30 Oktober 2007

Sambutan Hari Raya Peringkat PMRAM berjaya

Isnin, 22 Oktober 2007 HAYYU SABI’ 18 Oktober 2007 – Sekali lagi Perseketuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) telah berjaya mengadakan rumah terbuka sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dipanggil Haflah Idil Fitri PMRAM (HATI) untuk semua warga Malaysia yang bermukim di Mesir. Bagi siswa, lokasi yang dipilih untuk menjamu selera adalah di Rumah Kelantan Baru manakala siswi pula bertempat di rumah Melaka. Majlis bermula pada jam 12.30 tengahari dengan ucapan ringkas daripada saudara Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PMRAM yang merupakan pengarah HATI PMRAM dan ditutupi dengan ucapan daripada Presiden PMRAM, saudara Hairul Nizam Mat Husain. Di dalam ucapan Presiden PMRAM, beliau mengingatkan kepada para hadirin agar menjadi masyarakat pelajar yang bertakwa kepada Allah dan menjauhkan diri daripada melakukan dosa kepada Allah Taala. Beliau menegaskan bahawa mahasiswa Islam di Mesir yang terdiri daripada mahasiswa jurusan Islam dan mahasiswa jurusan perubatan adalah bertanggungjawab dalam menyampaikan dakwah dan mesej Islam kepada masyarakat kelak. Ini kerana dua golongan ini adalah pengubat kepada masyarakat. Mahasiswa jurusan agama akan menjadi pengubat rohani manakala mahasiswa jurusan perubatan adalah pengubat kepada jasmani. Beliau menegaskan bahawa kemahiran para mahasiswa Islam di Mesir yang boleh mendekati masyarakat melalui ‘dua bidang perubatan’ ini perlu dijadikan sebagai pemangkin dan katalis dalam menyampaikan mesej dan dakwah Islam. Sejurus selepas ucapan Presiden PMRAM, saudara Hairul Nizam Mat Husain, seluruh para hadirin dijamu dengan jamuan ‘nasi moi’ sempena hari raya Idul Fitri. Kedatangan para mahasiswa ke HATI PMRAM sangat menggalakkan sehingga HATI PMRAM terpaksa dilajakkan sehingga sekitar jam 5.30 petang. PMRAM mengucapkan ribuan terima kasih kepada para tenaga pelaksana yang telah berpenat lelah di dalam menjayakan HATI PMRAM dan para hadirin yang memeriahkan HATI PMRAM yang secara tidak langsung telah mengikat tali ukhuwah Islamiah di kalangan para mahasiswa Islam di perlembahan Nil bertuah ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan