20 Oktober 2007

Ayam Babi ????

Harian Metro (Ahad, 23 September, 2007), mendedahkan perihal 'ayam babi' yang mana terdapat 'enzim' dari babi digunakan untuk mempercepatkan tumbesaran ayam. Sehingga kelmarin, barulah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyiasat dakwaan mengenai penggunaan bahan yang tidak halal dalam produk makanan ayam yang diternak di negara ini. Jawatankuasa khas itu dianggotai oleh pegawai Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) dan Universiti Putra Malaysia (UPM), bertanggungjawab mengumpul sampel makanan ayam digunakan penternak untuk dianalisis Jabatan Kimia dan Institut Penyelidikan Halal Ini adalah kerana menurut Pegawai Penyelidik CAP, Hatijah Hashim, enzim yang digunakan 'canggih' dan perlu ujian makmal yang sukar dan mahal kosnya. Enzim tersebut digunakan secara meluas di negara-negara Eropah, Amerika Syarikat, Brazil dan China. Sumber Jakim juga menyebut, JPH mengawal ketat kemasukan makanan ayam dari luar negara malah pemantauan juga mendapati tiada makanan ayam dari Eropah yang mengandungi enzim babi diimport ke Malaysia. Namun sehingga kini belum pernah dibuat kajian berkenaan 'enzim babi' ini oleh mana-mana pihak samada Jakim atau JPH Kerajaan terlalu lambat bertindak tentang isu ini walaupun FOMCA telah meminta pihak berkenaan membuat siasatan menyeluruh terhadap ayam samada yang dijual di pasar atau di ladang ternakan. Pengarah Komunikasi FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, FOMCA memandang serius perkara ini dan membantah penggunaan pelbagai antibiotik, vaksin atau hormon, kerana ia boleh memberi kesan sampingan. Gesaan FOMCA juga telah dibuat sebulan yang lalu sumber : persatuan pengguna islam Malaysia

Pro Mahasiswa berjaya pertahankan kemenangan di UIAM

Kumpulan Pro Mahasiswa berjaya mempertahankan kemenangan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Pro Mahasiswa memenangi 19 daripada 27 kerusi yang dipertandingkan yang melayakkan mereka untuk terus menerajui kepimpinan Student Representative Council (SRC) sesi 2007/2008. Di Kampus Induk Gombak, mereka berjaya di Kuliyyah Undang-undang, Kejuruteraan, Ilmu Wahyu, Ekonomi, Sains, Antarabangsa, Kejururawatan dan Sains Kesihatan Bersekutu. Namun, mereka tewas di Kuliyyah Teknologi Komunikasi Maklumat dan hanya menang satu kerusi di Kuliyyah Senibina. Walaupun terpaksa melalui proses penamaan semula pada 30 September lalu, mereka tetap pasrah lantaran masa kempen yang diperuntukkan hanya lebih satu hari berbanding enam hari di kampus-kampus lain. Keputusan pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sudah selesai, dan keputusannya sudah dihebahkan. Faktanya: Kumpulan pro-Aspirasi menguasai kembali kampus-kampus kita. Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda. Tetapi masih ada satu persoalan yang belum selesai: Sejak 2004, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) masih berjaya ditawan oleh kumpulan beraliran "pro-Mahasiswa", kem pelajar yang dilihat berbeza dengan pro-Aspirasi. Apakah yang menjadikan UIA begitu unik sehingga ia berjaya menjadi kubu terakhir kumpulan pro-Mahasiswa? Dato' Dr Shamsul Amri Baharuddin, pengarah Institut Kajian Oksidental (Ikon), berpendapat latar belakang penubuhan dan semangat UIA sendiri berlainan dengan IPTA lain. Malah, katanya, pergaulan pelajar tempatan dengan luar negara di kampus itu menjadikan mereka lebih global. Mereka juga terdedah dengan jaringan badan-badan belia antarabangsa, tambahnya. "Sifat UIA itu sendiri yang mengutamakan bahasa-bahasa Arab dan Inggeris menjadikan mereka lebih terbuka. Lagi pun universiti Islam menarik sekumpulan pelajar yang mempunyai perwatakan yang lebih kurang sama. Mereka ini berbeza," kata profesor sosiologi itu. Pandangannya ini seolah-olah selari dengan tanggapan pensyarah undang-undang Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Azmi Sharom. "Saya lihat UIA seperti sebuah Akademi Pengajian Islam yang besar," katanya kepada mStar Online. "Lihat akademi ini di Universiti Malaya. Calon-calon pro-Mahasiswa menang tanpa bertanding. Mustahil kumpulan pro-Aspirasi boleh membuka laluan di fakulti ini." Bagaimanapun berbeza sedikit dengan keyakinan Dr Azmi, profesor sosiologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia ini tidak begitu yakin pro-Mahasiswa boleh menguasai UIA selama-lamanya. Sementara seorang bekas aktivis siswa Khairul Anuar Ahmad Zainuddin cuba menanggap UIA lebih jauh. Beliau berhujah, jaringan gerakan Islam di kampus itu lebih kuat berbanding di kampus-kampus IPTA lain yang hanya bergantung pada aktivisme dan kepemimpinan barisan Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) atau fakulti tertentu. "Mungkin juga ahli-ahli akademik di UIA lebih kritikal, mereka lebih simpati pada kumpulan pro-Mahasiswa," katanya, kini sebagai naib ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat. Selain pengaruh ahli akademik, pegawai pentadbiran kampus termasuk pengetua kolej sekarang dilihat semakin menonjol dalam percaturan politik kampus. Beberapa laporan yang diserahkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mendakwa campur tangan serius dalam mempengaruhi pelajar untuk menyokong kumpulan calon tertentu. Namun menurut seorang pengamat Suhaimi Embong, sikap memihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) bukanlah baru, malah pernah wujud sejak beberapa dekad lalu lagi "tetapi beberapa tahun kebelakangan ini lebih ketara." "Kadang-kadang saya nampak pegawai-pegawai Hal Ehwal Pelajar (HEP) macam tidak ada kerja lain. Mereka lebih ghairah menyusun aktiviti untuk mahasiswa," katanya, yang pernah menghasilkan buku Di Sebalik Tabir Politik Kampus dan kini melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana pengurusan perniagaan. Semua pengamat bersetuju trend pro-Aspirasi yang muncul mulai 2003 dicetuskan sebagai gelombang baru selepas krisis politik 1998, apabila gerakan-gerakan mahasiswa di IPTA semakin berani dan lantang mengkritik kerajaan, termasuk menyusun demonstrasi. Mereka bagaimanapun tidak bersetuju peralihan angin politik ke arah pro-Aspirasi bermakna mahasiswa di IPTA kini menyokong kerajaan. "Mereka bukanlah menyokong sangat. Mereka juga menuntut hak, khususnya hak mendapatkan kemudahan. Jika sokongan ini tidak berbalas, mereka akan marah dan mengugut. Ini satu cara mengugut melalui sokongan," kata Dr Shamsul Amri. "Kita lihat wakil-wakil rakyat Barisan Nasional, bagaimana hebat pun mereka, tetap terima rungutan." Khairul Anuar, seorang pemimpin pelajar IPTA yang ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2001, boleh bersetuju dengan hujah ini. "Tidak semestinya pelajar sokong kerajaan apabila mereka mengundi calon Aspirasi," katanya. "Lagi pun pelajar di IPTA sekarang tidak mempedulikan hal-hal politik. Kemunculan kumpulan pro-Aspirasi sekadar perubahan atas kertas. Tidak ada impak perubahan pada sikap atau cara berfikir. Semuanya masih di takuk lama." Tambahnya, masyarakat kampus sendiri tidak ghairah dengan kehadiran pilihan raya kampus. "Hanya media berminat membesar-besarkan berita ini, khususnya kemenangan pro-Aspirasi, sekadar untuk membentuk tanggapan umum masyarakat. Di kampus sendiri, tidak ramai yang keluar mengundi. Banyak calon menang tanpa bertanding. Saat-saat berkempen tidak meriah," dakwanya lagi. Bersetuju dengan analisis ini, Suhaimi pula berpendapat campur tangan pihak luar dalam politik pelajar melemahkan kepemimpinan mereka. "Semuanya diurus oleh orang lain. Macam pelajar-pelajar sekolah," katanya. Dr Azmi membuat tanggapan yang sama. "Bagi saya mahasiswa bak budak sekolah. Jadi, pemilihan MPP ini macam persaingan melantik pengawas sekolah. Umumnya mahasiswa tidak berminat politik," katanya. Sifat keanak-anakan pelajar IPTA bukan gejala baru, katanya, malah ia sudah wujud sejak 1980-an. - mstar.com.my

Syeikh Muhammad Ibrahim Al-Kattani Akan Merasmikan Festival Konvokesyen

Festival Konvokesyen Dan Anugerah Mahasiswa / wi Cemerlang (FKAMC) anjuran Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir akan diserikan dengan kedatangan tokoh Muhaddith terkenal, Fadhilat Al-Syeikh Muhammad Ibrahim Al-Kattani yang akan merasmikan FKAMC kali ini. Beliau juga akan menyampaikan Ijazah Ammah bagi sanad kitab-kitab hadith Rasulullah s.a.w yang dimiliki oleh beliau kepada seluruh para peserta dan pemerhati yang bakal memeriahkan FKAMC pada 20 Oktober ini. Jangan lepaskan peluang keemasan ini.

Nadwah Mirath 2007, Peluang Keemasan Untuk Mendalami Ilmu Warisan Harta Islam

PMRAM sekali lagi menawarkan kepada mahasiswa Islam di Mesir untuk menyertai satu kursus yang akan mendedahkan kepada para peserta ilmu pewarisan harta menurut Islam. Kursus Nadwah Mirath 2007 yang akan diadakan pada 22 dan 23 Oktober ini pastinya akan memahirkan para peserta selok-belok ilmu pewarisan harta menurut kaca mata Islam. Kepada yang berminat anda boleh mendaftarkan nama sebelum 14 Oktober 2007 hanya dengan kadar berpatutan LE 40.00. Semoga terus memperjuangkan disiplin ilmu Islam.