14 Mac 2009

Jiwa Islam Shamsiah Fakeh

Fahri Abdullah al-Masri
Salah satu andaian, telahan peribadi saya yang masih tidak dapat dibuktikan sehingga kini ialah.. "British membuat propaganda dalam bentuk agama ke atas pemikiran Melayu supaya dengan itu, Melayu tidak akan menyebelahi dan atau masuk komunis." Tapi, seperti mana yang saya sebutkan tadi, tak dapat dibuktikan sama ada wujudnya dokumen, catatan dan kenyataan akhbar dalam bentuk propaganda British yang mengolah cara berfikir Melayu sehingga memandang serong ke arah komunis.
Entah kenapa sejak akhir-akhir ini, saya tidak fikir bahawa cara berfikir itu terbitnya dari kalangan Melayu sendiri. Ini kerana, kita tahu British ingin memusnahkan komunis sejak zaman penaklukannya ke atas Malaya selepas Jepun kalah. British jugalah yang memberikan senjata secara rahsia kepada MPAJA (Malayan People Anti Japanese Army) untuk melawan tentera Jepun. MPAJA kemudiannya bertukar nama kepada Bintang Tiga atau komunis selepas British kembali menjajah Malaya.
Selepas kejatuhan Singapura, MPAJA dan British in Asia Tenggara putus hubungan. British mahu pulihkan semula perhubungan itu dengan mendaratkan agen tenteranya di Malaya. Kumpulan pertama, Kolonel John Davis bersama lima agen Cina, mendarat di Perak pada Mei 1943. Demikian menurut satu catatan. Kumpulan kedua tiba pada September 1943. Agen-agen inilah yang kemudian terkenal dengan nama "Force 136". Pada Januari 1944, pimpinan MPAJA tiba di kem Force 136 dan mengikuti perbincangan bersama para pegawai Force 136. "It was agreed that in return for arms, money, training, and supplies the MPAJA would cooperate and accept the British Army's orders during the war with Japan.." [Cheah Boon Kheng, Red Star Over Malaya, 1983, Singapore.]
Maka, dengan tiba-tiba, British menyerang MPAJA (Bintang Tiga, Komunis) kembali. Di sini British tentulah bermusuhan dengan puak-puak dari gunung dan hutan ini. Dan kaum Melayu pun diminta agar tidak lagi mendekati komunis. Walhal, dahulunya Britishlah yang menyalurkan latihan ketenteraan kepada MPAJA Cina untuk menentang Jepun. MPAJA akhirnya berubah nama, Bintang Tiga atau komunis dan diperangi semula oleh British. Pada saat inilah, propaganda ke atas Melayu bermula!
Propaganda BritishSejak dahulu, British tahu bahawa sentimen agama Islam dan adat resam Melayu adalah suatu hal yang bersifat sakral, suci dan kedua-duanya tak boleh disentuh sama sekali. Di sini, mustahil propaganda bahawa Melayu tidak masuk komunis datang daripada Melayu sendiri. Ada juga orang Melayu yang terkenal kuat agamanya telah masuk komunis. British dalam rupa tentera berbeza daripada segi pendekatan British saudagar. Tapi dalam hal slogan dan seruan, mereka tetap ada persamaan. Jika pada masa British saudagar, hal slogan ini berbunyi, Residen British menasihati raja-raja kecuali dalam hal Islam dan adat istiadat Melayu sahaja yang tidak akan disentuh.
British dalam rupa paras tentera, menjelang kemerdekaan menyeru seruan yang bersifat keagamaan juga. Bahawa Melayu jangan menyokong komunis kerana faham mereka itu tiada bertuhan. Komunis adalah atheis. Dengan kepungan fikiran rakyat ini, British cuba menakluk hati, jiwa dan perasaan Melayu. Salah seorang pimpinan komunis yang terkenal kuat agama ini bernama Shamsiah Fakeh. Beliau yang asalnya dari Awas (Angkatan Wanita Sedar), sebuah sayap Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) akhirnya terpaksa berpindah kepada perjuangan di hutan.
Membaca memoir Shamsiah Fakeh menyebabkan akal kita terpaksa bekerja keras semula untuk berfikir, kenapa insan yang tebal keinginannya untuk belajar agama ini mengambil keputusan memasuki PKM ketika propaganda bahawa PKM itu faham tiada bertuhan itu sedang giat dijalankan. Hanya ada satu jawapan. Ini semua adalah propaganda British supaya keanggotaan PKM itu semakin berkurangan dan pengaruhnya makin merosot. Mustahil Melayu atau kaum-kaum lain melancarkan propaganda ini.
Mereka tiada kepentingan apa-apa melainkan mahu menjalani kehidupan sebagai biasa, mencari nafkah untuk hidup dengan bebasnya dalam negara ini. Ada beberapa perenggan yang menarik untuk diteliti mengenai kuatnya hubungan gadis bernama Shamsiah ini terhadap agamanya sendiri.
Aku berasal dari keluarga miskin. Sejak kecil lagi aku ingin belajar ilmu pengetahuan sebanyak-banyaknya. Aku terdidik dalam masa panjang dengan pelajaran agama. Cita-citaku hendak belajar lebih tinggi tidak tercapai kerana pelbagai sebab. Yang terutamanya ialah kerana miskin. Pelajaranku terputus di tengah jalan kerana aku telah berkahwin. Rupa-rupanya, aku masih berpeluang melanjutkan pelajaran agamaku. Pada 1939, sebuah sekolah agama telah dibuka di Pelangai iaitu di daerah kediamanku di Kuala Pilah.
Sekolah itu ialah Madrasah Aliyah Islamiyah. Nama Inggerisnya iaah Islamic High School. Sekembalinya aku dari Sumatera, aku terus melanjutkan pelajaranku di sekolah ini. Minat Shamsiah ke atas pelajaran agama terserlah melalui cara melontarkan pendapatnya terhadap corak pembelajaran di sekolah ini lewat memoirnya. Lebai Maadah telah memperkenalkan cara baru dalam pengajarannya. Pengajian utama di sekolah ini ialah al-Quran dan hadis. Pengajian dimulakan dengan penterjemahan al-Quran secara perkataan demi perkataan iaitu secara harfiah. Para penuntut di sekolah ini termasuk aku sendiri sudah boleh menterjemah 30 juz al-Quran dalam masa satu tahun lebih. Seterusnya dalam masa tak sampaiu dua tahun, mereka mampu mentafsir 30 juz al-Quran itu. Bagaimanapun aku hanya dapat belajar selama setahun lebih saja di sekolah ini kerana aku berkahwin.
Ini bererti, Shamsiah sudah mengenal kaedah-kaedah pelajaran agama yang dianggapnya berbeza dengan sistem pendidikan yang lain. Beliau sudah boleh membuat perbandingan. Keupayaan Shamsiah menterjemah hingga 30 juz al-Quran membuktikan bahawa beliau bukan calang-calang orangnya. Ini kerana, seseorang yang mampu memahami, manfsirkan dan menterjemah satu persatu istilah dan ungkapan dalam al-Quran itu, tentulah benar-benar mahir dalam menguasai selok-belok dan simpang-siur laluan pengetahuan agama. Perkahwinan bukan penghalang belajar agama.
Kiblat kesetiaannya ke atas pelajaran agama kekal tidak berubah. Apabila Shamsiah telah bernikah, antara syarat tuntutannya ke atas suami ialah beliau ingin diberi peluang belajar agama. Hal itu dipersetujui oleh suaminya. Rusdi bersertuju untuk memenuhi syarat itu. Aku dan Rusdi serta seroang kawan Rusdi bernama Abdul Ghani iaitu seorang tukang jahit telah berpindah ke Bagan Serai. Setelah masalah untuk mendapatkan rumah selesai, aku pun mulai belajar agama di sekolah agama di Masjid Tinggi, Bagan Serai selama sebulan saja. Sebetulnya, ada banyak lagi contoh-contoh perbandingan yang boleh dikembarkan di sini tapi biarlah kita rumuskan satu hal saja. Bahawa perjuangan Islam ini boleh masuk dalam lapangan apa sahaja. Baik komunis sekali pun.
Menurut Shamsiah Fakeh, komunis pada asalnya adalah sebuah parti yang sah dan bukan suatu yang pelik jika kita menganggotainya pada saat itu. PKM asalnya bukan perjuangan mengangkat senjata di hutan. Keadaan telah menyebabkan mereka berubah watak. Umno mengubah slogan Hidup Melayu kepada Merdeka pun disebabkan aktivis PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya), sebuah pertubuhan Melayu Kiri telah masuk dalam Umno. Timbul persoalan, apakah ini terjadi kerana PKMM diharamkan sekitar 1948?
Apa pun.. perjuangan agama itu boleh wujud dalam mana-mana pertubuhan, parti politik, dan mana-mana wadah pun termasuk Umno. Bezanya, sejauh manakah seseorang itu boleh menegakkan kebenaran keyakinan hidup beragama dalam parti yang dianggotai itu? Katakanlah Umno, sejauhmanakah mereka dapat bersuara menterjemahkan hukum hudud dalam negara? Bagaimana ahli-ahli Umno mahu membanteras amalan khurafat dalam hal permainan kuda kepang yang terkenal di Johor?
Amalan itu berleluasa sehingga pemain-pemainnya dirasuk semangat jahat, jin dan syaitan ketika permainan itu berlangsung. Dan, banyak lagi hal yang kita harus segera bermuhasabah sebelum terlambat. Shamsiah Fakeh telah meninggalkan sebuah memoir. Dan di sana kita dapat menghukumnya sendiri samada beliau seorang yang taat beragama atau tidak. Tapi, ahli Umno bagaimana?

Perdana Menteri pun kena buli

Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar tidak terperanjat beliau dicari oleh pihak polis kerana dipercayai terbabit dalam perarakan tanpa permit membantah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di Istana Negara, Sabtu lalu kerana "Perdana Menteri pun kena buli". "Apa yang nak dihairankan, Perdana Menteri pun kena buli," kata beliau sambil merujuk laporan bertajuk "Bahasa Inggeris: Kajian dasar tidak akan dipercepat, tegas Hishammuddin" setelah disiarkan berita bertajuk "Bahasa Inggeris: PM mahu keputusan dibuat segera elak masalah besar". "Bukan setakat (Ahli Parlimen Bukit Gelugor) Karpal (Singh) yang dibuli oleh Pemuda Umno apabila mereka menyerang beliau di bangunan Parlimen, Perdana Menteri pun dibuli oleh Ketua Pemuda Umno kalau kita baca laporan mengenai kenyataan (Datuk Seri) Hishammuddin (Tun Hussein) mengenai PPSMI. "Kalau Perdana Menteri pun kena buli, apa nak dihairankan rakyat bawahan seperti saya dicari polis," kata Mahfuz.
Mahfuz seterusnya berkata, kalau Ketua Pemuda Umno sendiri begitu ketara tidak menghormati Perdana Menteri yang juga Presiden partinya sendiri, tidak ada sebab lagi rakyat patut menghormati Perdana Menteri dari Umno. "Kita bercakap mengenai Perdana Menteri dari Umno, bukan (Datuk Seri) Abdullah Ahmad Badawi. "Kalau (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) menjadi Perdana Menteri, beliau juga Perdana Menteri dari Umno dan tidak ada sebab lagi rakyat patut menghormati Perdana Menteri dari Umno kerana Ketua Pemuda Umno sendiri tidak menghormati Perdana Menteri dari partinya malah Presiden partinya," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Pihak polis Khamis lalu mengedarkan nama kesemua individu tersebut supaya mereka tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membantu siasatan dalam masa terdekat.Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Abdul Samad Mah berkata, kesemua mereka dipercayai melakukan kesalahan kerana perhimpunan dan perarakan PPSMI itu tidak mendapat permit dan dianggap melanggar undang-undang mengikut Seksyen 27, Akta Polis 1967.
"Kami harap individu terbabit boleh membantu kami dengan memberikan keterangan kepada pegawai kita seberapa segera," katanya. Mereka adalah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Pengerusi Gerakan Mansuh PPSMI (GMP), Datuk Dr Hassan Ahmad; Timbalan Pengerusi GMP, Prof Dr Shaharir Mohd Zain; Setiausaha GMP, Hasni Abas; Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said; Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasaruddin Mat Isa; Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu; Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub; Mahfuz; Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Ustaz Idris Ahmad; Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin; Ahli Akademik, Prof Abdullah Hasan; Ainon Mohd; penggiat teater, Shamsudin Othman (Dinsman); Suhaizan Kaiat; Mohamad Faizal Abd Aziz; Naib Ketua AMK, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dan Ketua AMK Bahagian Batu, Rozan Azen Mat Rasip.

GURU YANG EFEKTIF MENURUT IMAM GHAZALI

Al-Ghazali telah memberikan lapan ciri-ciri guru yang efektif, merangkumi aspek kualiti dan tugas seorang guru yang cemerlang. 1. Mempunyai rasa simpati kepada murid dan menganggap serta melayani mereka sebagaimana anaknya sendiri. 2. Mengikuti tingkah laku dan sunnah Nabi Muhammad dan tidak meminta imbuhan atas perkhidmatan yang diberinya. 3. Tidak menasihati atau membenarkan muridnya melaksanakan sesuatu tugas kecuali dia (guru) benar-benar terlatih dan berpengatahuan tentang perkara tersebut. 4. Menasihati murid-muridnya supaya meninggalkan kelakuan buruk secara lembut, bukannya dengan memarahi mereka. 5. Tidak sekali-kali merendah-rendahkan disiplin ilmu yang lain dihadapan murid-muridnya. 6. Hadkan pembelajaran bersesuaian dengan tahap pemahaman murid dan tidak sekali-kali memaksa mereka mencapai sesuatu di luar kemampuan. 7. Menyediakan bahan pembelajaran yang mudah difahami, jelas dan bersesuaian dengan tahap perkembangan akal murid khususnya murid yang kurang pintar.

Kepentingan Pendidikan:

Maulana Syed Abul-Hasan ‘Ali al-Nadawi rh menyebut tentang kepentingan pendidikan ini dalam beberapa buah bukunya.Antaranya beliau menyebut tentang perkara itu dalam bukunya Islam and the World(2): “Susunan pendidikan Alam Islam mesti bentuk semula habis-habis habisan dalam suluhan cahaya cita-cita Islam dan ajaran-ajarannya. Mempelajari dari negeri-negeri Barat apa yang maju terkedepan dalam sains dan teknologi adalah satu perkara, tetapi bila sahaja Muslimin melupai bahawa akar-umbi kekuatan mereka berada dalam Islam, dan mereka menjadi pengikut-pengikut khemah orang lain dari segi intelektuilnya, tenaga-tenaga kreatif mereka menjadi terhalang. Dalam zaman lampau kepimpinan intelektuil Muslimin diterima di seluruh dunia. Budaya dan ilmu pengetahuan mereka berkembang dalam setiap bidang kehidupan manusia di seluruh dunia. Buat masa yang lama dunia terus menerus berfikir dalam cara Islam dan mendapat inspirasi daripada kehidupan cara Islam. Bahasa Arab menjadi bahasa ilmu pengetahuan di dunia Barat dan setiap pengarang terkenal mengunakan bahasa ini untuk melafazkan apa yang hendak dinyatakannya Beliau meneruskan kenyataannya tentang bagaimana Barat mendatangkan banyak akibat-akibat yang merugikan Islam dan umatnya dalam sejarahnya. Kata beliau: “Kemudian masa berubah, dan berlakulah kemenangan Barat mengatasi (Muslimin). Ia membawa bersama-sama dengannya sikap baharu dalam hubungan dengan pengetahuan, yang merupakan hasil pengalaman-pengalaman dan keadaan-keadaan budaya Barat sendiri. Dunia mula mengikut dengan membuta tuli struktur yang baharu itu. Dunia Islam juga, oleh kerana kemalasan mental (mental sluggishness) terpedaya dengan ilusi bahawa keselamatan dan kesejahteraan mereka hanya terletak pada sikap tunduk sebagai abdi kepada barat dan sistem pendidikannya. Dengan itu maka asaspun disediakan bukan sahaja untuk pendewaan intellektuil tetapi juga peniruan (imitation) peradaban Barat oleh golongan intelektuil Muslimin. Maka sikap skeptik dalam agama, takbur, rasa tidak puas hati (dengan agama) dan semua ciri-ciri lain cara hidup Barat mula secara beransur-ansur dan tetap menggantikan cita-cita mulia dan tinggi budaya di kalangan generasi Muslimin yang baharu muncul. Peradaban kerohanian Islam mula secara sistematisnya digantikan dengan peradaban kebendaan Eropah.” Beliau menyatakan bahawa syarat untuk mendapatkan kembali kepimpinan dunia ini adalah melalui pencapaian kedudukan teratas dari segi intelektuil melebihi Barat. Kata beliau: “Adalah paling penting sekali demi untuk mencapai kembali kedudukan kepimpinan dunia bagi Islam bahawa Muslimin mestilah menimbulkan kembali ketinggian intelektuil mereka ke atas Barat. Untuk tujuan ini kebudayaan Islam mesti menegaskan dirinya kembali. Usaha-usaha perjuangan yang gigih mesti dilakukan dalam semua bidang ilmu pengetahuan. Sudah tentu, ini bukannya kerja beberapa orang perseorangan ataupun beberapa pertubuhan. Lujnah-lujnah dan institusi-institusi yang bertenaga tinggi dengan segeranya hendaklah dibangunkan dengan tujuan untuk menyusun struktur pendidikan yang secara seluruhnya mengikuti roh ajaran al-Qur’an dan Sunnah tanpa mencuaikan syarat-syarat pengajian moden dan penyelidikan saintifik. Ahli-ahli pendidikan dan sains Islam hendaklah menggunakan kekuatan mereka sendiri dalam bidang pemikiran spekulatif (speculative reasoning ) dalam hubungan dengan pembentangan sains empiris supaya mereka boleh menyelamatkan generasi-generasi mendatang Muslimin daripada menimbulkan perasaan benci terhadap zaman yang telah lalu sejarah mereka dan merasa putus harap dalam hubungan dengan masa depan mereka”.(3) Dalam bukunya The Glory of Iqbal (4) beliau menyebut beberapa kritikan almarhum Muhammad Iqbal rh dengan penuh persetujuan terhadap pendidikan moden. Antaranya ialah bagaimana pendidikan moden telah mengabaikan pembangunan mental dan rohaniah generasi muda yang mengakibatkan timbulnya krisis moral di kalangan mereka; dengan itu maka fikiran pemuda dan pemudi sekarang cerdas dan gemilang tetapi jiwa dan rohaninya gelap; kemerosotan rohaniah berlaku bergandingan dengan perkembangan mental yang cerdas; bagaimana akibatnya juga timbul di kalangan mereka sifat tidak mengenali jati-diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan destini atau masa hadapan dan nasib mereka sebenarnya; bagaimana mereka itu lebih dipengaruhi oleh ideologi-ideologi asing lebih daripada dipengaruhi oleh agama mereka sendiri; bagaimana sifat kebendaan yang berlebihan di kalangan mereka dan juga sifat berlebihan dalam bergantung kepada pekerjaan sebagai matlamat pendidikan menyebabkan keruntuhan moral dan kerohanian mereka; bagaimana timbulnya sikap mengambil peluang dan faedah kebendaan yang sementara dalam sesuatu kegiatan (undue expediency) bersekali dengan budaya “artificial” dan hidup meniru-niru yang tidak wajar. Dengan itu pendidikan Barat moden menjadi alat penjajahan Barat ke atas Timur (kalau sekarang ini diperteguhkan lagi dengan seruan “Globalization” atau Globalisasi yang menjayakannya melalui ekonomi pasaran terbuka dan keadaan “dunia tanpa sempadan” dan “perkampungan global”); bagaimana pendidikan Barat moden yang terbentuk dalam atheisme , atau sekurang-kurangnya dalam keadaan keresahan mental dan kekalutan intelektuil (“intellectual anarchy”) mengakibatkan timbulnya skeptisisme, dan unsur-unsur rasionalisme dan pemikiran bebas di kalangan mereka yang terdidik di dalamnya; bagaimana kejayaan saintifik dan faedah-faedahnya membolehkan manusia menguasai angkasa lepas dan terbang di angkasa tetapi menyebabkan ianya terangkat daripada tempat berpijaknya dan memisahkannya daripada akar umbi rohaniahnya; bagaimana pendidikan itu berkecenderungan untuk membataskan nilai dan martabat manusiawi dalam hubungan dengan mesin, industri, dan lain-lain manifestasi kemajuan kebendaan walaupun ianya adalah “mutiara yang dikehendaki dari samudera seluruh penciptaan” dan “hasil penuaian dari ladang gandum kehidupan”; bagaimana akibatnya pengertian ilmu dan kefahaman manusiawi menjadi cacat dan tercela tanpa rahmat Ilahi dan wahyuNya; bagaimana dalam suasana pendidikan demikian setiap lintasan pemikiran yang tidak menasabahpun diangkat martabat menjadi “falsafah” yang dihormati; bagaimana sifat tergesa-gesa keinginan cepat dalam segala perkara dalam zaman teknologi ini menyebabkan kestabilan segala perkara menjadi musnah dan falsafah menjadi himpunan pemikiran yang tidak koheren yang tidak menentu (“haphazard collection of incoherent ideas”); bagaimana pendidikan demikian menggalakkan timbulnya sikap meniru-niru buta tamaddun Barat yang menghilangkan semangat dan roh keaslian dan tindakan yang bebas merdeka; dengan itu generasi muda tidak ada kewujudan dan jatidiri asli sebenarnya kerana ia menjadi bayangan bagi wujud Barat dengan kehidupan “artificial” yang diamalkannya; dengan itu jiwa mereka dilitupi dukacita dan rasa bosan, bukan lagi penuh dengan harap dan cita-cita tinggi dan murni.