29 Mac 2009

Sejarah Tercipta Sekali lagi dalam PRK

Tiga pilihanraya kecil berjalan serentak hari ini bagi kawasan-kawasan parlimen Bukit Gantang di Perak, DUN Bukit Selambau di Kedah dan DUN Batang Ai di Sarawak. Penamaan calon yang bermula jam 9 pagi tadi telah disahkan selepas lima bantahan ditolak di ketiga-tiga kawasan tersebut. Di Bukit Gantang, calon BN Ismail Safian (Umno) berdepan dengan calon PAS Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan calon bebas Kamarul Ramizu Idris. Seramai 55,562 pemilih akan menentukan pertarungan sengit antara BN dan PAS - yang dianggap "pungutan suara" terhadap kepemimpinan baru kerajaan bawah Datuk Seri Najib Razak, yang terlibat dalam rampasan kuasa kontroversi di Perak sewaktu Mohamad Nizar mengetuai kerajaan Pakatan Rakyat.Kekosongan kerusi PAS ini akibat kematian wakil rakyatnya Roslan Shaharum tidak lama selepas kemuncak krisis politik tersebut awal bulan lalu. Di Batang Ai, calon BN Malcolm Mussen Lamoh (PRS) dicabar calon PKR Jawah Gerang.Calon bebas Johnny Chuat menarik diri daripada penamaan calon dan didakwa menyokong calon PKR.Seramai 8,006 pemilih akan menentukan nasib kedua-dua calon ini. Kerusi Batang Ai dikuasai BN sebelum penyandangnya Datuk Dublin Unting meninggal dunia.
Di Bukit Selambau, calon-calon BN Datuk S Ganesan (MIC) dan PKR S Manikumar dihimpit 13 calon bebas yang telah menyerahkan borang pencalonan.Calon-calon bebas: L Sarala, T Chandrarajan, R Loganathan, A Jayagopal, S Moganakumar, Vaneson Michael, Tan Hock Huat, Mohd Fazil Abdul Wahab, Anuar Abdul Hamid, Husaini Yaacob, Abdul Rahim Abu, Radzi Md Lazim dan Khamis Awang.Kerusi DUN ini kosong susulan peletakan jawatan wakil rakyat PKR V Arumugam, yang juga exco kerajaan Kedah. Arumugam asalnya menang atas tiket bebas tetapi kemudian memilih parti itu sebelum dilantik menyertai majlis mesyuarat kerajaan negeriTempoh penyerahan borang selama sejam tamat jam 10 pagi dan tempoh bantahan tamat sejam kemudian.Tiada bantahan dibuat di pusat penamaan calon Bukit Selambau di Sekolah Menengah Teknik Sungai Petani - menjadikan 15 calon semuanya cuba memenangi hati lebih 35,000 pengundi DUN tersebut.Naib Presiden PKR Azmin Ali yakin kehadiran begitu ramai calon bebas tidak akan menggugat partinya dalam usaha mempertahankan kerusi tersebut. Ketiga-tiga pilihanraya ini diadakan serentak pada 7 April ini.

Datuk Ali Terus Popular Walaupun Tak Menang

Walaupun tidak dapat bertanding untuk jawatan timbalan presiden dalam pemilihan Umno kali ini, namun Datuk Seri Mohd Ali Rustam jelas merupakan seorang pemimpin yang masih popular di kalangan ahli Umno. Beliau turut dijemput membuat ucapan penggulungan di perhimpunan agung Umno pagi ini. Sebaik sahaja beliau mengakhir ucapannya, semua perwakilan bangun memberi tanda hormat dan tepukan gemuruh kepada beliau. Malah, naib presiden yang baru, Datuk Ahmad Zahid Hamidi - dalam ucapan penggulungannya - turut meminta para perwakilan bangun sekali lagi sebagai tanda hormat kepada ketua menteri Melaka itu. Mohd Ali yang dianggap sebagai calon popular bagi jawatan timbalan presiden, dilarang bertanding oleh Lembaga Disiplin Umno selepas ejen-ejennya didapati terbabit dalam rasuah dan sogokan politik. Sebelum ini dalam ucapannya, ketua menteri Melaka itu berkata beliau menerima keputusan parti terhadap dirinya itu dengan hati terbuka dan berlapang dada. Beliau turut meminta calon-calon yang yang senasib dengannya atau yang kalah dalam pertandingan kali ini supaya memberi tumpuan untuk meneguhkan parti seperti kata pepatah Melayu 'biduk lalu kiambang bertaut'."Janganlah kecewa... yang menang tidak menang semua, yang kalah tidak kalah semua...dunia belum kiamat dan esok belum pasti," katanya disambut tepukan gemuruh para perwakilan. Beri laluan Beliau juga menegaskan bahawa memang menjadi resam, yang pergi tetap pergi dan yang hilang akan berganti. Mohd Ali mengingatkan perwakilan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga pernah kalah. "...tetapi Pak Lah tidak tidak pernah keluar parti. Umno tidak akan hilang selagi ahlinya tetap setia," tegas Mohd Ali Beliau juga memuji sikap Abdullah kerana memberi laluan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai presiden Umno dan perdana menteri yang baru. Katanya, sikap seperti itu jarang berlaku di seluruh dunia dan berdoa agar Abdullah membantu Najib sepanjang masa. Mohd Ali berikrar akan terus memberi sumbangan padu dan tidak berbelah kepada Najib.
Tidak mudah jadi pemimpin Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Muhyiddin dan yakin beliau dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab seperti yang diharapkan. Mohd Ali juga turut mengucap tahniah kepada semua naib presiden baru dan ketua-ketua sayap umno yang baru.Bercakap mengenai kepimpinan dalam Umno, beliau berkata: "Jadi pemimpin tidak semudah yang kita fikirkan. Ada ketikanya kita rasa sangat bahagia, dan ada ketikanya kita rasa sangat terseksa. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul...dalam air badan berpeluh".Beliau mengakhir ucapannya dengan laungan 'Hidup Umno' dan Hidup Melayu' dengan disambut gemuruh oleh para perwakilan.

Tudung sekadar fesyen

Walaupun pelbagai gaya tudung diperagakan dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini. Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang yang menarik. Labuci warnawarni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan surat khabar untuk fesyen bertudung. Betulkah cara pemakaian tudung sebegini? Sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekali gus menutup maruahnya sebagai seorang wanita, iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias hingga menjadikan daya tarikan lelaki bukan muhrimnya. Inilah yang menjadi akan dipaparkan dalam ruangan Isu kali ini. Adakah pemakaian tudung wanita Islam hari ini sekadar berfesyen ataupun benarbenar kerana mahu memenuhi tuntutan agama.

Harus lengkapi syarat menutup aurat Menutup aurat adalah menutup had anggota badan yang boleh menimbulkan fitnah atau keaiban diri kita. Soal bertudung tidak sama dengan soal menutup aurat. Perintah Allah adalah supaya menutup aurat agar kesucian diri kita terpelihara daripada pandangan orang yang tidak berkenaan. “Dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak dari mereka.” (An Nur: 31) “Tudung adalah salah satu kaedah untuk menutup bahagian aurat dari atas kepala sehingga ke bahagian dada. Salah faham masyarakat adalah apabila menekankan soal bertudung tetapi mengabaikan hukum aurat. Perintah Allah diturunkan supaya meletakkan kain tudung di atas kepala sehingga labuh menutupi dada adalah kerana ayat tersebut diturunkan kepada wanita di zaman jahiliah yang sudah sedia berpakaian labuh tetapi cuma tidak menutup rambut mereka. Mereka disuruh supaya menambah pemakaian tudung kepala dan diperintahkan melabuhkannya sehingga menutupi dada,”demikian menurut Mohd Nor Mamat, Pengarah Kanan (Etika), Fellow (e-learning) Bahagian Hal Ehwal Akademik, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Dan hendaklah mereka melabuhkan kain tudung mereka sehingga menutupi dada (dan leher) mereka.” (An Nur: 31). Bermakna, pakai tudung sematamata belum menjamin perintah menutup aurat terlaksana. Penutupan bentuk dada masih termasuk dalam aspek penutupan aurat. Kadangkala, pemakaian fesyen bertudung hari ini lebih menekankan kecantikan dan seni berbanding melengkapkan syarat menutup aurat. Sebab itu terdapat hadis yang menyebut tentang wanita yang berpakaian tetapi seumpama tidak berpakaian (di sisi Allah). “Dari Abu Hurairah R.A. katanya: “Ada dua macam penduduk neraka yang keduanya belum kelihatan olehku, kaum yang memiliki cambuk seperti ekor sapi, yang dipergunakannya untuk memukul orang. Dan wanita-wanita yang berpakaian, tetapi sama dengan bertelanjang (kerana pakaiannya itu terlalu minimum, terlalu nipis atau tembus pandang, terlalu ketat atau pakaian yang merangsang lelaki kerana sebahagian auratnya terbuka, dan wanita yang mudah dirayu atau suka merayu, rambut mereka (disanggul) bagaikan bonggol unta. Wanita-wanita tersebut tidak dapat masuk syurga, bahkan tidak dapat mencium bau syurga padahal bau syurga dapat tercium dari jarak yang sangat jauh”. “Ringkasnya, apa pun yang kita pakai, apabila melengkapi syarat menutup aurat, maka ia adalah terlaksana. Setakat pemerhatian saya, kebanyakan ahli masyarakat kita faham dan tahu tentang aurat, had aurat dan dosa mendedahkan aurat tetapi tidak diamalkan,” ujarnya. Aurat wanita Menurut Mohd Nor lagi, salah faham masyarakat juga berlaku apabila bercakap tentang aurat, objeknya adalah wanita sedangkan lelaki juga ada had urat yang wajib ditutup. Menutup aurat yang sebenar bagi lelaki adalah antara pusat hingga lutut (paling minimum, dan perlu mengikut kesopanan). Bagi wanita, aurat mereka adalah seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan bila berada di tempat terbuka atau bersamanya terdapat lelaki yang bukan muhrim. Apabila bersama sesama wanita atau dengan muhrim seperti bapa, abang dan sebagainya. Aurat mereka adalah antara pusat hingga lutut dan anggota badan yang menimbulkan fitnah. Anggota yang menimbulkan fitnah mengikut pandangan ulama ialah seluruh badan kecuali bahagian hujungan seperti leher ke atas, lengan ke tepi dan betis ke bawah. Tambahan syarat kepada pakaian untuk menutup had aurat tadi termasuklah longgar, tidak nipis dan tidak menampakkan bentuk yang menarik perhatian nafsu. Hari ni, kadang-kadang bukan sahaja dada nampak, baju terbelah sampai nampak perut di tepi pun ada, lengan baju kembang sampai nampak sehingga bahu pun ada malah kain terbelah pun banyak sehingga nampak betis malah lutut juga. Selagi tidak melengkapi syarat di atas maka arahan menutup aurat masih belum terlaksana,” akhiri Mohd Nor.