08 Disember 2007

Hidup Sempit jika Tolak Tazkirah

Tazkirah adalah satu pendekatan yang dianggap penting bagi menyampaikan mesej agama kepada manusia. Ia bertujuan memberi kesedaran tentang hakikat tanggungjawab diri manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi, iaitu mengajak manusia seluruhnya kepada yang makruf (perkara-perkara yang baik menurut pandangan Allah) dan mencegah mereka dari melakukan yang mungkar dan keji.Peranan serta fungsi tazkirah tidak boleh dipertikaikan sejak wujudnya Nabi Adam a.s. di dunia ini hinggalah ia diperhebat serta dikemas-kini oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w. Berdasarkan Sirah Nabi Muhammad s.a.w., baginda telah berjaya melaksanakan tugasnya sebagai seorang nabi dan rasul dengan menyampaikan mesej daripada Allah iaitu sebagai penguasa (khalifah) dengan memastikan tazkirah sebagai wadah atau pendekatan yang cukup berkesan hingga ramai di kalangan mereka pada waktu itu yang beraliran jahiliyah bertukar kepada Islam. Ini semua hasil penerimaan mereka terhadap tazkirah yang disampaikan oleh baginda. Bagi mereka yang menolak tazkirah seperti Abu Lahab dan Abu Jahal, mereka menemui kesudahan riwayat hidup mereka dengan mati dalam kesesatan dan dimasukkan dalam api neraka Allah di akhirat. Sehubungan itu, Allah menjelaskan menerusi ayat 124 hingga 127 surah Taha yang bermaksud: “Sesiapa yang berpaling (menolak) daripada peringatan-Ku (Allah, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari Kiamat dalam keadaan buta. Berkatalah dia, Wahai Tuhanku, mengapa Engkau menghimpunkan aku dalam buta, padahal aku dahulu (di dunia) adalah orang celik dapat melihat? Allah berfirman: Demikianlah, telah datang kepadamu ayat-ayat peringatan Kami, tetapi kamu melupakannya (menolak), dan begitu pula pada hari ini (Kiamat) giliran kamu pula dilupakan. Dan demikianlah Kami membalas orang yang melampaui batas dan tidak percaya kepada ayat-ayat Tuhannya. Dan sesungguhnya azab di akhirat itu lebih dahsyat dan kekal (tanpa berhenti). Jelas daripada penjelasan ayat di atas, memberi kita panduan dan pedoman berguna, bahawa Allah SWT akan menghukum manusia yang ada dalam perasaan hati mereka rasa sombong untuk tidak menerima tazkirah (peringatan) yang boleh memotivasikannya menjadi manusia terbaik di sisi Allah SWT. Justeru, apabila kita menyingkap kepada peninggalan sejarah generasi silam, kita dapati mereka yang berjaya bergelar ulama adalah mereka yang terdidik dengan menerima tazkirah sebagai alat memajukan mereka sebagai manusia yang sanggup berkorban untuk agama

Bala Allah - Antara persoalan dan punca berlaku

Apabila dilihat telatah, gelagat dan perwatakan umat Islam hari ini memperlihatkan benar-benar mereka mengundang bala daripada Allah SWT. Kita amat berharap agar cukuplah bala yang ditimpakan sejak peristiwa tsunami agar ia tidak berulang dengan yang lebih besar daripada itu. Bermacam-macam persoalan timbul mengenai bala yang merisaukan banyak pihak. Tapi apakah sebenarnya bala itu? Bala yang diambil daripada perkataan Arab iaitu 'bala' bermakna hukuman daripada Allah akibat salah laku manusia kerana mengingkari sepenuhnya atau sebahagian daripada perintah Allah SWT. Bala ini pernah terjadi di zaman para Anbiya' sebelum Nabi Muhammad s.a.w., seperti yang diceritakan oleh Allah dalam al-Quran menerusi ayat 133 surah al-'Araf~ yang bermaksud: Telah Kami kirimkan ke atas mereka (umat Nabi Musa) ribut taufan, belalang, kutu, katak dan darah, sebagai tanda yang cukup jelas keingkaran mereka terhadap ajaran Nabi Ibrahim, mereka menyombong diri dan sesungguhnya mereka adalah golongan penjenayah (yang melakukan kerosakan di muka bumi). Begitu juga Allah menceritakan mengenai kaum Nabi Lut yang melakukan perbuatan terkutuk yang disifatkan oleh Nabi Lut sendiri sebagai perbuatan yang tidak pernah berlaku di dunia sebelum itu, maka Allah musnahkan mereka tanpa memberi peluang untuk mereka bertaubat ke jalan kebenaran, sila rujuk ayat 81 surah al-'Araf~. Kesalahan yang patut terima hukuman Sesungguhnya bala tidak akan diturunkan oleh Allah ke atas manusia, melainkan kerana didahului dengan kesalahan yang dilakukan oleh mereka. Bezanya umat nabi-nabi terdahulu dikirimkan bala tanpa memberitahu isyarat kehadirannya, namun bagi umat Nabi Muhammad s.a.w., isyarat atau tanda-tanda kehadiran bala itu dapat dikesan oleh mereka yang kuat berpegang kepada agama dengan pelbagai kaedah, pendekatan dan bentuk tertentu. Ini menandakan bahawa Allah SWT amat sayang kepada kita hingga menzahirkan isyarat atau tanda agar kita segera mengingati-Nya, boleh juga disifatkan diri kita sebagai hamba emas yang amat disayangi di sisi Allah, cuma umat ini sahaja yang tidak mengenal erti kasih sayang Allah. Jelas di sini bahawa kesalahan umat terdahulu hingga ditimpakan pelbagai bentuk bala daripada Allah, kerana melakukan perkara-perkara yang becanggah dengan ajaran nabi-nabi mereka, tetapi kita perlu ingat, bahawa Allah Yang Maha Berkuasa boleh mengirim bala kepada kita serupa dengan apa yang pernah berlaku pada zaman lampau dan juga mampu mengirim bala yang tidak pernah ketika itu. Ini dapat kita lihat pada hari ini seperti penyakit HIV, selesema burung yang menggerunkan banyak pihak, penyakit kaki, tangan dan mulut dan macam-macam lagi, ia dikirimkan agar manusia kembali ke pangkal jalan. Sepatutnya sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w. kita berjaya meloloskan diri daripada bala-bala yang disebutkan di atas, tetapi kenapa berlaku juga? Ia merupakan satu persoalan yang patut segera mencari jawapannya. Ini tidak lain kalau tidak kita melakukan perkara yang menyanggah tuntutan agama, terdapat selain kita yang sanggup menggadai maruah agama. Mari kita selidik secara halus tindakan manusia hari ini yang mengundang bala daripada Allah, program hiburan keterlaluan walaupun telah disanggah dan diingatkan oleh golongan ulama khususnya para mufti seperti JomHeboh, Mentor musim kedua, Akademi Fantasia musim keempat, kelima dan banyak lagi. Cuba kita perhatikan reaksi manusia selepas tamat program-program seumpama itu, laporan akhbar arus perdana menyebut, 70 pasangan Melayu daripada peringkat usia 15-40 tahun disaman atas pelbagai kesalahan hingga ibu bapa mereka turut dipanggil ke pejabat agama. Kesalahan mereka yang dikenal pasti kerana meminum arak, berkhalwat dan bermacam-macam jenis maksiat yang canggih-canggih, ini tidak termasuk laporan yang menyebut 21 kes anak luar nikah berlaku dalam tempoh sebulan baru-baru ini. Kita dikejutkan dengan berita seorang ibu muda yang sanggup menjerut leher kedua anak lelakinya dengan wayar seterika hingga membawa kepada kematian. Laporan akhbar arus perdana juga ada menyebut menyebut mengenai gejala samseng pelajar-pelajar perempuan yang memukul, menerajang rakan mereka di alat sulitnya hingga menyukarkannya untuk menduduki peperiksaan SPM, terdapat juga gejala samseng ini menular di sekolah-sekolah menengah hingga ada pelajar perempuan yang mengugut rakan mereka untuk menyebarkan gambar bogelnya setelah dia dipaksa berbuat demikian atas kesalahan yang kecil dan bermacam-macam lagi. Terbaru seperti yang dilaporkan muka surat depan akhbar Berita Harian bertarikh 21 November 2007 (Rabu) yang memaparkan gambar-gambar model yang kononnya mempamerkan aksesori barangan kemas pada majlis pelancaran Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007. Persoalannya adakah pihak editorial BH tidak ada sensitiviti mengenai penampilan para gadis yang mendedahkan aurat apatah lagi pada majlis hiburan yang mengundang bala daripada Allah SWT. Begitu juga dengan kerajaan Malaysia yang mengundang pemain tenis nombor dua dan lapan dunia, Rafeal Nadal dari Sepanyol dan Richard Gasquet dari Perancis, masalahnya dari paparan iklan terdapat penaja arak Heineken di gelanggang permainan tersebut, apatah lagi perlawanan itu disaksikan Timbalan Perdana Menteri, DatoĆ¢€™ Seri Najib Razak dan isteri, Menteri Belia dan Sukan serta orang-orang kenamaan. Apa untungnya perlawanan itu diadakan di Malaysia, arak menjadi antara penaja, isteri TPM juga sibuk hendak bersalam dengan pemain-pemain tersebut dengan penampilan yang tidak selari dengan ajaran Islam Hadhari, para penonton juga tidak kurang yang berpakaian tidak senonoh dengan memakai pengikat kepala tertulis Nadal. Tidakkah orang-orang besar rasa bahawa dia akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT pada hari Kiamat dengan membiarkan banyak perkara yang menyinggung kesucian islan berlaku di hadapan mata? Sama-samalah kita fikirkan sebelum terlambat, tidakkah kita perasan mengapa Allah sudah mula menurunkan banjir kilat dan hujan lebat di negeri Johor, sama-samlah kita renung dan muhasabah diri akan kesalahan yang telah kita buat. Faktor atau punca berlaku bala Dalam kesempatan ini, forum agama cuba menyelongkar pendekatan daripada hadis-hadis sohih Nabi Muhammad s.a.w. sejak 14 abad yang lalu yang menyebut secara jelas faktor, sebab atau punca berlaku bala yang dikirim oleh Allah SWT ke atas umat baginda: 1- Ilmu Islam akan beransur hilang sedikit demi sedikit. 2- Umat Islam sanggup mengikuti jejak langkah Yahudi dan Nasrani dalam tindakan, teladan, pertuturan dan cara hidup mereka. 3- Muncul golong anti hadis (yang tidak dibendung). 4- Umat Islam yang terlalu banyak bergelumang dalam keseronokan. 5- Terlampau mewah. 6- Menghimpun harta sebanyak mungkin (hingga lupa untuk menggarap ilmu agama). 7- Tipu menipu dalam perkara dunia. 8- Saling bertengkar dalam urusan remeh-temeh (yang sepatutnya boleh dimaafkan). 9- Tersebar luas hasad dengki serta hasut menghasut di kalangan mereka. 10- Islam dianggap sebagai agama asing atau berdagang di negara umat Islam sendiri. 11- Berleluasa amalan rasuah dengan pelbagai bentuk dan helah. 12- Orang yang baik terlalu sedikit, malah orang yang jahat semakin ramai. 13- Muncul orang yang tidak peduli sumber harta yang diperolehinya. 14- Riba wujud di mana-mana. 15- Ramai yang minum arak dan menamakannya sebagai bukan arak. 16- Golongan lelaki semakin sedikit dan golongan wanita semakin ramai. 17- Golongan lelaki yang menyerupai wanita dan sebaliknya. 18- Ibu melahirkan tuannya. 19- Bangunan pencakar langit. 20- Muncul ramai ahli ibadat tapi jahil dan ramai golongan ulama tapi fasiq. 21- Orang yang berpegang dengan Islam bagai menggenggam bara api. 22- Berlaku peperangan demi peperangan. 23- Masa akan menjadi singkat. 24- Muncul galian-galian bumi. 25- Ujian yang dahsyat terhadap iman. 26- Peperangan di kawasan sungai Furat kerana menyebut kekayaan. 27- Ketiadaan iman untuk bersolat jamaah. 28- Al-Quran akan hilang dan ilmu akan diangkat menghadap Allah. 29- Bermegah-megah dengah keindahan masjid dan kosong dengan pengisian agama. 30- Menggadai agama kerana dunia. 31- Pelaksanaan haji dan umrah bukan kerana Allah. 32- Harta negara bertukar tangan di kalangan pemimpin. 33- Sesuatu amanah dianggap sebagai batu loncatan untuk mengaut keuntungan. 34- Bayaran zakat dianggap sebagai denda/saman. 35- Suami yang terlalu tunduk kepada isteri. 36- Anak-anak yang menderhaka terhadap ibu mereka. 37- Muncul ramai orang yang patuh dan setia yang tidak berbelah bagi kepada kawan dan rakan. 38- Golongan bapa yang hampa kerana disia-siakan oleh anak-anak mereka sendiri. 39- Berlaku pertengkaran dalam masjid. 40- Apabila orang yang rendah maruahnya dipilih menjadi ketua sesuatu kaum. 41- Apabila orang memuliakan orang lain kerana takutkan kejahatannya. 42- Apabila minuman keras tersebar luas. 43- Ramai golongan lelaki yang memakai sutera. 44- rtis-artis wanita diagung-agungkan. 45- Alat-alat muzik diguna-pakai (sebagai mata pencarian). 46- Kesilapan manusia hari ini mengutuk generasi terdahulu. Apabila perkara yang disebutkan itu berlaku, maka kata Nabi, tunggulah ketika itu akan datang kepada manusia angin panas, ribut taufan, puting beliung dan bahaya-bahaya yang lain serta hingga berlaku penukaran corak dan rupa

Apabila hukum Allah diketepikan

Al-Quranul Karim, terkawal daripada sebarang penyelewengan, pindaan dan perubahan. Ayat-ayatnya terpelihara, kekal abadi sebagai ayat Allah tanpa penyelewengan hingga ke hari Kiamat. Ini adalah jaminan Allah, selaras dengan firman-Nya (mafhum): "...Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia, tetapi hendaklah kamu takut kepada-Ku; dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang kafir." (Surah al-Maidah, ayat 44) "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memeliharanya dan menjaganya." (Surah al-Hijr, ayat 9) Dalam kedua-dua ayat ini, Allah memberi jaminan bahawa Dia akan menjaga ayat-ayat (al-Quran) daripada sebarang penyelewengan. Tidak seperti kitab-kitab sebelum al-Quran, tiada jaminan sebelumnya daripada penyelewengan. Oleh kerana al-Quran tidak boleh diubah atau dipinda, maka manusia kufur cuba mencari jalan untuk mengubahnya dengan pelbagai cara dan menukar-nukarkan ayatnya jika memungkinkan mereka berbuat demikian. Sepertimana orang-orang Yahudi dahulu, apabila Allah SWT menurunkan at-Taurah kepada mereka, yang di dalamnya Allah melarang mereka menangkap ikan pada hari Sabtu. Mereka mengikut perintah Allah dengan tidak menangkap ikan pada hari Sabtu, sebaliknya mereka menyelewengkan hukumnya dengan memasang jaring pada hari Sabtu dan mengumpulkan ikan ke dalam jaring. Keesokan harinya (hari Ahad), barulah mereka menangkap dan membawa ke darat, ikan-ikan yang sudah terperangkap di dalam jaring sejak hari Sabtu. Itu suatu helah jahat atau suatu penyelewengan. Selepas itu, mereka menyelewengkan perintah Allah dalam a-Taurah sesuka hati mereka. Riba yang diharamkan Allah, Yahudi menghalalkannya. Menipu helah mengambil harta orang secara batil (yang diharamkan), dihalalkan jika (orang tersebut) bukan daripada kalangan Yahudi. zina yang diharamkan Allah, dihalalkan mereka kalau bukan dengan Yahudi. Menipu, mengkhianati yang diharamkan, dihalalkan kalau bukan dengan Yahudi. Ada banyak lagi perkara (perlanggaran hukum) yang kaum ini lakukan. Dalam agama Nasrani juga berlaku berbagai perbezaan di antara satu kitab dengan kitab al-Injil yang berlainan versinya, bercanggah hukum dan amalan sehingga jelas memecahbelahkan orang-orang Kristian kepada beberapa puak. Setiap puak tersebut, hanya percaya dengan amalan mereka sahaja dan menyalahkan amalan puak yang lain. Hal-hal yang sedemikian, tidak sangat berbeza dengan apa yang berlaku di kalangan umat Islam, khasnya yang terkini. Bezanya, umat Islam tidak mengubah al-Quran, tidak meminda isinya dan menjaga al-Quran itu dengan baik. Tetapi apabila mereka (umat Islam) diberi kuasa memerintah, hukum-hukum Allah digendalakan dan menggantikannya dengan hukum ciptaan manusia. Undang-undang Allah diketepikan, manakala undang-undang manusia diketengahkan. Hukum-hukum manusia diagung-agungkan, manakala hukum Allah diremehkan. Contoh terdekat yang boleh kita lihat, penyelewengan hukum-hukum Allah di kalangan umat Islam, sama ada dengan cara penuh kesedaran atau kejahilan. Dalam hal undang-undang seperti kesalahan membunuh, mencederakan, mencuri, merompak, berzina, menuduh orang lain berzina, meminum minuman yang memabukkan dan murtad, semuanya diperuntukkan di bawah hukuman undang-undang ciptaan manusia. Malangnya tidak satu pun kesalahan-kesalahan itu dihukumkan dengan hukum yang ditetapkan Allah. Semua kesalahan tersebut ada yang dibicarakan di mahkamah ciptaan manusia yang dinamakan Mahkamah Sivil, ada yang dibicarakan di Mahkamah Syariah. Malah Mahkamah Syariah juga tidak mensabitkan semua kesalahan tersebut dengan hukum Allah. Seluruhnya (kesalahan jenayah) dihukum dengan undang-undang manusia, didenda dengan ringgit atau dipenjarakan atau kedua-duanya sekali. Tidak berpandukan kepada hukum Allah dan mengenakannya dengan hukuman manusia, ini bererti ia merupakan penyelewengan kepada hukum Allah dengan meminda ketetapan Allah. Sebagai Muslim atau pemerintah negara umat Islam yang jelas beragama Islam, sebenarnya tidak diberi pilihan kepada mereka untuk menghukum mereka, selain daripada hukum Allah. Firman Allah (mafhumnya): "Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka...(hingga akhir ayat)." (Surah al-Maidah, ayat 49) Perintah Allah kepada yang beriman dengan-Nya dan kitab-kitab-Nya agar melaksanakan hukum Allah berulang banyak kali dalam al-Quran. Sebagai contoh, Surah al-Baqarah (ayat 213), Surah ali-Imran (ayat 23), Surah al-Maaidah (ayat 42, 44, 45, 47, 48 dan 49), Surah Shaad (ayat 22 dan 26), Surah an-Nuur (ayat 51) dan Surah Mumtahanah (ayat 10). Banyak lagi ayat-ayat sedemikian, di mana Allah memberi penekanan, khususnya pemerintah agar melaksanakan hukum-hukum Allah dan jangan diselewengkan hukum tersebut. Penyelewengan kepada hukum Allah SWT ini tidak sahaja sekadar menukarkan hukum hudud kepada hukum lain, tetapi sampai kepada peringkat menentang hukum Allah dan melaksanakan undang-undang mereka. Riba yang diharamkan diubah kepada mengharuskannya dengan undang-undang perbankan konvensional, judi yang diharamkan dibolehkan dengan mendapat lesen, minuman yang memabukkan dibolehkan membuat perniagaannya serta dihidangkan sebagai minuman dengan permit perniagaan yang khusus. Inilah yang Allah SWT sebutkan dalam firman-Nya (mafhumnya): "...Oleh itu siapakah yang lebih zalim lagi daripada mereka yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah dan berpaling daripadanya? Kami akan membalas orang-orang yang berpaling daripada ayat keterangan Kami (dengan) azab seksa yang seburuk-buruknya, disebabkan mereka sentiasa berpaling (mengingkarinya)." (Surah al-An'aam ayat 157) Manusia tidak sepatutnya berpaling daripada hukum Allah atau meninggalkannya, sebaliknya mengambil hukum manusia, kelak mereka akan menempuh azab Allah. Wallahua'lam.

muhasabah bersama : Mengapa manusia berani menentang Allah secara terbuka?

Sejak akhir-akhir ini, para ulama' sering menekankan keprihatinan dan kepekaan mereka mengenai telatah serta gelagat umat Islam, khususnya yang melibatkan gaya hidup masyarakat umat Islam yang semakin tersasar daripada landasan Islam sebenar.Ia dapat disingkap dalam aspek hiburan dan sukan yang keterlaluan yang disuburkan oleh pihak tertentu yang bertopengkan Islam, sedangkan realiti hidup mereka (pihak penganjur sesuatu program hiburan atau sukan tertentu) tidak mencerminkan minat mendalam kepada gaya hidup Islam. Benarlah kenyataan ayat 7-9 daripada surah as-Syams (91), Allah berfirman yang bermaksud : 7. Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); 8. serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa;- 9. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Kecenderungan jiwa atau hati manusia kepada perkara jahat merupakan naluri dan lumrah biasa, sebab itu al-Quran mendedahkan bahawa penghuni Neraka lebih ramai daripada penghuni Syurga. Kejahatan manusia menjangkau apa yang tidak dapat dicapai oleh pemikiran, kerana penentangan bukan sekadar menolak kerasulan baginda Nabi Muhammad s.a.w, menolak al-Quran, terlibat dalam rasuah, judi,meninggalkan solat, tidak berpuasa, merosakkan alam sekitar dan yang lebih parah lagi ialah menentang Allah dengan menghina hukum-hukum- Nya. Sebab Penentangan Manusia terhadap Allah Justeru, mari kita menyingkap pandangan ulama’berhubung faktor yang menyebabkan penentangan manusia terhadap Allah SWT selaku Pencipta mereka. 1- Alpa terhadap matlamat sebenar penciptaan manusia di muka bumi ini. 2- Iman yang amat lemah terhadap rukun-rukun iman yang enam. 3- Jahil mengenai Allah, suruhan dan larangan-Nya,pahala dan dosa serta Syurga dan Neraka. 4- Tidak waspada terhadap bisikan syaitan yang sentiasa mengajak untuk melakukan kejahatan. 5- Tertipu dengan habuan dunia hingga tidak mahu memohon ampun dan bertaubat kepada Allah. 6- Berputus asa dari rahmat Allah (kasih sayang-Nya). 7- Tidak mempercayai qada’ dan qadar Allah malah mempertikainya. 8- Berbangga dengan maksiat dan tidak memperakui dosa besar yang dilakukannya. 9- Panjang cita-cita (banyak berangan-angan dalam perkara dunia). 10- Berlebihan cinta kepada dunia hingga tidak menjalankan tugas utama sebagai manusia bernama Islam. 11- Tersungkur dengan mengikut hawa nafsu yang rosak. 12- Terlibat dalam perkara-perkara syubhat yang menjurus kepada kemurkaan Allah SWT. 13- Ego dan sombong diri terhadap Allah, Rasul dan manusia seluruhnya. 14- Suka bergaul (bercampur) dengan ahli maksiat dan menolak untuk bersama golongan yang soleh. 15- Suka melakukan fitnah dalam masyarakat hingga memporak-perandakan hubungan sesama mereka. 16- Merosakkan gambaran Islam dengan penggunaan istilah yang menyalahi konsep sebenar seperti melabelkan orang Islam yang berjanggut dengan pengganas dan lain-lain. 17- Bergelumang dengan ada-adat yang menyalahi hukum Syariat Islam. 18- Meninggalkan tugas utama Amar Ma'ruf dan Nahi Munkar. Bagaimana boleh jadi seorang muslim yang baik? Setiap insan bernama Islam, sama ada lelaki ataupun perempuan, berusaha meningkatkan diri dengan pelbagai amal ibadat yang boleh mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ini kerana masing-masing mahukan diri mereka mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah sebagai hamba-Nya yang taat dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya dengan penuh rasa rendah diri dan berserah diri kepada-Nya. Justeru, mengetahui kaedah terbaik bagi tujuan di atas, adalah sesuatu yang amat digalakkan, agar setiap muslim/muslimah mencapai status hamba Allah yang diterima di sisi-Nya, antara kaedah berkenaan yang perlu diberi perhatian adalah seperti berikut : · Melakukan solat lima waktu dengan baik (sama ada dari sudut pada awal waktu pelaksanaannya, kaifiat serta tata-cara bagi menjamin penerimaannya) . · Mengetahui sedalam-dalamnya bahawa meninggalkan solat dengan sengaja boleh membawa kepada kekufuran,kerana ia adalah tiang agama dan perkara pertama yang akan ditanya oleh Allah di akhirat kelak. · Melaksanakan seluruh hukum-hukum syariat Islam,bagi kaum muslimah, memakai hijab, kerana ia adalah arahan Allah dalam al-Quran, membaca al-Quran dengan memahami isi kandungannya. · Mengkaji secara mendalam serta mentelaah sirah Nabi Muhammad s.a.w, sirah para sahabat Nabi, bagi muslimah, perlu memilih serta bercampur wanita-wanita solehah bagi menjamin pegangan dan akidah mereka. · Sentiasa melakukan muhasabah diri, khususnya memerhatikan persiapan buat hari esok di akhirat dengan amalan, sumbangan kepada agama, perkara-perkara kebajikan buat umat Islam, menjauhi perkara yang menjadi kemurkaan Allah dan sebagainya. · Perbanyakkan program kebaikan yang membawa ketaatankepada Allah dan banyak berdoa kepada Allah agar diri diberi petunjuk ke jalan kebenaran dengan tetap dan cekal terhadapnya. Mudah-mudahan kita sentiasa mendapat rahmat dan naungan daripada Allah agar boleh mati pada jalan yang diredai-Nya. Amin