02 Oktober 2008

Mufti Perlis Selar ISA disalahguna

Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin hari ini menegur tindakan kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam isu agama dan mengheret pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin dan Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok yang masih ditahan di bawah peruntukan akta itu.Ketika ditemui di Damansara Kim sebentar tadi, Dr Asri berkata, Islam dibina dari hujah dan dasar yang jelas, dan Islam juga tidak memerlukan ISA untuk membela ajarannya. "Jadi tidak ada alasan untuk menahan orang dengan tidak memberi peluang membela diri. Ini adalah satu tindakan yang salah. Sekiranya orang itu mempunyai kesalahan dari segi hukum agama, buktikan dari segi dalil-dalil agama."Cara kita tangkap orang guna ISA atas kesalahan agama tidak akan menghilangkan salahfaham terhadap Islam. Seharusnya diperjelaskan dulu apa kesalahan itu. Kalau misalnya orang itu menghina Islam atau menyeleweng, buktikan dulu berdasarkan Quran dan hadis.
"Perlu diperdengarkan pertuduhan itu kepada orang yang dituduh itu. Mungkin juga, ia hanya satu salah faham. Yang penting perdengarkan dulu hujahnya," kata Mufti yang terkenal dengan kelantangannya mengeluarkan idea yang berani dan telus itu.Kata Dr Asri lagi, "Islam bukan agama yang bacul. Perbuatan ISA kerana kesalahan agama seolah-olah menggambarkan orang Islam tidak mampu berhujah, terus tangkap orang. Mereka akan kata mereka benar kerana kita takut berhujah dengan dia."
Beliau juga turut mengingatkan betapa bahayanya tindakan ISA."Sekiranya ada aliran-aliran tertentu dalam kerajaan yang tidak setuju dengan pendapat satu aliran yang lain, adakah ruang ISA juga akan digunakan? Pernah berlaku dalam kerajaan Abbasiyah yang berpegang pada aliran Muktazilah ketika itu. Dia menghukum orang daripada aliran lain termasuk Imam-imam besar seperti Imam Ahmad juga turut dihukum."Kalau di zaman ini, mereka yang kendalikan agama itu dari aliran lain maka mereka yang dari aliran lain itu akan dihukum tanpa memberi peluang membela diri. Ini juga tidak sejajar dengan konsep keadilan dalam Islam," kata Dr Asri lagi. Dari segi politik Islam atau siasah, kata beliau, kerajaan berhak menahan orang dan beri tempoh siasatan (14 hingga 30 hari) bergantung pada keperluan. Tapi kita tidak boleh hukum 2 tahun tanpa diadili. Ini zalim.
"Tuhan yang Maha Adil pun buat mahkamah di akhirat untuk setiap orang dibicarakan. Keadilan ditegakkan di dunia dan di akhirat. Tuhan yang Maha Adilpun memberi peluang untuk kita jawab kesalahan sedangkan Tuhan berhak buat apa saja. Jadi macam mana kita boleh tangkap orang tanpa memberi peluang mereka membela diri?," jelas beliau.Kata Dr Asri, isu agama turut membabitkan sensitiviti agama lain. Tapi dari segi mempersoalkan identiti Islam seperti laungan azan, itu tidak boleh.
"Namun jika ada sungutan tentang bacaan-bacaan yang panjang sehingga menganggu orang awam, ulamak Islam juga tidak benarkan. Bacaan yang kuat tanpa keperluan atau kuliah agama dengan menggunakan pembesar suara sehingga menganggu ketenteraman awam, itu tidak perlu. Itu sudah diputuskan oleh ulamak-ulamak dari dulu lagi. "Agama itu terhad. Azan itu azan. Begitu juga kuliah agama untuk diperdengarkan di pembesar suara, berpada untuk sidang yang mendengar sahaja," jelasnya.
Dr Asri juga menyentuh tentang peranan Jakim."Jakim berperanan menjelaskan isu-isu agama dan juga yang menyeleweng dari agama. Bukan sekadar menyokong seseorang dihadapkan tanpa bicara. Badan itu juga hendaklah bebas dari percaturan politik. Perjelaskan ketentuan peruntukan orang yang menghina Islam seperti isu Raja Petra. Itu bersifat politik, biarlah diuruskan oleh orang politik."Kalau hendak diikutkan yang menghina Islam, ramai lagi yang patut dibuat aduan. Jelaskan dulu apa yang perlu dilakukan?," soal Dr Asri.
Beliau juga meminta kerajaan memikirkan soal ISA ini sedalam-dalamnya."Seandainya satu hari nanti kerajaan bertukar rupa dan kalau berlaku pertukaran kuasa. Terlalu ramai nanti yang tidak boleh bersuara dan ISA mungkin diguna seluas-luasnya. Besok, bila kena pada kita, apa kita nak buat?," kata Dr Asri yang akan menghadiri Tazkirah Tarawih di Stadium Kota Bharu pada hari ini.Beliau yang juga akan memberi ceramah di Kompleks Islam Lundang esok, sempena pelancaran Tabung Serambi Mekah yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, juga mempersoalkan bagaimana pemimpin yang gagal kendalikan parti yang kecil mampu kendalikan negara yang besar.
"Takkan nak tunggu ada rusuhan atau kekacauan. Ketika itu sudah tidak boleh dipulihkan lagi. Sekali kekacauan tercetus, susah untuk dipulihkan.Menurut pengamatan beliau, keadaan ini berlaku kerana pemimpin politik menganggap kedudukan politik itu seperti harta rompakan."Mereka bermati-matian untuk mendapatkannya sekalipun terpaksa menggunakan belanja yang besar kerana pulangan atau keuntungannya juga besar," kata beliau.Jelas beliau, saluran politik digunakan untuk membina kekayaan diri. Inilah hasilnya bila kerakusan ini berlarutan. Tidak ada setiakawan dalam politik, musuh memusuhi, berpuak-puak kerana fikirkan survival politik masing-masing bukan survival rakyat yang dipertanggungjawabkan.Yang paling ketara sekarang, pemimpin politik bukan sahaja gagal membawa rakyat keluar dari kemelut yang sedang dihadapi malah menjadikan keadaan lebih rumit."Bukan sahaja mereka gagal menyelesaikan masalah tapi mereka pula yang menimbulkan lebih banyak masalah lain," kata Dr Asri.

Kawin Cepat -Yang berkat jadi Mudarat

cerita ini dipetik dari email ahli seri_malacca@yahoogroups.com
"Majlis akad nikah itu baru sahaja usai. Saya dan beberapa orang sahabat masih menikmati minuman ringan yang disediakan oleh pihak tuan rumah. Tiba-tiba seorang lelaki tua yang memang saya kenali menarik tangan saya dan berrtanya, "Kenapa orang sekarang kahwin lambat sangat?" Saya lantas bertanya, "Tuk dulu kahwin cepat?" "Umur 15 tahun, nenek kau dah dapat anak seorang..." Terbayang anak perempuan saya yang menuntut di tingkatan 5 sekarang.Sukar nak membayangkan betapalah di usia itu dia sudah mempunyai anak."Bahagia Tuk?""Tak bahagia apa... anak Tuk 12 orang!"Terhibur saya berbual dengannya, semuanya diukur dengan angka."Saya berkahwin pada umur 21 tahun. Waktu tu masih menuntut lagi, orang heboh saya tak sabar," adu saya tanpa dipinta. Sengaja mengundang reaksi."Tak sabar? Pelik, kalau zaman Tuk, tu kira terlajak dah tu!""Betulkah saya tak sabar, Tuk? " tanya saya semacam mengusik."Eh, taklah. Kalau nak buat baik, eloklah cepat. Selamat dari maksiat.Kalau betul tak sabar, Tuk ni lagilah tak sabar... umur 17 tahun dah kahwin, heh, heh, heh...""Setuju tak Tuk kalau dikatakan soal kahwin ni bukan soal cepat lambat, tapi soal dah bersedia atau tidak?""Setuju. Tapi kena hurailah maksud persediaan tu..." tajam Tuk membalas."Kalau ikut pandangan Tuk, apa agak-agaknya persediaan tu?""Soal ni tak boleh agak-agak... Mesti tepat."Terkedu saya dibuatnya. Tuk ni bukan sebarang orang."Maksud bersedia bukan sahaja dari segi umur... Asal akil baligh dah boleh kahwin. Bukan sahaja diukur oleh badan yang sihat, pendapatan yangcukup, tapi yang penting kematangan diri... Ertinya, seseorang yang nak kahwin mesti dah mula dapat berfikir dengan baik, dah boleh sedikitsebanyak kawal perasaan, dan jiwa tu sikit-sikit dah agak tenang."Saya menung panjang. Tertikam di sudut hati petanyaan, sudahkah sayamatang sewaktu mula berkahwin dahulu?"Jangan menung... Tuk cuma kata, dah sedikit sebanyak matang. Tak payah tunggu matang betul... nanti tak kahwin pula!" usik Tuk seperti dapat membaca fikiran saya. Walau tanpa ijazah, Tuk sebenarnya sedang menjelaskan asas kebahagiaan rumah tangga yang kadang kala tidak dapat ditimba di mana-mana menara gading."Macam mana nak matang?" tanya saya perlahan. Malu rasanya untuk diajukan soalan sedemikian di usia 40-an ini. Terasa terlambat!"Tentulah dengan ilmu. Dulu Tuk dan kawan-kawan... umur sebelas tahun dah khatam Quran. Dah selesai belajar ilmu fardu ain. Rukun, sah, batal dan lain-lain ilmu asas dah OK. Bila sudah baligh buka kitab Muhimmah, baik lelaki, baik perempuan. Dah diterangkan tanggung jawab suami, isteri dan asas-asas kerukunan rumah tangga.""Itu sahaja? Ilmu lain?" soal saya pendek."Eh, perlu. Mesti ada ilmu untuk cari rezeki. Yang otak baik, jadilah guru, pegawai kerajaan... ikut keadaan zaman tulah. Tuk ni tak nasib baik... kerja kampung sahaja, guna tulang empat kerat, buka tanah.Itulah dusun yang Tuk kutip hasilnya sampai sekarang ni...""Tapi sekarang Tuk dah senang. Dengarnya dah dua kali naik haji.""Tak senang. Tapi mudah-mudahan... tenang. Tulah doa Tuk, biar hidup kita tenang.""Agaknya sebab kurang matang nilah orang sekarang kahwin lambat?" cuit saya, kembali ke tajuk asal."Ni agak Tuklah. Budak sekarang tak macam dulu. Mereka ni macam lambat matang. Kalau dulu umur 13 dah boleh pikul tugas. Dah berdikari, dah boleh harap jaga emak bapak. Setakat jadi imam dan baca berzanji tu lancar... tapi sekarang lain, umur dah 23 tahun pun masih bergantung kepada emak bapak. Nak jadi imam? Jauh sekali."Terbayang kekesalan di wajahnya. Dia menyambung, "Sekali tu Tuk tengok betul-betul dengan mata kepala ni macam mana seorang bakal pengantin tersekat-sekat mengucap kalimah syahadah depan tuk kadhi. Bila tanya rukun sembahyang, geleng kepala. Yang dihafalnya rukun nikah saja...""Kalau macam tu macam mana?""Baik tak usah kahwin. Macam mana dia nak pimpin isteri dan anak-anaknya nanti? Tu baru ilmu yang paling asas, belum lagi ilmu... apa orangkata... ... parenting skill.""Tuk pun tahu parenting skill?""Sekarang ni macam-macam sumber ilmu ada. Di radio, tv, ceramah, buku-buku... ah, macam-macam.""Tapi Tuk, kalau tak kahwin pun susah juga... Nanti terjebak dengan maksiat," kilas saya."Tulah, ajaran Islam ni macam mata rantai. Lepas satu disambung satu.Bermula dengan yang paling utama, diikuti yang kedua, ketiga dan seterusnya... Ilmu tauhid, fekah dan akhlak perlu diasak di awal usia.Diiring ilmu akademik. Jadi, bila dah nak kahwin nanti, ilmu tu semua dah ada. Persediaan agama ada, persediaan material ada.""Macam mana kalau ada yang lambat-lambatkan kahwin kerana katanya belum bersedia, dari segi material dan agama?""Apapun biarlah berpada-pada. Kalau nak diikutkan ilmu agama... sampai mati pun tak akan habis dituntut. Cukuplah sekadar keperluan dulu dan tambah lagi selepas kahwin. Begitu juga soal material, soal kerja, profesion... Ni pun tak akan habis-habis. Ukurlah ikut keperluan dan kemampuan diri. Jangan sampai terlanjut usia sudahlah. Jangan nanti ilmu ada, matang ada, duit ada, calon pulak tak ada...""Tuk lihat macam mana keadaan anak muda masa kini?" terluncur soalan yang berbau akademik tanpa saya sedari."Akibat tak ikut tertib dalam menghayati ajaran Islam, keadaan jadi agak lintang-pukang sekarang. Yang berkat jadi mudarat. Tak dikahwinkan, membuat maksiat. Bila dikahwinkan, tak bertanggungjawab.""Antara dua keadaan ni... yang mana patut kita pilih?""Perlukah kita buat pilihan? Pada Tuk... pilihlah keadaan yang tidak memaksa kita membuat pilihan!"Saya terdiam. Kagum. Kata-kata tersirat itu boleh mengundang seribu wacana para sarjana!

Kepimpinan PMRAM kunjungi Bkan Pada Malam Raya

Kepimpinan Badan Pengurus dan Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) PMRAM telah turun ke rumah Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) bagi menyertai ahli-ahli PMRAM di BKAN pada malam perutusan Aiidlfitri. Hampir kesemua Badan Pengurus dan HEWI PMARM telah dibahagikan mengikut jadual ke BKAN yang ditetapkan bagi membacakan perutusan dari Presiden PMRAM dan Timbalan Pengerusi HEWI PMRAM. Antara pengisian yang ghalib diadakan pada malam 1 Syawal ini selepas selesai solat Isyak ialah solat sunat tasbih, majlis perutusan dari PMRAM, ucapan Hari Raya dan sedikit jamuan. Antara Badan Pengurus PMRAM yang menyertai Malam Perutusan sempena Aidilfitri tahun ini Timbalan Presiden PMRAM, Ustaz Abdul Mu'izz Muhammad yang ke Pahang, Ustaz Mohd Khairul Anuar Md.Arif (Selangor), Setiausaha Agung, Ustaz Syafiq Zulakifli (Pulau Pinang), Ustaz Hanafi Zulkipli (Kelantan), Ustaz Shahrizan Mohd Hazimie (Melaka), Ustaz Mohd Ibrahim Mansor (Wilayah Persekutuan), Ustaz Mohd Azrul Ismail (Johor), Ustaz Muhammad Abdul Malik Abdul Karim (Perak), Ustaz Nik Rosdi Nik Jusoh (Kedah) dan Ustaz Azizudin Aznan (Perlis) serta disertai juga wakil dari HEWI PMRAM yang lain.

Tingkatkan Kesatuan - Timbalan Ketua Hewi PMRAM

Timbalan Pengerusi Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) PMRAM, Ustazah NorFaizah Mad Ali mengingatkan bahawa kesatuan fikrah dan amal dalam melakukan kerja untuk Islam adalah satu tuntutan. Dalam perutusannya sempena Hari Raya Aidilfitri 1429 hijrah, beliau juga menekankan agar penghayatan Islam dipertingkatkan dengan prihatin serta mengambil berat terhadap nasib saudara seagama. "Mana mungkin seseorang individu dikatakan benar-benar menghayati Islam jika mereka tidak menghiraukan nasib sahabat-sahabat seaqidah mereka," ujar beliau. "Lebih-lebih lagi musuh Islam sentiasa mengintai mencari kelemahan kita sehingga umat Islam menderita akibat kebobrokan penganutnya sendiri," tambah beliau lagi.
Justeru itu, beliau menggesa agar bertepatan dengan kehadiran hari yang mulia ini agar berazam untuk kembali kepada fitrah yang sebenar. "Julangkan keizzahan Islam dan teguhkan wahdah antara kita selaku warathatul anbiya' (pewaris para Nabi).Pugar kembali kesatuan atas nama Islam, eratkan ukhuwah sesama sahabat berpaksikan aqidah yang jelas," ujar beliau. Seterusnya beliau mewakili kepimpinan HEWI PMRAM mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua ahli dan pendokong PMRAM.