18 November 2007

Kerajaan hina Islam, bila bina replika Kota Portugis RM12.9 juta

Melaka, 17 Nov - 'Dibina oleh Portugis, diperkukuhkan oleh Belanda, dimusnahkan oleh Inggeris dan dibina semula oleh Kerajaan Malaysia' itulah catatan yang tertera di depan tapak pembinaan semula Kota Portugis berhampiran Muara Sungai Melaka. Pelbagai pihak melahirkan kekesalan berikutan tindakan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) dan Kerajaan Negeri Melaka untuk membina semula Kota Portugis dengan peruntukan RM12.9 juta setelah mendapat kelulusan dari kabinet baru-baru ini. Ia tidak perlu diberi peruntukan jutaan ringgit bagi pembinaannya semula kerana hanya akan menaikkan semula imej penjajahan Portugis seterusnya menghina bangsa Melayu Islam yang telah mengecapi kemerdekaan 50 tahun yang lalu. Menurut Ketua Pemuda PAS Melaka, Ustaz Kamaruddin Sidek, Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka mengulangi pendiriannya membantah sekeras-kerasnya cadangan itu kerana menghina bangsa Melayu dan agama Islam. Beliau berkata, kerajaan Negeri Melaka dan KeKKWa tidak sensitif dengan perasaan orang Melayu Islam yang pernah dijajah suatu ketika dulu, ini menunjukkan pemikiran mereka masih dijajah kerana masih mengagung-agungkan penjajah. "Tak logik walau atas alasan ingin menarik pelancong kerana tinggalan sejarah seperti 'A Formosa', Perigi Portugis, Bukit St. Paul dan Perkampungan Portugis sudah lebih dari mencukupi," katanya. Ustaz Kamaruddin juga mempersoalkan apakah rasionalnya cadangan Ali Rustam itu sedangkan dalam masa yang sama peruntukan bagi perkembangan pendidikan Islam iaitu Sekolah Agama Rakyat disekat sehingga Kerajaan Negeri terpaksa menyerahkannya kepada Kerajaan Pusat. "Sepatutnya peruntukan yang sebegitu besar diberi kepada perkara yang lebih penting dan mereka yang memerlukan, bukannya dengan melakukan pembaziran sebegini rupa," katanya. Kota Portugis Pada awalnya tembok Kota ini dibina oleh Kerajaan Kesultanan Melayu Islam Melaka mengelilingi Istana Raja, ia dibina daripada tanah dan diperkuat dengan batang kelapa dan batang nibung serta pagar kayu. Manakala Kota Batu ini dibina oleh Portugis setelah menawannya dalam tahun 1511 mengelilingi Bukit Melaka (Bukit St Paul) dan siap pada tahun 1548 dan kota ini diperkukuh semula oleh Portugis setelah serangan Belanda dalam tahun 1605- 1606. Belanda seterusnya memperkukuhkan lagi tembok kota dan menambah beberapa bastion setelah menawan Melaka pada tahun 1641 termasuklah Bastion Middleburg yang terletak di pintu masuk Sungai Melaka. Namun hampir keseluruhan Kota Melaka akhirnya dimusnahkan oleh Inggeris dalam tahun 1806-1807 dan yang terselamat hanyalah sebuah pintu kota yang dikenali A' Formosa. Kini Kota Melaka ini sedang dikaji dan didokumentari secara komprehensif oleh Jabatan Warisan Negara dan sebahagian tembok kota ini akan dibina semula oleh KeKKWa. Munsyi Abdullah Dalam buku Hikayat Abdullah, Munsyi Abdullah (1796-1854) menulis tentang bagaimana Residen William Farquhar (1774- 1839) meruntuhkan kubu Portugis di Melaka pada tahun 1807. Farquhar, seorang jurutera yang hidup sezaman dengan Stamford Raffles, menjadi Residen di Melaka antara 1803-1818. Kata Munsyi Abdullah: "Sebab Inggeris itu terlalu cerdiknya itulah sebabnya dipecahkannya kota ini; kerana jikalau kiranya kota ini dapat ke tangan bangsa lain, nescaya beberapa lama pun diperanginya tiadalah akan alah, oleh sebab demikianlah kukuhnya dan hikmatnya kota ini." Di kota itu juga, kata Munsyi Abdullah, terdapat penjara untuk menyeksa tahanan. Beliau menyambung: "Ada pun seri negeri Melaka itulah kota itu. Maka apabila sudah pecah kota itu, maka negeri Melaka tiada berseri lagi, umpama seorang perempuan yang kematian suaminya, tiadalah berseri mukanya. "Akan tetapi sudahlah dengan takdir Allah, itulah alamat dunia ini tiada kekal, yang ada ditiadakan, dan yang tiada diadakan, berubah-ubah adanya." - mks.