30 Oktober 2007

Pakar jantung terulung negara maut nahas di Karak

BENTONG 29 Okt. – Datuk Dr. Nik Zainal Abidin Nik Abdul Rahman, pakar kardiologi yang bertanggungjawab memulakan unit pembedahan jantung pertama di Malaysia, terbunuh setelah kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya berlanggar dengan sebuah treler di sebatang jalan lama dekat Lebuh Raya Karak di sini petang ini. Dr. Nik Zainal, 65, yang cedera parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian. Jurucakap polis berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 5 petang sewaktu mangsa dalam perjalanan dari rumah persinggahannya di Janda Baik dekat sini menuju ke bandar Bentong. Sewaktu kejadian, katanya, mangsa memandu kenderaan itu sambil ditemani seorang rakan. Bagaimanapun, rakannya itu tidak cedera. Ketika cuba keluar dari jalan lama menghala ke Lebuh Raya Karak, kenderaan Dr. Nik Zainal dirempuh treler yang sedang dalam perjalanan dari Bentong ke Kuala Lumpur. Jurucakap polis memberitahu, mayat pakar bedah jantung itu kemudian dibawa ke Hospital Bentong untuk dibedah siasat. Difahamkan, mangsa yang merupakan seorang konsultan kardiologi di Hospital Gleneagles di Jalan Ampang, Kuala Lumpur memiliki sebuah kediaman di Janda Baik yang dijadikan rumah persinggahan. Sementara itu, rakan Allahyarham, pakar bedah jantung Datuk Dr. Rozali Wathooth ketika dihubungi berkata, beliau masih dalam keadaan tergamam. ‘‘Saya terkejut. Rasanya saya tidak dapat hendak cakap apa-apa,” ujarnya dalam nada sayu. Dr. Nik Zainal ialah senior Dr. Rozali di Fakulti Perubatan Universiti Monash, Australia ketika mereka menuntut dalam bidang perubatan pada akhir tahun 1960-an. Beliau merupakan salah seorang pakar yang terlibat dalam pembedahan pintasan koronari yang pertama di Malaysia pada 22 Oktober 1982 bersama sepasukan pakar bedah yang turut dianggotai oleh Dr. Rozali. Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, kehilangan Dr. Nik Zainal dirasai oleh seluruh warga perubatan di Malaysia terutama kerana jasanya menubuhkan pusat kardiologi pertama negara. ‘‘Takziah kepada keluarga Allahyarham. Hari ini negara kehilangan seorang pakar bedah dikagumi yang tidak ada bandingannya. ‘‘Jasa Dr. Nik Zainal terhadap dunia perubatan negara pasti tidak akan dilupakan,” ujarnya. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican pula menyifatkan Dr. Nik Zainal sebagai pakar kardiologi yang telah mengharumkan nama Hospital Kuala Lumpur (HKL). ‘‘Jasanya begitu besar. Reputasi Allahyarham yang mengagumkan dengan khidmatnya yang tidak pernah mengenal jemu tidak akan dilupakan,” ujar beliau. Menurut Dr. Mohd Ismail, Allahyarham telah melahirkan banyak doktor pakar dalam bidang rawatan jantung di Malaysia. Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Kuala Lumpur esok.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan