerdekaan sesebuah negara adalah sesuatu perkara yang bernilai kerana negara tersebut bebas daripada penjajahan dan penghambaan. Begitu juga Malaysia yang pernah dijajah oleh beberapa kuasa asing selama ratusan tahun telah bebas dan merdeka sepenuhnya pada tarikh keramat 31 Ogos 1957. Kemerdekaan Malaysia memberi dimensi baru kepada ketuanan anak watan dalam mentadbir dan mengurus negara. Jika sebelumnya pentadbiran negara ditentukan oleh kuasa asing, tetapi ia berubah selepas negara kita mencapai kemerdekaan. Warganegara Malaysia sendiri tidak kira bangsa Melayu, India, Cina dan lain-lain bersatu dan berganding bahu mencorak kepimpinan negara. Namun perjuangan menuntut kemerdekaan bukanlah semudah laungan “merdeka” yang dialunkan oleh rakyat Malaysia setiap kali tibanya 31 Ogos setiap tahun. Perjuangan yang melibatkan pemimpin tertinggi negara hinggalah rakyat bawahan disirami air mata, peluh dan darah. Bukanlah mudah membangkitkan semangat rakyat Semenanjung Tanah Melayu ketika itu jika tidak hasil jiwa-jiwa yang kental, sabar, berani dan berwawasan untuk menggerakkan kesatuan dalam menuntut kemerdekaan. Generasi muda sekarang ini perlu sedar tanpa kesusahan generasi dahulu memperjuangkan kemerdekaan negara, maka sudah pasti mereka tidak dapat hidup senang pada zaman sekarang. Jika generasi terdahulu berjuang mendapatkan kemerdekaan, maka generasi sekarang perlu berjuang mempertahankannya. Justeru, cerita tentang sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan perlu dihebahkan terutamanya menjelang bulan kemerdekaan. Ini bagi mengingatkan generasi kini tentang sejarah mulia itu seterusnya menimbulkan rasa sayang dan cinta pada negara. Di Malaysia kita mempunyai saluran yang banyak untuk menyampaikan sejarah kemerdekaan. Di samping media cetak dan elektronik, satu saluran lain yang boleh digunakan ialah melalui khutbah Jumaat khususnya kepada umat Islam. Sempena Ogos bulan kemerdekaan, maka mimbar Jumaat harus memfokuskan tentang skop kemerdekaan negara. Khutbah Jumaat dianggap antara platform terbaik menyampaikan maklumat tentang kemerdekaan negara seterusnya membangkitkan kesedaran dan penghayatan mengenainya. Puluhan ribu umat Islam di Malaysia membanjiri masjid-masjid di seluruh negara untuk mendengar khutbah seminggu sekali itu. Tahun 2007 ini merupakan keistimewaan daripada Allah s.w.t. kerana menyaksikan lima kali Jumaat dalam bulan Ogos dan yang lebih istimewanya ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke 50 pada tahun ini juga jatuh pada hari Jumaat. Adalah dicadangkan bahawa pejuang-pejuang kemerdekaan yang masih hidup diberi peluang berkhutbah menyampaikan pengalaman mereka kepada masyarakat. Ia lebih mempengaruhi hadirin yang mendengar hasil daripada pengalaman sebenar mereka. Ia juga sebagai satu salah satu cara memberikan penghargaan di atas pengorbanan dan sumbangan mereka dalam membebaskan negara daripada penjajahan. Jika tidak semua masjid di Malaysia mampu melaksanakannya, memadailah masjid-masjid daerah ataupun sekurang-kurangnya masjid-masjid negeri. Jika kita tidak melaksanakan cadangan ini sekarang, maka kita tidak lagi berpeluang melakukannya pada masa akan datang. Andai kata mereka yang dianggap memahami dan menghayati maksud menuntut kemerdekaan negara ketika itu (tahun 50-an) berumur lingkungan lima belas tahun ke atas, maka mereka sekarang sudah berumur 65 tahun ke atas. Kita hanya mempunyai beberapa tahun sahaja lagi sebelum generasi tersebut pergi meninggalkan kita. Itupun jika mereka diberi kesempatan oleh Allah s.w.t. untuk terus hidup setahun dua lagi. Isi khutbah yang disampaikan sepatutnya bukan lagi hanya berbentuk teori seperti definisi kemerdekaan atau hukum berjihad menuntutnya. Apa salahnya, khutbah itu berbentuk penceritaan pengalaman menuntut kemerdekaan negara. Ini kerana di sebalik cerita tersebut terkandungnya tuntutan bertakwa kepada Allah dan memerdekakan jiwa daripada penjajahan syirik. Ia juga sudah memenuhi antara rukun khutbah Jumaat yang menuntut hadirin supaya bertakwa kepada Allah s.w.t. Jika ada parut yang tersisa, tangan atau kaki yang kudung akibat berjuang menuntut kemerdekaan, maka tunjukkan. Jika boleh menyebabkan para hadirin menangis kerana mengimbau keperitan menuntut kemerdekaan, maka lakukan. Tujuannya adalah mewujudkan rasa keinsafan generasi sekarang betapa penderitaan generasi pra merdeka semata-mata untuk kesenangan generasi sekarang. Pada 23 Mac 2007 Polis Kelantan mencatat sejarah tersendiri apabila Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi tampil membaca khutbah Jumaat di Masjid Mukim Langgar, Kota Bharu, Kelantan sempena sambutan Ulang Tahun Pasukan Polis Ke-200. Justeru, tidak ada sebab cadangan pejuang kemerdekaan menyampaikan khutbah tidak boleh dilaksanakan. Walaupun teks khutbah Jumaat di bawah kelolaan jabatan agama negeri masing-masing, apa salahnya tahun ini pihak berkenaan mengambil pendekatan yang dicadangkan ini. Namun cadangan ini hanyalah lontaran idea awal dan perlu dihalusi lagi oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab. Janganlah apabila sudah terlewat barulah kita tersedar dan tercari-cari kesempatan yang tidak lagi dapat diperoleh. Hargailah pejuang-pejuang kemerdekaan ini selagi mereka ada. Fikir-fikirkanlah! - IRWAN MOHD. SUBRI ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tajdid Iman: Tanggungjawab membela agama, bangsa perlu diutama

RISALAH Islam lahir membawa idealisme kebebasan menyeru kepada kemerdekaan manusia. Hal ini jelas tersirat dalam ucapan utusan Duta Islam yang membawa watikah kepada Panglima Maharaja Parsi, Rustum. Islam menyeru umatnya berlaku adil sesama manusia terhadap musuh. Khalifah Umar bin al-Khattab pernah memanggil anak Gabenornya, Amru bin al-'Ash ketika itu menjadi Gabenor di Mesir, selepas seorang pemuda Mesir mengadukan perihal kezaliman putera 'Amru yang memukulnya dengan sebatang kayu. Pemuda itu mengadu: “Aku mengadakan perlumbaan dengan anak 'Amru dan aku memenangi perlumbaan itu tetapi dia memukulku sambil berkata: ”Aku adalah anak orang yang paling mulia. ”Akhirnya Khalifah menyuruh pemuda Qibti bangsa Mesir itu membalas pukulan sebagai qisas kepada anak gabenor 'Amru bin al-'Ash itu. Umar mengherdik anak itu dengan berkata: ”Pukullah anak orang yang paling mulia ini. Sejak bila kalian memperhambakan manusia sedangkan mereka dilahirkan dalam keadaan merdeka?” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari) Pembohongan sejarah ditulis orientalis berusaha merosakkan imej Islam dengan pandangan bahawa Islam ditegakkan dengan mata pedang. Padahal peperangan berlaku itu adalah semata-mata gerakan defensif selepas kegagalan dakwah serta ancaman musuhnya. Sudah menjadi Sunnatullah, bangsa pernah lahir di atas bumi ini silih berganti hilang dan timbul. Sesama manusia saling menumpahkan darah untuk mendapatkan kekuasaan dan kekayaan. Alangkah buruknya pandangan yang mengheret Islam bersama dalam kezaliman dan kebuasan perbuatan sesetengah penganut yang tidak memahami ajarannya yang suci. Jangan babitkan golongan radikal Muslim dengan Islam. Mereka mempunyai kepentingan peribadi menggunakan segala cara untuk mencapai cita-cita dengan mengorbankan agama, bangsa dan negara sendiri. Umat Islam sepatutnya menyedari bahaya mengancam mereka. Sampai bila penjajahan tetap ada. Peperangan sengaja dicetuskan atas kepentingan ekonomi. Dengan konspirasi penjenayah perang menguasai dunia saat ini, ramai mangsa terkorban, banyak negara porak-peranda, politik dikuasai anasir jahat hingga memecah perpaduan. Sesungguhnya memerdekakan bangsa dalam konteks membina sebuah kedaulatan bukanlah mudah, apatah lagi menanam patriotisme yang selari dengan ajaran Islam di hati generasi muda. Selagi mereka tidak menjadikan agama dan bangsanya sebagai tanggungjawab bersama, mereka akan mudah dijajah. Kesedaran untuk membela agama dan bangsa ini sepatutnya berakar sebagai satu akidah, kerana Rasulullah menyatakan dalam hadisnya yang bermaksud: “Seseorang datang bertanya kepada Rasulullah SAW: “Siapakah insan yang paling utama? Sabda Rasulullah SAW: Orang mukmin yang berjuang dengan harta dan jiwanya fisabilillah.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim) Suatu ketika dua sahabat alim, warak lagi zuhud berpisah disebabkan pandangan berbeza mengenai tanggungjawab berjihad. Yang satu mempersiapkan bekalannya menuju medan perang bergabung bersama tentera kaum muslimin di sempadan negara. Sahabatnya pula memilih untuk menyendiri di tempat ibadatnya, memperbanyak munajat kepada Allah. Suatu hari dia menerima sepucuk surat daripada sahabatnya yang menegur keutamaan yang silap dan sikapnya mementingkan ibadat peribadi, sedangkan mempertahankan maruah dan kemerdekaan negara adalah lebih besar dan utama. Akibat rasa bersalah, dia pun turut kembali ke medan jihad meninggalkan tempat ibadatnya bagi mendahulukan kepentingan jihad untuk negara. Bagaimana Islam akan menang jika umatnya masih memiliki kepentingan peribadi yang merugikan agama, bangsa dan negara. Dr Yusuf Al-Qardawi menyenaraikan sebab jatuhnya suatu bangsa dalam kitabnya Al-Islam Hadharatul Ghad, antaranya; Sikap menentang perintah Allah dan Rasul-Nya, mengikuti perintah penguasa yang zalim, melakukan kezaliman terhadap orang miskin, melakukan jenayah kotor dan keji seperti kaum Nabi Luth dan kemungkaran dibuat secara terang-terangan dan sedikitnya usaha untuk menghentikannya. Sejarah memiliki mesej tersendiri. Supaya anak bangsa ini tidak mengulangi kesilapan pernah dilakukan bangsa yang pernah bertakhta di dunia. Penulis bertugas di Pejabat Mufti Sarawak

Raja Ali Haji pujangga Melayu termasyhur

MENGENAI Raja Ali Haji sudah cukup banyak ditulis. Tulisan ulama ini yang dimuatkan dalam artikel ini merupakan petikan dan penambahan saja dari buku penulis yang berjudul Perkembangan Fiqh dan Tokoh-Tokohnya di Asia Tenggara, jilid 1. Penulis memulakan kisah ulama ini dengan kalimat berikut, “Ulama yang bermazhab Syafie (pengikut akidah Ahli Sunah wal Jamaah Imam Abul Hasan al-Asy’ari dan pengamal Tarekat Naqsyabandiyah dalam sufiah, yang berasal dari Riau ini) lain pula kepopularannya. “Beliau lebih banyak mengarang di bidang ilmiah-ilmiah lain dari pengetahuan fiqh dan hukum-hukum keislaman, sehingga namanya sangat terkenal dalam bidang bahasa dan kesusasteraan Indonesia dan Malaysia”. Karangan mengenai bahasa Melayu menyerlahkan namanya menjadi tersohor bagi dalam masyarakat Melayu sendiri mahu pun pengkaji-pengkaji bahasa dari kalangan kaum penjajah terutama sarjana yang berasal dari Belanda. Nama lengkap beliau ialah Tengku Haji Ali al-Haj bin Tengku Haji Ahmad bin Raja Haji Asy-Syahidu fi Sabillah bin Upu Daeng Celak, yang lebih masyhur dengan sebutan Raja Ali Haji saja. Beliau dilahirkan di Pulau Penyengat Indera Sakti yang ketika itu menjadi pusat pemerintahan Riau-Lingga-Johor dan Pahang. Raja Ali Haji dilahirkan oleh ibunya, Hamidah binti Panglima Malik, Selangor, tahun lahirnya tercatat pada 1809. Raja Ali Haji mempunyai beberapa orang saudara, semuanya ada 16 orang. Mereka ialah: * Raja Abdul Majid * Raja Abdul Wadud * Raja Haji Umar/Tengku Endut * Raja Haji Ali * Raja Abdullah (Amir Karimun) * Raja Usman * Raja Abdul Hamid * Raja Muhammad Sa’id * Raja Kecik * Raja Shaliha * Raja Fatimah * Raja Aisyah * Raja Shafiyah * Raja Maimunah * Raja Hawi * Raja Maryam Beberapa orang adik-beradik Raja Ali Haji yang tersebut di atas, mahupun keturunan-keturunan mereka yang berperanan dalam masyarakat Melayu akan diceritakan lebih lanjut dalam siri-siri yang berikutnya. Sambungan petikan daripada karangan penulis sendiri dalam buku, Perkembangan Fiqh dan Tokoh-Tokohnya di Asia Tenggara, jilid 1, “Kira-kira tahun 1822 sewaktu ia masih kecil, ia pernah dibawa oleh orang tuanya ke Betawi/Jakarta. Ketika itu orang tuanya, Raja Haji Ahmad, menjadi utusan Riau untuk menjumpai Gabenor Jeneral Baron van der Capellen. Berulang-ulang kali Raja Haji Ahmad menjadi utusan (kerajaan Riau) ke Jawa itu, waktu yang berguna itu telah dimanfaatkan oleh puteranya Raja Ali untuk menemui banyak ulama, untuk memperdalam pengetahuan Islamnya, terutama ilmu fiqh. (Di antara ulama Betawi yang sering dikunjunginya ialah Saiyid Abdur Rahman al-Mashri. Kepada ulama ini Raja Ali Haji sempat belajar Ilmu Falak)”. Selain dapat memperdalam ilmu keislaman, Raja Ali Haji juga banyak mendapat pengalaman dan pengetahuan hasil pergaulan dengan sarjana-sarjana kebudayaan Belanda seperti T. Roode dan Van Der Waal yang kemudian menjadi sahabatnya. Kira-kira tahun 1827/1243H Raja Ahmad pergi ke Mekah al-Musyarrafah, puteranya Raja Ali Haji ikut serta. Raja Ahmad dan Raja Ali Hajilah di antara anak Raja Riau yang pertama menunaikan ibadah haji itu. Raja Ali Haji tinggal dan belajar di Mekah untuk suatu masa yang agak lama. Semasa di Mekah Raja Ali Haji sempat bergaul dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Dalam beberapa bidang keislaman dan ilmu bahasa Arab Raja Ali Haji sempat belajar dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang ketika itu adalah sebagai seorang besar (sebagai Ketua Syeikh Haji dan sangat berpengaruh) di kalangan masyarakat Melayu di Mekah. Ia bersahabat dengan salah seorang anak Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari iaitu Syeikh Syihabuddin bin Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Barangkali ketika itu pulalah Raja Ali Haji sempat mempelawa ulama yang berasal dari Banjar itu supaya bersedia pergi ke Riau, menurut rencananya jika mendapat persetujuan akan dijadikan Mufti di kerajaan Riau. Dalam perjalanannya ke Mekah itu, Raja Haji Ahmad dan puteranya Raja Ali Haji pula mengambil kesempatan berkunjung ke Kaherah (Mesir), setelah itu kembali ke negerinya Pulau Penyengat, Riau. Di kerajaan Riau-Johor pada zaman dulu memang ramai ulama pendatang di antaranya Habib Syaikh keturuan as-Saqaf, Syeikh Ahmad Jabarti, Syeikh Ismail bin Abdullah al-Minkabawi, Syeikh Abdul Ghafur bin Abbas al-Manduri dan ramai lagi. Apatah lagi saudara sepupu Raja Ali Haji yang bernama Raja Ali bin Raja Ja’far menjadi Yamtuan Muda Kerajaan Riau VIII (tahun 1845-1857) menggantikan saudaranya Raja Abdur Rahman bin Raja Haji Yamtuan Muda Kerajaan Riau VII (taun 1833-1845). Apabila Raja Ali Haji pulang dari Mekah beliau disuruh oleh saudara sepupunya itu mengajar agama Islam, (Raja Ali bin Raja Ja’far juga ikut belajar kepada Raja Ali Haji). Agak lama juga Raja Ali Haji terjun ke dunia pendidikan. Dikatakan bahawa beliau telah mengajar Ilmu Nahu, Ilmu Sharaf, Ilmu Usuluddin, Ilmu Fiqh, Ilmu Tasauf dan lain-lain. Raja Ali Haji memang berkemampuan tentang berbagai-bagai ilmu pengetahuan Islam, bahkan beliau memang seorang ulama besar pada zamannya. Ramai murid Raja Ali Haji yang menjadi tokoh terkemuka sesudahnya, di antaranya Raja Haji Abdullah yang kemudian menjadi Yamtuan Muda Riau IX, tahun 1857-1858, Saiyid Syaikh bin Ahmad al-Hadi. Dalam ilmu syariat, Raja Ali Haji berpegang teguh dengan Mazhab Syafie, dalam iktikad berpegang akan faham Syeikh Abul Hasan al-Asy’ari dan Abu Manshur al-Maturidi, sedang dalam amalan tasauf beliau adalah seorang penganut Tarekat Naqsyabandiyah dan mengamalkan Selawat Dalail al-Khairat yang dibangsakan kepada Saiyid Sulaiman al-Jazuli, yang diamalkan secara beruntun sejak datuk-datuknya terutama Raja Haji as-Syahidu fi Sabilillah yang ketika akan meninggalnya masih tetap memegang kitab selawat tersebut di tangannya, sementara pedang terhunus di tangannya yang satu lagi. Sambungan petikan Perkembangan Fiqh dan Tokoh-Tokohnya di Asia Tenggara, jilid 1, “Nama kerajaan Riau-Lingga-Johor dan Pahang bertambah masyhur dengan kemunculan Raja Ali Haji dengan pelbagai karangannya yang bercorak sejarah yang banyak dibicarakan oleh ahli bahasa dan sastera di Nusantara (Indonesia dan Malaysia), bahkan menjadi perhatian yang serius oleh orientalis Barat”. Riau dikatakan sebagai pusat kebudayaan Melayu dan pusat perkembangan ilmu pengetahuan keislaman yang tiada tolok bandingnya di kala itu. Raja Ali Haji sebagai tokoh sejarah, ahli bahasa/sastera Melayu dan yang terkenal dengan “Gurindam Dua Belasnya” banyak dibicarakan orang. Akan tetapi belum begitu popular bahawa beliau adalah seorang ulama besar Islam (dunia Melayu). Tentang penulisan Ilmu Fiqh, Tauhid dan Tasauf Raja Ali Haji bukanlah seorang penulis yang produktif seperti gurunya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Walau bagaimanapun diakui ada karya Raja Ali Haji ke arah itu di antaranya Jauharatul Maknunah. Syair Sultan Abdul Muluk pernah diterbitkan oleh Roorda van Eysinga dalam Tijdshrift voor Nederlandsch-India, IX, 4, 1847M, dan diterbitkan di Batavia 1958 M. Sambungan petikan Perkembangan Fiqh dan Tokoh-Tokohnya di Asia Tenggara, jilid 1, “Tentang karya-karya Raja Ali Haji yang tersebut di atas, penjelasan satu persatu adalah sebagai yang berikut, Gurindam Dua Belas banyak dibicarakan dalam pelajaran sastera. Drs. Zuber Usman dalam bukunya, Kesusasteraan Lama Indonesia, beliau menyalin beberapa untaian gurindam itu. Di antara gurindam fasal kesebelasnya. Dinamakan Gurindam Dua Belas ialah kerana terdiri dari dua belas fasal. Yang terkandung dalam Gurindam Dua Belas ialah perkara yang menyangkut ibadat individu, kewajipan-kewajipan para raja dan sifat-sifat masyarakat, kewajipan orang tua kepada anak dan sebaliknya kewajipan anak kepada orang tua, dan lain-lain. Sutan Takdir Ali Syahbana memuat Gurindam Dua Belas dalam bukunya Puisi Lama, tahun 1969 diterbitkan lagi dengan suatu pembicaraan Drs.Shaleh Saidi tentang gurindam itu. Penerbitannya diusahakan oleh Direktorat Bahasa dan Kesusasteraan, Singaraja. Gurindam Dua Belas pernah dikumpulkan oleh Elisa Netscher dan diajarkan dalam Tijdshrift voor Indische Taal, Land en Volkenkunde No. 2, tahun 1853 dengan judul De Twaalf Spreukgedichten. Bustanul Katibin, ditulis tahun 1267H/1850M, diterbitkan dengan huruf batu (litografi) di Pulau Penyengat Riau. Kandungannya membicarakan penulisan bahasa Melayu, tatabahasa Melayu yang disesuaikan dengan tatabahasa (nahu dan sharaf) dalam bahasa Arab. Bustanul Katibin terdiri dari 31 pasal, tebalnya hanya 70 halaman. Kitab Pengetahuan Bahasa, ditulis tahun 1275 H/1858M, menggunakan nama pengarang pada halaman depan cetakan Al-‘Alim Al-Fadhil Al-Marhum Raja Ali Haji ibni Al-Marhum Raja Haji Ahmad ibni Al-Marhum Yang Di Pertuan Muda Raja Haji Asy-Syahid fi Sabilillah Ta’ala ... , terbitan pertama, penggal yang pertama Matba’ah Al-Ahmadiah, 82, Jalan Sultan, Singapura, 10 Rejab 1348 H/11 Disember 1929. Terbitan kedua telah penulis atau Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, usahakan tahun 1417 H/1996 dengan lampiran Sejarah Ringkas Matba’ah Al-Ahmadiah Singapura dan Raja Haji Umar bin Raja Hasan (Cucu Raja Ali Haji)]. Kitab tersebut adalah kamus bahasa Melayu yang lebih menekankan loghat Melayu Johor, Pahang dan Riau-Lingga. Cetakan pertama setebal 466 halaman, cetakan kedua 483 halaman dengan pendahuluan setebal 32 halaman. Kitab ini tidak sempat selesai, hanya sampai pada huruf (Ca) saja. Tsamratul Muhimmah, judul lengkap Tsamratul Muhimmah Dhiyafatu lil Umara’ wal Kubara’ li Ahlil Mahkamah. Diselesaikan pada hari Selasa, pukul 2, pada 10 Syaaban 1275H/1858M. Tempat diterbitkan ada dinyatakan pada halaman depan Office Cap Gubernement Lingga, 1304 H. Di halaman belakang dinyatakan ‘Tercap di Lingga An Street Printing Office, Muharam 1304H/1886M. Diterbitkan lagi oleh Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, 1420H/1999M (cetakan yang kedua), nombor siri 28 dengan ukuran 20.4 x 13.5 cm, setebal 79 halaman. Kitab tersebut adalah pedoman untuk raja-raja, hakim, menteri serta pembesar-pembesar lain dalam sesuatu kerajaan atau pemerintahan. Salasilah Melayu dan Bugis (No. 6), ditulis pada 15 Rabiulakhir 1282H/1865M. Naskhah asalnya adalah dari Saiyid Syarif Abdur Rahman bin Saiyid Qasim, Sultan Pontianak, bin Syarif Abdur Rahman al-Qadri, bahawa naskhah itu telah ditulis oleh Haji Abdullah anak Khairuddin peranakan Juanah pada tahun 1282H atau 1865M. Diterbitkan buat pertama kalinya (Matba’ah Al-Imam), Singapura, tahun 1329H/1911 M, kemudian diterjemahkan ke bahasa Inggeris tahun 1926 dan dimuat dalam JMBRAS. Pada 1956 diterbitkan di Johor atas perintah Mayor Jenderal Sir Sultan Ibrahim, Sultan Johor ketika itu, dicetak di Pejabat Cetak Kerajaan Johor oleh Markum bin Haji Muhammad Said. Kitab Salasilah Melayu dan Bugis yang ditulis dengan huruf Melayu/Jawi atau huruf Arab dalam bahasa Melayu/Indonesia itu pernah dirumi/latinkan oleh Sasterawan Negara, Arena Wati tahun 1972, diterbitkan oleh Pustaka Antara, Kuala Lumpur (Malaysia) dalam tahun 1973. Kandungan Salasilah Melayu dan Bugis ialah menceritakan asal usul keturunan Bugis di Luwu’ Sulawesi, kemudian kejayaan di dalam pengembaraannya di bahagian Barat Nusantara setelah menghadapi pelbagai tentangan dan peperangan yang sangat hebat dan secara berentetan. Mereka dapat berkuasa di Riau, Selangor, Mempawah, dan tempat-tempat lainnya. Salasilah Melayu dan Bugis adalah sangat penting untuk menyusun sejarah Riau, Kalimantan Barat, Sulawesi Selatan dan Malaysia. Menyusul kitab Tuhfatun Nafis ditulis pada 3 Syaaban 1282H/1865M. Kitab Tuhfatun Nafis dapat dikatakan sebagai kelanjutan dari Salasilah Melayu dan Bugis. Kitab Tuhfatun Nafis adalah yang paling terkenal daripada semua karangan Raja Ali Haji. Kandungannya dimulakan dengan menjelaskan sejarah Singapura, Melaka dan Johor yang kemudian dilanjutkan tentang Riau dikalahkan oleh Belanda. Secara terperinci menguraikan kejadian-kejadian bersejarah mulai tahun 1677M hingga ke tahun disusunnya kitab itu (1282H/1865M). Dipaparkan dengan hebat kisah datuknya Raja Haji putera Upu Daeng Celak sehingga beliau mangkat menemui syahidnya di Teluk Ketapan, Melaka. Kitab Tuhfatun Nafis pernah diterbitkan oleh R. O. Winstedt dalam tahun 1932, dimuat dalam JMBRAS, dalam tahun 1965 oleh Malaysia Publication di Singapura dengan edisi tulisan Rumi/Latin, dan Tuhfat Al-Nafis Sejarah Melayu-Islam merupakan transliterasi oleh Virginia Matheson Hooker diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1991. Bagaimanapun, ada sarjana yang berpendapat kitab Tuhfatun Nafis bukan karangan Raja Ali Haji tetapi karangan ayahnya Raja Haji Ahmad yang terkenal itu. Muqaddimah fi Intizham, judul lengkapnya ialah Muqaddimah fi Intizhamil Wazhaifil Muluki Khushusan ila Maulana wa Shahibina wa Akhina Yang Di Pertuan Muda Raja Ali al-Mudabbir lil Biladir Riyauwiyah wa Sairi Dairatihi, menurut Hasan Junus, ialah sebuah risalah tipis berisikan tiga buah wazifah untuk dijadikan pegangan oleh seorang pemegang kendali dan kemudi negeri ketika mengangkat rencana hukum sebelum menjatuhkan hukuman. Seterusnya Syair Hukum Nikah atau Syair Kitab an-Nikah atau Syair Suluh Pegawai. Mengenai judulnya, Abu Hassan Sham menyebut, “Nama syair ini tidak pernah tercatat sebelum ini, tetapi ini bukan bermakna syair ini tidak disedari oleh sarjana-sarjana Barat. Mereka mengetahui syair ini dengan nama yang lain iaitu Syair Hukum Nikah atau Syair Kitab an-Nikah”. Syair Sinar Gemala Mustika Alam, syair ini pernah diterbitkan oleh Matba’ah ar-Riyauwiyah Pulau Penyengat, tahun 1311H/1893M]. Jauharatul Maknunah, dinamakan juga Siti Shiyanah Shahibul Futuwah wal Amanah ditulis dalam bentuk syair. Kandungannya mengenai pelajaran fiqh, atau pelajaran agama Islam, yang digubah dalam bentuk puisi. Jauharatul Maknunah diterbitkan oleh Matba’ah Al-Ahmadiah, 50 Minto Road, Singapura, pada 7 Muharam 1342H. Jauharatul Maknunah ditashih oleh Raja Haji Abdullah bin Raja Haji Hasan Riau, diterbitkan atas usaha Raja Haji Ali bin Raja Haji Muhammad Riau, Mudir Matba’ah Al-Ahmadiah yang ada hubungan keturunan kekeluargaan dekat dengan pengarangnya, Raja Ali Haji. KETURUNAN Putera/puteri Raja Ali Haji ada 17 orang iaitu: 1. Raja Haji Hasan, 2. Raja Mala’, 3. Raja Abdur Rahman, 4. Raja Abdul Majid, 5. Raja Salamah, 6. Raja Kaltsum, 7. Raja Ibrahim Kerumung, 8. Raja Hamidah, 9. Raja Engku Awan ibu Raja Kaluk, 10. Raja Khadijah, 11. Raja Mai, 12. Raja Cik, 13. Raja Muhammad Daeng Menambon, 14. Raja Aminah, 15. Raja Haji Salman Engku Bih, 16. Raja Siah dan 17. Raja Engku Amdah. Raja Haji Hasan (No. 1) memperoleh 12 orang anak yang terkenal sebagai ulama dan tokoh ialah; 1. Raja Haji Abdullah Hakim, 2. Raja Khalid Hitam, meninggal dunia di Jepun, 3. Raja Haji Abdul Muthallib, 4. Raja Mariyah, 5. Raja Manshur, 6. Raja Qamariyah, 7. Raja Haji Umar, 8. Raja Haji Andi, 9. Raja Abdur Rasyid, 10. Raja Kaltsum, 11. Raja Rahah dan 12. Raja Amimah. Senarai karangan Raja Ali Haji yang telah diketahui adalah seperti yang berikut * Syair Sultan ‘Abdul Muluk, hari Rabu, 8 Rejab 1262H/1846M * Gurindam Dua Belas, tahun 1846M * (Bustanul Katibin lis Shibyanil Muta'allim), tahun 1267 H/1850M * Kitab Pengetahuan Bahasa, tahun 1275 H/1858M * (Tsamaratul Muhimmah), diselesaikan hari Selasa, pukul 2, pada 10 Syaaban 1275H/1858M * Salasilah Melayu dan Bugis, 15 Rabiulakhir 1282H/1865M * (Tuhfatun Nafis), 3 Syaaban 1282 H/1865M * (Muqaddimah fi Intizham) * Syair Hukum Nikah atau Syair Kitab an-Nikah atau Syair Suluh Pegawai * Syair Sinar Gemala Mustika Alam * (Jauharatul Maknunah), dinamakan juga Siti Shiyanah Shahibul Futuwah wal Amanah - Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah

Memanfaatkan keistimewaan Syaaban

Muslim digalak bertaubat mohon keampunan, keredaan pada bulan rahmat SYAABAN adalah antara bulan mulia di sisi Allah. Ia bulan yang membawa keberkatan, nikmat dan kesejahteraan bagi umat Islam seluruhnya. Justeru, Rasulullah banyak berpuasa sunat dalam bulan mulia ini di samping menggalakkan umat Islam melipatgandakan amal ibadat. Mereka tidak mengambil kesempatan untuk beramal ibadat sebanyak mungkin seperti mereka bersungguh-sungguh meluangkan masa untuk beribadat kepada Allah pada Ramadan. Adat Jahiliah dulu, orang Makkah lebih mengutamakan dan memuliakan Rejab dan melupakan Syaaban. Sehubungan itu, Usamah bin Zaid berkata: “Aku bertanya Rasulullah Syaaban kerana aku tidak pernah lihat baginda banyak berpuasa sunat seperti berpuasa dalam Syaaban.” Baginda menjawab: “Bulan yang banyak manusia lalai dan padanya ialah bulan di antara Rejab dan Ramadan. Pada Syaaban akan diangkatkan segala catatan amalan hamba kepada Allah. Dengan itu, aku amatlah suka supaya diangkatkan segala amalanku ketika aku sedang berpuasa. (Hadis riwayat Ahmad dan Nasa’i). Maksud hadis di atas jelas menunjukkan segala amal ibadat setiap Muslim sebenarnya diangkat malaikat pada tiap-tiap hari manakala amal ibadat Syaaban ini bolehlah dikatakan sebagai laporan tahunan yang disediakan oleh malaikat untuk dibawa ke hadrat Allah. Setiap Muslim wajib menginsafi segala gerak geri, tindakan, perkataan, lintasan niat di hati dan sebagainya akan dicatatkan oleh malaikat tidak kira sama ada yang besar mahupun yang kecil. Hal ini amat jelas melalui firman Allah bermaksud: “Dan demi sesungguhnya Kami mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedangkan (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya. Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya dan yang satu lagi di sebelah kirinya. Tidak ada sebarang perkataan dilafazkan (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya). (Surah Qaf, ayat 16 - 18). Oleh itu, setiap Muslim seharusnya menyedari dan menginsafi betapa ketatnya pengawasan Allah terhadap sekalian makhluk-Nya. Maka, dengan menginsafi pengawasan yang datang daripada pihak malaikat iaitu Malaikat ‘Atid dan Raqib di samping pengawasan secara langsung daripada Allah, mudah-mudahan manusia akan mempunyai rasa kesedaran dan keinsafan mendalam untuk menghentikan dan mengakhiri segala amalan buruk dilakukannya dari satu segi dan juga memiliki dorongan dan semangat untuk melaksanakan pelbagai amalan kebajikan dan soleh yang dianjurkan Islam dari satu segi yang lain. Rasulullah adalah contoh teladan umat Islam dalam segala lapangan hidup, maka mereka digalakkan banyak berpuasa sunat Syaaban seperti berpuasa Rasulullah pada bulan itu. Selepas Syaaban akan dituruti pula Ramadan yang diwajibkan kepada umat Islam berpuasa keseluruhannya. Dengan itu puasa Syaaban adalah perintis dan latihan untuk membiasakan diri bagi menunaikan kewajipan berpuasa dalam Ramadan sepenuhnya. Bagi mereka yang sudah biasa berpuasa sudah tentu kurang terasa kepenatan dan tidak pula terkejut serta berasa berat hati untuk berpuasa dalam Ramadan nanti. Selanjutnya, ada banyak hadis yang memberi perangsang kepada umat Islam supaya mengikuti sunnah Rasulullah. Di antaranya, Saidatina ‘Aisyah pernah meriwayatkan bahawa beliau tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa sebulan sepenuhnya kecuali Ramadan, beliau juga tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa hampir sebulan penuh melainkan Syaaban. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Saidatina Aishah pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah pernah berpuasa Syaaban semuanya. (Hadis riwayat Bukhari). Saidatina Ummu Salmah pula berkata: “'aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa dua bulan berturut-turut kecuali Syaaban dan Ramadan. (Hadis riwayat Nasa’i). Berdasarkan himpunan hadis di atas dapat disimpulkan Islam menggalakkan umatnya melaksanakan ibadat puasa sunat dalam Syaaban. Lebih-lebih lagi ibadat puasa adalah suatu ibadat yang sangat dituntut dilakukan dalam Syaaban. Bersesuaian dengan kedudukannya sebagai gerbang Ramadan, bulan ini sudah tentu akan melatih Muslim berpuasa menjelang ketibaan ujian yang berat pada Ramadan nanti. Justeru, ada kalangan ulama berpendapat puasa pada bulan ini disifatkan yang paling afdal atau baik selepas daripada berpuasa Ramadan. Berkenaan kelebihan Nisfu Syaaban iaitu malam pertengahan bulan Syaaban pula kita boleh dapati melalui hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dalam kitab sahihnya, daripada Muaz bin Jabal r a, Nabi bersabda maksudnya: “Allah melihat kepada hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban dan Allah akan memberikan pahalanya kepada seluruh hambanya melainkan mereka yang melakukan kesalahan syirik dan orang berzina.” Dalam hadis lain sebagai mana diriwayatkan Abdullah bin Amru bin al-As bermaksud: “Allah memandang makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban, lalu diampuni dosa hamba-Nya kecuali dua golongan, iaitu orang yang membunuh diri dan orang yang menyebarkan fitnah (Hadis riwayat Ahmad).” Demikian antara himpunan hadis menggambarkan secara umum kepada berkenaan kelebihan Syaaban yang sungguh istimewa ini. Oleh itu, amal ibadat mesti dilipat gandakan seperti diamalkan Rasulullah memperbanyakkan puasa sunat. Yang paling utama sekali, setiap Muslim sewajarnya merebut peluang keemasan yang terhampar pada Syaaban untuk meraih keampunan dan keredaan Ilahi kerana ada hadis menyatakan bahawa Allah sedia memberi keampunan kepada hamba-Nya yang bertaubat pada sepanjang Syaaban yang penuh rahmat itu. Penulis ialah Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Darul Iman Malaysia

PM cadang tubuh Tabung Wakaf Sedunia

GEORGETOWN: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mencadangkan penubuhan Tabung Wakaf Sedunia bagi membantu negara Islam yang miskin dan mundur di seluruh dunia. “Institusi wakaf dan zakat wajar digemblengkan supaya menjadi satu mekanisme penting dalam memaju dan membangunkan umat Islam, terutama sekali untuk membebaskan mereka daripada lingkaran ganas kemiskinan,” katanya. Beliau berkata demikian dalam perutusan buku cenderamata Ijtimak Wakaf dan Zakat Pulau Pinang: Perkongsian Pintar Dengan Negara Asean (IWAZA 2007) di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, semalam. Majlis itu dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin yang mewakili Perdana Menteri. Ijtimak sehari anjuran bersama Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri, USM dan Pusat Urus Zakat (PUZ) Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) turut dihadiri wakil dari Brunei, Singapura, Indonesia dan Thailand. Perdana Menteri juga berkata, institusi wakaf dan zakat di rantau Asean yang berada pada tahap berbeza di setiap negara, perlu dimantapkan supaya lebih berdaya saing. Katanya, Malaysia lebih maju dalam bidang wakaf dan zakat berbanding negara Asean lain, perlu mencari pendekatan terbaik dari segi pengurusan sumber wakaf dan zakatnya. Sehubungan itu, beliau meminta cendekiawan, ilmuan dan ulamak tersohor di negara ini berbincang bagi mengenal pasti pendekatan yang terbaik untuk kepentingan bersama.

Perayaan merdeka perlu diisi secara intelektual

KUALA LUMPUR: Sambutan ulang tahun kemerdekaan negara seharusnya menumpukan program pengisian secara intelektual dan bukan diraikan sebagai perayaan yang diadakan dengan hiburan yang melampau serta berteraskan budaya hedonisme.“Sambutan yang memperlihatkan hedonisme ini seharusnya difikirkan secara serius oleh kerajaan dan pemimpin masyarakat serta keluarga kerana ia turut melambangkan kepupusan semangat nasionalisme di kalangan rakyat. “Usia 50 tahun menjadi tempoh yang penting kepada kita kerana ia membayangkan kedewasaan dan kematangan masyarakat dan bangsa,” katanya pada Forum merdeka: Sembang-sembang Kopi 'O' Nasi Lemak di Rumah Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) di sini, semalam. Hadir sama Ketua Satu Gapena, Tan Sri Prof Emeritus Dr Ismail Hussein; bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Mahadzir Mohd Khir; bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr Abdul Shukor Abdullah; bekas Ketua Pengarah Jabatan Muzium dan Antikuiti, Datuk Dr Adi Taha dan Penolong Setiausaha, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Siri Neng Buah. Mengenai kedudukan bahasa Melayu selepas 50 tahun merdeka, Prof Awang berkata, bahasa itu sebenarnya sudah menjadi sebahagian daripada asas dalam kontrak sosial yang dipersetujui oleh kaum terbesar di negara ini, selain turut terkandung dalam manifesto pilihan raya pada 1955.“Sebagai asas kontrak, bahasa Melayu bukan semata-mata persoalan semasa yang dibincangkan (sebelum merdeka), bahkan kita seharusnya mempertahankannya dan ia tidak boleh diganggu-gugat. “Bahasa Melayu turut melambangkan pendemokrasian pendidikan kerana semua bangsa di negara ini mendapat peluang pendidikan yang sama kerana menggunakan satu bahasa, sekali gus dapat dinikmati oleh semua bangsa,” katanya.

Pelajar India kuasai bahasa Arab ... Pelajar Melayu ????

Penuntut terbaik Kulliyah Perubatan UIAM terpaksa ikuti kelas pada waktu makan tengah hari GOMBAK: Kecederaan tulang belakang yang dialami ketika menjalani latihan penyediaan atlit ke Sukan Komanwel 1998 di Sekolah Sukan Bukit Jalil pada 1997, menyebabkan Shalini a/p Selvarajah terpaksa melupakan hasrat untuk mewakili negara dalam acara gimrama. Walaupun tidak pernah memperoleh sebarang pendedahan asas bahasa Arab, anak bongsu daripada tiga beradik ini nekad menerima tawaran UIAM yang mensyaratkan dia mengikuti kelas bahasa itu sepanjang tempoh lima tahun pengajian dalam bidang perubatan. “Ini kerana pada masa sama, kakak dan abang juga sedang mengikuti pengajian di universiti. Oleh itu, saya tidak sampai hati untuk menambahkan beban ibu bapa dengan memasuki IPT swasta (IPTS). “Apabila memasuki Kulliyah Perubatan di UIAM, saya adalah satu-satunya pelajar yang mengikuti kelas bahasa Arab pada ketika itu. “Berikutan jadual pengajian yang amat padat, saya terpaksa mengikuti kelas bahasa Arab pada waktu makan tengah hari setiap hari. Malah pada waktu cuti, saya tidak pulang ke kampung di Ipoh demi meneruskan pembelajaran itu. “Pada awalnya, memang saya berasa amat sukar dan hampir berputus asa. Namun, saya menguatkan azam serta terus bekerja keras, lebih-lebih lagi apabila melihat pengorbanan ustaz yang begitu komited membantu saya menguasai bahasa Arab. Tambahan pula, lulus bahasa Arab adalah antara syarat untuk tamat pengajian. “Selepas beberapa tahun mendalaminya, ternyata bahasa Arab sungguh indah meski pun susah dikuasai dan tidak dinafikan saya sudah jatuh cinta pada bahasa ini,” katanya ketika ditemui Berita Harian pada Sidang Keempat Majlis Konvokesyen Ke-23 UIAM di sini, semalam. Kegigihan Shalini, 25, terbukti tidak sia-sia apabila diumumkan pemenang anugerah Pelajar Terbaik (Keseluruhan) Kulliyah Perubatan sumbangan Kulliyah Perubatan, dan juga Pelajar Terbaik (Akademik) Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan sumbangan Ain Medicare Sdn Bhd. Malah, beliau juga sudah memulakan tugas di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, sejak awal bulan ini. Sementara itu, pasangan kembar Aidonna Jun Ayub dan Aidonna Jan 23, yang cemerlang dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) masing-masing sudah membina kerjaya sebagai penganalisis di Petronas serta penyelidik di Khazanah Nasional Berhad. Lebih membanggakan, Aidonna Jun yang lebih tua 20 minit daripada Aidonna Jan, menerima tiga pengiktirafan pada majlis konvokesyen kali ini iaitu Anugerah Pelajaran Diraja sumbangan Majlis Raja-Raja, Hadiah Presiden (Pelajar Cemerlang Dalam Aktiviti Kokurikulum Pada Peringkat Antarabangsa) sumbangan UIAM serta Pelajar Terbaik (Keseluruhan) Kulliyah Ekonomi dan Sains Pengurusan sumbangan Kuwait Finance House (M) Berhad.

Ahli panel meninggal ketika Forum Merdeka

KUALA LUMPUR: Seorang ahli panel Forum Merdeka: Sembang-sembang Kopi ‘O’ Nasi Lemak meninggal dunia selepas rebah dipercayai diserang sakit jantung sebaik memulakan ucapan pada forum yang berlangsung selama 50 jam tanpa henti di Rumah Gabungan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) di sini, petang semalam. Setiausaha Sulit Ketua Satu Gapena, Zulkhairi Zainal, berkata Abdul Kadir sesak nafas dan mengulang-ulang perkataan sebaik memulakan ucapan pada sesi ke-24 forum berkenaan, yang bermula Jumaat lalu. “Beliau kemudian diusung ke surau Rumah Gapena. Beberapa peserta termasuk ahli Generasi Profesional & Pewaris Bangsa (Prowaris) cuba memberikan rawatan kecemasan sementara menunggu Persatuan Bulan Sabit Malaysia (PBSM),” katanya kepada Berita Harian. Pembantu Perubatan Ambulans PBSM, Zulafian Mohamed, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.32 petang dan tiba di tempat kejadian, kira-kira 15 minit kemudian. “Sebaik tiba, kami memberi rawatan kecemasan termasuk pertolongan cemas (CPR) tetapi Abdul Kadir tidak dapat diselamatkan,” katanya. Jenazah Allahyarham dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum dituntut keluarganya. Abdul Kadir meninggalkan dua isteri, Rakiah Abdul Rahaman, 50 dan Suzana Mat Deris, 33, serta tujuh anak. Rakan karib Allahyarham, Salleh Mohd Ali, 69, berkata sebelum naik ke pentas forum itu, Abdul Kadir sempat menceritakan kegembiraannya apabila anak bongsunya, Mohd Nasif Nur Iman, 9, dipilih menjalani rakaman dalam satu rancangan di TV9. Allahyarham juga agak keletihan kerana baru saja menguruskan majlis kenduri perkahwinan anak lelakinya di Batu Caves, kelmarin. Forum yang dinaungi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan ditaja Arkib Negara Malaysia itu, bagaimanapun diteruskan dan berakhir jam 10.35 malam tadi, sekali gus dicatat dalam The Malaysia Book of Records.