24 Februari 2007

Tafsiran Sempit Punca Umat Islam Gagal?

KUALA LUMPUR 15 Feb. – Umat Islam perlu menjadi perintis inovasi dan ilmu baru bagi mengurangkan kebergantungan Islam kepada bangsa lain di dunia, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau berkata, harapan itu boleh direalisasikan kerana sejarah membuktikan bahawa ilmuwan Islam merupakan perintis inovasi dan teknologi dunia moden. ‘‘Mengapa kita sewenangnya menyerahkan soal inovasi Sains dan Teknologi kepada bangsa lain dan kita sekadar menjadi pak turut? ‘‘Persoalan ini perlu direnung dan dijadikan iktibar untuk kita kembali memartabatkan Islam yang semakin terhakis hari demi hari,’’ katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Pameran Kegemilangan Sains Dalam Tamadun Islam: Sains Islam Mendahului Zaman di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini. Najib berkata, generasi muda Islam perlu bangkit membela nasib ummah dan mengangkat kembali maruah mereka melalui penguasaan ilmu pengetahuan yang membawa kemajuan serta kemakmuran. Islam, jelasnya, telah mendahului zaman dengan pelbagai produk berinovasi ketika dunia Barat dan Eropah masih dalam zaman kegelapan. Bagaimanapun, katanya, umat Islam menjadi mundur apabila dipengaruhi golongan yang menyempitkan tafsiran bahawa agama suci itu hanya mementingkan ilmu akhirat. ‘‘Bangsa lain akhirnya bangkit dan menciplak teknologi Islam dan melabelkannya sebagai produk mereka yang kemudian disanjung dunia,’’ katanya. Kesan daripada itu, tegas Najib, Islam terus dihina, dicaci dan dikatakan sebagai agama pengganas, kolot serta kejam. Timbalan Perdana Menteri menegaskan, pameran tamadun Islam yang dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi itu seharusnya menjadi titik tolak bagi mengubah tanggapan negatif berkenaan. ‘‘Kehadiran lebih 250,000 pengunjung sepanjang pameran ini membuktikan rakyat Malaysia berminat dengan teknologi dan saya berharap usaha ini menjadi pencetus kepada kealpaan kita,’’ katanya. Beliau berkata, pameran yang diadakan dengan kerjasama Akademi Sains Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan Institut Sejarah Sains Islam Universiti Johan Wolfgang Goethe, Jerman itu akan membantu melahirkan generasi pemikir Islam. Terdahulu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis dalam ucapannya berkata, pameran berkenaan akan diadakan di setiap negeri di Semenanjung atas permintaan ramai. Pameran Kegemilangan Sains dalam Tamadun Islam itu mempamerkan 148 replika instrumen serta peralatan, poster, model dan manuskrip berkaitan Sains dan Teknologi yang dibangunkan oleh ilmuan Islam lampau. Pameran itu berlangsung sejak 8 Januari lalu. Semua bahan pameran itu dihasilkan semula berdasarkan kepada kajian yang dijalankan oleh Pengarah dan Pengasas Institut Sejarah Sains Arab-Islam, Dr. Fuat Sezgin. Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Pawanteh. Sumber : Utusan Malaysia Online Ulasan: Faktor utama kejatuhan Daulah Islam, Khilafah Bani Uthmaniah pada 3hb Mac 1924, adalah disebabkan serangan daripada pihak kuffar barat yang tidak pernah kenal erti jemu sejak perang Salib sehinggalah ke awal kurun ke-19. Serangan-serangan yang dilakukan termasuklah berbentuk serangan fizikal dan pemikiran. Di antara keduanya, serangan pemikiranlah yang paling berbahaya. Serangan-serangan pemikiran yang dilakukan termasuklah memutarbelitkan pemahaman umat Islam tentang Islam. Di antara tafsiran-tafsiran yang salah termasuklah slogan-slogan yang berbunyi 'Islam berubah ikut zaman', 'Undang-undang Islam hanyalah sesuai untuk bangsa Arab'. malah banyak lagi. Kini, slogan-slogan tersebut masih dilaungkan oleh sebilangan kaum muslimin yang terpengaruh dengan pemikiran-pemikiran barat. Padahal, jika Islam berubah ikut zaman, sudah tentulah isi kandungan Al Quran akan turut berubah. Rasulullah SAW diutus untuk rahmat sekalian alam, bukan untuk bangsa Arab sahaja. Jika ia hanya untuk bangsa Arab, masakan ia tersebar luas sehingga menguasai wilayah-wilayah di luar Jazirah Arab dan pernah memberi rahmat kepada 3/4 dunia. 'Tafsiran sempit' dan 'mementingkan akhirat' bukanlah sebab utama kegagalan kebangkitan. Sistem kufur yang diterapkan ke atas kaum Muslimin dan halangan daripada para penguasa umat Islam di seluruh dunia sebenarnyalah yang menjadi faktor utama yang menghalang usaha gigih para pejuang Islam untuk mengembalikan zaman kegemilangan Islam. Kini, umat Islam sudah terlalu lama terleka dan terlena akibat terpengaruh dengan slogan-slogan seperti itu. Hanya dengan kesedaran melalui pemahaman Islam yang benar, umat Islam akan bangkit dan seterusnya membina sistem inovasi dan bidang keilmuan mereka sendiri. Wahai kaum muslimin! Pemuda-pemuda dakwah berada di sekitar anda untuk mengajak kepada pemahaman Islam yang benar. Sahutlah seruan mereka. Mereka adalah saudara-saudaramu yang ikhlas di dalam perjuangan dan jadikanlah mereka sebagai tempat untuk melepaskan belenggu pemikiran yang sedang mencengkam akibat kezaliman sistem ciptaan manusia. Wallahu alam

panas !!!! 5 Sebab Mengapa Amerika Memerangi Dunia Islam

5 Sebab Mengapa Amerika Memerangi Dunia Islam Ahad, 18 Februari 2007 Presiden Kesatuan Ulama Sedunia, Prof Dr. Yusuf Al-Qardhawi telah menyelar keganasan Amerika terhadap dunia Islam dalam ucapannya ketika majlis pembukaan Forum Amerika Dan Dunia Islam (US-Islamic World Forum) kali kelima yang berlangsung di Doha pada 17 Februari 2007. Prof. Dr. Yusuf Al-Qardhawi menyatakan bahawa 5 sebab utama yang dimiliki oleh Amerika Syarikat telah menyebabkan negara tersebut tidak mahu berbincang dengan negara-negara Islam. 5 perkara tersebut ialah melampaui batas, bongkak, jahil, tamak dan dengki. Prof. Dr. Yusuf Al-Qardhawi meminta Washington untuk tidak meneruskan cita-citanya yang ingin menguasai dunia dengan cara kekerasan. Beliau menegaskan peri pentingnya hidup yang harmoni antara Amerika Syarikat dan dunia Islam. Ini kerana manusia seluruhnya hidup di dalam planet yang satu, tuhan mereka adalah satu dan bapa mereka (Nabi Adam A.S) adalah satu. Tiada apa yang membezakan mereka melainkan taqwa sahaja. Beliau turut mengecam Amerika Syarikat yang menganggap Hamas sebagai pengganas sedangkan Israel yang sememangnya hero keganasan tidak dianggap sebagai pengganas. Beliau berkata: "أمريكا تؤيد الديمقراطية في العالم، ولكن إذا جاءت حكومة ديمقراطية في فلسطين فهي تعاديها" (Amerika membantu demokrasi di dunia tetapi apabila datangnya kerajaan demokrasi di Palestin, Amerika menentangnya) Dr. Yusuf Al-Qardhawi juga mencadangkan Amerika Syarikat agar membelanjakan bilion dollar kepada keperluan dunia sebagai ganti kepada bilion dollar yang digunakan untuk menguasai dunia.