24 Jun 2007

Kemudahan dalam Islam wajar dihayati

AL-MUWAFAQAT adalah judul sebuah kitab yang menjadi rujukan utama dalam pemikiran perundangan Islam bahkan seluruh aspek keIslaman. Kitab yang berjumlah empat jilid itu ditulis ulama terbilang daripada kalangan mazhab Maliki, Imam Abu Ishaq al-Shatibi yang meninggal dunia beberapa kurun lalu. Dalam jilid 2 kitab ini disebutkan bahawa doktrin memudahkan dan tidak menyusahkan yang ada dalam Islam sekurang-kurangnya mempunyai dua tujuan. Pertama, menghindarkan umat Islam daripada menyeleweng terhadap agama dan membenci taklif atau tugas agama. Kedua, mengelakkan diri daripada mengabaikan tugas dan tanggungjawab kepada Allah ketika sibuk dengan tugas dunia. (Hal. 83)Satu penyelewengan yang berlaku dalam masyarakat Islam adalah penyelewengan moral dan akhlak disebabkan kepura-puraan beragama kerana berasakan kesusahan ketika melaksanakan ajaran Islam yang dianggap berat. Dalam soal perkahwinan, sebagai contoh, kerana beratnya proses pelaksanaannya dalam beberapa aspek sama ada keluarga, perundangan mahupun tuntutan hidup sehingga kita banyak mendengar perkahwinan tidak direstui keluarga, perkahwinan sembunyi-sembunyi, perkahwinan di luar negara dan lain-lain. Padahal prosedur perkahwinan tidaklah berat dalam Islam dan dengan memudahkan prosedur perkahwinan, maka terhindar umat Islam yang mendirikan rumah tangga daripada berbuat dosa.Diceritakan Imam al-Ghazali bahawa ada lelaki jatuh hati kepada seorang wanita. Ketika wanita itu keluar untuk suatu keperluannya, maka pergilah lelaki itu bersamanya. Sesampai di kampung yang sunyi ketika orang sudah tidur, lelaki itu menyampaikan maksud hatinya. Wanita itu pun menyahut, “Lihatlah apakah orang sudah tidur semuanya?” Dengan demikian lelaki itu mengira bahawa maksud hatinya hendak dikabulkan. Dia mengelilingi kawasan itu dan melihat-lihat sejenak. Selepas jelas orang sudah tertidur, segera dia menghampiri wanita seraya berkata: “Benar semua orang sudah tidur.” Lalu wanita itu bertanya: “Bagaimanakah pendapatmu dengan Allah?” Apakah saat ini Dia juga tidur?” Lelaki itu menjawab: “Sesungguhnya Allah tidak pernah tidur.” Wanita itu lalu berkata lagi: “Sesungguhnya Zat yang tidak pernah tidur akan melihat kita, meskipun manusia yang sedang tidur lena tidak melihat kita. Oleh itu, Dia lebih berhak kita takuti.”Dengan segera lelaki itu meninggalkan perempuan berkenaan kerana takut kepada Allah. Dia pulang ke rumahnya dan bertaubat. Selepas dia meninggal dunia ada seorang bermimpi bertemu dengannya. Lalu ditanya: “Apakah yang dilakukan oleh Allah kepadamu?” Lelaki itu menjawab: “Allah mengampuni aku kerana ketakutanku dan meninggalkan dosa itu.”Menerusi dua tujuan utama kemudahan Islam seperti disebut di atas, sesetengah ulama mendapati bahawa ada tujuh fenomena kemudahan dalam hal at-takhfif atau meringankan hukum syarak iaitu pertama, takhfif isqat atau diringankan dengan menggugurkan kewajipan seperti haji kerana keadaan tidak aman dan kewajipan solat bagi wanita sedang haid. Kedua, takhfif tanqis atau diringankan mengurangkan kewajipan seperti qasarkan solat ketika dalam perjalanan jauh. Ketiga, takhfif ibdal atau menggantikan kewajipan seperti menggantikan wuduk dengan bertayamum ketika ketiadaan air atau sakit. Keempat, takhfif taqdim iaitu mendahulukan kewajipan seperti mendahulukan solat Asar pada waktu Zuhur ketika wuquf di Arafah atau ketika dalam perjalanan jauh dan mendahulukan pembayaran zakat berdasarkan kenyataan sesetengah ulama. Kelima, takhfif ta'khir atau mentakkhirkan kewajipan seperti mentakkhirkan solat Zuhur pada waktu Asar ketika dalam perjalanan jauh dan juga adanya hal-hal yang sangat mendesak. Keenam, takhfif tarkhisy atau memberi kelonggaran dalam melaksanakan kewajipan seperti kelonggaran memakan bangkai binatang dan minum khamar ketika darurat. Ketujuh, takhfif taghyir atau mengubah sesuatu kewajipan seperti mengubah pergerakan solat ketika dalam peperangan atau kerana ketakutan. (Lihat Al-Syazili, Tarikh al-Tasyri', 69)Fenomena kemudahan di atas membuktikan bahawa Islam adalah syariat yang fleksibel dan sentiasa memudahkan umatnya seperti sabda Rasulullah SAW maksudnya: "Sesungguhnya agama itu mudah" (diulang tiga kali). (Hadis riwayat Ahmad) Dan sabdanya lagi bermaksud: "Sesungguhnya agama yang paling disukai Allah ialah yang suci dan memberi kesenangan." (Hadis riwayat al-Tabrani). Perlu dicatat di sini bahawa fenomena kemudahan yang berasaskan wujudnya kesusahan tidak semestinya menggambarkan Islam tidak mengambil kira kesusahan dalam mewajibkan sesuatu taklif kerana kesusahan dalam Islam dibahagikan kepada dua iaitu kesusahan biasa dan kesusahan luar biasa. Fenomena kemudahan hanya boleh diaplikasikan kepada kesusahan biasa, manakala taklif dalam kesusahan luar biasa tidak wujud dalam Islam.Kita tidak memahami dan menghayati konsep dan panduan kemudahan dalam Islam maka banyak kita temui hari ini fenomena perbalahan di antara umat Islam antaranya permusuhan yang disebabkan perbezaan pendapat. Jika kita memahami dan menghayati konsep dan panduan kemudahan dalam Islam kita tidak akan bertelagah dalam hal yang berdimensi cabang atau furuk dalam agama kerana perbezaannya hanyalah sekadar perbezaan tafsiran muktamad ke atas perkara asas agama Islam itu sendiri. Dalam melakukan perjalanan jauh yang melebihi had dibenarkannya solat jamak dan qasar, kita masih berselisih faham sehingga satu-satu rombongan boleh bergaduh kerana ada yang berpendapat boleh jamak dan yang lain tidak perlu jamak. Padahal, jika kita biarkan yang menjama solat dengan jamaknya dan yang tidak menjama solat dengan tidak jamaknya sudah tentu perjalanan kita akan lebih selesa dan harmoni. Demikian pula dengan perjalanan kehidupan kita sehari-hari, selagi sesuatu urusan masih termasuk dalam hal furuk tidak perlu dipertikaikan, apatah lagi diperbesarkan sehingga menyebabkan permusuhan sesama umat. Bagaimanapun, dalam kita menyambut pelancong luar negara khasnya dari Timur Tengah, fenomena ketidakselesaan perbezaan pendapat akan bertambah kerana kebanyakan daripada saudara kita yang datang dari jauh itu akan meragui kita dan menganggap kita tidak tahu melaksanakan ajaran agama Islam yang benar. Mereka ingin bacaan bismillah dalam solat jahriyyah tidak perlu diucapkan dengan nyata. Mereka menginginkan doa qunut tidak perlu dibaca. Mereka menginginkan wirid berjemaah selepas solat jemaah tidak perlu dilakukan dan banyak lagi. Keinginan bahkan tuntutan mereka ini akan lebih deras lagi arusnya seandainya mereka menjadi pemberi dana dalam satu-satu yayasan atau pertubuhan sehingga membuat gusar masyarakat lain yang sudah terbiasa dengan kebiasaan di Nusantara. Oleh itu, mereka harus memahami dan menghayati konsep kemudahan Islam dan perbezaan pendapat jangan hanya dibibir dan kitab, tetapi di alam nyata. Sepatutnya, mereka tidak perlu memaksa kehendak mazhab mereka seperti kita juga tidak akan memaksa mazhab kita ketika kita melancong ke tempat mereka. Perbezaan tafsiran ajaran asasi Islam berlaku sejak zaman Nabi SAW lagi, bahkan baginda pun merestuinya selagi tidak menyalahi prosedurnya. Ada dikisahkan bagaimana dua sahabat sedang dalam perjalanan. Mereka bertayamum untuk melakukan solat kerana tidak ada air untuk berwuduk. Selepas solat, mereka menjumpai air, maka seorang daripada mereka mengulangi solatnya sedangkan seorang lagi tidak mengulanginya kerana beranggapan bahawa solatnya sudah sah walaupun dengan bertayamum dan tidak perlu mengulanginya. Ketika kembali ke Madinah dan diberitakan kepada Nabi mengenai perihal mereka, Baginda tidak menyalahkan mana-mana sahabat itu bahkan Baginda bersabda kepada yang tidak mengulangi solatnya: “Perbuatan kamu sesuai dengan sunnah dan solat kamu itu mencukupi.” Baginda bersabda kepada yang mengulangi solatnya maksudnya: “Kamu mendapat dua pahala. Alangkah indahnya ajaran Nabi. Alangkah bijaksananya Nabi. Ajaran Nabi inilah yang diuar-uar oleh saudara kita itu, tetapi malangnya mereka tidak menghayatinya. Yang ada pada diri mereka adalah pendapat mereka yang benar dan pendapat kita salah. Mazhab merekalah yang sunnah, mengikut Nabi sedangkan mazhab kita bidaah, tidak mengikut Nabi.Oleh itu, tidak hairanlah kita kadangkala mendapati mereka kurang ramah dengan kita kerana disebabkan oleh perbezaan furuk ini. Lebih menyedihkan ada juga orang kita yang mentaqlid mereka sepenuhnya sehingga di kalangan umat Islam Melayu ada istilah orang kita dan orang mereka. Masyarakat kita selalu benar dan masyarakat mereka selalu salah, bahkan kita sampai susah untuk mencari titik temu di antara mereka. Justeru, keadaan inilah yang diinginkan oleh orang yang memusuhi Islam dan umatnya di mana mereka dengan percuma dan tidak menggunakan sedikit biaya pun boleh memecah belah umat Islam.Di atas kertas, setiap seorang daripada imam mazhab yang empat berwasiat kepada umat Islam seluruhnya agar mentaati al-Quran dan al-Sunnah, bukannya ajaran atau pendapat mereka. Ini mereka tegaskan kerana menyedari akan hakikat sebenar diri mereka sebagai manusia yang ada kelemahan dan kekurangan. Walaupun imam mazhab ini diiktiraf dan disanjung keilmuannya oleh orang ramai, mereka tetap dengan penuh keikhlasan hati dan rendah diri mengakui bahawa adakalanya mereka boleh tersilap atau kurang tepat dalam ajaran mereka.Namun, dalam kenyataannya pengikut mazhab selalu berasa benar dan mereka meninggalkan pendapat imam untuk menggunakan pendapatnya sendiri kerana tidak sesuai dengan hawa nafsunya yang mengatakan pendapatnyalah yang benar dan pendapat orang lain salah. Jika sudah begini maka yang ada adalah agama menurut hawa nafsu bukan menurut al-Quran dan sunnah. Perkara inilah yang ditegah al-Quran dalam ayat berkaitan Nabi Daud bermaksud: “... dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsunya kerana ia akan membuatmu sesat dari jalan Allah.” (Surah Sad: 26). Allah membuat agamaNya begitu mudah untuk kita mengapa kita, membuatnya susah dengan perbezaan pendapat? Wallahu alam.

DUNIA ISLAM SEMAKIN PARAH ...

ISLAMABAD: Sekumpulan ahli perniagaan Pakistan menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang berjaya memenggal kepala penulis kontroversi, Salman Rushdie (gambar), ketika bantahan Muslim di seluruh dunia terhadap penganugerahan gelaran kesatria oleh kerajaan Britain kepada penulis itu memuncak. Ketua Persatuan Perniagaan Islamabad, Ajmal Baloch, menawarkan ganjaran bernilai lebih £82,000 (RM565,800). Dalam satu perhimpunan di pasar Aabpara di tengah Islamabad, Baloch juga mendesak negara Islam memulaukan barangan keluaran Britain dan mengumumkan: “Kami akan memberi 10 juta rupee kepada sesiapa yang berjaya memenggal Rushdie.” Laporan akhbar The Independent menyebut, bantahan turut meletus di Lahore, Karachi dan Islamabad ketika jemaah mula penuh untuk menunaikan solat Jumaat. Bilangan yang hadir ke perhimpunan selalunya cuma beberapa ratu sorang dan diketuai oleh parti Islam radikal negara itu. Lebih 300 penunjuk perasaan berhimpun di Islamabad sambil melaungkan ‘Laknat Rushdie’ dan ‘Jatuhlah Britain.’ Ketua Parlimen sekutu parti agama MMA, Liaquat Baloch, berkata: “Rushdie menyentuh perasaan dunia Islam dengan menulis buku menghina agama suci itu. Penganugerahan kesatria adalah cubaan melemahkan dialog antara agama yang berterusan.” Sementara itu Parlimen Pakistan, buat kali kedua menggesa Britain menarik balik penghormatan itu. Di Srinagar, ibu negeri Kashmir yang ditadbir India, mogok anjuran kumpulan Jamiat-ul-Mujahedeen menutup kedai, perniagaan dan sekolah. Penunjuk perasaan yang membaling batu sambil melaungkan, ‘Gantung Salman Rushdie’ disuraikan oleh polis yang melepaskan gas pemedih mata. Satu tunjuk perasaan kecil-kecilan juga diadakan di luar Masjid Regent’s Park di London, kebanyakannya disertai bekas anggota kumpulan radikal yang diharamkan, al-Muhajiroun. Rushdie menjadi tokoh paling dibenci di seluruh dunia Islam selepas penerbitan novelnya, The Satanic Verses, pada tahun 1989, yang disifatkan umat Islam menghina kepercayaan mereka. Pemimpin revolusi Iran, Ayatollah Khomeini, mengeluarkan fatwa membunuhnya. Ramai penduduk Pakistan tidak begitu mengendahkan bantahan itu malah sebahagian mereka berkata Presiden Pervez Musharraf gembira untuk menggalakkan perhimpunan itu untuk menarik perhatian orang ramai dari bantahan antikerajaan. – Agensi