18 Disember 2007

'Korban Berkelompok' sambut Aidiladha

AYER KEROH, 17 Dis - Sebanyak 21 ekor lembu akan dikorbankan secara berkelompok, di bawah program 'Korban Berkelompok' Peringkat Negeri Melaka sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, Khamis ini. Menurut Imam Besar Masjid Al-Azim, Mohammad Hashim, program tersebut bertujuan untuk memupuk nilai-nilai murni di kalangan umat Islam selain melahirkan umat Islam yang taat dan patuh kepada perintah agama. Jelasnya lagi, korban berkelompok itu akan berlangsung di perkarangan Masjid Al-Azim, Bukit Palah jam 10 pagi selepas menunaikan solat Hari Raya Aidiladha. "Kerja-kerja penyembelihan akan dilakukan secara bergotong-royong dan daging korban akan diagih-agihkan kepada masyarakat Islam setempat," katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) dekat sini, hari ini. Selain itu, tujuan lain korban berkelompok adalah memberi peluang kepada umat Islam yang kurang mampu untuk melakukan ibadah berkenaan secara berkongsi. Melalui program tersebut, setiap peserta dikenakan bayaran sebanyak RM350 bagi satu bahagian daripada ternakan yang dikorbankan. Turut hadir sama bagi menyaksikan penyembelihan korban berkelompok serta mengagih-agihkan daging korban ialah Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Pada tahun lepas, sebanyak 32 ekor lembu dikorbankan di bawah program yang sama.