06 Oktober 2008

Wajib Ambil Ujian HIV Sebelum Kahwin

KUALA LUMPUR: Mulai tahun depan, semua semua pasangan Islam di negara ini yang mahu berkahwin, diwajibkan menjalani ujian saringan HIV sebagai syarat sebelum dibenarkan untuk melangsungkan pernikahan. Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata dasar itu dapat dilaksanakan tahun depan selepas semua majlis agama negeri memberi persetujuan untuk menguatkuasakan peraturan berkenaan pada Persidangan Ketua-Ketua Jabatan Agama anjuran Jakim, Julai lalu.
"Walaupun bakal pengantin yang ingin berkahwin didapati positif HIV melalui ujian itu, mereka tidak akan dihalang bernikah jika tetap mahu meneruskan perkahwinan. "Sebaliknya pihak berkuasa agama negeri masing-masing akan berperanan membantu pasangan terbabit dengan memberi kaunseling dan khidmat nasihat supaya langkah pencegahan serta persediaan lengkap dari sudut fizikal dan mental dapat diambil," katanya kepada Berita Harian. Pada 2006, Ketua Pengarah Jakim ketika itu, Datuk Mustapa Abdul Rahman mengumumkan bakal pengantin di seluruh negara akan diwajibkan menjalani ujian saringan HIV/Aids mengikut modul Jabatan Agama Johor (JAJ), yang mewajibkan semua bakal pengantin Islam mendapatkan sijil kesihatan sebelum bernikah.
Bagaimanapun, dasar yang dipelopori Johor sejak 2001 itu tidak dapat dilaksanakan kerana Jakim tidak boleh mengeluarkan arahan kepada semua kerajaan negeri bagi mewajibkan ujian berkenaan berikutan hal ehwal agama Islam terletak di bawah bidang kuasa mereka. Setakat ini, Selangor, Kelantan, Terengganu, Perak, Johor, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan mewajibkan ujian saringan itu bagi bakal pengantin, manakala Sarawak belum melaksanakannya. Pahang dan Sabah pula tidak mewajibkan ujian itu sebaliknya memberi pilihan kepada bakal pengantin sama ada untuk melakukannya atau tidak. Wan Mohamad berkata, ujian saringan yang akan dijalankan ke atas pasangan yang bakal berkahwin itu juga akan ditawarkan secara percuma.

Cerita Budak Al-Azhar ??

KISAH cinta agung Ayat-Ayat Cinta yang diadaptasi daripada novel karya Habiburahman ElShirazy akan ditayangkan di TV3, Jumaat ini jam 9 malam. Filem yang ditonton lebih empat juta penonton di Indonesia adalah antara filem cinta berteraskan Islam yang memberi nafas baru kepada produksi layar lebar. Ayat-Ayat Cinta mengisahkan Fahri Abdullah Shiddiq lakonan Fedi Nuril, seorang penuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir.
Fahri adalah seorang pelajar pintar dari keluarga miskin yang mendapat biasiswa untuk belajar di Mesir. Fahri adalah seorang pelajar yang berdisiplin dan berdedikasi, dia memulakan kehidupan sebagai pelajar di Mesir sambil menterjemah buku agama dengan penuh semangat. Fahri mengecap semua yang diinginkan namun cuma satu saja yang boleh dikecapi jejaka itu iaitu perkahwinan. Jejaka ini adalah seorang yang lurus dan suci serta tidak percaya kepada konsep perhubungan sebelum berkahwin.
Dia sukar meluahkan perasaannya apatah lagi Fahri juga cukup malu apabila berhadapan dengan wanita. Dalam hidupnya, cuma ada dua wanita yang rapat dengannya iaitu ibu dan neneknya. Namun, hidup Fahri mula berubah apabila dia didampingi empat gadis jelita yang berbeza. Fahri memikat hati seorang wanita bernama Aisha Greimas dipegang oleh Rianti Cartwright, mahasiswi asing keturunan Jerman dan Turki yang berpenampilan cerdas, cantik. Aisha datang ke Mesir kerana melakukan penyelidikan di sana. Selain Aisha, Fahri turut diminati tiga lagi gadis yang juga tidak kurang hebatnya.
Nurul lakonan Melanie Putria ialah gadis Indonesia anak kepada seorang kiyai terkenal yang menebal sifat pemalunya. Maria (Mrissa Puteri) pula adalah seorang penganut Krisitian Koptik tetapi lancar membaca al-Quran. Seorang lagi gadis yang menyimpan perasaan pada Fahri ialah Noura lakonan Zaskia Adya Mecca. Biarpun empat wanita datang mencuba nasib, namun cinta Aisha ternyata berjaya menakluki hati dan jiwa raga Fahri yang begitu kukuh dan mendalam pegangan agamanya. Meskipun filem Ayat-Ayat Cinta berada dalam kelompok filem cinta, namun tarikan istimewa filem itu terletak kepada pancaran cahaya keislaman yang ditonjolkan menerusi watak Fahri. Jadi, jangan lupa temu janji anda bersama filem hebat ini di TV3 yang akan menemui penonton Jumaat ini jam 9 malam.

05 Oktober 2008

Majlis Gema Hari Raya Aidil Fitri BKKIMM Sederhana

Majlis sambutan Aidilfitri peringkat Badan Kebajikan Keluarga islam Melaka Mesir bagi tahun ini disambut dengan sederhana pada tahun ini. Sambutan yang saban tahun diadakan ini adalah bertujuan untuk merapatkan lagi ukhuwah antara ahli BKKIMM khususnya meraikan anak-anak melaka yang berada diperantauan dan mahasiswa baru yang baru sampai dari tanahair.
selain untuk mengeratkan silaturrahim, majlis ini juga bertujuan untuk berkenal-kenalan antara ahli baru dengan ahli lama serta mengubat kerinduan terhadap keluarga yang jauh di malaysia.
Majlis bermula selepas solat asar dan tamat pada jam 10 malam dan pelbagai program telah diatur untuk menghiburkan sekalian hadirin yang memenuhi Dewan Muallim Wisma Melaka antaranya persembahan nasyid, ucapan salam perantauan dari ahli yang mewakili muhafazah masing-masing serta ucapan dari malaysia, sketsa dan sebagainya. Semoga dengan segala yang telah dilaksanakan akan mengeratkan lagi ukhuwah antara ahli BKKIMM. Admin BKKIMMONLINE.BLOGSPOT.COM mengucapkan selamat hari raya Aidil Fitri Maaf Zahir dan Batin