18 Oktober 2008

Ayah Pin Muncul lagi -Malaysiakini

BESUT: Pemimpin ‘Kerajaan Langit’, Ariffin Mohamad atau Ayah Pin, 68, yang menghilangkan diri selepas perkampungan ajaran sesatnya di Kampung Batu 13, Hulu Besut, dekat sini, dirobohkan pada Julai 2005, dipercayai muncul beberapa kali di situ. Ini berdasarkan dakwaan penduduk berhampiran perkampungan itu yang mendakwa masih melihat Ayah Pin dan ramai pengikutnya, termasuk dari luar daerah itu memasuki kawasan perkampungan berkenaan.Seorang penduduk yang enggan dikenali memberitahu Harian Metro, walaupun tiada lagi replika yang menjadi sanjungan pengikut Ayah Pin seperti telaga zam-zam, kaabah dan bahtera Nabi Nuh serta dewan besar yang menjadi tempat ahli kumpulan berkenaan menjalankan upacara mereka, kawasan itu masih dikunjungi pengikut ajaran sesat berkenaan dari dalam atau luar negeri ini. Menurutnya, dakwaan pemimpin kumpulan itu yang dikatakan sakit dan bersembunyi di lokasi rahsia di negara jiran dipercayai tidak benar. “Saya sendiri pernah melihat Ayah Pin ketika dia balik dan pergi dari perkampungan itu beberapa kali. “Dia tetap balik kerana keluarganya masih tinggal di perkampungan itu, malah saya sendiri pernah bertanyakan keadaan Ayah Pin dengan anaknya selain pernah melihat sendiri ketika dia balik ke perkampungan itu,” katanya.Katanya, hanya penampilan Ayah Pin sekarang sedikit berbeza apabila dia membotakkan kepala.“ Pada Aidilfitri lalu, 200 dipercayai ahli kumpulan ajaran sesat itu serta lebih 10 kereta, termasuk kenderaan mewah dilihat memasuki dan berkumpul di situ.“Cuma bentuk aktiviti dilakukan dalam markas itu tidak pula diketahui selepas replika yang menjadi keagungan ahli kumpulan berkenaan serta dewan besar sudah dirobohkan pihak berkuasa.“Dahulu, upacara seperti ratib kuat dan pemujaan terhadap Ayah Pin dalam perkampungan itu boleh didengari penduduk berhampiran tapi sekarang tidak pula diketahui,” katanya. Penduduk berkenaan berkata, sepanjang kehilangan Ayah Pin, perkampungan yang masih dipagar berduri itu tetap dikawal ketat pengikut kanannya dikenali sebagai Pok Nor dan anak sulungnya dikenali Mamat berusia 40-an.Dia berkata, ada beberapa penduduk yang memang mengenali Ayah Pin mendakwa melihat pemimpin ajaran sesat itu membotakkan kepala dan melarikan diri jika terserempak dengan penduduk kampung. Sementara itu, tinjauan Harian Metro ke perkampungan itu semalam, mendapati kira-kira 10 rumah papan dan separuh batu yang sebelum ini dijadikan tempat tinggal ahli kumpulan itu masih digunakan, malah beberapa kenderaan dilihat selain kelibat kanak-kanak sedang bermain.Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Muhammad Ramli Nuh berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung kemunculan Ayah Pin seperti didakwa penduduk setempat. Katanya, usaha pihak berkuasa agama bagi membantu memulihkan semula akidah dan memberikan pendidikan agama kepada penghuni perkampungan itu tidak mendapat kerjasama menyebabkan tindakan pemulihan sukar dilakukan.Mengenai menempatkan tenaga pengajar di kalangan ulama di kawasan berkenaan bagi memulihkan bekas pengikut ajaran sesat itu, katanya, tindakan terbabit tidak perlu. “Kami sudah melakukan usaha (memulihkan akidah) penghuni perkampungan itu tetapi mereka tidak memberikan kerjasama,” katanya.Ajaran Ayah Pin itu difatwakan sesat oleh Jawatankuasa Fatwa, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu mengikut Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986.

Murahnya Aqidah Umat Islam Masa kini-Malaysiakini

KUALA LUMPUR: Hanya mahu mendapatkan wang mudah, seorang wanita sanggup menjual agama dengan mengisytiharkan dirinya murtad melalui SMS untuk memperdaya orang ramai supaya memberi derma kepadanya. Difahamkan, wanita terbabit menghantar SMS secara rambang kepada pemilik telefon bimbit kononnya terpaksa keluar daripada Islam kerana kesempitan wang dan tekanan keluarga. Melalui SMS yang disebarkan itu, dia cuba menagih simpati orang ramai membantunya menghulurkan wang sara hidup bagi menyelamatkannya daripada memeluk agama lain. Tindakan itu ternyata berjaya memperdaya beberapa pemilik telefon bimbit yang sanggup memberikan wang kepadanya semata-mata bagi menyelamatkan akidahnya. Ini didedahkan Timbalan Pengerusi Pertubuhan Sahabat Insan dan Iman Malaysia (Sidim), Ahmadi Baharudin, selepas menerima aduan berhubung penyebaran SMS berkenaan yang diterima beberapa rakan, baru-baru ini. Menurutnya, wanita terbabit menghantar mesej dengan kata-kata ‘saya kecewa dengan orang kita (Islam) tidak boleh membantu saya yang hidup susah. Tapi bila saya minta wang dari penganut agama ******** mereka cepat membantu. Saya cabar anda untuk bantu saya jika tidak mahu saya keluar agama Islam. “Sebaik membaca SMS itu, saya terkejut dan tak sangka wanita berkenaan sanggup mengugut mahu keluar Islam hanya kerana kesempitan wang,” katanya.Selepas menerima SMS itu, dia cuba membantu, namun wanita itu enggan mengangkat panggilan telefon.“Apa yang pelik, dia menjawab SMS yang dihantar. Melalui SMS yang dibalas, dia memberitahu mempunyai seorang anak dan hidup dalam kesusahan. “Malah, tindakan suaminya menghilangkan diri turut menyebabkan hidup semakin terhimpit,” katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro, semalam.Ahmadi kemudian bertanya mengenai masalah sebenar dan terkejut apabila wanita itu mencemuh dan mempersoalkan Islam. “Dalam SMS itu, dia menyoal mengapa begitu susah untuk mendapatkan bantuan orang Islam sedangkan penganut agama lain mudah memberi bantuan kepadanya.“Dakwanya, dia menemui beberapa orang Islam untuk meminta bantuan, tapi tidak dilayan dan berbeza sekali daripada layanan diterimanya daripada penganut agama ******* yang didakwa lebih prihatin membantunya. “Wanita itu seterusnya mendakwa sedang berurusan dengan seorang pendakwah agama ******* untuk mendapatkan bantuan kewangan,” katanya.Daripada SMS itu juga, wanita itu mencabar Ahmadi dengan menyebut “Kalau betul dan ikhlas membantu dan prihatin sesama umat Islam, bertindaklah segera membantunya sebelum mengambil keputusan keluar Islam dan menjadi murtad.” Wanita berkenaan turut menyertakan sekali nombor akaun bank untuk memudahkan urusan sumbangan kewangan kepadanya kononnya untuk mengelakkannya murtad.Namun, kata Ahmadi, selepas disiasat penghantaran SMS seperti itu satu lagi bentuk penipuan dengan menggunakan agama sebagai modal memperdaya mangsa. “Kejadian itu amat dikesalkan jika individu yang cuba mengutip wang daripada orang ramai itu orang Islam sendiri. Perbuatan itu berdosa besar dan sesat.“Dia tidak sepatutnya mempermainkan agama Islam dan perlu segera bertaubat. Segeralah melakukan solat taubat nasuha dan mengucap dua kalimah syahadah,” katanya.Menurutnya, memeluk agama Islam ialah satu perjanjian atau akad dan seseorang yang sudah berjanji tidak boleh sewenang-wenangnya keluar sesuka hati. ulasan: Betapa mudah dan murahnya aqidah umat islam pada masa kini dengan mudah diperdaya dan ditipu oleh golongan yang jahil murakkab. Nak elak mudah saja, laksanakan islam yang sebenar dalam kehidupan insya Allah selamat.

14 Oktober 2008

Pandangan masyarakat terhadap kegagalan mahsiswa al-azhar-Malaysiakini

Keputusan peperiksaan bagi sesi 2007/2008 kebanyakkannya telah diketahui oleh sebilangan pelajar. Khabar-khabar angin tersebar luas tentang keputusan yang diperolehi tanpa mengetahui sahih atau sebaliknya.
Namun khabar tersebut sudah cukup untuk menggusarkan hati pelajar-pelajar lain yang belum melihat keputusan mereka. Keluhan-keluhan kian kedengaran tanda kerisauan mahasiswa Universiti Al Azhar. Yang pastinya segala penyesalan sudah tidak berguna lagi. Keputusan yang bakal keluar tidak akan dapat diubah melainkan mereka yang masih diberi berpeluang untuk mengambil peperiksaan tambahan yang tertentu.
Pelbagai reaksi dapat dilihat dari mereka yang telah mengetahui keputusan peperiksaan. Wajah ceria sudah pastinya lahir dari mereka yang memperolehi keputusan yang baik. Bahkan begitu juga sebaliknya kepada mereka yang kurang bernasib baik. Lumrah ini sentiasa berulang saban tahun menyaksikan kejayaan dan kegagalan mahasiswa di dalam peperiksaan tahunan. Namun yang pastinya kejayaan dan kegagalan ini akan menjadi buah mulut bagi mereka yang berada di Malaysia terutamanya berita tentang kegagalan.
Situasi peperiksaan di sini memang susah untuk digambarkan kepada mereka yang bukan ahlinya. Selalunya kegagalan mahasiswa Al Azhar menjadi kritikan masyarakat di Malaysia yang mengatakan bahawa ianya berpunca dari kemalasan, kecuaian dan kelekaan pelajar di dalam pelajaran. Bahkan kepada lepasan Al Azhar di Malaysia yang pernah gagal dalam pelajaran di Mesir turut dijadikan hujjah oleh golongan yang berkepentingan, yang kononnya mereka ini tidak perlu disegani oleh masyarakat.
Bagi mereka yang tidak pernah melalui jerih payah pengajian di Mesir, sudah pasti buah mulut akan menjadi lebih enak dan berperisa bila didengari. Inilah yang selalunya didengari sedangkan pada hakikatnya mereka tidak pernah mengalami dan mengetahui keadaan sebenar pengajian di Mesir. Ringkasnya, bahu yang memikul lebih berat dari mata yang memandang.
Justeru itu, setiap kenyataan yang akan dilafazkan berkenaan dengan sesuatu perkara seharusnya dikaji dan dipastikan terlebih dahulu. Kegagalan seseorang di dalam pelajaran bukanlah antara sesuatu perkara yang diharapkan. Mustahil seseorang yang melakukan sesuatu perkara inginkan kegagalan sebagai hasil kerja yang dilakukan. Sudah pasti setiap manusia inginkan kejayaan di dalam setiap perkara. Begitu juga kami, mahasiswa Universiti AL Azhar di Mesir.

Jom Gerakkan BKKIMM Kembali

Antara kesulitan yang dialami oleh persatuan dalam melaksanakan gerak kerja ialah kekurangan tenaga kerja bagi menjayakan projek. Seringkali program-program yang dianjurkan oleh persatuan digerakkan oleh tenaga-tenaga yang sama. Bukan disebabkan oleh ketiadaan pelapis untuk menggantikan tugas, tetapi disebabkan keengganan pelajar untuk menerima tanggungjawab yang diberikan kepada mereka. Sekiranya diteliti dari pelbagai sudut, pasti akan menemui bahawa gerak kerja yang dijalankan dalam persatuan akan memberikan manfaat yang amat berguna. Sebaik sahaja tiba musim cuti, masing-masing selalunya mempunyai agenda tersendiri bagi memenuhi masa yang terluang. Tetapi, selalunya perkara-perkara yang diisi lebih kepada keseronokan dan kepuasan diri dengan peningkatan waktu tidur, berbual kosong, bermain internet atau game, aktiviti sukan yang melampau, travel yang tak berkesudahan dan sebagainya. Sedangkan keterlibatan diri dalam persatuan lebih kepada meningkatkan kemahiran dan jati diri dalam segenap sudut. Di samping melatih diri dalam berorganisasi, bahkan turut menjanakan thaqafah dengan program-program ilmiah yang dianjurkan oleh pihak persatuan. Dengan aktiviti yang lebih kepada kerjasama antara ahli, akan mengeratkan lagi silaturrahim di samping memudahkan gerak kerja dalam menjayakan sesuatu program. Selalunya, kerjasama di dalam persatuan adalah secara berterusan dari bermulanya perlaksanaan sesuatu program sehinggalah ianya berakhir. Sikap tolong-menolong dapat dilihat dengan lebih jelas bahkan turut menghasilkan kemesraan dan suasana harmoni. Ukhuwah inilah yang akan diikat sehingga tamat pengajian dan sudah semestinya akan saling ziarah-menziarahi walaupun masing-masing sudah berumahtangga. Berapa ramaikah yang berani dan tenang apabila berhadapan suatu jemaah? Selalunya diri akan berasa gementar dengan darah yang gemuruh sehingga menyebabkan tubuh bergigil apabila berdepan dengan hadirin yang ramai. Tidakkan dengan melibatkan diri di dalam persatuan akan sentiasa berada di dalam situasai begini? Sudah pasti dengan penglibatan yang berterusan akan berjaya mengikis sedikit demi sedikit ketakutan apabila berdepan dengan hadirin yang ramai. Bak kata pepatah melayu "alah bisa, tegal biasa". Dengan keterlibatan inilah akan menambahkan lagi keyakinan di dalam diri untuk menghadapai sebarang kemungkinan yang berlaku. Oleh yang demikian, jelaslah sebenarnya tenaga mahasiswa di dalam persatuan amat-amat diperlukan bagi meringankan beban yang dipikul oleh sahabat yang lain. Siapa lagi jikalau bukan anda sahaja yang mampu menolong mereka...

BAGI YANG BAKAL KE UNIVERSITI AL AZHAR -Malaysiakini

Kenaikan harga pengurusan Universiti Al Azhar di bahagian pelajar agak mengejutkan warga Malaysia di sini. Dahulunya, institusi inilah yang terkenal dengan pengajian yang termurah dari segi perbelanjaan kemasukan dan belanja tahunan. Masing-masing menganggarkan berbagai tanggapan mengenai sebab-sebab kenaikan yang mendadak ini. Bahkan salah satu akhbar di Mesir mengeluarkan kenyataan tentang sistem pengurusan Al Azhar yang kurang sistematik walaupun telah dinaikkan harga pengurusan. Rungutan pelajar kerap kali kedengaran setiap kali berjumpa rakan-rakan. Masing-masing melahirkan tidak puas hati dengan pengurusan di bahagian pelajar yang masih tergendala walaupun peperiksaan sudah bermula. Ditambah pula dengan gelagat nakal pelajar bangsa arab yang cukup membosankan ketika mereka membuat urusan. Kadang kala penantian seharian untuk membuat kad pelajar menjadi sia-sia walau sudah lama menunggu. Dengan mudah sahaja pegawai terbabit menyatakan "datang esok!". Bukan sekali, bahkan berkali-kali kejadian seperti ini berlaku. Bagi anda yang bukan belajar di sini, pasti susah untuk menggambarkan keadaan yang berlaku, memandangkan pengurusan IPT di Malaysia lebih teratur dan sistematik berbanding pengurusan di sini. Agak tidak melampau jika dikatakan "bagai langit dan bumi" perbandingan pengurusan di sini dengan IPT di Malaysia. Bagi pelajar lama yang sudah bertahun-tahun di sini, kejadian seperti ini adalah perkara biasa. Namun, kenaikan mengejut harga pengurusan bahagian pelajar ini yang dikatakan agak luar biasa berbanding tahun-tahun yang lalu. Walau bagaimanapun, catatan ini bukan untuk melemahkan semangat mereka yang ingin datang ke Mesir. Bahkan ini sebagai persiapan diri supaya anda lebih bersiap sedia dengan kesabaran dan keikhlasan yang tinggi sebelum menjejakkan kaki ke bumi para nabi ini. Mungkin pengurusan di bahagian pelajar agak memboringkan namun, ianya dapat dicari ganti dengan keilmuan para ulamak yang dikagumi bagi mereka yang benar-benar ingin mengaut ilmu pengetahuan di sini. Bahkan lebih ramai lagi ulamak-ulamak di merata-rata tempat yang sanggup mencurah keilmuan mereka secara percuma kepada yang menginginkan. Cuma diri sendiri sahaja penentu sama ada mahu ataupun tidak. Bahkan, sepatutnya bukan nilai harga pengurusan yang tinggi yang patut dijadikan sebagai alasan. Kerana agak berbaloi dengan thaqafah yang dicurahkan oleh pensyarah-pensyarah di kelas pengajian. Yang pastinya, ikhlaskan niat dan kembali kepada matlamat utama anda ke Universiti.

Hikmah Puasa Enam

PUASA enam hari pada bulan Syawal adalah kesinambungan kepada ibadat puasa sebulan yang diwajibkan pada Ramadan.Walaupun tidak berdosa sekiranya tidak dilakukan, tetapi hakikatnya puasa sunat enam hari pada bulan Syawal adalah ibadat yang penuh bermakna, malah ia amalan generasi soleh yang terdahulu.
Nabi s.a.w ada menjelaskan ganjaran kepada mereka yang berpuasa enam hari pada Syawal melalui beberapa hadisnya, antaranya hadis diriwayatkan Muslim yang bermaksud: “Sesiapa berpuasa pada Ramadan, kemudian diiringi dengan (puasa) enam hari Syawal, maka dia seperti berpuasa satu tahun penuh.”Menerusi hadis lain yang dikeluarkan At-Tabrani dengan sanadnya daripada Ibnu Umar r.a, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa pada Ramadan dan diiringi dengan puasa enam hari pada Syawal, nescaya hilang segala dosanya seperti bayi yang baru dilahirkan oleh ibunya.”
Penegasan baginda itu menunjukkan puasa enam hari bulan Syawal amat digalakkan walaupun ia tidak sampai tahap wajib, kerana ganjarannya sangat besar. Nabi s.a.w sendiri menggalakkan umatnya rajin beribadat, dengan ibadat fardu disusuli dengan amalan sunat. Baginda ada menerangkan Allah S.W.T amat suka kepada hamba-Nya yang rajin beribadat, seperti pada hadis berikut:Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah berfirman yang maksudnya: “Sesiapa yang memusuhi wali-Ku, maka sesungguhnya aku mengisytiharkan perang terhadapnya. Dan tiada seorang hamba-Ku yang bertaqarrub (beramal) kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku cintai hanya dari ia menunaikan semua yang Aku fardukan ke atas dirinya. Dan hendaklah hamba-Ku sentiasa bertaqarrub dirinya kepada-Ku dengan nawafil (ibadat sunat) sehingga Aku mencintainya.
Maka apabila Aku telah mencintainya, nescaya adalah Aku sebagai pendengarannya yang ia mendengar dengannya, dan sebagai penglihatannya yang ia melihat dengannya, dan sebagai tangannya yang ia bertindak dengannya, dan sebagai kakinya yang ia berjalan dengannya. Dan jika ia meminta kepada-Ku nescaya Aku berikan kepadanya, dan jika ia memohon perlindungan kepada-Ku nescaya Aku lindungi.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)Jika berpuasa pada Ramadan terpaksa menahan lapar dan dahaga, berpuasa enam hari pada Syawal tidak kurang juga menuntut ketabahan, malah apabila diperhatikan bahangnya lebih terasa kerana ketika berpuasa orang lain ‘berbuka.’
Tetapi sedar atau tidak, ibadat sunat enam hari itu juga adalah penanda aras keimanan dan ketakwaan seseorang terhadap Allah; sanggup berlapar dan dahaga ketika musim orang menikmati aneka juadah, semata-mata kerana menyahut anjuran agama.Menurut ulama, puasa sunat enam hari pada Syawal sebaik-baiknya (lebih afdal) dilakukan berturut-turut, dimulai pada hari kedua Syawal dan diikuti lima hari lagi berturut-turut.
Tetapi jika tidak dapat, boleh dilakukan pada mana-mana hari asalkan masih di dalam Syawal dan boleh dengan tidak berturut-turut asalkan cukup enam hari.Sesetengah ulama pula berpendapat puasa enam itu boleh dilakukan secara berselang-seli atau tidak terus menerus sepanjang Syawal. Ulama juga berbeza pendapat antara puasa sunat enam hari pada bulan Syawal dengan puasa ganti (qada) Ramadan.Pendapat pertama mengatakan tidak dibolehkan niat puasa ganti bersama puasa sunat Syawal. Ini kerana berdasarkan hadis setiap amalan berdasarkan niat.
Sebagai contoh, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam menggariskan adakah puasa enam boleh diniat sekali dengan puasa ganti: ‘Niat puasa enam tidak boleh disekalikan dengan puasaqada.Imam As-Syafi’i (di dalam Kitab Al-Umm) berpendapat dalam mensyarahkan bab ‘setiap amalan dengan niatnya’ bahawa: Hendaklah dibezakan ibadat puasa Ramadan, puasa nazar, puasa kafarah, puasa qada dan puasa sunat.Imam Jalaluddin As-Suyuti (di dalam Kitab Al-Isybah) juga berpendapat hendaklah diasingkan puasa Ramadan atau nazar atau puasa sunat. Namun, seseorang yang berniat puasa qada ketika Syawal boleh juga dikurniakan pahala puasa enam (tanpa menjatuhkan niat itu) mengikut pendapatsebahagian ulama.
’Pendapat kedua mengatakan dibolehkan niat bersama, malah memadai seseorang yang ingin melakukan puasa qada dan puasa sunat enam hari dengan berniat hanya puasa qada pada bulan Syawal. Mereka akan mendapat dua ganjaran sekali gus dengan syarat dia perlu berniat puasa qada terlebih dulu. Ini kerana puasa qada adalah wajib dan puasa enam adalah sunat.Hal yang sama berlaku ke atas solat tahiyatul masjid. Jika seseorang memasuki masjid dan terus melakukan solat fardu, maka dia akan diberi ganjaran dua pahala sekali gus.
Bekas ketua jawatankuasa fatwa al-Azhar, Sheikh ‘Atiyyah Saqr, berkata seseorang yang tertinggal puasa pada Ramadan boleh berpuasa sunat enam hari Syawal dengan niat bersama puasa ganti. Menurutnya, orang yang berpuasa itu akan mendapat ganjaran berganda secara serentak; menggantikan puasa yang ditinggal dan mendapat ganjaran puasa enam hari Syawal.
“Bagaimanapun, dianjurkan seseorang itu menggantikan puasa tertinggal secara berasingan dengan puasa enam hari Syawal (supaya mendapat ganjaran yang lebih),” katanya.Ada juga ulama berpendapat puasa enam seharusnya didahulukan kerana ia hanya boleh diamalkan pada bulan Syawal saja. Bagi puasa qada, ia boleh dilakukan dalam tempoh 10 bulan berikutnya sebelum tibanya Ramadan akan datang.Sesetengah ulama berpendapat, orang yang mempunyai hutang puasa Ramadan hendaklah ‘membayar’ terlebih dulu, kemudian baru dikerjakan sunat puasa enam.
Tidak mendapat sunat puasa enam jika ia juga diniatkan sebagai puasa qada.Perbezaan pendapat itu sudah tentu memberikan pilihan dan ruang kepada umat Islam dalam melaksanakan amal ibadat, sesuai dengan konsep taysir (kelapangan) yang menjadi satu aspek penting dalam syariah, selagi mana tiada larangan terhadapnya.

Panduan Berurusan di Kuliah Universiti Al-Azhar-Malaysiakini

Sesi pengajian baru bagi Universiti Al-Azhar telahpun dibuka dan para pelajar kini sibuk membuat urusan bagi kuliah masing-masing. Bagi panduan mereka yang ingin membuat urusan pendaftaran di kuliah,sila beri perhatian kepada dokumen-dokumen berikut semasa urusan: Pasport beserta salinan-salinan pasport. Gambar sekurang-kurangnya 2 keping. Yuran sebanyak LE67 (jumlah tertakluk kepada kuliah masing-masing) Kad pelajar (kerneh) yang lama. Borang pengesahan perubatan (kasyfu tibb)- hanya kepada sesiapa yang bermusafir keluar dari Mesir. Ketua Badan Pendidikan dan Komunikasi Bahasa PMRAM, Ustaz Mohammad Azizudin Aznan dalam kenyataannya menasihati para pelajar agar mula membuat urusan sekarang. Beliau juga meminta kepada ahli agar mendapatkan surat pengesahan keputusan peperiksaan (kasyfu natijah). "Sekiranya mempunyai sebarang masalah berkenaan surat pengesahan keputusan dengan bahagian urusan kuliah, sila dapatkan surat dari pihak kedutaan," tambah beliau.

13 Oktober 2008

sebab shah rukh khan dapat Datuk

MELAKA 12 Okt. – Penganugerahan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk kepada pelakon Bollywood, Shah Rukh Khan adalah berdasarkan sumbangannya mempromosi negeri ini melalui filem lakonannya yang ditonton jutaan peminat seluruh dunia, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam. Beliau berkata, Shah Rukh Khan pernah datang ke Melaka membuat penggambaran filemnya bertajuk One Two Ka Four di A Famosa Resort, Alor Gajah beberapa tahun lepas. “Salah satu lagu dalam filem berkenaan dibuat penggambaran di A Famosa Resort, Alor Gajah. Ini telah menyebabkan jutaan orang yang menonton filem itu mengenali Melaka,” katanya. Beliau bercakap kepada pemberita selepas istiadat penyampaian anugerah darjah, tauliah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka sempena ulang tahun ke-70 hari jadi Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, semalam. Shah Rukh Khan yang dilahirkan di New Delhi pada November 1965, adalah antara 758 penerima anugerah darjah, tauliah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka tahun ini. Tarikh penyampaian anugerah kepadanya belum ditetapkan lagi. Mohd. Ali berkata, penganugerahan DMSM kepada Shah Rukh Khan adalah pelaburan yang mendatangkan banyak keuntungan balik kepada Melaka dari segi promosi secara percuma tanpa melibatkan wang. “Kalau kita hendak buat promosi Melaka secara sendiri melalui sesuatu filem yang ditonton jutaan orang di seluruh dunia tentu kosnya bernilai beratus juta ringgit,” katanya. “Melaka mempunyai banyak tempat pelancongan menarik seperti Sungai Melaka, Menara Taming Sari, Eye On Melaka dan tempat-tempat bersejarah yang menarik untuk filem seperti filem Hindustan. Kawasan lain di dunia pernah ditonton oleh orang ramai tetapi Melaka belum ditunjukkan secara menyeluruh,” katanya. Mohd. Ali berkata, bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin mencadangkan kepada Mohd. Khalil supaya pelakon Bollywood itu diberi anugerah bagi membantu Melaka menjadi terus popular lebih-lebih lagi selepas Melaka mendapat pengiktirafan Bandaraya Warisan Dunia daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

AL-KISAH DATUK SHAH RUKH KHAN

BERKOCAKLAH sedikit meja hiburan apabila Shah Rukh Khan dianugerahkan gelaran 'Datuk'. Yang tanya itu pun bukan kalangan artis tetapi pembaca setia akhbar Berita Harian khususnya yang gemarkan ruangan sisipan Hip. Mereka bertanya teman, apa kesnya Shah Rukh Khan dianugerahkan gelaran tinggi itu. Kata kalangan ini lagi, apakah sumbangan aktor terkenal Bollywood itu dalam dunia hiburan kita sehingga melayakkan dirinya untuk bergelar ‘Datuk’? Kalau setakat gemar datang Melaka, kata mereka, rasanya artis kita pun ramai yang gemar pergi Melaka, makan ikan bakar, melawat A Farmosa dan tempat bersejarah di Melaka. Maksud mereka, biarlah alasan untuk memberi anugerah itu nampak logik dan bukan jadi bahan senda dan ketawa masyarakat. Mereka juga berpendapat ramai lagi artis kita yang layak diberi anugerah itu seperti Ratu Jazz Sheila Majid, aktres tersohor negara Azean Irdawaty dan juga sifu muzik M Nasir. Mereka juga bimbang kalau aktor seperti Shah Rukh Khan pun mesti dipanggil ‘Datuk’, barangkali tak mustahil Amitabh Bachan pula akan dapat gelaran ‘Tan Sri’ atau pun ‘Tun’. Teman katalah juga, nak dapat gelaran ‘Tan Sri’ atau ‘Tun’ perlu jadi ‘Datuk’ dulu. Tetapi kata mereka, dalam situasi sekarang ini macam-macam boleh berlaku macam cempedak tiba-tiba jadi nangka! Kalau tanya teman, memanglah tak ada jawapannya kerana pertamanya bukan teman yang bagi gelaran itu dan keduanya bukan hak teman nak tentukan siapa layak dan siapa pula yang tidak. Bukan kerja teman pun. Itu kena tanya pihak yang beri gelaran itulah. Tetapi teman faham benarlah sentimen kalangan yang bertanya soalan itu kerana kalau ikutkan siapalah Shah Rukh Khan itu. Bukan rakyat Malaysia pun. Bukan macam Michelle Yeoh yang juga dianugerahkan dengan gelaran ‘Datuk’. Pelakon yang semakin galak mencipta nama di Hollywood itu sekurang-kurangnya anak kelahiran Ipoh, Perak. Shah Rukh Khan? Barangkali dia sekadar menjadi minat mereka yang kaki wayang Hindustan dan kegilaan gadis remaja dan wanita separuh umur yang berpendapat dia seorang aktor yang kacak gila. Faktor kacak ini pun subjektiflah kerana ada yang kata tak handsome manapun Shah Rukh Khan itu. Rupanya lebih kurang macam pekerja Bangla. Jadi, kalangan yang tak sependapat dengan mereka yang mengatakan pelakon itu kacak, naik hairan apabila ada yang tergila-gilakannya. Itu teman tak masuk campurlah. Suka hatilah kerana cita rasa masing-masing. Kalau ikutkan mata teman, aktor Hollywood, Brad Pitt paling kacak. Suatu ketika dulu Robert Redford dan Michael Douglas. Bagaimanapun tetap kacak di mata teman adalah Rosyam Nor walaupun ada yang kata Rosyam sudah tak handsome. Tetapi bagi teman dia tetap handsome. Sekarang lagilah nampak kacak sebab perangai dan budi pekertinya memang terpuji. Berbalik kepada soal gelaran tadi, hakikatnya begitulah dalam tempoh 10 tahun ini. Gelaran ‘Datuk’ dan ‘Datin’ sudah menjadi begitu lumrah dan bunyi murah pula sehinggakan ada yang kata kalau baling batu, pasti ada yang terkena kepala si Datuk dan si Datin. Bagaimanapun teman begitu pasti ada yang tidak sependapat kerana bagi sesetengah orang gelaran itulah yang menjadi laluan mudah untuk banyak perkara terutama soal pengaruh, kuasa, imej dan bisnes. Kalau dulu orang tak berapa hendak peduli tetapi dengan gelaran, orang pasti buka mata. Ya Datuk, Ya Datin! Kebanyakannya dapat layanan VIP. Duduk pun di main table saja. Tak payah beratur, semuanya dapat laluan istimewa. Ibaratnya macam hari-hari lalu red carpet! Tetapi bagi teman, gelaran itu tentunya datang dengan tanggungjawab. Tanggungjawab untuk memastikan perilaku yang mulia agar setanding dengan gelaran yang digalas itu. Ia bukan sangat soal hendak dapat layanan VIP atau duduk di main table saja dan menaiki kereta atau rumah mewah. Sudahlah teman pun tak hendak mengomel panjang mengenai perkara ini bimbang nanti ada yang sensitif pula. Atau ada yang akan kata, teman ni bunyinya macam anggur masam kerana tak dapat gelaran apa-apa. Hakikatnya kalau Aiman tak kisah, teman pun tak kisah juga mengenai gelaran kerana teman lebih senang dengan kehidupan teman yang santai bersahaja. Nak naik teksi pun tak siapa nak peduli!

PRODUK MESIR

SEBUT saja Mesir, ramai yang terbayang atau teringatkan Piramid, Firaun dan Universiti Al-Azhar. Piramid dan Firaun sejak sekian lama menjadi kebanggaan dan 'eksport' terkenal Mesir manakala Universiti Al-Azhar pula adalah institusi pengajian tinggi terulung yang banyak melahirkan ulama terkenal dunia.
Sejarah ketamadunan kuno yang lahir di Lembangan Sungai Nil di Kaherah itu menjadikan Mesir destinasi pelancongan yang menjadi tarikan sejak sekian lama. Piramid di Giza adalah antara tarikan paling popular, hanya kira-kira 25 kilometer dari bandar raya Kaherah yang dianggarkan didiami 22 juta penduduk. Giza menempatkan dua bahagian monumen dengan kumpulan pertama dikenali dengan tiga piramid utama iaitu Khufu, Khephren dan Menkaure serta Sphinx, patung singa berkepala manusia yang terletak berhampiran tiga piramid besar di situ. Kumpulan kedua ialah tanah perkuburan untuk rakyat zaman Mesir kuno daripada pelbagai keturunan yang diperbuat daripada batu batan sedia ada di kawasan itu, berbanding batu kapur yang dibawa dari kawasan lembangan sungai dan digunakan untuk membina piramid untuk raja mereka. Pengunjung bukan saja boleh memilih untuk menempuh panas terik matahari dan melawat semua piramid di Giza pada waktu siang, malah mereka juga boleh menonton pertunjukan cahaya dan bunyi yang diadakan saban malam di kompleks piramid itu. Bagaimanapun, untuk mengetahui sejarah tamadun kuno dan pemerintahan bermula daripada pemerintahan firaun pertama dari 3050 sebelum Masihi hingga ke pemerintahan dinasti ke-30, 343 tahun sebelum Masihi iaitu sebelum Mesir jatuh ke tangan pemerintahan Parsi, pelancong perlu melawat Muzium Mesir yang terletak di Dataran Tahrir, Kaherah, yang menempatkan artifak pemerintahan Mesir kuno termasuk makam firaun Tutankhamun, satu-satunya makam firaun paling lengkap yang berjaya diselamatkan daripada pencari harta karun. Pengunjung hanya perlu membayar LE20 atau RM12.50 untuk tiket masuk melihat pameran di situ, selain membayar LE40 (RM18.75) jika mahu melihat mumia firaun yang ditempatkan di muzium itu. Bagi memahami sejarah Mesir kuno dan pemerintahan firaun, pengunjung boleh mendapatkan khidmat pemandu pelancong bertauliah di luar muzium yang akan menerangkan mengenai sejarah Mesir kuno kepada pengunjung. Bagaimanapun, jika pengunjung mahu mendapatkan penerangan yang lebih baik serta tanpa kesukaran memahami penerangan pemandu pelancong di muzium berikutan loghat bahasa Inggeris yang agak sukar difahami, mereka boleh mendapatkan perkhidmatan sama melalui ejen pelancongan. Selain menempatkan makam dan keranda yang dibina sebelum satu-satu firaun mangkat, muzium itu juga menempatkan pelbagai jenis patung pemerintah Mesir zaman silam yang diukir dengan teliti dan masih dalam keadaan asal. Ia juga menempatkan perkakasan, perhiasan diri dan peralatan yang diguna pakai masyarakat Mesir kuno. Secara keseluruhan, Mesir, sebagai sebuah negara Afrika, menjadi tumpuan negara sekitarnya. Walaupun iklim padang pasir mungkin sedikit panas berbanding iklim Khatulistiwa dan Tropika, kedudukan Kaherah di tebing Sungai Nil menyebabkan cuaca panas seperti tidak terasa. Seperti bandar raya lain, kehidupan malam di Mesir juga menyeronokkan. Pengunjung boleh menikmati tarian gelek di restoran seperti di hotel penginapan atau mana-mana restoran terkenal atau berjalan menyusuri kota lama dan melihat kehidupan dan kebudayaan penduduknya. Kedudukannya di tebing Sungai Nil juga dimanfaatkan dengan restoran seperti bistro yang menjadi pilihan bukan saja rakyat tempatan malah pengunjung asing ke negara firaun itu. Kebanyakan rakyat Mesir berbangga dengan tradisi dan kesenian nenek moyangnya dan tidak hairanlah kraftangan menjadi eksport utama negara itu. Antara tempat yang boleh dikunjungi termasuk Rumah Harawi (Mansion Harawi) yang menawarkan pengalaman menarik termasuk melihat sendiri seni bina zaman dulu rumah orang berada di Mesir, lengkap dengan harem atau bilik yang terlindung untuk membolehkan kaum wanita menonton persembahan atau sebarang acara yang diadakan di laman di perkarangan rumah, tanpa dilihat lelaki bukan muhrimnya. Di rumah itu juga seni muzik Mesir diperdengarkan, ukiran lama dipulihara dan kraftangan Mesir dihasilkan, untuk mengekalkan kesenian masyarakat itu. Pengunjung yang gemar membeli-belah pula, boleh mengunjungi bazar El Fishawy yang terletak kira-kira satu kilometer dari Rumah Harawi. Bazar yang terkenal dengan pelbagai kraftangan, makanan, pakaian, perhiasan diri dan permaidani serta pelbagai perkakasan lain itu dibuka sepanjang hari dan menjadi tumpuan bukan saja pelancong asing, malah penduduk tempatan membeli-belah. Peniaga yang ramah, terus memanggil sebaik melihat wajah penulis yang dikenali berasal dari Malaysia, cuba menjual pelbagai barangan pada harga yang perlu ditawar jika tidak mahu tertipu. Di tengah-tengah selirat laluan dan jualan itu terdapat beberapa kedai kopi dan restoran termasuk Kedai Kopi Nagiub Mahfouz, penerima Hadiah Nobel untuk kesusasteraan untuk 1988 yang berasal dari Mesir. Negara yang terkenal juga dengan produk pertaniannya itu kaya dengan pelbagai jenis buah-buahan yang selalunya kita peroleh dalam bentuk kering seperti kurma, buah fig dan pic, selain buah mangga yang dihidangkan sebagai jus mangga yang pekat, manis dan menyegarkan. Berikutan kedudukan Mesir di antara Afrika, Eropah dan Timur tengah, makanannya mempunyai pengaruh Meditterranean, Timur Tengah dan Afrika dengan daging menjadi hidangan utama. Taman Azhar yang terletak di tengah-tengah bandar raya lama Kaherah menjadi tarikan pelancong dengan taman yang membolehkan pengunjung mengimbas semula taman pada zaman pemerintahan Mesir kuno. Di taman ini juga terdapat Tembok Ayyubid yang dibina pemerintah Mesir, Salah El Din atau Saladdin, lebih 800 tahun lalu.