
30 Oktober 2007
Aurat wanita 'dera' emosi kaum lelaki - Nik Aziz

Sumur akan diperluas ???
TANJUNG KARANG 29 Okt. – Kementerian Pelajaran akan memperluaskan Modul Sahsiah Unggul Murid (Sumur) di semua sekolah jika modul tersebut terbukti berkesan dalam meningkatkan disiplin di kalangan pelajar sekolah.
Timbalan Menterinya, Datuk Noh Omar berkata, buat masa ini, modul Sumur yang berteraskan kepada 5C iaitu Murid Contoh, Cerdas, Cerdik, Cergas dan Ceria itu sudah dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).
Beliau berkata, matlamat modul itu ialah untuk melahirkan murid yang memiliki personaliti terpuji dan dicontohi murid lain serta sentiasa memburu ilmu dunia dan akhirat.
Menurut beliau, modul tersebut juga mempraktikkan amalan penjagaan kesihatan yang cemerlang dalam kehidupan seharian, mempunyai ketahanan diri dan berusaha meningkatkan daya kepimpinan serta bersemangat patriotisme.
‘‘Selain tindakan hukuman dan kaunseling, pendekatan mendekati pelajar dan kesedaran didapati memberi kesan kepada penurunan kes-kes disiplin di sekolah.
‘‘Jika modul Sumur berhasil, ia akan diperluaskan ke sekolah-sekolah lain,’’ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Modul Sumur dan Kelab Braille al-Quran peringkat Kebangsaan di Sekolah Agama Menengah Tanjung Karang, di sini hari ini.
Menurut Noh, modul Sumur selaras dengan teras kedua dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) iaitu membangunkan modal insan dan ia dilaksanakan di dalam dan luar bilik darjah.
Pakar jantung terulung negara maut nahas di Karak

Barang dah banyak naik harga ????
Harga tepung naik: Restoran cadang naikkan harga roti canai
PULAU PINANG 29 Okt. - Persatuan Restoran Islam Pulau Pinang bercadang untuk menaikkan harga makanan berasaskan tepung seperti roti canai, capati, bihun dan mee berikutan kenaikan harga tepung.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang, Lau Chiek Tuan berkata, melalui permohonan yang dibuat minggu lepas, persatuan itu mahu harga roti canai dinaikkan ke 80 sen sekeping dari 60 sen mulai bulan depan.
“Kerajaan akan menimbang permohonan persatuan tersebut. Namun cadangan kenaikan sebanyak 80 sen sekeping itu di lihat agak tinggi dan akan membebankan pengguna.
“Selain roti canai, persatuan berkenaan juga turut memohon untuk menaikkan beberapa jenis makanan lain berasaskan tepung seperti mee, bihun dan capati,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemantauan harga barang sempena perayaan Deepavali, di Jalan Penang di sini hari ini.
Pada 15 Mei lepas, harga tepung di Semenanjung dinaikkan 15 sen sekilogram iaitu pada RM1.35 berbanding RM1.20 sebelumnya.
Untuk Sabah dan Sarawak, harga baru ialah RM1.45 sekilogram berbanding RM1.30 sebelum itu.
Kenaikan harga barang kawalan itu hanya melibatkan tepung gandum serba guna dan tidak bagi tepung gandum bukan serba guna yang harganya tidak dikawal.
Harga tepung gandum tidak pernah mengalami perubahan sejak 1998 walaupun kos bahan mentah dan pengangkutannya dikatakan mengalami kenaikan setiap tahun.
- Bernama
Ulamak seumpama sebuah telaga – Prof. Dr. Saad Saad Jawish.
Isnin, 22 Oktober 2007
KAHERAH, 20 Oktober - "Ulamak seumpama sebuah telaga, tempat manusia menceduk untuk mengambil minuman darinya", kata Prof. Dr. Saad Saad Jawish.
Prof. Dr. Saad Saad Jawish yang merupakan pensyarah jurusan Usuluddin dalam bidang Hadith dari Universiti Al-Azhar ketika menyampaikan ucapan sempena Festival Konvokesyen dan Anugerah Mahasiswa-mahasiswi Cemerlang (FKAMC) ke-15 di bawah anjuran PMRAM telah melahirkan rasa gembira dengan komitmen pelajar Al-Azhar khususnya, mahasiswa-mahasiswi dari Malaysia terhadap bidang ilmu.
Beliau yang berucap sebelum penyampaian anugerah kecemerlangan kepada graduan-gradunita dan mahasiswa-mahasiswi cemerlang mengaitkan kehidupan ulamak mahupun penuntut ilmu adalah seperti telaga. Menurut beliau, umat Islam akan menjadikan ulamak tempat rujukan dan bertanyakan sesuatu berkaitan agama yang mereka tidak ketahui.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan graduan-graduanita dan mahasiswa-mahasiswi yang hadir agar memperbanyakkan bacaan, di samping membuat kajian dan juga mengikuti kelas-kelas tafaqquh.
Beliau menegaskan, Al-Azhar dan ilmu Islam bukan untuk bangsa Arab sahaja malah terbuka kepada semua umat Islam seluruh dunia.
Akhir ucapannya, beliau mengajak supaya menitikberatkan amanah dan bersama mempertahankan aqidah Islam.
Sambutan Hari Raya Peringkat PMRAM berjaya
Isnin, 22 Oktober 2007
HAYYU SABI’ 18 Oktober 2007 – Sekali lagi Perseketuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) telah berjaya mengadakan rumah terbuka sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dipanggil Haflah Idil Fitri PMRAM (HATI) untuk semua warga Malaysia yang bermukim di Mesir. Bagi siswa, lokasi yang dipilih untuk menjamu selera adalah di Rumah Kelantan Baru manakala siswi pula bertempat di rumah Melaka. Majlis bermula pada jam 12.30 tengahari dengan ucapan ringkas daripada saudara Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PMRAM yang merupakan pengarah HATI PMRAM dan ditutupi dengan ucapan daripada Presiden PMRAM, saudara Hairul Nizam Mat Husain.
Di dalam ucapan Presiden PMRAM, beliau mengingatkan kepada para hadirin agar menjadi masyarakat pelajar yang bertakwa kepada Allah dan menjauhkan diri daripada melakukan dosa kepada Allah Taala. Beliau menegaskan bahawa mahasiswa Islam di Mesir yang terdiri daripada mahasiswa jurusan Islam dan mahasiswa jurusan perubatan adalah bertanggungjawab dalam menyampaikan dakwah dan mesej Islam kepada masyarakat kelak. Ini kerana dua golongan ini adalah pengubat kepada masyarakat. Mahasiswa jurusan agama akan menjadi pengubat rohani manakala mahasiswa jurusan perubatan adalah pengubat kepada jasmani. Beliau menegaskan bahawa kemahiran para mahasiswa Islam di Mesir yang boleh mendekati masyarakat melalui ‘dua bidang perubatan’ ini perlu dijadikan sebagai pemangkin dan katalis dalam menyampaikan mesej dan dakwah Islam.
Sejurus selepas ucapan Presiden PMRAM, saudara Hairul Nizam Mat Husain, seluruh para hadirin dijamu dengan jamuan ‘nasi moi’ sempena hari raya Idul Fitri. Kedatangan para mahasiswa ke HATI PMRAM sangat menggalakkan sehingga HATI PMRAM terpaksa dilajakkan sehingga sekitar jam 5.30 petang.
PMRAM mengucapkan ribuan terima kasih kepada para tenaga pelaksana yang telah berpenat lelah di dalam menjayakan HATI PMRAM dan para hadirin yang memeriahkan HATI PMRAM yang secara tidak langsung telah mengikat tali ukhuwah Islamiah di kalangan para mahasiswa Islam di perlembahan Nil bertuah ini.
Langgan:
Catatan (Atom)