01 Mac 2008

Tugasan Kepimpinan Bukan Penghalang Untuk Talaqqi

Ketua Badan Komunikasi dan Bahasa Arab PMRAM, saudara Khairul Anuar Ismail berpendapat bahawa kesibukan dalam melaksanakan tugas sebagai pimpinan bukanlah penghalang kepada mereka bagi menuntut ilmu di luar kuliah (talaqqi). Beliau menyatakan demikian sewaktu menjadi panel slot talkshow yang bertajuk “PMRAM: Dulu, Kini dan Selamanya”. Beliau turut memberikan contoh bahawa Presiden PMRAM, saudara Hairul Nizam Mat Husain sendiri tetap menghadiri kelas pengajian di Masjid Al-Azhar walaupun beliau merupakan orang nombor satu dalam persatuan induk ini. Pandangan saudara Khairul Anuar itu turut disokong oleh saudara Fakerei Mahyudin, salah seorang anggota Lembaga Penasihat PMRAM yang turut menjadi panel di slot talkshow itu. Beliau menyatakan bahawa pimpinan seharusnya menguasai segenap ilmu kerana mereka pasti dijadikan rujukan oleh ahli. Beliau turut memberikan contoh, beliau sendiri sebelum dilantik sebagai Badan Pengurus sebelum ini, beliau bukanlah orang yang gemar membaca buku yang berkaitan isu semasa, politik dan ekonomi. “Tetapi, apabila kita berada di atas, kita akan dijadikan rujukan oleh ahli yang berada di bawah,” jelas beliau.

Genggam Bara, Memugar Satu Kebersamaan

Lajnah dan Unit Perancang dan Panitia PMRAM 2007 telah menganjurkan program Genggam Bara 2007. Program rutin saban tahun bagi para AJKT BKAN dan DPM ini telah berlangsung selama dua hari bermula pada 24 dan 25 Februari. Ia turut diadakan di dua tempat berasingan iaitu hari pertama di Rumah Kelantan Baru dan hari kedua di Dewan Solah Kamil, Universiti Al-Azhar Hayyu Sadis. Program yang bertemakan Kita PMRAM itu dihadiri lebih 200 orang peserta yang semuanya adalah pimpinan di BKAN dan DPM masing-masing. Program ini juga adalah antara program PMRAM yang terakhir sebelum berlangsungnya Muktamar Sanawi PMRAM pertengahan Mac nanti. Presiden PMRAM, saudara Hairul Nizam Mat Husain telah sudi merasmikannya.Pada hari pertama, ia dimulakan dengan majlis perasmian sebaik sahaja para delegasi memenuhi Rumah Kelantan Baru lebih kurang jam 9 pagi dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang dibacakan oleh saudara Husni Ali Hasan. Dewan Tok Kenali penuh sesak dengan kehadiran para delegasi hingga melimpah ke Maktabah Darul Ulum dan tingkat bawah RKB. Ia kemudian disusuli dengan ucapan alu-aluan pengarah program yang juga pemangku Ketua Lajnah Perancang dan Panitia PMRAM, saudara Mohd Firdaus Madzlan sebelum Presiden PMRAM, saudara Hairul Nizam Mat Husain menyampaikan ucapan seterusnya merasmikan program. Setelah itu, majlis diteruskan lagi dengan pembentangan Etika dan Gerak Kerja PMRAM hingga jam 12 tengah hari. Pada hari kedua,majlis dimulakan dengan Forum bertajuk Menyelusuri Sejarah Kita yang membariskan dua panel yang tidak asing lagi iaitu anggota Lembaga Penasihat PMRAM, saudara Mohd Hafiz Mansor dan saudari Dayang Noraini dan dipengerusikan oleh Ketua Unit Kebajikan dan Tabung Derma HEWI PMRAM, saudari Herlina Syarial. Pada hari ini turut diadakan dua Gerak Kerja Berkumpulan (GKB) yang mana para peserta telah dipecahkan beberapa kumpulan manakala Badan Pengurus dan HEWI bertindak sebagai fasilitator. Pada program kali ini turut menarik perhatian para peserta sewaktu makan tengah hari kerana makanan dihidangkan secara buffet. Kemesraan antara peserta dan pimpinan jelas kelihatan sewaktu para peserta beratur untuk mengambil makanan, kelihatan para anggota Badan Pengurus PMRAM membantu para peserta mengambil makanan. Para peserta juga berkesempatan berdialog bersama pimpinan mereka dalam slot “Dialog Perdana bersama Kepimpinan PMRAM” yang turut dihadiri oleh sekalian anggota Badan Pengurus dan Hewi kecuali Presiden PMRAM yang menghadiri kelas wajib M.A beliau di Universiti Al-Azhar. Para peserta tidak melepaskan peluang dengan mengajukan pelbagai persoalan dalam dialog yang dipengerusikan oleh Setiausaha Agung PMRAM, saudara Mohd Syafiq Zulakifli.Sejurus solat Asar, para peserta mengikuti slot Talkshow yang membincangkan tajuk “PMRAM: Dulu,Kini dan Selamanya” yang membariskan dua anggota panel iaitu saudara Mohd Fakerei Mahyudin, anggota Lembaga Penasihat dan saudara Khairul Anuar Ismail, Ketua Badan Komunikasi dan Bahasa Arab manakala talkshow ini dikendalikan Muhammad Abdul Malik Abdul Karim dan saudari Nur Mazni Ahmad Fauzi.Pada sebelah petangnya, satu slot Muhasabah antara PMRAM dan BKAN serta DPM telah diadakan yang telah dikendalikan oleh saudara Mohd Firdaus Madzlan selaku pengarah program. Dalam program ini para peserta turut diperdengarkan lagu PMRAM yang telah diubahsuai mengikut rentak baru yang lebih bersemangat. Sejurus tamat slot muhasabah ini diadakan majlis penutup. Pada majlis ini, semua Yang Dipertua BKAN, Pengerusi DPM dan ketua HEWI BKAN masing-masing telah berdiri di hadapan para peserta bagi menyempurnakan bacaan ikrar yang diketuai oleh Pengerusi DPM Zaqaziq, saudara Mumtaz Harun. Majlis penutup telah disempurnakan juga oleh Presiden PMRAM. Dalam ucapan ringkasnya itu, beliau mengingatkan kepada para pimpinan tentang kepentingan ilmu. Tambah beliau lagi, sebagai pemimpin mereka perlu meletakkan keutamaan ilmu mengatasi segala-galanya kerana hanya dengan ilmu akan menjadi pedoman dalam memimpin masyarakat kepada Allah. Sebelum program berakhir,pihak urusetia telah menyediakan hadiah bagi GKB terbaik serta Dewan Perwakilan Mahasiswa Zaqaziq telah dipilih sebagai delegasi terbaik.

Muktamar Sanawi PMRAM

PMRAM akan mengadakan Muktamar Sanawi PMRAM Kali Ke 75 dan Muktamar HEWI PMRAM Kali Ke 21 tidak lama lagi. Perubahan kepimpinan Badan Pengurus PMRAM dan HEWI PMRAM untuk sesi 2008 akan menjanjikan pemerkasaan peranan PMRAM untuk terus menyumbang bakti kepada warga Melayu di Mesir.Muktamar HEWI PMRAM akan diadakan pada 18 Mac 2008 bertempat di Dewan Solah Kamil Universiti Al-Azhar manakala Muktamar Sanawi PMRAM pula akan diadakan pada 19 Mac 2008 bertempat di Nadi Madinat Nasr al-Riadhi, Hayyu Sadis Kaherah.Untuk maklumat lanjut sila hubungi Setiausaha BKAN dan DPM masing-masing atau terus menghubungi saudara Shahrizan di talian 0105365967 atau saudari Siti Fathiyah di talian 0113229863.
Pelajar Malaysia Dirompak. Para Mahasiswa Diarah Untuk Mengetatkan Keselamatan. Kaherah, 26 Februari - Seorang pelajar lelaki dari Kelantan yang diminta untuk dirahsiakan identitinya telah dirompak oleh sekumpulan orang kulit hitam di Hayyu Zuhur. Kejadian yang berlaku antara jam 12.30 hingga 1.00 pagi itu adalah antara insiden buruk yang membabitkan warga Malaysia sekitar tahun ini.Mangsa yang pulang daripada kedai photostat di Masakin Othman atas urusan yang berkaitan dengan program Bazaria Kelantan yang akan diadakan pada 3 Mac ini telah dikepung oleh sekumpulan 'Mat Hitam' yang bukan berwarganegara Mesir di lorong Hassan Ziyad berdekatan dengan kedai gunting rambut dan stesyan minyak di Hayyu Zuhur. Mereka yang dianggarkan dalam enam atau tujuh orang telah cuba untuk menarik mangsa ke tempat gelap namun mangsa berkeras untuk tidak ke kawasan gelap kerana khuatir akan dicederakan. Mereka cuba untuk mengambil wang daripada mangsa namun mangsa tetap berkeras. Namun apabila salah seorang mereka mula mengeluarkan senjata tajam seperti parang dan mengacukan kepada mangsa, mangsa akhirnya menyerahkan kepada mereka wang yang berjumlah LE 600.00 dan sebuah telefon bimbit.Sebelum kes ini, ada di kalangan para mahasiswa Malaysia yang telah mengalami insiden yang sama di beberapa lokasi khususnya di Hayyu Zuhur dan Suq Sayyarat, Hayyu Asyir. Berikutan dengan kes-kes seperti ini, Presiden PMRAM, saudara Hairul Nizam Mat Husain telah menghubungi pihak keamanan Mesir (Amnu al-Daulah) bagi melaporkan kejadian yang tidak diingini ini kepada pihak keselamatan. Pihak Keamanan Mesir berjanji akan mengetatkan kawalan di beberapa lokasi hitam khususnya di Suq Sayyarat, Hayyu Asyir.PMRAM menasihati para mahasiswa Malaysia yang berada di Mesir khususnya di Kaherah agar mengambil berat dalam isu-isu keselamatan. Para mahasiswa tidak digalakkan pulang lewat pada waktu malam ke kediaman masing-masing memandangkan kebanyakan kes yang timbul yang membabitkan peras ugut bersenjata adalah berlaku pada waktu malam. PMRAM menasihati seluruh para pelajar agar tidak membawa wang yang banyak semasa berada di luar rumah di samping tidak pulang secara bersendirian.Para mahasiswi khususnya diminta untuk mematuhi ketetapan yang telah dibuat oleh pihak PMRAM sebelum ini yang tidak membenarkan sama sekali mahasiswi untuk keluar pada waktu malam melainkan atas sebab-sebab yang mendesak dengan syarat ditemani oleh beberapa pelajar lelaki (musyrif) yang dipilih oleh pihak Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) atau Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM) masing-masing. Ketetapan yang telah diamalkan semenjak dahulu lagi ini bukanlah untuk mengongkong kebebasan mahasiswi namun sebaliknya ketetapan ini dibuat semata-mata ingin menjaga keselamatan dan kehormatan para mahasiswi Malaysia yang belajar di Mesir.PMRAM menyarankan kepada para mahasiswa yang terpaksa pulang lewat ke kediaman masing-masing agar tidak menaiki bas sebaliknya menaiki teksi agar para mahasiswa dapat sampai ke rumah dengan cepat dan aman.Sebarang masalah keselamatan yang berlaku boleh terus diajukan kepada Presiden PMRAM di talian 0105839069 atau mana-mana Badan Pengurus PMRAM dan HEWI PMRAM.
Badan Kebajikan Anak Negeri dan Dewan Perwakilan Mahasiswa Adalah Nadi PMRAM – Presiden Sabtu, 16 Februari 2008 KAHERAH, 16 Feb – Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM), Hairul Nizam Mat Husain menganggap bahawa Badan Kebajikan Anak Negeri dan Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM) merupakan nadi utama kepada pergerakan organisasi mahasiswa di Mesir pada hari ini.“Kerjasama dan kefahaman yang mantap merupakan tunjang utama kekuatan kita pada hari ini. Walaupun bebanan tugas yang diberikan terpundak di atas bahu kalian, namun anggaplah ia sebagai medan latihan dan pengalaman yang berharga yang harus ditimba untuk digunakan apabila kita pulang ke tanah air kelak.”Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di dalam majlis pertemuan tertutup bersama kepimpinan anak negeri Johor di sini, petang tadi.Beliau menegaskan, sudah sampai waktu dan ketikanya, sebagai exco kepimpinan untuk membentuk ahli agar membudayakan program-program ilmu dan thaqafah sama ada yang dianjurkan di peringkat BKAN atau PMRAM.“Kita mesti memperkasakan sistem pengamalan budaya ilmu di kalangan ahli disamping sentiasa menghidupkan suasana ilmu tanpa mengira masa.” Mahasiswa yang cemerlang tidak akan mempersiakan setiap detik waktu dan masa yang akan meninggalkan kita.

Tafsir al-Maidah ayat 79: Cegah mungkar dengan kekuasaan

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang Thu Jan 24, 08 12:18:52 pm MYT Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Aishah r.a. yang disebut oleh Ibnu Majah di dalam kitabnya bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud; "Suruhlah kamu kepada yang baik dan cegahlah kamu daripada kemungkaran, sebelum berlaku bahawa kamu berdoa, tetapi tidak diperkenankan kepada kamu." Dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh ulama-ulama hadis, antaranya Muslim, dan diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri r.a., sabda Rasululah s.a.w. yang bermaksud; "Sesiapa di kalangan kamu melihat perkara mungkar maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu lagi maka dengan hatinya dan dengan yang demikian itu (dengan hati itu) adalah sedaif-daif iman." Seseorang itu jika melihat kemungkaran berlaku di hadapan matanya, sekiranya boleh diubah dengan tangan, makan gunakanlah ia, jika berkuasa berbuat demikian. Sebagai contoh sekiranya benda itu layak dibakar api atau dihancurkan, maka benda itu perlulah dilakukan demikian selepas ditegur dengan lidah, kemungkaran itu tetap tidak berubah dengan syarat jangan membawa fitnah yang lebih besar. Yakni sekiranya cegahan dibuat dengan tangan, berlaku tindakan yang lebih besar fitnahnya maka ia adalah dilarang kerana kita hendaklah mengelak fitnah yang lebih besar. Ertinya jika menggunakan tangan, kemungkaran itu berhenti, maka adalah wajar cegahan dengan tangan digunakan. Sesetengah ulama mengatakan bahawa yang mempunyai kemampuan itu adalah kerajaan. Dia berupaya menyuruh kepada perkara yang baik dan mencegah kemungkaran dengan tindakan undang-undang. Jangan pula berlaku kerajaaan sendiri memberi lesen untuk membenarkan orang ramai melakukan maksiat atau kemungkaran dengan meluluskan lesen judi, arak dan seumpamanya. Kerajaan memberi alasan kononnya tindakan tersebut bertujuan mengawal kegiatan maksiat di kalangan rakyat. Jika demikian kenapa lesen mencuri tidak diberikan kepada pencuri dan perompak untuk mengawal berlakunya kecurian dan rompakan? Bukan bererti mengawal sesuatu kegiatan itu dengan memberi lesen kepada sesuatu organisasi atau indivisu tetapi mengawal juga boleh berlaku dengan menyediakan tempat atau sebaliknya. Jika diambil contoh untuk mengawal supaya orang ramai tidak buang air merata justeru disediakan tandas, bukan bererti untuk mengawal kecurian dan rompakan disediakan pula tempat untuk aktiviti jenayah berkenaan. Ini kaedah yang tidak boleh dipakai dari segi undang-undang dan akal fikiran yang waras. Bukan semua kaedah boleh dipakai dalam semua perkara kerana kaedah penyelesaiannya berlainan antara satu perkara dengan satu perkara lain. Misalnya, untuk menimbang emas dan getah mestilah memakai dacing berbeza bukan hanya dengan menggunakan satu dacing sahaja. Ertinya pemerintah mesti mencegah kemungkaran, iaitu mengenakan tindakan undang-undang mengikut hukum Islam terhadap segala kesalahan jenayah dan maksiat kerana inilah maknanya mengubah dengan tangan. Dan antara orang yang mampu mengubah dengan tangan juga adalah ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Jika anak-anak mereka melakukan kemungkaran termasuk tidak mengerjakan solat maka menjadi tanggungjawab ibu bapa menggunakan kuasa yang ada pada mereka termasuk menggunakan tangan bagi mengubah perbuatan mungkar yang dilakukan oleh anak-anak mereka. Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud; "Suruhlah anak kamu mengerjakan sembahyang ketika umurnya tujuh tahun. Pukullah mereka bila umurnya 10 tahun (jika tidak mengerjakan sembahyang)." Begitulah juga dalam perkara yang lain. Apabila seseorang anak itu mencapai umur 10 tahun, maka diizinkan mengenakan tindakan memukul ketika melakukan kesalahan yang bercanggah dengan hukum agama.Pukulan yang dibuat ialah pukulan mendidik, bukan pukulan marah dan geram yang mencederakan tubuh badan anak berkenaan.

Masjid Kristal tersergam, tetapi tiada solat Jumaat ???

Zaini Hashimi Wed Feb 20, 08 11:37:50 am MYT Semua pihak menyedari bahawa pembinaan Masjid Kristal, Terengganu, bukanlah bertujuan dijadikan tempat ibadat secara bersungguh-sungguh, kerana difahamkan bahawa tidak ada pelaksanaan solat Jumaat di situ walaupun kos pembinaan antara RM250–M500 juta, berbanding dengan masjid di sesebuah daerah bernilai kurang RM5. Pihak berkuasa Terengganu pimpinan Dato' Seri Idris Jusoh begitu angkuh membelanjakan sejumlah besar wang rakyat untuk tujuan itu, tidak termasuk belanja untuk majlis pelancaran yang bernilai RM15 juta baru-baru ini. Apa faedah sebenar yang boleh diperolehi oleh rakyat dengan pembinaan masjid berkenaan jika solat Jumaat pun tidak dibenarkan, sepertimana rakyat tidak mendapat faedah daripada kewujudan Monsoon Cup, kekayaan hanya berkisar di kalangan mereka yang rakus, malahan pembinaan yang berlaku itu menguntungkan poket pihak tertentu dengan projek mega. Tidakkah penganjuran majlis Masjid Kristal boleh dianggap amalan bidaah dengan adanya konsert lagu Bollywood berhampiran bangunan masjid berkenaan, tidakkah itu satu persendaan terhadap ajaran Nabi Muhammad s.a.w.? Apa yang penting, kita perlu merujuk kepada satu hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: "Sudah hampir sampai suatu masa, di mana tidak tinggal lagi daripada Islam itu melainkan hanya namanya, dan tidak tinggal daripada al-Quran itu melainkan hanya tulisannya sahaja. Masjid-masjid mereka tersergam indah, tetapi kosong daripada hidayah Allah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang berada di bawah naungan langit. Dari mereka berpunca fitnah dan kepada mereka fitnah itu akan kembali." - Hadis riwayat al-Baihaqi daripada Sayidina Ali bin Abi Talib. Dalam satu hadis lain, riwayat Imam Abu Daud daripada Anas Bin Malik, baginda Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: Tidak berlaku hari Qiamat sehingga umatku bermegah-megah (dengan binaan) masjid. Sekarang, bagaimana kita hendak meletakkan kedudukan Masjid Kristal dengan hadis di atas, tidakkah ia tersergam indah dengan kosong pengisian dalamannya. Pengajiannya dinafikan kerana para penceramah Umno tidak dan mungkin kurang bersedia untuk mengajar, sebab mereka pun tahu apa yang akan dicakapkan itu salah menurut hukum Syara', daripada diserahkan kepada penceramah PAS, lagi baik masjid kosong tanpa pengajian, kerana bagi tanggapan Umno, PAS akan berpolitik dalam masjid. Sepatutnya, dalam keadaan akidah umat Islam hari ini semakin parah, penganjuran kelas-kelas agama perlu dipertingkatkan, pemimpin Umno perlu minta bantuan para penceramah PAS bagi membendung keadaan yang semakin mejurus kepada penentangan terhadap Allah secara terbuka. Apa yang perlu kita lakukan hari ini, adalah mengembalikan kegemilangan sejarah masjid-masjid dalam Islam yang mampu memproduk generasi al-Quran yang disifatkan Allah dalam al-Quran sebagai sebaik-baik umat yang berjaya meraih tempat di sisi baginda Rasulullah s.a.w.

Politik didasari nilai Islam wujud kepemimpinan adil, unggul

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi POLITIK antara bidang kehidupan manusia yang turut diberi perhatian Islam supaya umat manusia dapat menjadikan saluran politik sebagai wadah ke arah keharmonian dan kesejahteraan hidup umat sejagat. Islam bukan sekadar urusan ritual dan individu yang berkaitan hubungan dengan Allah semata-mata, malah ia turut mencakupi hubungan sesama manusia dalam pelbagai lapangan hidup seperti ekonomi, politik, sosial dan sebagainya. Pendapat menyatakan politik itu bukan daripada Islam adalah tidak benar. Begitu juga salah pandangan yang mengatakan agama hanyalah urusan ritual atau ibadat saja, manakala politik pula adalah urusan kenegaraan dan keduniaan. Kenyataan di atas jelas berlaku pemisahan antara Islam dan politik dan inilah dianggap ulama Islam sebagai sekularisme. Sehubungan itu, Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya Islam dan Sekularisme menegaskan bahawa sekularisme adalah suatu fahaman bersifat antiagama dan anti Tuhan. Dalam sejarah perjalanan sejarah moden dunia, fahaman sekularisme tajaan Barat moden sudah berjaya mensekularisasikan seluruh pelosok dunia, termasuk dunia Islam. Ringkasnya, proses sekularisasi itu sebenarnya tidak lain daripada proses pembebasan manusia daripada kongkongan agama dan kawalan metafizik. Perlu ditegaskan, peradaban Barat moden yang melanda umat Islam itu membawa semangat, fahaman, idea dan pandangan dunia yang amat tidak serasi dengan pandangan dunia serta matlamat peradaban Islam. Peradaban Barat moden mengetepikan Tuhan dan memberikan penghormatan tinggi kepada kebendaan. Dalam kata lain, peradaban Barat moden adalah peradaban yang lebih mementingkan unsur individualistik dalam gaya hidup kerana ia juga bertunjang fahaman materialistik iaitu suatu fahaman dan sikap hidup yang memberikan tumpuan kepada usaha mencari kenikmatan kebendaan, sikap bermati-matian dalam kebendaan, sikap percaya kepada kebendaan saja dan menolak segala nilai luhur lain. Di samping itu, peradaban Barat moden juga di dominasi fahaman sekular. Fahaman itu lazimnya merujuk kepada satu sikap kecenderungan menganggap sepi terhadap Tuhan dan semua persoalan serta kegiatan keagamaan disebabkan kesibukan hal duniawi hingga tidak sempat berfikir mengenai hal ukhrawi. Selanjutnya, pengaruh sekularisme ini menjalar dalam aspek politik umat Islam sehingga tercipta satu gagasan utama dalam perjuangan politik masa kini iaitu kekuasaan adalah segala-galanya. Ini bermakna untuk mendapatkan kekuasaan, apa juga cara boleh dilakukan hatta dengan tindakan tidak berperikemanusiaan yang bercanggah dengan ajaran Islam sekalipun. Gagasan itu akhirnya menghasilkan ungkapan masyhur dalam kehidupan umat Islam iaitu ‘tujuan menghalalkan cara’. Prinsip itu jelas bercanggah dengan ajaran Islam. Menurut perspektif Islam, tujuan tidak menghalalkan cara. Malah, tujuan dan cara dua perkara yang berbeza antara satu sama lain. Sebab itulah lahir satu prinsip dalam ilmu kaedah usul fiqh yang diguna pakai oleh ulama iaitu ‘tujuan tidak menghalalkan cara’. Prinsip ini bermaksud setiap amalan mesti didahului dengan niat betul. Kemudian, cara pelaksanaannya pula mesti berlandaskan syariah Islam. Dengan ini, barulah sesuatu amalan dilakukan itu dinilai sebagai amalan baik dan diberikan ganjaran Allah. Sebaliknya, jika cara pelaksanaannya tidak mengikut lunas Islam walaupun tujuannya baik, maka amalannya itu tetap dinilai haram di sisi Islam. Jelas di sini, politik tidak dapat dipisahkan daripada Islam. Nilai agama sepatutnya mendasari perjalanan arena politik umat Islam. Dengan kata lain, politik pada hakikatnya adalah satu saluran atau wadah yang membawa umat Islam ke arah matlamat disasarkan. Jadi, politik yang didasari atas landasan agama inilah dianjurkan Islam, bukan politik yang mendasari agama. Jika agama disesuaikan menurut cita rasa politik, maka akan berlaku pertelagahan, perpecahan dan akhirnya kehancuran umat seperti banyak berlaku dalam kehidupan umat Islam dewasa ini. Perlu ditegaskan, politik yang berpaksikan Islam akan melahirkan suatu corak kepemimpinan yang adil lagi unggul seperti mana yang pernah ditunjukkan Rasulullah SAW dan khalifah al-Rasyidin. Bukankah Rasulullah pernah menjadi pemimpin ketika menerajui kerajaan Islam Madinah. Rasulullah SAW berjaya membentuk negara yang aman damai dan harmoni terdiri daripada masyarakat majmuk pelbagai bangsa, agama dan etnik di bawah peruntukan perlembagaan Piagam Madinah.

Masjid sebagai destinasi pelancongan ????

Oleh Ghafani Awang Teh PELANCONGAN keagamaan yang dikaitkan dengan pusat dan tempat bersejarah sesuatu agama adalah produk pelancongan yang berkembang pesat. Banyak negara sudah melancarkan kempen tahun melawat di negara masing-masing turut mempromosikan pusat keagamaan sebagai destinasi pelancongan. Malaysia turut mengambil langkah sama, tetapi tidak dinafikan usaha itu terutama menjadikan masjid sebagai destinasi pelancongan menjadi isu negatif di kalangan masyarakat yang beranggapan kedatangan pelancong terutama bukan beragama Islam boleh menjejaskan kesucian masjid yang menjadi rumah Allah. Persoalan besar timbul ialah apakah hukum orang bukan Islam memasuki masjid? Berdasar pendapat Mazhab Syafie, orang bukan Islam dilarang secara mutlak memasuki Masjidil Haram seperti dinyatakan firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman. Sesungguhnya (kepercayaan) orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjid al-Haram sesudah tahun ini dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu daripada limpah kurnia-Nya, jika Dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah at-Taubah, ayat 28) Masjid lain pula pada pandangan ulama Syafi’iyah adalah diharuskan jika bertujuan baik. Ulama ini berpegang pada hadis sahih diriwayatkan Bukhari, menjelaskan bahawa sekumpulan tentera Islam yang baru kembali dari medan perang Nejad membawa seorang tawanan perang bernama Tsumamah Utsaal dari Bani Hanifah yang ketika itu belum beragama Islam dan mengikatnya pada tiang dalam sebuah masjid. Kemudian Rasulullah SAW menuju kepada tawanan itu seraya bersabda: “Lepaskanlah Tsumamah.” Kemudian Tsumamah berangkat menuju ke kebun kurma berdekatan masjid dan mandi. Selepas itu Tsumamah masuk semula ke dalam masjid sambil melafazkan kalimah dua syahadah menjadi seorang muslim.” Berdasarkan hadis itu nyata bahawa jika tindakan membawa seseorang bukan Islam ke dalam masjid menjadi satu kesalahan tentu sekali Rasulullah SAW akan menegur tindakan sahabat membawa masuk Tsumamah ke dalam masjid itu.Bagaimanapun bagi menjamin dan memelihara kesucian masjid, pihak pengurusan perlu membuat peraturan sesuai umpamanya dimestikan menutup aurat, tidak meninggikan suara atau membuat bising serta menentukan masa sesuai yang tidak mengganggu umat Islam menunaikan ibadat. Dari aspek pelancongan, kita dapati Masjidil Haram Makkah dan Masjid Nabawi Madinah di Arab Saudi menjadi tempat kunjungan paling popular di dunia. Pada musim haji saja kira-kira 3 juta umat Islam mengunjungi Makkah dan Madinah. Menurut Lembaga Pelancongan Arab Saudi menjelang 2020 dijangkakan seramai 45.5 juta orang Islam akan mengunjungi dua tempat suci itu dengan anggaran pendapatan sebanyak SR80 bilion setahun. Perbelanjaan besar umat Islam itu memberi peluang perniagaan yang besar kepada penduduk Arab Saudi. Walaupun masjid dan tempat sejarah Islam yang ada di negara kita tidak sehebat di Arab Saudi, tetapi ia berpotensi besar untuk menarik pelancong terutama orang bukan Islam menziarahi masjid dan tempat sejarah Islam yang ada di negara kita. Berdasarkan pemerhatian, perkara yang menjadi daya tarikan pelancong terutama pelancong bukan Islam ketika melawat masjid ialah keindahan menara, seni bina masjid, mihrab, mimbar, hiasan dalaman masjid yang tenang, tempat wuduk, peranan imam, kemerduan suara muazzin, peranan makmum dan cara umat Islam menunaikan sembahyang. Bagi umat Islam, daya tarikan ini kelihatan perkara biasa, tetapi bagi orang bukan Islam adalah sesuatu yang perlu diketahui secara mendalam kerana nyata suasana ketenangan rumah Allah itu berbeza dengan suasana rumah ibadat agama lain. Di sebalik kecenderungan besar pelancong bukan Islam terhadap produk pelancongan berasaskan keagamaan ini, maka sewajarnya umat Islam mengambil kesempatan memperluaskan pengetahuan mengenai Islam melalui pelancongan. Bagaimanapun bukan mudah untuk menarik pelancong datang menziarahi masjid kecuali pihak pengurusan masjid mampu mengambil langkah tertentu seperti menyediakan maklumat berkenaan sejarah penubuhan masjid, persekitaran bersih dan ceria serta kemudahan tandas selesa. Begitu juga fungsi dalaman masjid, menyediakan kemudahan tempat letak kenderaan yang selesa, menjalankan promosi luas kepada masyarakat setempat dan perkhidmatan pemandu pelancong selain menyediakan ruangan pameran serta galeri. Pada masa ini antara masjid yang berpotensi besar menarik pelancong ialah masjid negeri dan Masjid Negara, Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid Putra di Putrajaya, Masjid Terapung Tengku Tengah Zaharah dan Masjid Kristal Jerteh di Terengganu, Masjid Ubudiah Kuala Kangsar, Masjid Kampung Laut Kelantan dan Masjid Ulu Melaka, Melaka. Masjid yang paling berjaya menarik pelancong ialah Masjid Negara. Menurut laporan, Masjid Negara mendapat kunjungan kira-kira 255,800 pelancong asing sepanjang 2007. Selari dengan usaha memakmurkan masjid ini, maka marilah kita merenungi firman Allah bermaksud: “Bahawasanya yang memakmurkan masjid ialah orang yang beriman kepada Allah, hari Akhirat, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, tidak takut melainkan kepada Allah, maka mudah-mudahan mereka yang memakmurkan masjid itu mendapat hidayah daripada Allah.” (Surah at-Taubah, ayat 18)