30 Jun 2008

NAIK TARAF JAMBATAN HANG JEBAT

BANDARAYA MELAKA, 27 Jun - Projek menaik taraf Jambatan Hang Jebat yang sedang giat dijalankan bakal dijadikan jalan penghubung ke Melaka Sentral apabila kerja-kerja pembersihan dan perlebaran Sungai Melaka siap pada 2010.Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, pembinaan jambatan baru Hang Jebat yang bakal menggantikan jambatan yang dirobohkan adalah sebagai jalan alternatif bagi mengelakkan kesesakan jalan raya yang dialami ketika ini. "Apabila jambatan ini siap dibina dan sungai dibersih serta dilebarkan, orang ramai boleh menggunakan laluan Sungai Melaka sebagai jalan penghubung ke Melaka Sentral dengan menaiki bot dari muara sungai," katanya kepada pemberita selepas upacara merobohkan tembok pagar di Jambatan Hang Jebat di sini hari ini.Pembinaan jambatan yang sudah memasuki fasa keempat itu menelan belanja RM11 juta yang melibatkan pembinaan tujuh jambatan yang lain di sekitar Melaka dengan jumlah keseluruhan kos sebanyak RM90.3 juta."Kerajaan negeri akan meminta kerajaan pusat menambah lagi peruntukan sebanyak RM8juta bagi membina Jambatan Malim," katanya.Menurut Mohd Ali, pembinaan jambatan dalam bentuk baru itu juga bertujuan menjadikan Sungai Melaka lebih menarik bertepatan dengan negeri Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan.Selain itu beliau juga mengatakan kerajaan akan terus menyediakan infrastruktur dan menjaga kebajikan secara menyeluruh agar dapat menjana pembangunan masyarakat yang positif.Berikutan itu, beliau menyarankan agar memaksimakan penggunaan tanah bagi menyediakan kemudahan kepada rakyat terutama generasi muda."Kebanyakan belia merempit kerana tiada kemudahan rekreasi yang mencukupi oleh itu lebih banyak padang akan digunakan dan bangunan akan didirikan bagi menyediakan ruang seperti litar go-kart supaya mereka (belia) boleh berlumba secara berdidiplin."Pembinaan tempat rekreasi ini boleh dibuat di kawasan-kawasan kampung atau pekan kecil supaya lebih banyak kegiatan positif dijalankan," katanya lagi.

Piala Malaysia: Melaka Hapus Badi Kekalahan

KRUBONG : Pasukan Melaka berjaya menghapuskan badi dua kekalahan setelah menundukan pasukan Sarawak 3-0 pada pertemuan Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat di sini, malam tadi.Pasukan tuan rumah yang turun seperti harimau terluka tampak bernafsu untuk mencari gol pendahuluan dengan mengatur beberapa gerakan berbahaya menerusi gandingan mantap Md Nor Derus dan Kofi Estiba Shaw.Kesungguhan anak buah Nick Sham Abdullah untuk mendapatkan go awal akhirnya berhasil pada minit
ke-15 menerusi Clifford Clarke yang menanduk masuk hantaran Md Nor Derus menewaskan penjaga gol Sarawak, Azizon Abd Kadir.Pada babak kedua bersambung, pasukan Sarawak bangkit melakukan asakan untuk cuba memecahkan kubu pertahanan yang di terajui N.Dhurai tetapi tidak berhasil.Keghairahan anak buah Kunju Jamaludeen untuk mencari gol penyamaan akhirnya membawa padah apabila Kofi Estiba Shaw menghukum barisan pertahanan Sarawak untuk gol kedua Melaka pada minit ke-71.Md Nor Deros memastikan tiga mata penuh milik Melaka dengan gol ketiga menerusi sepakan dari jarak 35 meter dari luar kotak penalti pada minit ke-86.
Skuad Mohd Yazed Khamis yang sebelum ini kecundang kepada Negeri Sembilan dan Kelantan akhirnya mencipta kemenangan 3-0, sekali gus memulihkan semangat pemainya.Tiga mata penuh berharga hasil kemenangan ke atas Sarawak di gelanggang sendiri malam tadi menghidupkan peluang Melaka untuk bersaing dalam Kumpulan A Piala Malaysia.Dalam laporan Melaka Hari Ini (MHI) semalam, Mohd Yazed memberi amaran kepada anak buahnya supaya menumpukan sepenuh perhatian di dalam padang tanpa melakukan sebarang kesilapan pada pertemuan denga n Sarawak tampak berhasil dengan tiga jaringan berjaya di ciptakan oleh anak buahnya pada pertemuan malam tadi.

ISU MELAKA : Penduduk Minta DiPindah SegeraPembakaran Mayat Di Jelutong Timbul Masalah

BATU BERENDAM, 29 Jun – Para penduduk yang tinggal berhampiran tempat pembakaran mayat di Jelutong, di sini, merayu pihak berkuasa agar dapat memindahkan kawasan pembakaran itu di tempat yang lebih sesuai.Seorang penduduk, Abd. Rahman Mohd Sani, 60 berkata, masalah itu pernah dibangkitkan penduduk sejak beberapa tahun lalu, di mana pihak berkuasa dan pemilik tempat itu telah bersetuju untuk berpindah di kawasan baru. Katanya, setiap kali pembakaran mayat dilakukan akan menimbulkan banyak masalah terutama melibatkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mutahir sehingga ada yang mengalami pening kepala dan muntah-muntah apabila aktiviti itu dijalankan.“Tak tahu manakah silapnya dan apa dah jadi hingga ke hari ini sebagaimana yang telah dijanjikan oleh semua pihak, namun masalah pembakaran itu masih tidak dapat diselesaikan sedangkan kawasan pembakaran mayat yang baru telah disediakan bagi menggantikan tempat yang lama,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).Seorang penduduk Taman Seri Selendang, Wiliam Ng, 54 berkata, memandangkan kepesatan pembangunan di Jelutong itu sudah sewajarnya tempat pembakaran mayat itu dipindahkan ke tempat yang lebih sesuai.“Setiap kali pembakaran mayat dilakukan di situ, ia akan menimbulkan berbau busuk, selain ada di antara penduduk berhampiran mengalami masalah kesihatan seperti sesak nafas dan sebagainya lagi,”katanya lagi.Seorang lagi penduduk berhampiran, S. Shamugam, 57 berkata, pihak terbabit perlulah meminta pandangan pelbagai pihak supaya pembakaran mayat itu tidak memudaratkan tahap kesihatan penduduk khususnya kanak-kanak.

LAMAN WEB PMRAM

LAMAN WEB PMRAM TELAH BERTUKAR KEPADA URL INI http://e-pmram.page.tl/