16 April 2008

Masjid perlu jadi institusi yang diminati - PM

KUALA LUMPUR 15 April — Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata masjid perlu menjadi institusi yang penting dan dapat menarik minat umat Islam mengunjunginya dengan mengadakan pelbagai aktiviti.Perdana Menteri berkata penekanan harus diberi bahawa masjid bukan hanya tempat untuk mengerjakan ibadah, sebaliknya digunakan oleh umat Islam bagi menganjurkan pelbagai kegiatan lain yang ada hubung kait dengan agama dan pada masa yang sama menjaga kesucian masjid sebagai tempat ibadah. "Saya juga mahu masjid menjadi tempat yang memberi ketenteraman kepada yang mengunjunginya oleh itu banyak yang perlu diusahakan agar fungsi masjid menjadi lebih baik. Masjid juga tidak harus menjadi tarikan hanya kepada orang tua sahaja...kita tidak mahu masjid menjadi tempat yang dijauhi oleh golongan muda,” katanya.Abdullah berkata aspek penyelenggaraan perlu diberi perhatian berat oleh pihak pengurusan masjid bagi memastikan persekitarannya sentiasa terpelihara.“Tidak semestinya masjid baru sahaja nak bersih...saya lihat Masjidil Haram yang sudah lama didirikan, tetapi keadaannya sentiasa bersih dan memberi ketenangan,” katanya ketika merasmikan Multaqa Imam-Imam Masjid seluruh negara, anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Masjid Persekutuan di sini hari ini. - Bernama"