30 Oktober 2007

Sumur akan diperluas ???

TANJUNG KARANG 29 Okt. – Kementerian Pelajaran akan memperluaskan Modul Sahsiah Unggul Murid (Sumur) di semua sekolah jika modul tersebut terbukti berkesan dalam meningkatkan disiplin di kalangan pelajar sekolah. Timbalan Menterinya, Datuk Noh Omar berkata, buat masa ini, modul Sumur yang berteraskan kepada 5C iaitu Murid Contoh, Cerdas, Cerdik, Cergas dan Ceria itu sudah dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). Beliau berkata, matlamat modul itu ialah untuk melahirkan murid yang memiliki personaliti terpuji dan dicontohi murid lain serta sentiasa memburu ilmu dunia dan akhirat. Menurut beliau, modul tersebut juga mempraktikkan amalan penjagaan kesihatan yang cemerlang dalam kehidupan seharian, mempunyai ketahanan diri dan berusaha meningkatkan daya kepimpinan serta bersemangat patriotisme. ‘‘Selain tindakan hukuman dan kaunseling, pendekatan mendekati pelajar dan kesedaran didapati memberi kesan kepada penurunan kes-kes disiplin di sekolah. ‘‘Jika modul Sumur berhasil, ia akan diperluaskan ke sekolah-sekolah lain,’’ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Modul Sumur dan Kelab Braille al-Quran peringkat Kebangsaan di Sekolah Agama Menengah Tanjung Karang, di sini hari ini. Menurut Noh, modul Sumur selaras dengan teras kedua dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) iaitu membangunkan modal insan dan ia dilaksanakan di dalam dan luar bilik darjah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan