29 September 2007

TAHNIAH BUAT YANG BERJAYA

PMRAM mengalu-alukan seluruh graduan, graduanita dan mahasiswa cemerlang yang berminat untuk menyertai Festival Konvokesyen & Anugerah Mahasiswa/wi Cemerlang yang akan diadakan pada 20 Oktober 2007. Tarikh tutup penyertaan pada 1 Oktober 2007.

Tunaikan Zakat Fitrah ...

Pada tahun ini, PMRAM sekali lagi akan melancarkan kutipan Zakat Fitrah bagi tahun 1428 Hijrah. Jumlah yang akan dikutip berdasarkan kadar yang ditetapkan oleh Dar Al-Ifta Misriyyah ialah LE 5.00 sahaja. Zakat Fitrah anda boleh dibayar kepada: saudara Khusaini Md Yusoff ( Pejabat PMRAM) atau saudari Siti Anisah Ahmad (Markaz Hewi) atau Bendahari BKAN / DPM atau Amil yang dilantik. Kepada ahli PMRAM yang disayangi, anda boleh menunaikan tanggungjawab anda dengan membayar kepada pihak-pihak di atas. Selain itu juga PMRAM juga akan membuka kaunter pembayaran sepanjang pengajian Tafaqquh Fiddin Syeikh Nuruddin di Rumah Johor.

Pengajian Syeikh Nuruddin Secara Online

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) mengucapkan syabas kepada Majlis Kebajikan Keluarga Kedah Mesir dengan kerjasama Darulbayan yang telah berjaya memancarkan pengajian Syeikh Nuruddin Al-Banjari secara langsung dari Dewan Ibnu Sina, Rumah Johor Hayyu Thamin. PMRAM juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor Mesir (BKPJM) yang sudi untuk menjadikan dewan BKPJM sebagai tempat pengajian di samping memberikan perkhidmatan internet secara percuma dalam menjayakan majlis pengajian ini. Terima kasih kepada seluruh tenaga petugas dan para ahli PMRAM yang telah menjayakan majlis ini. Sila layari pengajian Syeikh Nuruddin Marbu Al-Banjari tepat pada jam 3.45 petang waktu Mesir (9.45 malam waktu Malaysia) dan 8.45 malam waktu Mesir (2.45 pagi waktu Malaysia) di http://www.mymkkk.org/v2//.

Lailatul Qadr: Malam misteri yang dirindui kedatangannya

Umat Islam di seluruh dunia akan memasuki fasa ketiga pelaksanaan ibadat puasa serta amal-amal ibadat sunat yang lain pada minggu hadapan, ini bermakna sedar atau tidak, Ramadan tetap akan meninggalkan kita buat tempoh setahun. Apa yang perlu sama-sama kita ingatkan antara satu sama lain, ialah kenangan positif yang kita kecap sepanjang berada dalam bulan Ramadan, iaitu bulan yang dipenuhi dengan segala macam keberkatan, rahmat, keampunan Ilahi serta program-program yang dapat membebaskan diri daripada api neraka. Itulah bulan yang banyak memberi kita peluang untuk mendapatkan rahmat Allah, keampunan-Nya dari segala kesalahan yang telah kita lakukan sebelum ini, memohon kepada-Nya agar diri kita, keluarga serta anak-anak bebas daripada siksaan api neraka. Masa yang paling sesuai untuk kita lakukan kesemua itu adalah di tengah malam, di ketika ramai manusia sedang seronok tidur dan mungkin juga sebahagian mereka sedang menonton rancangan kesukaan mereka, kerana pada waktu itu suasana hening menyelubungi manusia, justeru waktu itu juga amat berkesan untuk menyatakan rasa hati kepada Maha Pencipta. Apatah lagi pada malam akhir-akhir di bulan Ramadan, terdapat satu malam yang disebut oleh Allah SWT dengan jelas sebutan namanya yang mulia dalam satu surah yang pendek, malam yang diturunkan padanya kitab suci al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia menuju jalan kebenaran dan keselamatan di dunia dan akhirat, iaitulah malam yang sangat dikenali dengan Lailatul Qadr - atau diterjemahkan sebagai malam takdir. Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!" (Quran, Al-Qadr 97: 1-5) Berdasarkan ayat di atas dapat dilihat bahawa malam al-Qadar disebut juga dengan malam yang penuh keberkatan. Sebab pada malam itu Allah mencucuri pelbagai rahmat, keampunan dan keberkatan kepada orang yang beramal dengan khusyuk dan berdoa dengan penuh keikhlasan. Kepada mereka Allah memberikan ganjaran kebaikan yang sama nilainya dengan beramal seribu bulan. Firman Allah bermaksud: "Malam al-Qadar itu itu lebih baik daripada seribu bulan" (Surah al-Qadr, ayat 3) . Sebab-sebab Allah adakan Lailatul Qadr Allah SWT Taala yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, amat menyayangi hamba-Nya yang taat beribadat kepada-Nya, ia tidak lain adalah untuk menganugerahkan kepadanya pahala-pahal yang banyak, supaya dengannya dia akan dapat masuk syurga. Terdapat beberapa pandangan ulama yang menyebut bahawa, Allah SWT mempunyai sebab kenapa Dia mengadakan Lailatul Qadr buat umat Nabi Muhammad s.a.w antara lain; Menurut Imam Malik, Rasulullah melihat bahawa umur umatnya tidak sepanjang umat sebelum mereka, baginda bermohon kepada Allah memberikan peluang di mana umatnya supaya dapat beramal dengan yang nilainya sama dengan amalan umat sebelum mereka. Sementara Imam al-Qurtubi pula berpendapat, Rasulullah diperlihatkan kepadanya usia umat terdahulu, maka Baginda berasa usia umatnya terlalu pendek hingga tidak mungkin dapat mencapai amal seperti yang diraih oleh umat terdahulu yang usianya panjang. Purata usia umat Muhammad antara 60 hingga 70 tahun menurut maksud satu hadis Rasulullah. Sebab itu Allah menawarkan malam al-Qadar yang mempunyai nilai pahala seribu bulan kepada Rasulullah, para sahabat malah kepada seluruh umat baginda s.a.w. Justeru, malam al-Qadar adalah satu kurniaan Ilahi yang dianugerahkan oleh Allah kepada Rasulullah dan umatnya sebagai tanda kasih sayang dan rahmat-Nya yang menyeluruh. Amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan selama seribu bulan atau menurut ulama sebagai 83 tahun empat bulan. Dorongan Nabi supaya umatnya terus beribadat pada malam tersebut Kerana keutamaan ini, Rasulullah menganjurkan umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan malam al-Qadar yang penuh keberkatan itu. Dalam hal ini, Rasulullah perlu dijadikan ikutan yang menampilkan teladan terpuji dalam menghidupkan malam terakhir Ramadan. Ini dilakukan dengan melaksanakan iktikaf, membangunkan keluarga agar lebih meningkatkan amalan ibadat pada malam hari dan tidak mendekati isterinya dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat di masjid seperti solat tahajud, Witir, solat Tarawih, membaca dan tadarus al-Quran serta berzikir kepada Allah dan amalan solih lain yang dianjurkanIslam. Rasulullah sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Antara yang sering Baginda baca ialah doa maksudnya: "Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih." Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar satu permohonan untuk memperoleh kebajikan dunia dan akhirat, malah untuk memantapkan langkah dan kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang dijanjikan Allah. Ini kerana doa itu sendiri membawa maksud satu permohonan yang penuh tulus dan pengharapan, di samping disusuli dengan usaha melipatgandakan amal ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah. Selain itu, setiap Muslim dianjurkan bertaubat dan memohon ampun kepada Allah daripada sebarang kesalahan dan dosa selama ini. Setiap manusia tidak terlepas daripada kealpaan dan seterusnya melakukan kesalahan yang dilarang Allah. Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya: Setiap anak Adam tidak akan terlepas daripada melakukan dosa dan sebaik-baik orang daripada kalangan yang berdosa itu ialah yang bertaubat kepada Allah. (Hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah) Berdasarkan permohonan inilah maka Allah menurunkan Lailatul Qadar. Hikmah dirahsiakan kehadirannya Sesungguhnya ayat al-Quran yang menceritakan tentang masa berlaku Lailatul Qadr, tidak dijelaskan secara jelas, kerana ia bertujuan agar manusia tidak hanya tertumpu pada satu malam sahaja jika mereka tahu malam tersebut, justeru ia dirahsiakan agar mereka menghidupkan setiap malam terakhir Ramadan dengan amalan-amalan yang pernah dilakukan oleh baginda, para sahabat dan para solihin terdahulu. Syeikh Muhammad Abduh berpendapat bahawa sebab malam itu diturunkan kepada umat Muhamad kerana Qadar itu bermakna ketentuan atau takdir. Pada malam itu Allah mula mentakdirkan agama-Nya dan memerintahkan nabi-Nya untuk menyeru manusia kepada agama yang melepaskan mereka daripada segala kehancuran dan kerosakan. Pendapat Syeikh Muhammad Abduh ini berdasarkan kenyataan bahawa al-Quran pertama kali diturunkan pada malam al-Qadar. Turunnya al-Quran pada dasarnya adalah watikah pelantikan Muhammad sebagai nabi dan rasul yang bertanggungjawab menyampaikan risalah Islam. Begitu juga dalam mengubah corak hidup manusia daripada alam jahiliah kepada suasana Islam. Ertinya malam al-Qadar itu adalah malam disyariatkan Islam kepada umat Nabi Muhammad sebagai agama penyelamat untuk seluruh alam. Ada ulama lain yang menyatakan bahawa penyebab dikatakan dengan malam al-Qadar kerana pada malam itu Allah menetapkan takdir setiap makhluk baik berupa rezeki, umur atau sakit atau sihatnya seseorang untuk jangka masa setahun, iaitu dari malam al-Qadar tahun ini hingga ke malam al-Qadar tahun depan. Mengenai jatuhnya malam al-Qadar, ulama berbeza pendapat mengenainya. Imam Nawawi berkata bahawa sebahagian ulama menyatakan malam itu bergilir dari tahun ke tahun. Ertinya apabila pada tahun ini berlaku pada malam 29 Ramadan, maka tahun akan datang datang pada malam berbeza. Hal sama dikatakan oleh Ibn Hazm bahawa Lailatul Qadar itu ada kalanya pada malam 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan. Sementara menurut jumhur ulama, Lailatul Qadar berlaku pada malam yang sama pada setiap Ramadan iaitu pada malam 27 Ramadan. Ini berdasarkan hadis Rasulullah daripada Ubai bin Ka'ab yang diriwayatkan oleh Tirmizi dan hadis dari Mu'awiyah yang diriwayatkan Abu Dawud. "Saya mendengar Rasulullah bersabda carilah Lailatul Qadar itu pada malam 27." Sebahagian sahabat dan ulama mencuba menentukan Lailatul Qadar dengan cara lain, iaitu menggunakan rumusan tertentu. Ibnu Abbas berkata bahawa surah al-Qadr itu terdiri daripada 30 kalimah. Kata salamum hiya (selamat sejahteralah malam itu) berada pada kalimah yang ke-27. Oleh itu Ibnu Abbas menyatakan bahawa malam al-Qadar berlaku pada malam ke-27. Sementara sebahagian ulama menyatakan bahawa kalimat Lailatul Qadr terdiri daripada sembilan huruf. Dalam surah al-Qadr kata-kata Lailatul Qadr itu diulang-ulang sebanyak tiga kali. Maka sembilan darab tiga adalah 27. Maknanya Lailatul Qadar itu berlaku pada malam 27. Sementara ulama lain seperti Ahmad Marzuk dan Ibnu Arabi berpendapat bahawa Lailatul Qadar itu berlaku pada malam Jumaat ganjil pada 10 malam terakhir Ramadan. Namun dalil yang paling kuat mengenai Lailatul Qadar adalah hadis daripada Aishah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari. "Carilah sedaya-upaya kamu Lailatul Qadar itu pada sepuluh malam ganjil pada akhir Ramadan." Perbezaan pendapat sahabat dan ulama ini sebenarnya adalah satu kenyataan bahawa tidak ada satu dalil jelas yang menunjukkan bila malam ini berlaku. Tetapi sahabat dan ulama bersepakat dengan hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Aishah tadi bahawa malam itu berlaku pada sepuluh malam ganjil akhir Ramadan. Menurut Prof Wahbah al-Zuhayli, sebab dirahsiakan Lailatul Qadar supaya umat Islam sentiasa berusaha beribadah pada setiap malam Ramadan tanpa menumpukan pada satu malam saja. Ini kerana setiap malam pada Ramadan memiliki hikmah dan rahsia tersendiri. Tanda-tanda berlakunya Lailatul Qadr Di antara tanda yang sempat terlihat pada masa Nabi s.a.w adalah bahwasanya ketika baginda bersujud di waktu Subuh di atas tanah yang dibasahi dengan air, ertinya bahawa pada malam itu turun hujan sehingga baginda sujud di atas tanah yang berair. Lailatul Qadr adalah malam dibukanya seluruh pintu kebaikan, didekatkannya para kekasih Allah, didengarkannya permohonan dan dijawabnya segala doa, amal kebaikan pada malam itu ditulis dengan pahala sebesar besarnya, malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Maka hendaknya kita berusaha untuk mencarinya dengan bersungguh-sungguh. Malam itu tenang dan hening, keadaannya tidak dingin dan tidak panas; siangnya pula memancarkan cahaya matahari yang warnanya pucat; pada malam itu juga malaikat Jibril akan menyelami orang yang beribadat pada malam itu dan secara tiba-tiba kita akan rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak. Ada pendapat yang berkata, bahawa orang yang menemui lailatul qadar akan melihat nur yang terang benderang di segenap tempat hingga keseluruhan ceruk yang gelap gelita. Ada pula menyatakan bahawa kedengaran ucapan salam dan kata-kata yang lain daripada malaikat. Ada juga yang melihat segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah sujud. Ada yang berkata doa permohonannya makbul. Fokus umat pada malam tersebut Lailatul Qadr seperti yang dijelaskan di atas, adalah masa yang paling sesuai untuk mengajukan segala permohonan kepada Allah SWT, apa yang perlu dilakukan pada malam tersebut ialah dengan perkara-perkara berikut: Menghayati malam tersebut dengan ibadah Beriman dengan yakin bahawa malam lailatul qadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadah. Amal ibadah itu dikerjakan kerana Allah semata-mata dengan mengharapkan rahmat dan keredhaanNya. Kesimpulan, persoalan bila sebenarnya berlakunya Lailatul Qadr, hanya Allah SWT sahaja yang tahu. Apa yang telah dinyatakan kepada kita melalui hadis-hadis Nabi s.a.w ialah tanda-tanda dan juga malam-malam yang kemungkinan berlakunya Malam al-Qadr. Berdasarkan hadis Nabi s.a.w menghidupkan 10 malam terakhir dengan beriktikaf, ramai di kalangan ulama' cenderung mengatakan bahawa malam tersebut kemungkinan besar akan berlakunya Malam al-Qadr. Mengenai cerita pelik yang berlaku, usahlah dijadikan pegangan, oleh kerana para sahabat juga mencari Malam Al-Qadr dengan berdasarkan tanda-tanda yang telah Nabi saw ceritakan kepada mereka. Malah, tidak terdapat sebarang periwayatan mengenai apa yang telah dilihat oleh para sahabat. Maka tidak melihat, tidak bermakna tidak mendapat ganjaran Malam al-Qadr! Fikir masalah umat ketika sedang beritikaf adalah ibadat Bukan sahaja melakukan ibadat qiyamullail itu dikira sebagai satu amal ibadat yang baik di sisi Allah SWT, malah memikirkan sesuatu khususnya mengenai masalah yang melanda umat Islam hari ini juga dikira sebagai ibadat yang besar, apatah lagi ketika menjalani proses beri’tikaf dalam masjid pada malam-malam terakhir Ramadan. Lebih-lebih lagi masalah umat secara global, sama ada keruntuhan moral, perilaku, akhlak di kalangan remaja lelaki mahupun perempuan, masalah krisis keyakinan terhadap Islam di kalangan mereka yang mempunyai profil tinggi dan lain-lain, kesemua itu dapat ditangani jika masing-masing memainkan peranan sebagai hamba Allah yang mempunyai jati diri sebagai orang yang bertakwa seperti yang dituntut dalam ayat mengenai matlamat pelaksanaan ibadat puasa. Fadilat Lailatul Qadr Mungkin terdapat sesetengah orang menyangka bahawa mendirikan Qiyamullail pada disepertiga (1/3) malam iaitu dengan hanya bersolat Tarawih (Qiyam Ramadan) berjemaah pada awal malam, iaitu selepas Solat Ba'diyah Isya'. Apakah orang seperti ini mendapat ganjaran atau pahala seperti mereka yang bersolat di malam Al-Qadr (sekiranya berlaku Lailatul Qadr pada malam tersebut)? Berkata Muhaddis terkenal, Sheikh Nasyirudin Al-Albani (didalam buku Risalah Qiyam Ramadan) : "Sebaik-baik malam ialah Malam Al-Qadr, kerana baginda s.a.w bersabda :'Barangsiapa yang berqiyam pada Malam Al-Qadr (berjaya mendapatkannya) dengan keimanan dan pengharapan, telah diampunkan dosa-dosa yang telah lalu' - [Hadith riwayat kedua Sheikh dari hadith Abu Hurairah, Ahmad 5/318]. Sementara Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi menceritakan mengenai syarat beramal pada malam Al-Qadr, katanya : "Membawa kepada apa yang harus dilakukan oleh seorang Islam pada malam tersebut ialah : bersolat Isya' berjemaah, Solat subuh berjemaah dan pada malamnya mendirikan qiyamullail. Di dalam Sahih diriwayatkan bahawa Nabi bersabda :"Barangsiapa yang bersolat Isya' berjemaah, seolah-olah ia berqiam di separuh malam, dan barangsiapa yang bersolat subuh berjemaah, seolah-olah ia bersolat disepanjang malam tersebut. (Riwayat Ahmad, Muslim dan lafaznya, dari hadis Osman, Sahih Jami' Saghir - 6341). Dan tujuannya ialah : Barangsiapa yang bersolat Subuh dengan tambahan-tambahan di dalam waktu Isya', adalah sebagaimana yang diriwayatkan di dalam Hadis Abu Daud dan Tirmizi : "Barangsiapa yang solat Isya' berjemaah bagaikan berqiyam separuh malam, dan barangsiapa bersolat Isya' dan Fajar bagaikan ia berqiyam sepenuh malam (sumber yang sama - 6342)." Semoga tahun ini kita mendapat rezeki untuk bertemu dengan Lailatul Qadr, iaitu satu malam yang penuh dengan misteri, supaya pahala amalan kita dilipat gandakan oleh Allah dan dikira sebagai amal-amal yang solih

Wahai anakanda di Penjara Menara Gading!

Sesungguhnya sesuatu fikrah itu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang yakin penuh dengan ajarannya, yang benar-benar ikhlas dalam usaha menegakkannya, yang mempunyai semangat yang berkobar untuk mempertahankan kewujudannya, dan di samping itu ada kesediaan yang mendorong mereka kearah berkorban serta terus bertindak menjayakannya. Keempat-empat rukun tersebut; keyakinan, kejujuran, semangat dan tindakan adalah merupakan ciri-ciri utama mahasiswa. Kesimpulan ini ialah kerana asas keimanan itu ialah hati yang cerdik; asas keikhlasan ialah sanubari yang jernih dan bersih, dan asas semangat insan ialah perasaan yang segar mekar; manakala asas bagi setiap tindakan pula ialah keazaman yang gagah lagi tabah. Itulah sebabnya anakanda, sejak dahulu hingga sekarang, tetap merupakan tiang pasak bagi kebangkitan sesuatu umat. Mereka merupakan rahsia kekuatan mana-manah kebangkitan; malahan angkatan mahasiswa jugalah yang menjadi barisan penjulang panji-panji bagi sesuatu fikrah perjuangan. Allah berfirman; Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.(Al Kahfi:13) Dengan kesimpulan inilah maka anakanda akan menghadapi kewajipan yang bertambah banyak, tugas yang semakin besar, tuntutan-tuntutan umat yang kian berlipatganda; malah dari sinilah maka amanah yang dipikulkan ke atas bahu anakanda itu akan menjadi bertambahberat. Oleh itu sepatutnya anakanda berfikir panjang, bekerja keras, bahkan mestilah anakanda menentukan sikap untuk tampil ke hadapan demi menyelamatkan umat serta menunaikan hak-hak umat dengan sempurna. Anakanda di penjara menara gading, Ada mahasiswa yang lahir serta membesar di tengah-tengah umat yang keadaannya senang lenang kerana kekuasaannya sudah kukuh dan kemakmuran hidupnya cukup mewah. Maka ia pun lebih banyak menumpukan tenaga untuk dirinya sendiri dari kepentingan umatnya, malah mungkin dia bermain-main dan berfoya dengan senang hati dan tidak berfikir apa-apa. Di samping itu ada pula mahasiswa yang lahir membesar di tengah-tengah umat yang terpaksa berjuang dan bertindak kerana mereka dijajah dan dikuasai oleh musuh; oleh itu umat tersebut terpaksa berjuang sedaya upaya untuk mengembalikan hak mereka yang dirampas, hak mereka yang dijajah. Begitu juga segala kebebasan juga telah hilang. Pada ketika itulah kewajipan utama lagi pertama bagi mahasiswa tersebut supaya menumpukan segala perhatian demi untuk kepentingan umat lebih banyak dari faedah dirinya sendiri. Ketika bertindak sedemikian itu, mahasiswa tersebut akan memperolehi kemenangan dan pelbagai kebaikan serta mencapai ganjaran dari Allah dalam bentuk kebajikan dan pahala di akhirat kelak. Anakanda yang berada di penjara menara gading hari ini, bertuah sebenarnya sebab anakanda termasuk ke dalam golongan yang kedua hingga terbukalah mata anakanda melihat umat yang terus menerus berjuang serta bertungkus lumus demi kebenaran dan kebebasan. Oleh itu, bersedialah wahai angkatan kesatria, alangkah hampirnya kemenangan itu untuk orang-orang yang beriman, dan alangkah besarnya kejayaan yang akan dicapai oleh mahasiswa yang terus menerus bekerja dan bertindak. Anakanda di penjara menara gading, Sudut yang paling merbahaya sekali dalam sesuatu umat yang sedang membangun-terutama di ketika masih dalam peringkat permulaan kebangkitan ialah lahirnya berbagai corak fikrah dan pegangan, pelbagai seruan, bermacam-macam program, pelbagai langkah dan cara yang bersimpang siur di samping lahirnya begitu banyak orang-orang yang berlagak penganjur dan pemimpin. Semua itu hanya memecah belahkan tenaga serta mencerai beraikan kekuatan yang sedia ada lalu mengendalakan tercapainya segala matlamat yang dituju. Menyedari hal inilah maka suatu kajian terhadap segala fikrah tadi serta suatu analisa perbandingan di antaranya merupakan suatu persoalan yang asasi yang mesti dilakukan oleh setiap orang yang benar-benar inginkan reformasi. Memandang semua inilah ayahanda berasa berkewajipan menerangkan dengan jelasnya kepada anakanda sekalian dari hal hakikat dan program dakwah Islam untuk kurun yang ke-14 hijrah ini. Anakanda di penjara menara gading, Sebenarnya kita telah pun beriman tanpa sebarang keraguan atau prasangkaan malah kita sudah pun yakin dengan sepenuhnya sekira-kiranya keyakinan kita ini lebih kukuh dan tegap dari gunung-ganang yang memasak bumi, lebih dari segala lubuk hati sanubari bahawa tidak terdapat sebarang apa pun jua fikrah perjuangan melainkan hanya satu sahaja fikrah yang benar-benar mampu menyelamatkan dunia yang sedang terseksa, yang benar-benar mempunyai daya upaya membimbing kemanusiaan yang sedang berada di dalam keadaan tercengang-cengan dan yang benar-benar sanggup memimpin umat manusia ke arah jalan yang sewajarnya. Fikrah atau ideologi perjuangan yang seperti itu mustahak diberi segala pengorbanan demi meninggikan kedudukannya, demi memperkenalkannya serta mendorong umat manusia supaya menghayati dengan segala jiwa raga serta memberikan dari sekecil-kecil pengorbanan hinggalah semahal-mahalnya. Fikrah yang tunggal ini tidak lain dan tidak bukan ialah “Islam yang maha suci” yang sekali-kali tidak terdapat di dalamnya sebarang apa pun jua penyelewengan, keburukan dan kesesatan yang akan menimpa sesiapa yang mengikutnya. Allah berfirman(Al-Imran:18-19): Allah menjadi saksi, dan para malaikat dan ahli cerdik pandai bahawa tidak ada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang berlaku adil terhadap makhluknya, tidak ada Tuhan melainkan Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana. Sesungguhnya ugama yang di sisi Allah itu ialah Islam. Suatu lagi firman Allah (Al-Ma’idah:3): Hari ini Aku sempurnakan bagi kamu akan ugama kamu, dan Aku penuhkan kepada kamu nikmatKu, dan redhalah Aku Islam itu sebagai ugama bagi kamu. Jelas bahawa fikrah perjuangan kita hendaklah fikrah yang bersifat Islam dengan setulin-tulinnya. Di atas dasar Islamlah fikrah kita berpijak, daripada sumbernyalah kita mendapat petunjuk. Kerana Islam maka kita ini berjuang dan demi kerana meninggikan kalimahnya maka kita bekerja serta bertindak. Fikrah kita tidak sekali dapat menyamakan sebarang sistem dengan sistem Islam, tidak sekali-kali redha mengikut sebarang pimpinan yang lain malah fikrah kita sekali-kali tidak akan patuh kepada apa jua hukum melainkan Islam. Allah berfirman (Al-Imran : 85): Dan barangsiapa mencari ugama selain dari Islam maka usahanya itu tidak sekali - kali akan di terima. Anakanda di penjara menara gading, Islam serta penganut-penganutnya pernah mengalami suatu zaman cubaan di mana mereka ditimpa dengan pelbagai kemalangan dan diselubungi oleh bencana yang bertubi-tubi. Pada ketika itulah musuh-musuh Islam telah bekerja untuk memadamkan sinarannya, cuba untuk menyembunyikan keindahannya bahkan untuk menyesatkan para pemeluknya, membantutkan pelaksanaan hukum hududnya serta melemahkan bala tenteranya di samping memutar ajaran serta hukum-hukumnya. Kadang-kadang mereka lakukan dengan cara mengurangkannya dan terkadang pula dengan jalan menambah-nambahkannya dan selain dari itu, dengan mentafsirkan hakikatnya dengan cara yang tidak sewajarnya. Dalam usaha yang jahat itu mereka mendapat peluang yang baik bila berlaku kehilangan kuasa politik dari umat Islam dan kehancuran pemerintahan sejagat mereka di samping kemerosotan semangat Muhammadiyah di kalangan bala tenteranya. Akhirnya jatuhlah seluruh umat Islam itu ke dalam genggaman umat kufur sebagai mangsa penghinaan dan penjajahan. Oleh itu tugas utama lagi pertama bagi kita wahai anakanda tercinta ialah memberi penjelasan kepada orang ramai akan hakikat segala batas agama Islam, menjelaskan kepada mereka itu dengan seberapa terang, sempurna dan jelas tanpa sebarang tambah dan tokok atau kekurangan atau sebarang kesamaran. Tugas seperti ini merupakan sudut teori bagi hakikat fikrah kita. Di samping itu kita mestilah mengajak mereka melaksanakan fikrah islam itu serta mendorong mereka demi menyelamatkannya serta membimbing mereka ke arah beramal dengan ajarannya. Sudut ini di namakan sudut amali bagi fikrah perjuangan kita. Anakanda di penjara menara gading, Pegangan kita dalam semunya itu ialah kitab Allah yang tidak pernah diresapi oleh kepalsuan sejak dulu hingga sekarang, dan keduanya ialah sunnah yang benar serta nyata datangnya dari Rasulullah s.a.w dan juga sejarah perjalanan bersih dari angkatan salaf umat Islam ini. Kita tidaklah menghendaki di sebalik usaha itu sebarang apa pun jua melainkan keredhaan Tuhan, menunaikan kewajipan dan memimpin umat manusia serta menunjuk jalan kepada orang ramai. Kita akan terus berjihad demi untuk menjayakan fikrah kita itu, dan kita akan berusaha sedaya upaya demi untuk menegakkan supaya dengan itu dapatlah kita sekalian hidup mulia atau sebaliknya biarlah kita mati secara yang mulia. Cogan kata kita ialah : Allah matlamat kami ; Rasul itu ikutan kami ; Al-Quran itu perlembagaan kami ; Jihad jalan kami; dan Mati pada jalan Allah ialah setinggi-tinggi cita-cita kami. Anakanda di penjara menara gading, Sesungguhnya Allah telah memuliakan kamu dengan menamakan anakanda semua angkatanNya, dengan mengurniakan iman kepada anakanda serta mendidik anakanda sekelian atas dasar ugamanya, dan Allah telah meletakkan anakanda di martabat tertinggi di muka dunia dan di kedudukan para da’i di kalangan orang ramai serta Allah menganugerahkan kepada anakanda kemuliaan seperti yang dianugerahkannya kepada maha guru di hadapan muridnya. Allah berfirman (Al-Imran : 110): Kamulah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk memimpin umat manusia: iaitu kamu menyuruh berbuat kebaikan, dan kamu menegah dari kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah. Allah berfirman (Al-Baqarah : 143): Demikianlah pula Kami jadikan kamu umat pertengahan supaya kamu menjadi saksi terhadap umat manusia. Oleh itu perkara yang pertama sekali yang Allah menyeru ialah hendaklah anakanda mempunyai keyakinan diri sendiri, dan hendaklah anakanda menyedari martabat diri anakanda dan yakinlah bahawa anakandalah sebagai tuan di dunia walaupun musuh-musuh kamu sudah tentu ingin melihat kamu berada di dalam kehinaan. Hendaklah anakanda yakin bahawa anakanda adalah sebagai guru kepada umat-umat di dunia walaupun pada waktu-waktu yang tertentu orang lain pernah mengatasi anakanda dalam sesuatu sudut yang tertentu; namun demikian, kemenangan terakhir adalah di tangan orang-orang yang bertaqwa jua.

Perang Badar inspirasi umat Islam di bulan Ramadan

Setelah penghijrahan baginda Nabi s.a.w ke Madinah, permusuhan kaum kafir Quraish terhadap umat Islam masih belum reda. Penyiksaan dan gangguan mereka kepada kaum muslimin yang masih berada di Mekah dan tidak dapat keluar dari kota itu semakin menjadi-jadi. Pada sudut yang lain pula harta benda yang ditinggalkan oleh mereka yang telah berhijrah ke Madinah dirampas oleh Quraish. Hal inilah yang menjadi dasar bagi baginda Rasulullah s.a.w untuk menyekat kafilah dagang Quraish yang melintas dekat Madinah dalam perjalanan perniagaan menuju Syam atau dari Syam menuju Mekah. Tahun kedua hijrah, Rasulullah s.a.w bersama 313 sahabatnya bergerak menuju Badar untuk menyekat kafilah Quraish yang membawa harta berlimpah hasil dari perniagaan di Syam. Setelah mendengar berita itu, Abu Sufyan, yang memimpin kafilah ini, mengirimkan utusannya ke Mekah untuk meminta bantuan tentara Quraish dalam menghadapi ancaman ini. Bagi Quraish, sekatan kafilahnya oleh kaum muslimin tidak bererti kerugian harta tetapi apa yang paling penting baginya ialah kehormatan suku besar di Mekah ini. Untuk itu, Abu Jahl yang merupakan salah seorang bangsawan terkemuka Quraish bersama seribu orang lengkap dengan peralatan perang meninggalkan kota Mekah dan bergerak menuju Badr. Sementara kafilah pimpinan Abu Sufyan dengan melintasi jalan alternatif berjaya meloloskan dari sekatan kaum muslimin. Abu Sufyan mengirimkan utusannya untuk meminta Abu Jahl kembali ke Mekah kerana baginya dia telah berjaya melepaskan diri daripada sekatan bahaya itu. Namun pesanan itu ditolak oleh Abu Jahl beliau segera bersiap untuk berperang bagi menghadapi pasukan Islam Madinah. Di Badar, pasukan muslimin yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w telah bersiap siaga sepenuhnya. Pasukan kecil berjumlah 313 orang dan peralatan yang ala kadarnya, siap menghadapi seribu orang di barisan Quraish yang lengkap bersenjata. Namun keimanan yang dimiliki oleh umat Islam menjadi sandaran dan pendorong mereka untuk tegar dan siap menanti kematian di jalan Allah yang basalannya adalah syurga. Tepat pada tarikh 17 Ramadan tahun kedua hijrah, perang di Badar berkecamuk setelah dimulai dengan konfrantasi iaitu satu lawan satu antara tiga pihak dari dua barisan perang. Satu demi satu wakil musuh terkorban. Darah bersimbah di sana sini. Tak lama, berita tersebar bahwa Abu Jahl yang pernah disebut Rasulullah sebagai Firaun di tengah umat ini tewas di tangan pasukan muslimin. Dengan terbunuhnya Abu Jahl dan beberapa pemuka Quraish di medan perang Badar menjadi pukulan hebat bagi pasukan Mekah yang akhirnya memilih untuk melarikan diri. Dalam perang Badar, pasukan Quraish menderita kerugian tujuh puluh tewas dan tujuh puluh yang lain menjadi tawanan. Sementara barang rampasan perang yang ditinggalkan bukanlah jumlah yang sedikit, dianggarkan sebanyak 150 unta, sepuluh kuda, sejumlah kulit dan kain, serta peralatan perang ditinggalkan oleh pasukan Mekah yang lari tunggang langgang menyelamatkan diri. Suasana pada malam tercetusnya perang di Badar Malam itu terjadi beberapa keajaiban, perasaan takut dan tertekan yang ada pada kaum Muslimin tiba-tiba hilang, pasukan Islam menikmati malam itu dengan senang dan tenang, dan akhirnya tertidur dengan puas. Hujan pun turun, membasahi pasir padang Badar sehingga menjadi padat dan lembut apabila dipijak (pasir dalam keadaan kering, seperti pasir pantai, membuat susah berjalan). Inilah seperti yang dijanjikan Allah dalam Al Anfaal (surat kedelapan) ayat 8: "(Ingatlah), ketika Allah menjadikan kamu mengantuk sebagai suatu ketenteraman daripada-Nya, dan Allah menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk menyucikan kamu dengan hujan itu dan menghilangkan dari kamu gangguan-gangguan setan dan untuk menguatkan hatimu dan memperteguh dengannya telapak kaki (mu)." Subuh hari, Abu Bakar "menganggu" ibadah Rasul karena kafir Quraish sudah semakin hampir mendekati umat Islam. Pasukan Islam dengan segera membuat persiapan, ketika pasukan kafir Quraish sudah kelihatan jelas oleh Rasul, Rasul memanjatkan doa, "Ya Allah! Kaum kafir Quraish yang enggan untuk menyembahMu dan mendustai utusanMu sudah berada di sini. Ya Allah, kami menunggu dan megharapkan daripadaMu kemenangan yang Engkau janjikan kepadaku dan sahabat-sahabatku. Kami memohon kepadaMu, ya Allah, untuk mengalahkan mereka." Rasulullah minta pendapat sahabat sebelum berangkat ke Badar Sebaliknya pihak Muslimin, yang sudah kehilangan kesempatan mendapatkan harta rampasan, sudah sepakat akan bertahan terhadap musuh bila diserang. Oleh karena itu merekapun segera berangkat ke tempat mata air di Badar itu, dan perjalanan ini lebih mudah lagi karena waktu itu hujan turun. Setelah mereka sudah mendekati mata air, Rasulullah berhenti. Ada seseorang yang bernama Hubab bin Munzir bin Jamuh, orang yang paling mengetahui atau disifatkan sebagai seorang pakar tentang mengenal tempat itu, setelah melihat Nabi turun di tempat tersebut, dia bertanya: "Rasulullah, bagaimana pendapat tuan untuk berhenti di tempat ini? Kalau ini sudah wahyu Tuhan, kita takkan maju atau mundur setapakpun dari tempat ini. Ataukah ini sekadar pendapat tuan sendiri, suatu taktik perang belaka?" "Sekadar pendapat saya dan sebagai taktik perang," jawab Rasulullah. "Rasulullah," katanya lagi. "Kalau begitu, tidak tepat kita berhenti di tempat ini. Mari kita pindah sampai ke tempat mata air terdekat yang tahu tempat itu dengan penuh yakin, lalu telaga-telaga kering yang di belakang itu kita timbun setelah diambil airnya. Selanjutnya kita membuat kolam, kita isi sepenuhnya. Barulah kita hadapi mereka berperang. Kita akan mendapat air minum, mereka tidak." Melihat saran Hubab yang begitu tepat itu, Nabi Muhammad dan rombongannya segera pula bersiap-siap dan mengikut pendapat temannya itu, sambil mengatakan kepada sahabat-sahabatnya bahawa dia juga manusia seperti mereka, dan bahawa sesuatu pendapat itu dapat dimusyawarahkan bersama-sama dan dia tidak akan menggunakan pendapat sendiri di luar mereka. Dia perlu sekali mendapat konsultasi yang baik dari sesama mereka sendiri. Selesai kolam itu dibuat, Sa'd b. Mu'az memberikan usulnya: "Rasulullah," katanya, "kami akan membuatkan sebuah dangau buat tempat Tuan tinggal, kenderaan Tuan kami sediakan. Kemudian biarlah kami yang menghadapi musuh. Kalau Tuhan memberi kemenangan kepada kita atas musuh kita, itulah yang kita harapkan. "Tetapi kalau pun sebaliknya yang terjadi; dengan kenderaan itu Tuan dapat menyusul teman-teman yang ada di belakang kita. Rasulullah, masih banyak sahabat-sahabat kita yang tinggal di belakang, dan cinta mereka kepada tuan tidak kurang dari cinta kami ini kepada tuan. "Sekiranya mereka dapat menduga bahawa tuan akan dihadapkan pada perang, nescaya mereka tidak akan berpisah dari tuan. Bagi mereka Tuhan menjaga tuan. Mereka benar-benar ikhlas kepada tuan, berjuang bersama tuan." Nabi Muhammad s.a.w sangat menghargai dan menerima baik saranan Sa'd itu. Sebuah dangau buat Nabi lalu dibangunkan. Jadi bila nanti kemenangan bukan di tangan Muslimin, ia takkan jatuh ke tangan musuh, dan masih akan dapat bergabung dengan sahabat-sahabatnya di Yathrib. Di sini orang perlu berhenti sejenak dengan penuh kekaguman, kagum melihat kesetiaan Muslimin yang begitu dalam, rasa kecintaan mereka yang begitu besar kepada Rasulullah, serta dengan kepercayaan penuh kepada ajarannya. Semua mereka mengetahui, bahawa kekuatan Quraish jauh lebih besar dari kekuatan mereka, jumlahnya tiga lipat ganda banyaknya. Tetapi, sungguhpun begitu, mereka sanggup menghadapi, mereka sanggup melawan. Dan mereka inilah yang sudah kehilangan kesempatan mendapatkan harta rampasan. Tetapi sungguhpun begitu karena bukan pengaruh kebendaan itu yang mendorong mereka bertempur, mereka selalu siap disamping Nabi, memberikan dukungan, memberikan kekuatan. Dan mereka inilah yang juga sangsi, antara harapan akan menang, dan kecemasan akan kalah. Tetapi, sungguhpun begitu, fikiran mereka selalu hendak melindungi Nabi, hendak menyelamatkannya dari tangan musuh. Mereka menyiapkan jalan baginya untuk menghubungi orang-orang yang masih tinggal di Medinah. Suasana yang bagaimana lagi yang lebih patut dikagumi daripada ini? Iman mana lagi yang lebih menjamin akan memberikan kemenangan seperti iman yang ada ini? Menentukan nasib 70 orang tawanan Baginda Rasulullah s.a.w mencari kesempatan dan ruang ada untuk bertemu dua sahabat terdekatnya bagi meminta pandangan mereka berdua berhubung isu tawanan. Abu Bakar menyatakan bahawa setiap seorang daripada mereka mengajar sepuluh anak orang Islam dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan, agar kesemua mereka hingga berjumlah 700 anak orang-orang Islam menjadi pandai dan celik ilmu, inilah juga pandangan peribadi Rasulullah s.a.w. Walau bagaimanapun, Omar tidak bersetuju dengan pandangan itu, beliau mencadangkan agar setiap mereka itu dibunuh sahaja, kerana merekalah penyebab kepada masalah syirik dan penentangan terhadap ajaran-ajaran baginda Rasulullah kalau masih mahu mereka terus hidup. Rasulullah tidak dapat berkata apa-apa terhadap dua pandangan yang sama sekali bercanggah antara satu sama lain, namun pada malam itu baginda menerima turunnya wahyu Ilahi agar kesemua tawanan itu dihapuskan dari muka bumi ini, kisah itu dirakan menerusi ayat 67 surah al-Anfal : "Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai (menyimpan) tawanan sebelim ia dapat melumpuhkan musushnya di muka bumi. Kamu mengharapkan harta benda duniawi sedangkan Allah menghendaki (pahala) akhirat untukmu. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." Keesokan harinya, baginda bertemu semula dengan dua orang sahabat karibnya bagi menyatakan ketegasan Allah mengenai masalah tawanan, sambil baginda menyifatkan sikap Abu Bakr seperti Nabi Nuh dan Isa dan menyifatkan sikap Omar seperti Nabi Ibrahim dan Musa yang sentiasa tegas dalam segenap tandak-tanduknya. Akhirnya baginda Rasulullah s.a.w menyatakan arahan Allah supaya kesemua tawanan itu perlu dihapuskan daripada muaka bumi ini dengan segera sebelum berbagai-bagai tindakan lain muncul bagi melemahkan Islam dan umatnya. Mengapa perang ini begitu istimewa? Pertama, karena Perang ini Rasulullah beserta pasukannya mengalami kemenangan meskipun hanya berjumlah 313 orang sahabat (terdiri dari 82 Muhajirin, 61 dari suku Aus dan 170 dari suku Kharaj) serta pasukan kaum muslimin hanya memiliki dua ekor kuda dan 70 ekor unta, bahkan satu ekor dinaiki sampai dua tiga orang. Kedua, baginda mengadakan mesyuarat terlebih dahulu sebelum berangkat ke Badr, sesungguhnya tindakan baginda itu tidak sedikitpun mengurangkan kedudukannya sebagai seorang pemimpin tertinggi umat Islam dan perkara bagi menentukan nasib para tawanan yang berjumlah seramai 70 orang, baginda meminta pandangan dua orang sahabatnya yang terdekat iaitu Saidina Abu Bakr dan Saidina Omar Bin al-Khattab untuk menyelesaikan masalah tersebut. Ketiga, peranan doa yang diajarkan oleh baginda menjadi teras dan pemangkin sebelum sesuatu tindakan dibuat, ia bertujuan untuk mendapatkan keredaan dan restu Allah. Keempat, walaupun menghadapi suasana getir dalam peperangan, ia sedikitpun tidak mengalang umat Islam daripada terus berpuasa, apatah lagi ia merupakan arahan Rasulullah dan pelengkap kepada rukun Islam yang lima. Kelima, jumlah yang sedikit bukan ukuran untuk mudah dikalahkan, yang penting kesungguhan, keutuhan jati diri, kerjasama dan perancangan yang hebat menjadi penentu kepada sesuatu kejayaan. Keenam, kepatuhan kepada arahan pimpinan yang tidak berbelah bagi dalam perkara yang tidak menyanggah agama, menjadi faktor utama keberhasilan mendapatkan kejayaan. Ketujuh, mengetahui sumber peralatan perang pihak musuh seperti pengetahuan Nabi terhadap bilangan unta yang dimiliki tentera Quraish boleh membantu melancarkan strategi peperangan. Kelapan, menghantar wakil bertemu pihak musuh dari kalangan individu yang hebat seperti Saidina Hamzah, Saidina Ali boleh menggerunkan pihak musuh, kerana mereka beranggapan bahawa pihak umat Islam memiliki pasukan perang terkuat yang sukar dikalahkan. Kesembilan, menghalakan niat dan matlamat perang menghadapi musuh adalah kerana Allah dan meninggikan syiar-syiar agama-Nya, bukan atas tujuan meraih harta dan habuan dunia yang melalaikan. Kesepuluh, cara berfikir yang bernas patut dilontarkan ketika mengadakan sesuatu perbincangan untuk mencari jalan penyelesaian seperti yang dilakukan oleh Abu Bakr dan Omar bagi menyelesaikan isu tawanan perang. Kesebelas, sebagai seorang Nabi, baginda tidak sedkitpun rasa malu untuk menerima pandangan dari sahabatnya yang bukan bertaraf Nabi atau Rasul dalam isu-isu tertentu bagi mencari jalan penyelesaiannya. Keduabelas, sesungguhnya banyak pengajaran positif yang perlu diambil kira oleh setiap individu muslim yang cintakan agamanya ke arah satu tahap kekuatan dalam pelbagai aktiviti harian hidup mereka.

26 September 2007

Tazkirah Ramadan: Nuzul Quran merubah sikap Muslim

Sesungguhnya dengan turunnya al-Quran pada bulan Ramadan sejak lebih 1,400 tahun lalu, telah menyelamatkan manusia daripada melakukan tabiat serta tingkah laku yang tidak selari dengan fitrah mereka sendiri. Ia menjadi inspirasi ke arah kebaikan kerana di dalamnya penuh dengan ayat-ayat yang mampu merubah sikap manusia kepada sesuatu yang positif dalam hidup mereka. Sayidina Omar bin al-Khattab yang dulunya dikenali sebagai seorang yang bengis dan amat membenci Rasulullah s.a.w. telah menemui jalan terbaik dalam hidupnya apabila dipertemukan dengan al-Quran yang akhirnya memeluk Islam. Yang menariknya, Omar telah memeluk Islam hanya kerana membaca dan menatap beberapa potong ayat Quran daripada surah Taha dan setelah mengucap dua kalimah syahadah. Omar menjadi seorang Muslim yang amat komited dan yakin dengan Islam. Omar, setelah mengucap, terus mengisytiharkan keislamannya kepada seteru tradisi Rasulullah termasuk Abu Jahal. Begitulah jauhnya perbezaan Omar dengan umat Islam pada akhir zaman ini. Tetapi yang peliknya, Omar dan umat akhir zaman juga mengharapkan untuk mendapat syurga dan rahmat pada hari pembalasan, sedangkan cara hidup dan keyakinan mereka amat berbeza. Apa yang dimaksudkan dengan Nuzul al-Quran? Nuzul yang diambil daripada perkataan bahasa Arab diertikan sebagai penurunan, sementara al-Quran pula merupakan kitab Allah yang diberikan kepada Nabi akhir zaman iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Jadi istilah Nuzul al-Quran boleh diertikan sebagai penurunan al-Quran ke atas baginda Rasulullah sebagai petunjuk kepada umat manusia sejagat. Waktu turunnya al-Quran? Allah menjelaskan dalam surah al-Qadr, bahawa al-Quran diturunkan pada malam yang dikenali sebagai “Lailatul Qadr”, pokok daripada ajaran isi kandungan surah ini ialah al-Quran mula diturunkan pada malam tersebut yang nilainya lebih baik daripada 1,000 bulan, para Malaikat dan Jibril turun ke dunia pada malam tersebut untuk mengatur segala urusan. Surah al-Qadr ini pula diturunkan di kota Makkah dan dihimpunkan dalam surah-surah Makkiyyah, iaitu surah yang diturunkan sebelum hijrah baginda Rasulullah s.a.w ke Madinah, isi pengajarannya ialah beriman kepada Allah dan rukun-rukun iman yang lain. Kenapa al-Quran diturunkan dan apakah fungsinya yang sebenar? Dalil daripada al-Quran: 1- Ayat 15-16 surah al-Maidah : “Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya (Nabi Muhammad) dari Allah dan kitab yang menerangkan (al-Quran). Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredaan-Nya ke jalan keselamatan, (dan dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari kegelapan kepada cahaya yang terang benderang dengan izin-Nya dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus.” 2- Dalam ayat 9 surah al-Hadid : “Dialah (Allah) yang menurunkan kepada hamba-Nya (Muhammad) ayat-ayat yang terang (al-Quran) supaya Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya (Islam).” Jelas dari keterangan kedua-dua ayat di atas menunjukkan bahawa fungsi sebenar penurunan al-Quran ke atas manusia, tidak lain adalah untuk menyelamatkan mereka dari terus berada dalam kegelapan dunia yang terpaksa meraba-raba serta tanpa hala tuju hidup yang jelas dan sempurna kepada cahaya Islam, tidak cukup dengan itu, Allah SWT melalui kitabNya itu bertujuan untuk memimpin mereka ke jalan yang benar dengan memberikan kepada mereka petunjuk kebenaran agar mereka ditempatkan ke dalam syurga di akhirat kelak. Dalil daripada hadis Nabi Muhammad s.a.w.: “Dari Ali Karramallahu Wajhahu, katanya: Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah Salallahu Alayhi Wasallam bersabda: "Sesungguhnya akan berlaku fitnah yan banyak." Aku pun bertanya: "Apakah jalan keluar darinya duhai Rasulullah?" Baginda menjawab: Kitabullah (al-Quran). Kerana di dalamnya terdapat kisah-kisah orang dan perkara sebelum kamu dan perkhabaran tentang apa yang akan datang sesudah kamu; dan terdapat di dalamnya hukum-hakam di antara kamu; Ia (al-Quran) adalah kata putus dan bukan senda gurau; sesiapa yang meninggalkannya (menolaknya) kerana sombong, ia akan dibinasakan oleh Allah; dan sesiapa sahaja yang mencari petunjuk selain darinya akan disesatkan oleh Allah; Ia adalah tali Allah yang teguh dan ia adalah pengajaran (peringatan) yang bijaksana. Ia adalah as-Siratul Mustaqim (jalan yang lurus); Ia adalah kitab yang dengan sebab berpegang teguh kepada ajarannya, hawa nafsu seseorang tidak akan menyeleweng dan terpesong; dan Ia adalah kitab yang kalimah-kalimahnya tidak samar dan berputar-belit; dan para ulama pula tidak pernah puas menggali ilmu darinya (demikian juga) keindahan, kemanisan dan kelazatan membacanya tidak akan pernah hilang dan kandungannya menakjubkan, tidak berkesudahan. Ia adalah kitab yang jin tidak berhenti mendengarnya sehingga mereka berkata, "Sesungguhnya kami mendengar bacaan al-Quran yang menakjubkan, ia menunjuk ke jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya." Sesiapa sahaja berkata dengannya, benarlah perkataannya; sesiapa yang beramal dengannya, dia akan diganjari pahala, sesiapa yang berhukum dengannya, adillah dia dan sesiapa yang menyeru kepadanya, nescaya dia akan diberi petunjuk Siratil Mustaqim (jalan yang lurus) - HR Tirmizi dan Darimi. Keterangan maksud hadis mengenai fungsi al-Quran Memang benar dan tepat sekali penjelasan baginda s.a.w. seperti dalam hadis di atas, bahawa pada akhir zaman akan berlaku terlalu banyak fitnah yang ditimpakan ke atas Islam dan Muslimin. Sama ada fitnah itu dilakukan oleh mereka yang bukan Islam yang menaruh sifat benci amat mendalam serta dendam kesumat terhadap Islam dan umatnya, ataupun dilakukan sendiri oleh mereka yang bernama Islam. Antara fitnah yang dilakukan oleh orang Islam sendiri seperti meninggalkan solat tanpa alasan atau sebab yang boleh diterima kerana menonton pertandingan bola sepak, pertandingan akhir mencari juara bintang popular dan sebagainya, tidak kurang juga golongan remaja muda dan tua yang tidak mengenakan kod berpakaian yang disyariatkan oleh Allah SWT, terlibat dalam pembunuhan, perjudian, rasuah, pecah amanah, penipuan dalam pilihan raya dan banyak lagi. Kesemua yang disebutkan itu adalah fitnah yang menyukarkan golongan pendakwah untuk menyampaikan mesej Islam kepada bukan Islam tentang keindahan agama Islam kerana tindakan-tindakan liar itu menjadi batu penghalang kepada bukan Islam untuk menerima Islam, ataupun minat, cenderung atau simpati kepadanya. Justeru, yang boleh menyelamatkan keadaan dan dari fitnah-fitnah tersebut adalah kitab suci al-Quran, kerana tujuan ia diturunkan seperti yang dijelaskan dalam ayat-ayat di atas adalah untuk meneylamatkan bangsa manusia serta mempimpin mereka ke jalan kebenaran. Cara bagaimana al-Quran diturunkan Menurut Imam as-Suyuti dalam kitabnya al-Itqan: Al-Quran diturunkan ke langit dunia pada malam al-Qadr secara sekali gus, kemudian diturunkan pula secara berperingkat selama dua puluh tahun, ada pendapat yang mengatakan dua puluh tiga tahun dan ada pula dua puluh lima tahun sejak Nabi Muhammad dilantik menjadi Nabi dan Rasul berdasarkan peristiwa dan keadaan tertentu yang hanya diketahui oleh Allah SWT pada tempoh tersebut. Tetapi kenapa al-Quran diturunkan sekali gus ke langit dunia dan diturunkan tidak sekali gus malah berperingkat-peringkat ke atas baginda, perkara ini telah dijawab oleh Allah menerusi ayat 32 surah al-Furqan yang bermaksud: “Berkatalah orang-orang Kafir : Mengapa al-Quran itu tidak diturunkan kepada (Muhammad) sekali turun sahaja? Demikianlah (dengan cara itu) supaya Kami perkuatkan hatinya dan Kami membacanya kelompok demi kelompok (secara ansur-ansuran).” Surah pertama turun dalam al-Quran Menurut Imam as-Suyuti, surah pertama turun secara keseluruhan isi kandungannya ialah surah al-Muddathir, sementara riwayat Imam at-Tabarani pula surah yang sempurna diturunkan ialah al-Fatihah dan ada pendapat yang mengatakan ialah surah al-Alaq yang diturunkan hanya lima ayat pertama. Walau bagaimanapun mengikut susunan para ulama: Surah al-Alaq yang pertama diturunkan secara mutlak mengikut pendapat jumhur. Surah al-Muddathir pertama diturunkan dalam konteks menyampaikan mesej dakwah. Surah al-Fatihah pula pertama diturunkan sebagai pembuka kepada surah-surah lain dalam al-Quran. Ayat terakhir turun dalam al-Quran Perkara ini juga diperselisihkan oleh beberapa pendapat ulama berdasarkan riwayat hadis tertentu: Pendapat pertama: Ayat terakhir turun ialah ayat mengenai pengharaman riba daripada ayat 278 surah al-Baqarah: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu benar-benar orang-orang yang beriman.” ia diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Ibnu Abbas. Pendapat kedua: Ayat 281 surah al-Baqarah: “Dan peliharalah diri kamu dari (azab yang terjadi) pada hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah.” Ia berdasarkan riwayat an-Nasaie daripada Ibnu Abbas dan Said Bin Jubair. Pendapat ketiga: Ayat 282 surah al-Baqarah yang menceritakan tentang kesaksian dalam muamalat, iaitu ayat yang terpanjang dalam al-Quran. Ia berdasarkan riwayat Said Bin al-Musaiyab. Pendapat keempat: Ayat 3 surah al-Maidah: “Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan kepada kamu nikmat-Ku dan Aku reda Islam itu menjadi agama bagi kamu.” Perbezaan pendapat di atas berlaku adalah disebabkan riwayatnya tidak sampai kepada Nabi Muhammad s.a.w, ia hanya terjenti setakat di kalangan para sahabat, maka masing-masing menyatakan keyakinan yang dipercayai yang tidak menjejaskan pegangan akidah mereka, walau bagaimanapun menurut para ulama, kecenderungan mereka kepada pendapat keempat berdasarkan apa yang dibacakan oleh baginda sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir untuk bertemu Tuhannya. Apakah yang ada dalam al-Quran? Sesungguhnya isi-isi kandungan meliputi pelbagai aspek yang diperlukan oleh manusia bagi mengurus kehidupan mereka dengan lebih sistematik. Dalam al-Quran terdapat ayat yang mengisahkan tentang cerita orang-orang terdahulu dan akan datang (pada hari kiamat) yang sepatutnya menjadi contoh teladan umat Islam hari ini, kerana ayat-ayat cukup sesuai sampai bila-bila, ini menunjukkan bahawa Allah SWT yang memiliki kitab suci tersebut bersifat Maha Sempurna dalam segenap tindak-tanduk-Nya. Tidak kurang juga al-Quran memberi panduan untuk beramal ibadat seperti ayat-ayat wuduk, solat, perkahwinan, sistem kewangan, politik, ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan, alam sekitar, sains, kaji hayat, sejarah dan banyak lagi yang tidak dapat untuk disenaraikan satu persatu di sini. Ia juga merakamkan ayat mengenai akidah, ibadat, hubungan manusia dengan Tuhannya, penganjuran supaya berakhlak mulia dan meninggalkan akhlak tercela, cerita tentang azab dan nikmat, syurga dan neraka dan lain-lain. Apa yang penting, al-Quran bukanlah kitab kuno atau doktrin yang hanya sesuai di zaman unta semata-mata seperti yang didakwakan oleh sesetengah para ilmuan termasuk di kalangan orang Islam, malah ia lebih kepada kitab yang memberi pedoman dan panduan berguna menuju jalan keselamatan hidup di dunia dan akhirat dalam segenap bidang yang mereka perlukan. Sikap Muslim terhadap al-Quran Tidak semua di kalangan manusia yang bernama Islam memiliki cita-rasa yang sama terhadap al-Quran, perkara ini ditegaskan sendiri oleh Allah SWT menerusi ayat 32 surah Fatiir yang bermaksud: “Kemudian kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yanag kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menganiayai diri mereka sendiri, ada di antara mereka yang bersederhana dan di antara mereka ada yang berlumba-lumba untuk berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu adalah kurniaan yang amat besar.” Sesungguhnya di kalangan hamba Allah yang diwariskan Allah al-Quran kepada mereka adalah yang bernama Islam (Muslimun), sedangkan Kristian, Sekular, Kapitalis, Sosialis, Komunis dan sebagainya adalah hamba Allah yang menolak kebenaran al-Quran secara mutlak. Namun dalam ayat di atas terdapat tiga jenis manusia di kalangan hamba Allah yang Islam yang berbeza pendirian atau sikap mereka terhadap al-Quran: 1- Yang menganiayai diri mereka sendiri : Iaitu golongan yang kesalahan dosa mereka lebih banyak daripada pahala kebaikan, kerana mereka tidaka membaca al-Quran, mentelaah, berdiskusi apatah lagi untuk beramala dengan perintah Allah di dalamnya. 2- Adapun golongan yang bersederhana : Ialah golongan di mana kesalahan dosa mereka sama banyak dengan pahala, mereka adalah golongan yang membaca al-Quran tetapi belum bersedia untuk melaksanakan isi-isi kandungannya yang terdiri daripada hukum-hakam Allah. 3- Sementara golongan yang berlumba-lumba untuk berbuat kebaikan : Ialah golongan yang amat banyak kebaikan yang dilakukannya dan amat jarang berbuat kesalahan, mereka adalah golongan yang bersedia untuk melaksanakan hukum perintah Allah dalam al-Quran seperti hukum Hudud, Qisas dan Ta’zir, kerana hukum-hukum itu sahaja yang mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh umat manusia sepanjang masa. Terserahlah kepada kita untuk meletakkan kedudukan diri di antara tiga jenis orang Islam seperti ayat di atas, apa yang jelas, al-Quran bukanlah kitab untuk dipertandingkan semata-mata, malah lebih daripada itu bagi mencapai maksud untuk mendapatkan cahaya keredaan Allah SWT. Contoh ayat motivasi dalam al-Quran yang sepatutnya dikuasai 1- Sesungguhnya yang membaca al-Quran serta menyelidiki hikmah di dalamnya adalah mereka yang bernama Islam, kerana orang bernama Ah Chong atau Arumugam tidak sekali-kali membacanya melainkan mereka hendak mendekati Islam, tetapi yang menjadi tanda tanya di sini, mengapa Allah lontarkan persoalan kepada seorang Muslim yang membaca al-Quran seperti pertanyaan-Nya dalam ayat 101 surah Ali ‘Imran yang bermaksud : “Bagaimana kmu sampai menjadi kafir, pada hal ayat-ayat (al-Quran) dibacakan kepada kamu dan Rasul-Nya pun berada di tengah-tengah kamu?” Ayat di atas menunjukkan kepada kita bagaimana terdapat di kalangan orang Islam menjadi kafir sedangkan al-Quran dan Rasulullah berada di sisinya, iaitu apabila menganjurkan Musabaqah Tilawah al-Quran, mengadakan majlis Maulidur Rasul, Maal Hijrah, Israk Mikraj dan sebagainya, namun akhirnya tidak dapat menerima petunjuk Allah malah menjadi golongan yang menentang (kafir) kebenaran. 2- Menerusi ayat 10 surah Fatir bermaksud: “Sesiapa yang mahukan kemuliaan, maka bagi Allah-lah kemuliaan itu semuanya, kepada-Nyalah naik perkataan-perkataan yang baik dan amal solih dinaikkannya.” Ayat di atas menggambarkan kepada bagaimana Allah SWT memberikan kemuliaan kepada kita sebagai manusia akan kemuliaan-Nya agar kita menjadi golongan yang mulia, ia menunjukkan bahawa dengan cara memberi atau mendengar perkataan dalam majlis ilmu, kuliah, ceramah atau forum agama seseorang itu akan dimuliakan Allah SWT. Inilah satu pendekatan yang mampu untuk mengisi kekosongan jiwa manusia pada hari ini, namun manusia tetap angkuh disebabkan tidak berusaha untuk mendapatkan kemuliaan daripada Allah, mereka memilih jalan yang boleh menjerumuskan mereka ke dalam neraka-Nya. Tadarus al-Quran pada bulan Ramadan Perkataan tadarus telah dijelaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w. dalam satu hadis (hadis yang ke-36 dalam hadis 40 susunan Imam an-Nawawi), daripada Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w. bersabda : “Tidak berhimpun satu kaum dalam rumah Allah, mereka membaca al-Quran dan bertadarus (berdiskusi isi kandungannya) di kalangan mereka, melainkan perhimpunan mereka itu diturunkan ketenangan daripada Allah, diliputi dengan rahmat-Nya, dikelilingi dengan para Malaikat dan Allah akan mengingati mereka yang ingat kepada-Nya.” Menurut hadis di atas, baca disebut tilawah, sedangkan tadarus ialah berdiskusi segala isi kandungan al-Quran, sama ada dari sudut hukum-hakam ilmu tajwid, persoalan ilmu sains meliputi persoalan kejadian manusia, tumbuh-tumbuhan, ilmu alam, ilmu kaji hayat, cakrawala dan berbagai-bagai macam lagi yang perlu diterokai, ayat-ayat syurga dan neraka, ayat-ayat mengenai tentang dosa dan pahala, ayat-ayat motivasi (tazkirah) dan sebagainya yang tidak dapat dihitung dengan sepuluh jari, ia bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Apa yang penting, Ramadan tahun ini menjadikan kita umat yang suka bertadarus (berdiskusi, mengkaji) isi-isi kandungan al-Quran termasuklah memperelok sebutan huruf-huruf al-Quran dengan memperdalami hukum-hukum ilmu tajwid, supaya Ramadan kali ini benar-benar meninggalkan seribu kenangan berbanding tahun-tahun sebelum ini, sekali gus merubah keadaan diri kita kepada suka membaca, mengkaji serta beramal dengan al-Quran, mudah-mudahan dengan cara itu kita menjadi graduan Ramadan cemerlang pada kali ini

Kembali kepada Islam untuk elak kisah Nurin Jazlin berulang

Kira-kira dua tahun lalu, seorang bapa pernah memberitahu, hidupnya sentiasa di dalam keadaan "takut" dan "risau". Bapa ini yang menetap di Kampung Pandan Dalam, Kuala Lumpur mempunyai lima orang anak perempuan dengan yang sulung berusia 15 tahun dan yang bungsu berusia tujuh tahun. Pada ketika itu, kesemua anaknya masih bersekolah samada menengah mahupun sekolah rendah. Kedua ibu-bapa ini bekerja di sektor swasta. Dia memberitahu, hidupnya sentiasa takut dan risau dengan keadaan lima orang anak perempuannya yang bersekolah ini. Hampir setiap waktu, dia akan menghubungi rumah samada anaknya sudah berada di rumah ataupun tidak. Dia terlalu bimbang dengan keselamatan anak-anaknya ini. Katanya, hatinya akan berdebar walaupun anaknya keluar berjalan kaki secara bersendirian walaupun tidak sampai 500 meter dan di waktu siang hari. Selain itu, dia juga terlalu bimbang dengan tahap sosial anak-anak remajanya itu. Dia cukup yakin "peer group" boleh mempengaruhi tingkah laku anaknya ini jika dia terleka seketika. Dalam isu yang lain, seorang pakar motivasi pernah memberitahu dia menghadapi kes yang mana seorang remaja perempuan yang bersopan santun, berbudi bahasa dan dalam lingkungan keluarga bahagia telah dirogol kerana tidak melayan seorang lelaki yang cuba mengurat dirinya itu. Keluarga dan remaja tersebut dikatakan "trauma" dengan insiden ini memandangkan kehidupan mereka yang cukup bahagia dan patuh dengan ajaran agama. Bukti tahap sosial masyarakat makin buruk Akhirnya isu yang terbaru dan disifatkan suatu tragedi kepada tahap sosial masyarakat kini adalah kematian tragis seorang kanak-kanak Nurin Jazlin Jaziman pada 17 September 2007 yang lalu. Gadis yang berusia lapan tahun dan pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak yang di laporkan hilang pada 20 Ogos 2007 lalu ditemui mati dalam sebuah beg pakaian sukan di Taman Petaling Jaya Utama, Petaling Jaya. Dia menjadi mangsa penderaan seksual melampau! Pada 2003, seorang kanak-kanak Nurul Huda Abdul Ghani,10 tahun ditemui mati selepas dicekik dan dirogol di Kampung Pekajang, Tanjung Kupang, Gelang Patah, Johor. Pada 8 Januari 2004, satu lagi kes yang membabitkan kanak-kanak Harirati Saridi ditemui mati dan dirogol ketika dalam perjalanan ke sekolah di Kampung Ratau, Menggatal, Kota Kinabalu Sabah. Kemudian pada 22 Disember 2004, kes Siti Syazwani Ahmad Dusuki, murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan Pinang Tunggal, Sungai Petani Kedah dilaporkan hilang ketika pulang mengaji al-Quran ditemui terbunuh selepas di rogol di ladang sawit tidak jauh dari rumahnya. Sebelum ini masyarakat tidak akan lupa kes kematian Nor Iszyani Amlia Ahmad Iskandar, berusia dua tahun dalam keadaan menyayat hati di Damansara Damai, Petaling Jaya. Dalam kejadian ini, dubur kanak-kanak malang itu cedera teruk ditusuk objek keras manakala kemaluannya ada kesan cubitan. Ini yang dilaporkan oleh pihak media. Bagaimana pula dengan kejadian lain yang tidak didedahkan oleh media terutamanya yang dilaporkan kepada pihak polis. Atau yang lebih tragis lagi tidak dilaporkan kepada dengan pihak polis untuk mengelakkan aib keluarga dari kacamata masyarakat umum. Selain ini, satu kajian Pusat Penyelidikan Innocenti Tabung Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Kanak-Kanak (Unicef) mendedahkan setiap tahun 3500 kanak-kanak berusia kurang 15 tahun di 27 negara maju meninggal dunia akbat penderaan dan dikaitkan dengan kemiskinan dan tekanan. Keadaan ini dikaitkan dengan negara maju akibat masalah sosial dan keluarga tetapi apa pula kedudukannya di negara ini? Cukupkah sekadar reaksi marah kita? Gambaran yang diberikan adalah seolah-olah tahap sosial masyarakat kita yang ada sekarang sedang menuju ke arah hampir "bobrok", tidak selamat dan kurang menyakinkan. Seluruh lapisan rakyat begitu marah, merintih dan kecewa dengan segala kejadian yang menimpa kanak-kanak ini. Masing-masing beranggapan kejadian ini tidak harus atau perlu berlaku. Masing-masing sekadar merintih dengan melahirkan pelbagai harapan seperti dikenakan tindakan yang tegas terhadap perogol, perlunya kerajaan wujud pelbagai Akta, meminta masyarakat lain agar lebih perihatin di samping mengharapkan pihak berkuasa lebih berperanan dan agresif dalam menguatkuasakan undang-undang. Apabila dalam tempoh 40 hari tiada sebarang isu besar dan meluas yang dipaparkan oleh media massa, keadaan akan kembali kembali asal- meneruskan kelekaan hidup masing-masing dan lupa dengan isu yang cukup dahsyat ini. Para ibu bapa yang perihatin dengan tahap sosial masyarakat masa kini meneruskan "kerisauan" demi "kerisauan" walaupun kerajaan terus hebah negara sentiasa aman dan tenteram. Kemudian, rakyat akan merintih, marah dan kecewa kembali apabila isu yang dahsyat ini kembali berulang setelah mendapat liputan yang meluas dari media massa. Masing-masing bersikap stereotaip - minta tindakan tegas, pihak berkuasa perlu menguatkuasaan undang-undang dan kerajaan perlu lebih bertanggung jawab. Hentikan sikap hepokrit sesetengah masyarakat ini. Cukuplah dengan sikap opportunis kerajaan yang perihatin dengan masalah sosial masyarakat apabila kembalinya isu yang dahsyat ini. Sekarang adalah masa kita bertindak dan bukannya kembali merintih, marah yang selepas itu kita akan lupa kembali kepada sikap "kelekaan" dengan kehidupan harian. Apa yang harus kita lakukan? Masalah sosial bejat masyarakat akan berulang sentiasa kerana kita tidak pernah bertindak. Kita tidak pernah bertanya kepada diri sendiri, apakah tindakan yang perlu dilakukan dengan segara akan sosial masyarakat dapat diperbaiki. Tanpa disedari sesetengah masyarakat samada yang kaya, sederhana dan miskin telah melakukan pelbagai kesalahan kerana tidak pernah mendidik anaknya menjadi manusia yang berguna dan berakhlak. Ada sesetengah ibu bapa yang tidak pernah melakukan disiplin terhadap anaknya seperti menegur anak perempuan berpakaian tidak menutup aurat, pergaulan bebas lelaki- perempuan, masa yang tidak menentu di rumah, anak menjadi mat rempit dengan alasan kononnya menjaga kebebasan dan kemerdekaan anak-anak. Sesetengah mereka tidak pernah menegur anak remaja perempuan yang berpakaian ketat dan singkat sehingga nampak anak pusat dan seluar dalam pelbagai warna dari arah belakang apabila mereka duduk. Sesetengah ibu dan bapa akan mempertahankan anak remaja lelakinya menghisap rokok atau ditangkap kerana menjadi mat rempit dengan pelbagai alasan. Masyarakat umum melihat tingkah laku sesetengah anak remaja Melayu masakini. Lihatlah cara mereka berpakaian. Lihatlah cara mereka bergaul dengan orang yang lebih tua. Lihatlah sikap mereka yang masih remaja duduk melepak sambil menghisap rokok antara lelaki dan perempuan. Masyarakat hipokrit ini tidak boleh ditegur tetapi marah apabila berlakunya sesuatu tragedi yang menimpak anak remaja lainnya! Sikap hiprokrit masyarakat ini disogok tindakan kerajaan yang terlalu opportunis. Kerajaan Islam Hadhari yang tersasar Kerajaan begitu hebat menghebahkan konsep Islam Hadhari tetapi tiada sebarang langkah atau tindakan untuk mengurangkan sosial masyarakat yang hampir "bejat" ini. Kerajaan hanya kaya dengan konsep, kaya dengan kata-kata dan slogan tetapi tindakan adalah sifat. Secara simboliknya apabila kerajaan melancarkan tidak sampai seminggu konsep Islam Hadhari- suatu konsert dangdut besar-besaran diadakan di Stadium Merdeka yang dikenali sebagai "Inul-Goyang Garudi". Suatu fenomena yang cukup dahsyat apabila kerajaan Islam Hadhari membenarkan media elektronik yang memaparkan pelbagai program hiburan dan tayangan gambar yang menjolok mata terutamanya yang membabitkan anak-anak remaja Melayu dan Islam yang terus masuk ke dalam rumah. Kerajaan Islam Hadhari membenarkan media elektronik mengadakan pelbagai program realiti termasuk tayangan bagaimana mahu mencari seorang isteri yang bertentangan dengan kaedah Islam.Malahan suatu ketika dahulu mana-mana artis lelaki dilarang sama sekali berambut panjang, kini semakin hebat dan memualkan. Pelbagai program yang menjolok mata ini disifatkan sebagai "membalas dendam" untuk kepuasan kerana suatu ketika dahulu kerajaan agak menyekat kerana ia disifatkan begitu melekakan dan menjejaskan pembentukan peribadi masyarakat. Mungkin ada di kalangan masyarakat yang beranggapan ia terpulang kepada individu untuk melihat mana yang baik dan buruk tetapi anggapan ini adalah tidak betul kerana kerajaan membenarkan siaran ini dari berlangsung. Kenapa negara-negara Islam lainnya masih mengekalkan siaran yang lebih berdisplin sedangkan kita tidak? Segala bentuk hiburan yang melampau dan akhlak buruk sesetengah anak remaja Melayu Islam sememangnya mengundang malapetaka. Ia boleh mengundang kepada nafsu kepada setiap lelaki atau perempuan di dalam keadaan jisim yang kecil mahupun besar. Ia boleh mengundang kepada lelaki yang menghadapi masalah "sexual disorder" atau kecelaruan seks sehingga kanak-kanak kecil menjadi mangsanya. Kerajaan perlu mengakui hakikat dengan kehebatan berjaya menjaga keamanan dan ketenteram rakyat dalam tempoh 50 tahun tetapi perlu mengakui bahawa moral sesetengah masyarakat sekarang semakin "bejat". Kerajaan yang hebat dan bertanggungjawab tidak boleh lepas tangan terhadap isu yang disifatkan buruk tetapi menghebahkan meluas isu yang dianggap baik dan positif. Apa yang penting bertindaklah sekarang. Masyarakat perlu ditegur dan menegur di antara satu sama lain agar peristiwa ini tidak berulang. Kaum keluarga yang perihatin dengan masalah moral ini perlu berani membuat teguran atau tindakan terhadap ibu dan bapa yang bersikap sambil "lewa" terhadap anak-anak mereka. Sebagai pemimpin utama negara, Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi juga perlu bersikap lebih banyak bekerja, menantau dan sensitif dengan membuang slogan "Kerja bersama saya dan bukan untuk saya" sebagai alasan dia "lepas tangan" atau tidak mahu bertanggung jawab kepada menteri atau pegawai yang dilantiknya. Hentikanlah sikap sesetengah masyarakat Melayu yang hipokrit dan sesetengah pemimpin kerajaan yang oppurtunis! Kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dan bukan berpaut kepada slogan semata-mata

Mahasiswa Baru Di Mesir Dihalang Memasuki Rumah Anak Negeri?

Setiap tahun Mesir akan menerima kedatangan ramai mahasiswa baru yang melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar sama ada di Kaherah atau di cawangan-cawangan Al-Azhar di seluruh Mesir. Saban tahun kedatangan mereka akan disambut oleh PMRAM bersama BKAN (Badan Kebajikan Anak Negeri). Mereka akan ditempatkan di setiap rumah negeri sebelum dihantar ke tempat pengajian yang dipohon oleh setiap mahasiswa dan mahasiswi. Namun begitu, berlaku suasana yang tidak sihat apabila sebahagian mahasiswa baru tidak dibenarkan memasuki Asrama Rumah Negeri dengan alasan rumah negeri sudah penuh dan pelbagai alasan yang lain. Suasana ini dapat dilihat di beberapa negeri seperti Selangor dan Terengganu. Kedatangan pegawai hal ehwal pelajar (HEP) sebelum ini dilihat ingin membantu memudahkan urusan–urusan pelajar telah bertukar menjadi tembok besar kepada para mahasiswa untuk mendapat tempat di rumah negeri masing-masing. Perkara ini jelas terbukti apabila 11 orang pelajar Universiti Darul Iman (UDM) yang tiba pada 16 September baru-baru ini dihalang memasuki Rumah Negeri dengan pelbagai alasan. Tidak cukup dengan itu, tindakan yang sama dilakukan ke atas pelajar-pelajar Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah (KUDQI) seramai 49 orang yang terpaksa mencari rumah-rumah sewa yang berdekatan dalam tempoh yang singkat pada masa yang sama harga rumah ketika ini melambung tinggi dan begitu sukar untuk didapati dengan mudah. Begitu juga suasana yang berlaku kepada pelajar-pelajar Selangor. Kita melihat bahawa semua pelajar yang disisihkan daripada Rumah Negeri adalah pelajar-pelajar persendirian. Jika difikirkan dengan baik, para pelajar yang datang secara persendirian inilah yang patut diutamakan dari sudut menjaga kebajikan mereka. Namun perkara yang sebaliknya berlaku. Pujian yang tinggi patut diucapkan kepada Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang Mesir kerana sudi menyediakan tempat kepada 11 orang pelajar Terengganu yang menerima nasib malang ini. Begitu juga kepada beberapa individu yang tidak loket memberikan rumah sewa mereka sebagai tempat persinggahan pertama bagi pelajar-pelajar baru untuk meneruskan usaha menuntut ilmu di bumi barakah ini. Bagi PMRAM, kedatangan para pegawai yang ditugaskan untuk menyelia rumah-rumah negeri sepatutnya adalah untuk memudahkan urusan kebajikan para mahasiswa dan bukan untuk menyukarkan. Satu ketika dahulu, walaupun para pegawai tidak ada untuk menyelia rumah negeri, para mahasiswa yang diwakili oleh Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) dapat menjaga kebajikan para pelajar dengan begitu baik. Sepatutnya suasana harmoni ini perlu kembali diwujudkan tanpa ada unsur-unsur ugutan terhadap pelajar. Semoga kebajikan dan kebebasan para mahasiswa tidak akan tercalar disebabkan tindakan beberapa orang pegawai rumah negeri. PMRAM akan cuba sedaya mungkin untuk memberikan kebajikan kepada seluruh warga Malaysia di bumi Mesir ini.

24 September 2007

Adakah kita muslim yang istiqamah dalam ibadah harian?

Istiqamah bermaksud menuruti jalan yang lurus (Siratol Mustaqim), iaitu jalan yang lurus tanpa liku-liku atau condong ke kiri atau kanan meliputi segenap perbuatan taat sama ada yang zahir atau yang batin serta meninggalkan segala larangan Allah SWT. Kebiasaannya, istiqamah menyusul selepas beriman kepada Allah, kerana iman adalah asas kepada keutuhan istiqamah, tanpa iman yang utuh, tiada istiqamah dalam diri seorang muslim. Istiqamah atau boleh juga disebut makna yang hampir dengannya iaitu iltizam (komited) dengan Islam yang membawa maksud, pelaksanaan aspek dan konsep agama yang dilakukan oleh seorang muslim dengan memelihara hubungan intimnya dengan Allah SWT selaku Pencipta. Dengan kata lain, istiqamah itu ialah segala tindakan dan tingkah laku muslim bagi merealisasikan makna Islam, iaitu menyelamatkan bangsa manusia atau penyerahan diri mereka hanya kepada Allah dengan sebenar-benarnya menerusi pengamalan agama dalam segenap bidang kehidupan, kepercayaan (akidah), peribadatan, perlakuan, perhubungan atau pergaulan sesama manusia. Begitu juga dengan masyarakat umat Islam dikatakan sebagai umat yang beristiqamah dengan Islam, apabila melaksanakan tuntutan agama dalam pegangan akidah mereka, kepercayaan, peribadatan, perlakuan, perhubungan dan pergaulan sesama umat Islam dan manusia sejagat tanpa terikat kepada musim tertentu, sebagai contoh, seorang muslim yang beristiqamah tidak menunggu untuk ke rumah pada bulan Ramadan, malah setiap bulan itu adalah bulan yang dikhususkan untuknya beribadat kepada Allah. Begitu juga dengan amal ibadat di bulan Ramadan, bukan hanya pada awalnya saf-saf solat dipenuhi dengan para jemaah, tetapi pada pertengahan dan penghujung Ramadan sepi dengan orang yang sama memenuhi ruang-ruang masjid atau surau sebelum dan selepas Ramadan, yang tidak beristiqamah akan merasa gelisah dengan Ramadan lambat untuk melabuhkan tirainya, sikap seumpama ini tidak pernah wujud dalam diri para sahabat baginda Rasulullah s.a.w. Semakin hampir menjelang Aidil Fitri, semakin gelisah dan jelas tergambar di raut wajah mereka kesedihan kerana Ramadan akan meninggalkan mereka, peluang untuk memperolehi bonus amalan di malam-malam terakhir yang terdapat padanya Lailatul Qadr sudah sampai ke penghujungnya, terdapat di antara mereka yang menangis kerana belum tentu dapat bertemu dengan Ramadan pada tahun-tahun berikutnya. Peluang yang ada pada malam-malam terakhir Ramadan, diisi dengan aktiviti pengabdian diri kepada Allah SWT seperti Qiyamullail meliputi pelbagai jenis solat, tadarus al-Quran meliputi diskusi isi-isi kandungannya, beriktikaf, berzikir dan bermacam-macam lagi tanpa meninggalkan tanggungjawab sebagai manusia biasa di siang hari. Persoalannya di sini, di mana diri kita dengan para sahabat Rasulullah s.a.w? Mereka telah buktikan istiqamah yang mantap dan menyeluruh bagi meraih keredaan, kita pula bagaimana? Tanda atau bukti istiqamah *Bukti istiqamah itu telah dirakam oleh Allah SWT dalam ayat 162 surah al-An’am yang bermaksud : Katakanlah (wahai Muhammad) “Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidup dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan sekelian alam”. *Istiqamah juga diungkapkan sebagai mencapai atau merealisasi perutusan kejadian manusia, perkara ini telah disebut oleh Allah dalam surah az-Zariyat ayat 56 yang bermaksud : “Tidak Aku (Allah) menciptakan jin dan manusia, melainkan untuk menyembah (beribadat) kepada-Ku”. *Selain itu, istiqamah juga diertikan sebagai menerima segala hukum-hakam Allah dalam al-Quran dan apa yang dijelaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w dengan pasrah dan bersungguh-sungguh, hakikat ini diperjelaskan oleh Allah menerusi ayat 36 surah al-Ahzab yang bermaksud : “Dan tidaklah patut bagi lelaki yang beriman dan tidak pula bagi wanita yang beriman, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka”. Justeru, kita perlu bertanya pada diri sendiri, apakah kita termasuk dalam golongan orang-orang yang beristiqamah dengan amalan Islam, atau hanya berpura-pura atau menerima Islam separuh-separuh ataupun menerima Islam apabila sesuai dengan naluri, dengan kata lain, Islam tunduk pada kehendak kita, bukannya kita yang patut tunduk dan akur kepada segala ajaran Islam. Penjelasan tanda beistiqamah dengan Islam Para ulama’ bersepakat mengatakan bahawa, istiqamah itu dapat dikenal pasti menerusi penyerahan diri muslim pada perkara yang zahir dan batin. Dalam perkara zahir, seorang muslim itu melaksanakan segala perintah Allah yang wajib ditunaikan seperti pelaksanaan ibadat solat, puasa, haji, zakat, memakai hijab (tudung kepala) bagi muslimat, berakhlak mulia dan lain-lain. Sementara dalam perkara batin pula, seorang muslim itu wajib beristiqamah dengan aspek ketuhanan dalam mentauhid (mengesakan) Allah, bertakwa kepada-Nya, takut kepada ancaman dan hukuman-Nya, mengharapkan keampunan dan rahmat hanya daripada-Nya dan banyak lagi. Justeru menurut para ulama’, jika seseorang itu menzahirkan kepada manusia kebaikannya seperti banyak solat sunat, puasa sunat, suka menderma, suka tolong orang lain, berulang alik ke masjid, sedangkan dia tidak begitu, suka mengumpat, memfitnah orang, menuduh orang tanpa bukti kukuh, pakai tudung kepala pada masa tertentu, maka dia dikatakan tidak beristiqamah dengan Islam, atau paling tidak dikatakan istiqamahnya masih berkurangan. Kerana istiqamah itu tidak dapat dibuktikan pada amalan sehari dua, malah ia perlu berterusan tanpa niat untuk menunjuk-nunjuk pada orang lain, ia dilakukan atas dasar ikhlas kerana Allah SWT. Jalan terbaik untuk mengekalkan istiqamah dengan Islam, ialah bersahabat dengan orang-orang yang baik-baik, apatah lagi mereka yang dapat mengingatkan diri kita kepada Allah SWT, menyuruh yang makruf, mampu pula mencegah kemungkaran, berdakwah dengan penuh hikmah, berakhlak mulia, tidak wujud sebarang kepentingan dunia, apa yang diharap hanyalah keredaan Allah, ia menepati seruan Allah menerusi ayat 28 surah al-Kahfi yang bermaksud : “ Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru kepada Allah, di waktu pagi dan malam dengan mengharapkan keridaan-Nya, janganlah kamu berpaling dari mereka kerana mengharapkan perhiasan (habuan) kehidupan dunia ini, janganlah kamu mengikuti orang-orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami serta mengikut hawa nafsu, sesungguhnya urusan hidup mereka telah melampaui batas”. Mudah-mudahan, kita mampu dan boleh berdoa kepada Allah SWT, agar menjadikan diri kita, isteri, anak-anak, adik-beradik, terlebih lagi kedua iba bapa kita, agar dimasukkan dalam kategori hamba Allah yang sentiasa dan kekal beristiqamah dengan Islam, berjuang kerananya dan mati pada jalannya, Amin.