15 Disember 2007

Fungsi masjid sudah kaku?

MASJID adalah institusi tertinggi dan paling mulia dalam Islam, tidak hanya kepada urusan ibadat semata-mata, malah sebagai pusat yang menjana kecemerlangan umat Islam. masjid mempunyai pelbagai fungsi, termasuk hal ehwal kemasyarakatan dan keilmuan.Di Malaysia, masjid yang didirikan tidak kurang hebatnya. Jika masjid generasi dulu kaya dengan nilai estetikanya seperti Masjid Kampung Laut, masjid alaf baru kini memperlihatkan ciri keindahan yang menggabungkan pelbagai unsur senibina.Malah, secara keseluruhannya semua masjid mempunyai jawatankuasa masing-masing bagi urusan mentadbir institusi terbabit dan dalam masa yang sama merencanakan pelbagai program untuk kemaslahatan umat. Semua usaha itu hanya satu matlamat, iaitu mahu memakmurkan masjid, sekali gus menjadikan masjid dekat di hati setiap umat Islam. Tetapi sejauh manakah masjid di negara ini mencapai matlamat yang disasarkan itu?Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, dalam komentarnya melahirkan perasaan tidak senang terhadap institusi masjid di negara ini yang dianggap gagal berfungsi dalam pelbagai lapangan.Beliau menyentuh beberapa aspek, termasuk layanan kurang mesra orang masjid terutama kepada remaja dan kanak-kanak, disusuli bidang keilmuan yang pada pendapatnya masih terikat kepada mata pelajaran tertentu.“Banyak aktiviti masyarakat Muslim sepatutnya berpusat di masjid. Kempen penjagaan alam sekitar, kempen hak-hak wanita, pembinaan ekonomi Muslim dan sebagainya,” katanya.Malah, menurutnya, pengisian kuliah di masjid juga mesti ditingkatkan ke tahap sesuai mengikut perkembangan masyarakat, dengan menghindari fekah yang menyusahkan supaya menjadikan Islam itu mudah dan praktikal.Komentar itu dapat disimpulkan kebanyakan masjid di negara ini gagal berfungsi seperti sepatutnya iaitu aspek ad-din, politik dan kemasyarakatan.Bagaimanapun, ketika syiar Islam semakin berkembang dan di tengah kerancakan usaha kerajaan merencanakan program pembangunan modal insan, apakah benar masjid kita kaku dan tidak mesra pelanggan? Imam Besar Masjid Negara, Datuk Syaikh Ismail Muhammad al-Hafiz, berkata secara umum masjid di negara ini tidak kaku.“Masjid Negara sendiri ada lebih 900 murid, manakala Masjid Jamek di Bandar Baru Uda, Johor ada pelbagai aktiviti yang sangat baik dan patut dicontohi, termasuk mengadakan program terhadap golongan remaja.“Di masjid mukim juga banyak aktiviti, malah kadangkala lebih rancak, mengalahkan masjid di bandar dengan jemaah lebih ramai. Macam mana boleh kata masjid kita kaku?“Bukan saya mengatakan semua masjid itu bagus,” katanya, sambil mengakui memang ada segelintir masjid tidak cemerlang.Beliau juga menyedari senario dalam masyarakat Melayu, apabila sebut saja masjid ia seolah-olah untuk golongan berusia atau warga emas sehingga menyisihkan remaja dan orang muda.“Masjid kita ada jemaah, cuma hendak menjadikan masjid itu lebih dekat lagi sebagai tempat berkenalan, beramah mesra dan kerjasama, supaya semua tertumpu ke masjid.“Barangkali persepsi orang kita masjid untuk orang tua dan ustaz saja, sebab itu orang muda tidak ke masjid. Kata Nabi, orang yang kuat imannya saja ke masjid,” katanya.Mengambil contoh Masjid Negara, katanya, imarahnya cukup terserlah dengan pelbagai program siang dan malam, malah turut terbuka kepada pelancong yang ingin melihat dari dekat masjid berkenaan, sekali gus merapatkan mereka dengan Islam.“Pengurusan masjid ada pelbagai cara mengimarahkannya dan kita kena memberikan kerjasama dan semangat,” katanya.Penolong Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Zamihan Mat Zin al-Ghari, turut tidak bersetuju mengatakan masjid di negara ini tidak aktif dan mesra pelanggan.Malah, tegasnya, adalah satu fitnah jika mendakwa institusi yang paling mulia dalam Islam itu sebagai kaku.“Persoalan atau dakwaan aktif atau sebaliknya tidak sepatutnya dibuat jika tiada angka dan fakta yang jelas. Apa kriteria yang membolehkan masjid dikatakan kaku dan apa pula syarat supaya tidak menjadi kaku?“Sebelum itu juga kita kena lihat persekitaran masjid itu sendiri, apakah didiami mereka yang ‘kaki masjid’ atau sebaliknya dan menjadi satu kesalahan besar apabila kita mengatakan masjid sedemikian rupa secara umum,” katanya.Beliau juga menegaskan, ilmu fekah yang susah tidak sepatutnya dihindari, kerana dibimbangi akan melahirkan generasi yang jahil.“Jika jumpa bahagian ilmu yang susah kita lari, sudah tentu tidak selesai kerana orang tidak akan menguasai ilmu itu.“Sepatutnya yang susah dipermudahkan dengan pendekatan yang lebih baik dan menghubungkan dengan soal semasa.“Apabila ambil yang mudah saja, saya bimbang akan lahir generasi jahil dan jadilah masyarakat yang mentadbir agama, bukannya agama mentadbir masyarakat. Nama lagi fekah, iaitu teliti betul-betul dan mendalam,” katanya. Zamihan berkata, memang jauh untuk membandingkan kemakmuran masjid dan fungsinya yang pelbagai pada masa ini dengan zaman kecemerlangan umat Islam seperti zaman Rasulullah s.a.w dan Khalifah Umar Abdul Aziz.“Dulu masjid tidak dikunci tidak mengapa, kerana tiada orang mencuri. Tetapi sekarang lain, cuai sedikit habis wang tabung masjid dilarikan. “Sebab itu sesetengah zon di masjid dikunci demi menjaga keselamatan, tetapi masih ada ruang lain yang tersedia boleh digunakan sesiapa bertamu untuk menunaikan solat,” katanya, yang turut bersetuju dengan cadangan Dr Mohd Asri supaya mempelbagaikan subjek pengajian di masjid.>>INFODalam sejarah Islam, masjid paling utama ialah Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah yang menjadi tumpuan masyarakat Islam seluruh dunia.Ini diikuti masjid besar yang lain seperti Masjid al-Azhar di Kaherah, yang begitu makmur kerana menjadi pusat penyebaran ilmu.Banyak lagi masjid lain yang tidak kurang hebatnya, malah ditambah dengan senibina yang mengagumkan, membuatkan banyak pihak jatuh cinta pada sesebuah masjid, sekali gus terpanggil memakmurkannya.Cadangan mempelbagaikan ilmu seperti subjek sains di masjid boleh diterima setakat seminar sains seminggu atau sebulan sekali tidak mengapa, tetapi jika mahu dijadikan sebagai teras tidak praktikal, sebab apa guna institusi lain seperti sekolah dan institusi pendidikan tinggi.
p/s :
kepada ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah BKKIMM yang balik abis , sila daftarkan diri antum untuk menjadi nadi penggerak / jentera penggerak operasi pengimarahan surau-surau dan masjid-masjid di tempat tinggal masing masing. Doasa jika kita tak campur sebab ada ilmu tak nak beramal dan sebarkan ..

tarannum makruh ?? harus ??

TILAWAH al-Quran bukan asing bagi masyarakat Islam di negara ini, malah Malaysia antara negara pelopor mengadakan acara itu setiap tahun.Dalam mana-mana majlis tilawah, qari dan qariah akan memperdengarkan bacaan dengan seni lagu atau tarannum. Kehandalan seseorang pembaca bukan sekadar diukur kepada kebolehan tajwid tetapi sedap atau tidak pembacaannya.Melagukan al-Quran berbeza daripada nasyid, qasidah dan burdah malah menurut Imam Syafie, melagukan al-Quran ialah mengelokkan kitab suci itu tanpa melanggar hukum tajwid. Namun, timbul perselisihan pendapat di antara ulama salaf (dahulu) dan ulama khalaf (kemudian) mengenai kesenian lagu al-Quran. Ada berpendapat hukum berlagu makruh dan harus.Antara ulama yang berpendapat hukum berlagu makruh ialah Anas bin Malik, Said bin Jabir, Ibn Sirin, Imam Malik dan Imam Ahmad. Mereka bersandarkan kepada hadis yang berbunyi:“Bacalah al-Quran dengan bentuk suara dan lagu Arab, hendaklah dijauhkan dengan bentuk lagu ahli kitab dan orang fasik. Sesungguhnya akan datang selepas aku kaum tertentu yang membaca al-Quran seperti orang bernyanyi dan cara ahli kitab dan cara seperti meratap iaitu keluar huruf melalui kerongkong mereka tidak sesuai dengan makhraj huruf semata-mata bertujuan mempesona dan menakjubkan orang saja.”Selain itu, Imam Ahmad berpendapat, pembacaan al-Quran secara berlagu suatu perkara bidaah dan ia melarang daripada mendengarnya.Ulama yang berpendapat hukum berlagu adalah harus ialah Umar Ibn Khattab, Ibn Abbas, Ibn Mas'ud, Imam Hanafi dan Imam Syafie. Mereka berpandukan hadis nabi, antaranya: “Daripada Barra' bin Azib berkata: Rasulullah bersabda (maksudnya): Seseorang yang mahir membaca al-Quran ditempatkan di syurga bersama Malaikat dan hiasilah al-Quran dengan suaramu.”Menurut Imam Mawardi, melagukan al-Quran itu boleh selagi tidak keluar daripada kaedah hukum tajwid sehingga lagu merosakkan bacaan.Ijmak ulama menyatakan, menjadi suatu yang digalakkan mendengar bacaan al-Quran seorang yang mempunyai suara baik kerana ia lebih jelas kepada makna yang dikehendaki.Pensyarah al-Quran dan Tarannum, Kolei Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Muhammad Lukman al-Hafiz Ibrahim, berkata masyarakat Islam perlu menganggap tarannum suatu tuntutan dengan melihat kepada beberapa hadis sahih Rasulullah s.a.w yang menyuruh dan beramal demikian. Asas bertarannum, katanya, ialah hadis Rasulullah s.a.w bermaksud: “Bukanlah umat kami mereka yang tidak bertaranum dengan al-Quran.” (Sahih Bukhari: 6/273) “Suatu bukti yang tidak dapat disangkal ialah mereka yang belajar ilmu tarannum adalah lebih baik tilawah serta tajwidnya berbanding dengan mereka yang tidak belajar,” katanya.Beliau berkata, ini sesuai dengan gesaan Rasulullah s.a.w supaya membaca al-Quran dengan cara yang paling baik, seperti yang dapat difahami melalui satu hadis bermaksud: “Hiasilah al-Quran dengan suaramu kerana suara yang baik akan menambah keelokan al-Quran.” (Riwayat Hakim 1/768).“Suara perlu dibentuk dengan tarannum yang baik untuk menyambut suruhan Rasulullah s.a.w ini. Jika tidak bacaan akan menjadi buruk dan tidak elok. Ini bertentangan dengan kemuliaan al-Quran. “Seorang yang berkata tidak mampu bertaranum dengan alasan suaranya tidak baik hanya memberi alasan yang remeh. “Mereka sebenarnya tidak belajar bertaranum yang betul untuk al-Quran. Realiti ini memang terbukti melalui kursus dan kelas yang diadakan. “Sehingga guru dan penceramah agama sendiri yang mahir dalam ilmu tafsir, hadis, fiqah dan lain-lain tidak membaca al-Quran dengan baik malah salah,” katanya.Punca perkara itu, katanya, hanya satu kerana tidak belajar al-Quran sedangkan mereka mendalami ilmu tafsir, hadis, fiqah dan lain-lain.“Sekiranya dilihat dari sudut masyarakat Islam pula, mereka yang lemah dalam membaca al-Quran masih ramai bahkan sebahagiannnya tidak tahu membaca langsung. Itu belum lagi dibincangkan persoalan membaca dengan baik dan bertarannum,” katanya. Jelas, berdasarkan keterangan itu termasuk beberapa hadis menegaskan supaya membaca al-Quran dengan suara elok dan berlagu menyumbangkan kepada keelokannya. Tetapi ini tidak bermakna mereka yang tidak boleh berlagu dipaksa agar berbuat demikian, sesuai dengan hadis bermaksud: “Sesungguhnya mengelokkan suara dalam pembacaan al-Quran adalah dituntut. Jika tidak berkemampuan hendaklah diperelokkan sekadar termampu saja.”Menurutnya, amalan berlagu dalam pembacaan al-Quran bermula sejak era kegemilangan generasi pertama Islam, iaitu zaman Rasulullah s.a.w.“Imam Ibn Hajar Asqalani meriwayatkan, masyarakat Arab cukup suka berlagu sama ada ketika menunggang unta, di halaman rumah dan di mana sahaja. Apabila al-Quran diturunkan, Rasululah s.a.w mahukan minat berlagu itu dipindahkan kepada tarannum al-Quran (Fath al-Bari 6/69). “Satu riwayat lain dari Imam Ibn Batthal menyebutkan, Saidina Umar meminta Abu Musa al-Asy`ari (qari ulung di kalangan sahabat) membaca al-Quran di hadapannya. Maka, Abu Musa membaca sambil bertarannum. Kata Umar r.a sesiapa yang mampu untuk bertaranum seperti Abu Musa, silalah (Syarah al-Bukhari oleh Ibnu Battal 9/342) “Asasnya di sini ialah mengutamakan bacaan bertajwid dan tarannum bertujuan untuk memperelokkan lagi bacaan al-Quran,” katanya. Jenis lagu adalah pelbagai, tetapi yang biasa bagi masyarakat di Malaysia ada tujuh, membabitkan lagu Bayati (dimasyhurkan orang Mesir), lagu Soba (berasal dari Arab Mesir), lagu Hijaz (berasal dari Hijaz iaitu Makkah dan Madinah), lagu Nahawand (berasal dari Hamdan, Parsi), lagu Rast (berasal dari Parsi), lagu Jaharkah (berasal dari Afrika) dan Sikah (berasal dari Parsi).Muhammad Lukman berkata, seseorang yang ingin membaca al-Quran boleh memilih mana-mana tarannum yang sesuai dengan suara mereka. “Umat Islam memang dituntut mempelajari tarannum sepanjang zaman dengan tujuan untuk memperelokkan (tahsin) tilawah al-Quran. “Namun, asas dalam tarannum al-Quran adalah tajwid. Al-Quran wajib dibaca dengan tajwid. “Taranum juga adalah tuntutan, namun tidak boleh sekali-kali mendahului tajwid dan melampau dalam tarannum sehingga membelakangi tajwid. Perkara ini mesti dijauhi,” katanya. Cuma, katanya, syarat pembelajaran tajwid dan tarannum adalah secara talaqqi dan musyafahah (belajar secara langsung dan menghadap guru). “Kaedah menggunakan kaset, cakera padat video (VCD) dan media lain hanyalah sebagai satu alat bantu tambahan dan ia bukan asas kepada pembelajaran al-Quran,” katanya

Perkahwinan Kerana Allah

ALAM perkahwinan adalah fitrah semula jadi manusia, menjadi impian semua orang. Melaluinya akan terbentuk institusi keluarga dan melahirkan zuriat yang dapat meneruskan keturunan manusia.Dalam Islam perkahwinan satu tuntutan yang perlu dipenuhi.Sebelum ke gerbang perkahwinan, aspek pemilihan jodoh perlu diberi perhatian kerana kesilapan membuat pilihan mengakibatkan masalah kemudian hari.Senario masa kini mendapati kebanyakan anak muda lebih gemar memilih faktor keluarga, harta benda, kecantikan dan pangkat untuk mengikat tali percintaan dan membina gerbang perkahwinan.Secara fizikal, kriteria pemilihan jodoh tiada cacat celanya, tetapi apabila ia dijadikan keutamaan sehingga agama diketepikan, maka ia satu kesilapan besar kerana boleh menyebabkan kemanisan alam perkahwinan menjadi pudar dan akhirnya berlaku perpisahan. Pakar motivasi, Ahmad Shukri Yusof, berkata kesilapan besar bagi pasangan yang ingin berkahwin tidak meletakkan agama sebagai keutamaan dalam membuat pilihan jodoh mereka.Menurutnya, kesilapan itu juga mengakibatkan hubungan suami isteri tidak bertahan lama, malah berlaku pelbagai kejadian tidak diingini.“Kriteria Nabi Muhammad s.a.w sebut walaupun sudah lama, ia masih relevan. Agama perlu menjadi asas memilih jodoh supaya perkahwinan dan kebahgiaan yang dibina bertahan hingga ke penghujung nyawa.“Jika betul-betul berasaskan kriteria yang disebut nabi, tiada timbul pelbagai perasaan dalam alam rumah tangga, seperti ragu-ragu atau takut tidak berasas,” katanya.Islam menggariskan beberapa panduan kepada umatnya memilih jodoh, seperti mengutamakan lelaki atau wanita beragama dan berakhlak, sebagaimana sabda nabi bermaksud: “Apabila datang kepada kamu seorang yang kamu puas hati dari sudut agama dan akhlaknya, maka kamu kahwinkan anak kamu dengannya segera. Jika kamu tidak berbuat demikian, nescaya timbul fitnah di muka bumi ini dan kerosakan yang akan ditempuhnya nanti.” (Riwayat Abu Hurairah)Umat Islam juga perlu mengelak memilih jodoh dari kalangan lelaki atau wanita fasik.Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang mengahwinkan anak perempuannya dengan lelaki fasik maka sebenarnya dia telah memutuskan silaturahim dengan anaknya.”Selain itu, kita dianjurkan memilih jodoh dari kalangan yang sihat, bebas dari penyakit yang dibimbangi mengganggu tugas sebagai suami atau isteri.Pasangan itu pula biarlah sepadan bagi mengelak keaiban pada beberapa perkara tertentu dan untuk mencapai persamaan dalam bidang sosial, sekali gus menjamin kesejahteraan hidup suami isteri, tanpa ada yang berkecil hati atau rendah diri.Walaupun aspek itu bukannya syarat sah perkahwinan dan tidak dipersoalkan ketika majlis ijab dan kabul, namun ia mempunyai pengaruh besar terhadap hubungan suami isteri.Ahmad Shukri turut mengingatkan anak muda supaya tidak mudah terpedaya dengan istilah cinta, seperti cinta pandang pertama kerana ia tidak boleh dijadikan asas dalam memilih jodoh.“Cinta hanya sementara, malah cinta itu buta. Jika cinta tidak berteraskan anjuran agama, ia boleh pudar sedangkan mahligai yang mahu dibina seboleh-bolehnya berpanjangan,” katanya.Beliau berkata, golongan muda perlu menilai dan memahami perkara ini supaya cinta yang selalunya bersemi sebelum perkahwinan tidak menjerat diri pada kemudian hari.“Tidak sukar memilih pasangan mengikut garis panduan terbabit.“Pelbagai cara boleh dilakukan untuk menentukan calon pasangan anda beragama dan berakhlak seperti bertanya orang lain termasuk saudara, kawan, malah melihat tindak tanduknya.“Ini bukan bermakna Islam menolak calon berharta, berkedudukan dan cantik malah ciri ini juga penting kerana sudah menjadi sifat semulajadi manusia suka kepada kecantikan.“Cuma, apa yang penting dahulukan agama. Jika sudah beragama, cantik dan kaya raya, itu tentu pilihan yang baik,” katanya.
P/s
mabruk buat ustaz faizul rizwan yang bakal melangsungkan pernikahan pada minggu depan

Muda Biar Cemerlang Tua Biar Gemilang

RASA syukur meresapi diri kerana hingga saat ini kita masih bernafas di bumi Allah. Diberi kesihatan, kecergasan, kesenangan malah kelapangan masa agar kita dapat manfaatkan semua kurnia itu untuk menjadi manusia cemerlang di dunia dan akhirat. Kata-kata “masa itu ibarat pedang, jika kamu tidak mencantasnya dia akan memotong kamu” memang benar kerana masa ibarat senjata tajam yang amat berguna jika digunakan dengan cara betul dan baik, namun jika tidak betul cara mengguna masa, nescaya ketajaman masa itu akan memakan diri kita sendiri. Mereka yang tidak memanfaatkan masa sebaik mungkin akan mewarisi seribu ketinggalan dan kemunduran sama ada dalam pekerjaan, rumah tangga, pelajaran, pergaulan, teknologi, politik mahupun agama. Ketika semua bersyukur dan berbangga di atas kejayaan rakyat Malaysia, Dr Sheikh Muszaphar Shukor, menjejak kaki ke angkasa lepas. Jangan pula kita masih seperti pungguk yang menantikan bulan, kerana kejayaan dan kecemerlangan tidak mungkin datang bergolek.Masa berlalu pantas tanpa kita sedari. Sebulan Ramadan yang berkat sudah berlalu dan setahun lagi baru muncul kembali, tanpa kita tahu apakah kita masih menyedut udara di bumi ini pada tahun depan. Kejar dan gunalah masa keemasan yang kita miliki kini. Islam amat mengambil berat mengenai masa sehingga Allah bersumpah dengan masa bukan sekali, malah berpuluh kali dalam al-Quran. Ada satu surah khusus dalam al-Quran iaitu surah al-Asr (Masa) yang intipatinya menegaskan bahawa manusia berada dalam kerugian jika tidak manfaatkan masa untuk beriman dan beramal soleh serta tidak berpesan-pesan sesama manusia dengan kebenaran dan kesabaran.Sehubungan itu, Rasulullah s.a.w berpesan kepada umatnya agar memanfaatkan masa dalam lima keadaan iaitu: masa muda sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, masa kaya sebelum miskin, masa lapang sebelum sibuk dan masa hidup sebelum mati.Masa muda jangan persia-siakan, kecergasan fizikal dan mental sepatutnya digunakan untuk menimba ilmu dan pengalaman sebaik dan sebanyak mungkin, kerana apa yang terjadi pada hari tua bergantung apa yang kita lakukan ketika usia muda. Masa muda tidak bertahan lama, bila tiba hari tua keremajaan dan kemudaan hanya tinggal kenangan. Bila tua kadang-kadang tidak indah, tenaga sudah lemah, selera sudah menurun, sakit-sakit pula selalu singgah. Remaja atau anak muda yang cemerlang akan menjadi warga emas yang gemilang. Manakala yang kecundang menguruskan masanya akan menjadi warga emas yang malang. Bukan rugi di dunia saja, akhirat juga dipersoal, usia remaja bagaimana dijalani.Masa sihat pula adalah nikmat yang sangat berharga. Badan kita milik Allah, maka wajib kita jaga amanah ini sebaik mungkin. Sebarang kegiatan yang menjejaskan kesihatan kita disifatkan oleh al-Quran sebagai mencampakkan diri dalam kebinasaan. Namun, ramai tidak menghargai nikmat sihat ini sehingga membinasakan diri dengan mengambil dadah, kokain, Ecstasy, ketagihan alkohol mahupun rokok, atau menjadi Mat Rempit yang mendedahkan diri kepada kecelakaan. Gunakan masa sihat untuk menuntut ilmu dan pengalaman serta membantu yang lain di samping melaksanakan ibadat, bukan menyamun, merompak, memperkosa, menyusahkan orang lain atau melakukan perkara dilaknat.Masa kaya adalah nikmat juga ujian bagi kita. Ramai yang terpesona dengan kekayaan dimiliki. Kekayaan tidak kekal, ia boleh bertambah dan hilang sekelip masa.Kekayaan adalah amanah, maka cari kekayaan dan gunakan mengikut peraturan Allah. Harta boleh dicari sebanyak mungkin, tetapi bukan untuk menjadi seperti Qarun yang mabuk dengan kekayaan lalu dilanda laknat dan diazab. Atau bukan seperti Tha'labah yang kaya harta tetapi subur kebakhilan. Perlu diingat, kaya adalah alat untuk mencapai kebaikan dan keburukan. Dengan harta kita boleh menjadi dermawan, dengan harta juga kita boleh menjadi tamak haloba. Dengan harta kita boleh ke syurga, dengan harta juga kita boleh ke neraka.Masa dan peluang terakhir yang disebut Rasul s.a.w ialah yang amat penting dan tidak mungkin dicuaikan iaitu masa hidup sebelum mati. Kata Saidina Ali: “Sesiapa yang ingin hidup selepas mati, bersedialah dengan amalan dan sesiapa yang tidak beramal tiada lagi kehidupan (nikmat) selepas mati.” Maka fikir-fikir dan renungkanlah.

Kem Malaysia Ceria ..

KUALA LUMPUR: Kontinjen Malaysia berjaya mencapai sasaran merangkul 64 pingat emas pada temasya Sukan Sea edisi ke-24 di Korat, Thailand, semalam sesudah menokok 10 lagi pingat emas pada hari kedua terakhir pertandingan. Pingat emas ke-64 itu diraih menerusi acara perseorangan lelaki snuker apabila Moh Keen Ho menewaskan peserta tuan rumah, Noppadol Sangnil 4-1 pada perlawanan akhir. Kejayaan itu bermakna kontinjen negara berjaya melepasi rekod pungutan pingat emas terbanyak ketika temasya itu dilangsungkan di luar Kuala Lumpur dengan rekod terdahulu adalah 61 emas di Manila, pada 2005. Malaysia kini menduduki tangga ketiga dengan 64 emas, 49 perak dan 89 gangsa serta hanya dipisahkan dengan Vietnam yang menduduki tangga kedua menerusi perbezaan pingat perak. Dengan gimnastik berirama menawarkan empat pingat emas pada hari penutup hari ini, peluang Malaysia untuk melepasi angka sasaran cerah. Sasaran awal Majlis Sukan Negara (MSN) meraih 64 pingat emas menjadi kenyataan semalam apabila acara terjun menyapu bersih semua lima pingat emas yang ditawarkan dalam acara berkenaan. Malaysia kini menduduki tangga ketiga dengan 64 emas, 49 perak dan 89 gangsa serta hanya dipisahkan dengan Vietnam yang menduduki tangga kedua menerusi perbezaan pingat perak. Dengan gimnastik berirama menawarkan empat pingat emas pada hari penutup hari ini, peluang Malaysia untuk melepasi angka sasaran cerah. Sasaran awal Majlis Sukan Negara (MSN) meraih 64 pingat emas menjadi kenyataan semalam apabila acara terjun menyapu bersih semua lima pingat emas yang ditawarkan dalam acara berkenaan.

Selamat Berangkat

5 Disember, Rumah Kelantan, Hayyu Sabi' - Seramai 19 orang pelajar Malaysia di Mesir telah berangkat ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan ibadah haji hari ini. Rombongan haji di bawaah kelolaan PMRAM ini terdiri dari 16 orang pelajar dari Syubra, seorang dari Tanta dan sepasang suami isteri beserta seorang cahaya mata.Rombongan telah bertolak dari perkarangan Rumah Kelantan Hayyu Sabi' pada jam 6.30 pagi (waktu Mesir) menuju ke Terusan Suez untuk meneruskan perjalanan ke Tanah Suci melalui kapal laut. Seluruh ahli PMRAM mendoakan agar Allah menerima ibadah haji para rombongan dan mengurniakan kesihatan kepada mereka sehinggalah selamat pulang kembali ke Mesir.