13 September 2007

MB cuba cengkam Mufti Negeri Sembilan?

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Hrkh) - Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Mohamad Hassan didakwa tidak menghormati institusi keagamaan apabila cuba mengambil alih pengurusan Akaun Amanah Mufti Kerajaan Negeri itu, kata bekas Pengarah Pusat Aduan Rakyat KeADILan Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin. Perkara ini bukan rahsia lagi apabila merujuk kepada surat yang ditujukan kepada Mufti Negeri Sembilan, Dato' Mohd Murtadza Ahmad bertarikh 19 April lalu, kata Badrul Hisham dalam satu komentarnya terhadap perkembangan di Negeri Sembilan itu. Surat dari Setiausaha Kerajaan Negeri Surat itu ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato' Norzam Mohd Nor tentunya tidak bertindak sejauh itu jika tidak mendapat `lampu hijau’ daripada Mohamad sebagai peneraju pentadbiran kerajaan negeri, katanya. Menurutnya, surat itu dengan jelas menyatakan bahawa Akaun Amanah Mufti Kerajaan Negeri akan dikawal dan dipantau sepenuhnya oleh Pegawai Kewangan Negeri bermula 1 Mei lalu. Dengan arahan terbaru itu, semua tanggungan atau perbelanjaan yang membabitkan Akaun Amanah Mufti perlu mendapat kelulusan daripada pegawai Kewangan Negeri, katanya. Selain Akaun Amanah Mufti, semua akaun amanah di jabatan-jabatan kerajaan yang lain turut menerima nasib yang sama, katanya. Beliau mendakwa, tindakan itu dilihat sebagai usaha Mohamad mendapatkan `sumber kewangan’ bagi menampung beberapa `program Mesra Rakyat’ dan untuk beberapa agenda peribadi sejak menjadi Menteri Besar pada 25 Mac 2004. Pandangan serong ke atas MB Tindakan itu juga mengundang pandangan serong terhadap Mohamad yang didakwa cuba mencampuri urusan pentadbiran agama Islam negeri itu yang mana mufti adalah pihak berkuasa utama selepas Yang Di Pertuan Besar dalam semua perkara yang membabitkan hukum syarak, katanya. Badrul Hisham berkata, tindakan Mohamad `mengarahkan’ Norzam membuat pemantauan dan kawalan ke atas Akaun Amanah Mufti yang diwujudkan pada Ogos 2004 turut didakwa telah mempertikaikan kewibawaan Yang diPertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tunku Abdul Rahman dan Mufti Negeri Sembilan sendiri. Berlandaskan keyakinan berada di pihak yang benar, Murtadza mengatakan perasaan kesal dan membantah `arahan itu’ melalui surat bertarikh 23 April lalu, katanya. Menurut Badrul Hisham Murtadza menjelaskan, bantahan itu berlandaskan Surat Ikatan Amanah yang telah diluluskan pada 4 Ogos 2004 dengan jelas menetapkan Mufti Negeri Sembilan sebagai` pegawai pengawal’ bagi urusan terimaan dan bayaran berkaitan Akaun Amanah Mufti. Lapan alasan Mufti bantah arahan Dalam bantahannya Murtadza turut memberikan lapan alasan mengapa arahan itu perlu dibatalkan atau ditarik semula demi menjamin maruah institusi itu sebagai tembok menjamin kesejahteraan agama Islam pada masa depan, katanya. Murtadza juga menjelaskan, Akaun Amanah Mufti telah diuruskan dengan baik sehingga mendapat pengiktirafan sebagai penerima anugerah Ketua Audit Negara dalam kategori `penyata terimaan dan bayaran’ pada tahun 2005 dan 2006, kata Badrul Hisham. Dalam surat bantahan itu, Murtadza turut mengatakan perasaan kesal apabila Norzam tidak memberikan sebarang alasan yang munasabah, tiada sebarang perbincangan dan mempersoalkan keupayaan tenaga kerja pejabat Kewangan Negeri dalam usaha memantau dan mengawal akuan-akaun amanah di Negeri Sembilan, kata Badrul Hisham. Tindakan melulu itu juga dianggap boleh membawa musibah kepada tadbir urus kewangan kerajaan negeri, katanya. Sindir Norzam Ketegasan beliau sebagai mufti juga terpancar apabila `menyindir’ Norzam dengan berkata, "pegawai kewangan negeri itu tidak dapat menjiwai perjuangan untuk mendaulatkan Islam kerana tidak memahami sejarah perjuangan dan pahit maung ulama silam khususnya yang berjuang dalam kerajaan dalam usaha mendaulatkan agama Islam di bumi Adat Perpatih." Menurutnya, Akaun Amanah Mufti tenyata mampu memenuhi keperluan dana untuk menjana generasi terdidik dan berakhlak, selain berkemampuan mengawal pembaziran terutamanya hal yang berkaitan dengan penganjuran `program hiburan’ yang melampau yang giat dilaksanakan oleh kerajaan negeri kebelakangan ini, katanya. Murtadza turut menyindir Norzam dengan ungkapan ayat "Norzam mempunyai potensi yang baik serta berpeluang menikmati kenaikan pangkat, tetapi golongan yang akan terus berdepan dengan cabaran-cabaran yang menimpa umat Islam di negeri itu ialah para ulama, katanya. Mufti dan ulama benteng masyarakat Sebagai mufti dan golongan ulama di negeri itu, Murtadza juga berjanji akan terus menjadi benteng dan tempat masyarakat mengadu serta mendapat nasihat. Murtadza juga dengan tegas menyatakan akan mempertahan dan memperteguhkan institusi mufti kerana institusi itu di bawah naungan Yang Di Pertuan Besar yang merupakan Ketua Agama Islam di negeri itu seperti yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan, kata Badrul Hisham yang memetik kenyataan Murtadza. "Pengambilan akaun amanah Mufti oleh pegawai kewangan negeri diangap membawa institusi mufti kembali ke zaman kemunduran. Keputusan itu perlu ditarik balik," tegas Murtadza dalam surat balasannya kepada Norzam. Berdiri di belakang Mufti Sehubungan itu Badrul Hisham yang juga Ahli Majlis Tertinggi KeADILan dengan tegas dalam perkembangan ini berdiri di belakang Mufti Negeri Sembilan dan memohon agar beliau terus tegas dan berani mempertahankan kebenaran dan hak. Ketika zaman penjajah British dan Jepun pun jelas takut untuk menyentuh agama dan adat istiadat melayu kerana menghormati sentimen agama dan bangsa, katanya. "Namun setelah merdeka 50 tahun satu persatu hak bangsa ini diperkotak katikkan oleh penjajah 'bangsa sendiri'.Adakah Umno lebih gila dari penjajah atau melayu itu sendiri hilang maruah,"tegasnya. - mks.

PeLuang Best UnTuK Yang Tak BeRPuAsA

Kaki ponteng puasa dibawa naik van jenazah SHAH ALAM: Kaki ponteng puasa bakal berdepan hukuman dunia dan mereka akan dibawa 'bersiar-siar' di dalam van jenazah di sekitar Selangor jika ditangkap makan pada siang hari Ramadan. Mereka akan disumbat ke dalam van jenazah sebelum diarak di sekitar bandar Klang, Shah Alam atau kawasan di mana mereka ditahan untuk dijadikan pengajaran kepada individu lain. Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Mesra Rakyat dan Belia negeri, Datuk Abdul Rahman Palil, berkata ia bukan untuk memalukan individu yang ditahan tidak berpuasa sebaliknya sebagai satu cara mengajar mereka untuk menghormati bulan mulia. "Ia bakal dimulakan pada hari pertama Ramadan dan anggota penguat kuasa agama Selangor akan melakukan rondaan di sekitar premis perniagaan makanan untuk 'memburu' individu Muslim tidak berpuasa.

Bara perkauman masih mengancam negara

Sekadar mengikuti laporan akhbar tentang ucapan Tun Musa Hitam ketika menerima ijazah doktor kehormat di Universiti Malaya disebutkan sebagai berkata kira-kira, perbincangan terbuka mengenai isu-isu sensitif tidak bererti keharmonian negara sedang bermasalah. Tetapi dalam laporan ucapannya itu, banyak pula menyebutkan tentang kebimbangannya terhadap suasana masyarakat yang ada yang jika tidak ditangani sebijak mungkin, nescaya memberikan natijah negatif. Tajuk berita itu memberikan suatu gambaran seperti tiada apa-apa yang pincang dalam hubungan masyarakat majmuk yang ada itu tetapi amaran-amaram yang diberikan menampakkan satu kebimbangan yang amat mencemaskan. Apa pun Tun Musa adalah orang terbaik untuk bercakap tentang keharmonian kaum dalam negara ini. Baliau adalah orang yang mengalami sendiri suasana kecelakaan 13 Mei 1969. Kabinet yang ditubuhkan oleh kerajaan Mageran selepas peristiwa berdarah itu memberinya jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Beliau tahu sangat apa yang berlaku dan apa masalahnya. Selepas terpinggir dari politik yang aktif sementara sekutu rapatnya Dr. Mahathir dipecat dari UMNO, Tun Musa menyambung pengajian di England. Bidang kajiannya ialah hubungan kaum. Ia memberikannya mengerti urusan keharmonian yang menjadi subjek yang sangat menarik selama 50 tahun Malaysia merdeka. Pemimpin Malaysia amat suka menonjolkan isu keharmonian kaum kepada dunia dan cuba menyuapkan kepada masyarakat antarabangsa bahawa Malaysialah contoh terbaik dalam menangani masalah perkauman. Dan Malaysia sangat seronok apabila orang luar yang datang ke Malaysia menyebut dan memuji kebijaksanaan pemimpin-pemimpin Malaysia menangani isu kaum dan perkauman. Dan pemimpin-pemimpin Malaysia masing-masing menonjolkan diri sebagai orang-orang yang melepaskan diri dari pemikiran dan amalan perkauman. Sebaliknya tidak penat-penat cuba melemparkan pemikiran dan amalan perkauman itu bersarang dalam tubuh badan Lee Kuan Yew yang merajai Republik Singapura. Lee Kuan Yew Mungkinlah Singapura itu mengisi kemerdekaannya mengikut amalan perkauman. Tetapi pada hari tua Lee Kuan Yew, masalah kaum di Singapura seperti telah selesai. Semua penduduk Singapura ialah orang Singapura. Tetapi perkauman itu tidak berapa ada semasa Tanah Melayu belum merdeka. Ia berbenih semasa menuntut kemerdekaan dan benih itu berputik semasa mencapai kemerdekaan. Ia ranum ketika dalam tahun 1969 dengan ledakan kecelakaan 13 Mei itu. Semua orang berkhutbah dan mendakwahkan keharmonian bagi memadam dan membenamkan ancaman perkauman yang boleh membakar keharmonian. Ubat besarnya ialah pelancaran Dasar Ekonomi Baru (DEB). Ia projek untuk menyusun masyarakat supaya semua kelompok kehidupan tidak lagi membawa gambaran kaum. Nelayan dan petani bukan lagi Melayu. Buruh dan pekerja ladang bukan lagi India dan dunia perdagang dan bandar tidak lagi Cina. Sasarannya tercapai apabila kemiskinan terhapus dalam tempoh pelaksanan DEB itu. Akan tetapi DEB itu terus diselubungi bahang berkauman. Tujuh belas tahun selepas tempoh pelaksanaan DEB tamat, api perkauman dari kewujudan DEB itu menyala sedang matlamatnya tidak pernah tercapai malah jauh ikan dari pagang. Kira-kira 38 tahun selepas peristiwa 13 Mei, semuanya lupa akan bahaya perkauman dan sekaliannya bergerak dalam suasana sebelum kecelakaan itu. Beberapa tahun selepas 13 Mei saya menyertai satu perbincangan semua kaum dan semua pertubuhan tentang perkauman. Orang kerajaan dan pendukung kerajaan cuba meyakinkan bahawa perkauman itu sudah banyak diredakan. Saya tidak percaya kepadanya. Dia cuba meyakinkan betapa banyaknya kemungkinan peristiwa yang lebih besar dari 13 Mei telah dapat digagalkan. Gagalnya kejadian itu cuba dijadikan hujah suasana sudah baik. Tetapi pada saya hujahnya itu adalah bukti perkauman itu bertambah parah. Kejadian seperti 13 Mei itu tidak tercetus lagi kerana ia dapat dipatahkan. Apabila kemungkinan seperti itu berlaku banyak kali, bererti suasana tidak harmoni. Ia cuma tidak sempat meledak kerana sempat dicegah. Yang dikatakan sudah baik adalah apabila tidak ada sebarang kemungkinan perkara itu berkembang. Yang menyebabkan kebakaran ialah kerana adanya api. Kalau api tidak ada, tiadalah kemungkin kebakaran. Apa yang berlaku ialah api yang ada hanya terkawal. Jika terkawal, 13 Mei itu pun tidak berlaku. Tragedi 13 Mei berlaku kerana tidak terkawal. Selama 50 tahun merdeka, api dapat dikawal, tetapi masing-masing tidak berupaya memadamkan api itu. Api itu tidak dapat dipadamkan kerana kerajaan selama 50 tahun merdeka ini tidak pernah jatuh ke tangan yang tegas. Kesemuanya terdiri dari orang yang tidak tegas. Ketidak-tegasan itu menyebabkan tiada sebarang dasar yang tegas diwujudkan. Dasar pendidikan tidak tegas. Tiada yang dapat menuju kepada perpaduan. Dasar bahasa tidak tegas. Semua menuju kepada penggunaan multi-lingualisme – pengunaan kepada berbilang bahasa. Dasar kebudayaan tidak tegas sehingga menjadi budaya cacamerba. Dasar agama tidak tegas hingga agama Islam yang dikatakan agama Persekutuan tiada apa-apa kelebihan dari agama-agama lain. Kesemuanya sudah menjadi agama Persekutuan hingga agama Islam sudah dilayan seperti agama-agama lain juga. Dasar ekonomi juga tidak tegas. Ia seperti sangat pro bumiputera hingga bukan bumiputera merasakan tidak tempat untuk mereka. Tetapi dalam agihan ekonomi yang mengalir kepada bumiputera adalah terhad. Yang sepatutnya mengalir kepda bumiputera mengalir ke tempat lain juga. Api perkauman itu tidak dapat dipadamkan. Singapura telah menyelesaikan masalah perkaumannya. Tetapi perkembangan di Singapura itu adalah serambi yang memarakkan perkauman di Malaysia. Singapura mengamalkan berbagai-bagai bahasa, tetapi yang benar-benar terpakai ialah Inggeris dan Mandarin. Apa yang berkembang di Singapura itu, itulah yang ditiru untuk dikembangkan di Malaysia. Islam membangun umatnya. Umat Islam Melaysia ikut membangun. Tetapi kebangkitan tidak dapat diterima oleh semua. Ia dicurigai seperti Bush mencurigainya. Sesungguhnya keharmonian itu sangat terancam. Bilakah akan datang satu pimpinan yang tegas untuk menanganinya?

Syeikh Nuruddin Bakal Tiba Di Mesir Tidak Lama Lagi

Kedatangan ulama besar Melayu yang tidak asing lagi bagi warga mahasiswa Malaysia di bumi Mesir ini sangat dinanti-nantikan oleh keseluruhan pelajar di sini. Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki, seorang ulama yang terkemuka yang tidak jemu-jemu meluangkan masa untuk para pelajar di bumi Kinanah ini akan tiba di Mesir tidak lama lagi. Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) sekali lagi mengalu-alukan kedatangan Fadhilat Al-Syeikh Muhammad Nuruddin al-Banjari al-Makki ke bumi Kinanah ini. Syeikh Muhammad Nuruddin Al-Banjari Al-Makki dijangkakan akan tiba di bumi Mesir ini pada 13 September 2007 ini bersamaan 1 Ramadhan 1428H. Pengajian beliau akan dimulakan pada 15 September 2007. Kitab-kitab yang akan dibaca oleh beliau sebahagiannya adalah sambungan daripada kitab-kitab yang lepas. Antara kitab-kitab tersebut adalah Tahzib Mishkat Al-Masabih, Al-I’tibar Fi Al-Nasikh Wal Mansukh, Khususiyat Al-Rasul dan lain-lain. Kepada para pelajar yang masih belum mempunyai kitab boleh mendapatkan di kaunter penjualan kitab di tempat pengajian nanti. Lokasi pengajian akan dimaklumkan selepas ini. Pihak PMRAM mendahulukan jutaan terima kasih kepada pihak-pihak yang bakal membantu PMRAM di dalam melancarkan majlis pengajian ini. Semoga semua para penuntut yang cintakan ilmu Allah S.A.W. ini dapat menggunakan peluang keemasan ini dengan sebaik-baiknya.