17 September 2007

AntaRa IkhTiar dan Ijtihad ???

Dalam Islam, berkhatan adalah perkara khilafiyah diperbincangkan dalam semua mazhab, namun menurut qaul (pendapat) sahih dalam mazhab Syafie, ia wajib ke atas lelaki dan perempuan. Begitulah perkataan kebanyakan ulama salaf. Imam Ahmad bin Hambal mengatakan wajib manakala Imam Malik dan Imam Abu Hanifah berkata khatan itu hukumnya sunat bagi lelaki dan perempuan. Ada pula satu qaul dalam mazhab Abi Hanifah mengatakan wajib bagi lelaki dan sunat bagi perempuan. Antara petunjuk yang dijadikan hujah dalam melaksanakan khatan ialah firman Allah yang bermaksud: “ Ikutilah wahai Muhammad susunan agama Ibrahim.” Hadis diriwayatkan Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Nabi Ibrahim berkhatan ketika beliau berusia 80 tahun di suatu tempat bernama “al-Qudum” (di Syam).” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim). Diriwayatkan Imam Ahmad daripada Syaddad bin Aus dengan terputus sanadnya dan juga oleh Imam Baihaqi daripada Saidina Ali, beliau berkata berkhatan itu sunat bagi lelaki dan suatu perkara yang terpuji bagi perempuan. Selain itu Imam Abu Daud, Ibnu Sandah dan Ibnu ‘Asakir meriwayatkan suatu hadis daripada ad-Dohak bin Tias, katanya di kota Madinah ada seorang perempuan yang bernama Ummu ‘Atiyyah kerjanya menyunatkan anak gadis. Rasulullah s.a.w pernah berkata kepada perempuan itu: “Bila engkau menyunatkan anak perempuan jangan engkau potong terlampau banyak kerana potongan itu jika disederhanakan akan menambahkan seri muka dan menyebabkan suami lebih gembira.” Begitupun, baru-baru ini khatan terhadap perempuan menjadi isu, apabila seorang budak perempuan, Badour Shaker, 12, meninggal dunia ketika menjalani prosedur itu di sebuah klinik haram di bandar Maghagh di selatan Mesir. Siasatan forensik mengenai kes berkenaan menunjukkan kematian budak itu disebabkan dos bius yang berlebihan. Kes berkenaan mencetuskan bantahan berkhatan kepada wanita dan diberi laporan meluas oleh akhbar Mesir. Berikutan itu, Kementerian Kesihatan Mesir mengeluarkan perintah kuasa menyatakan larangan kepada semua doktor, jururawat atau sesiapa saja memotong, meratakan atau mengubah suai mana-mana bahagian sistem reproduktif wanita, sama ada di hospital kerajaan, hospital bukan kerajaan atau tempat lain. Malah, selepas kematian budak itu, pihak berkuasa tertinggi agama negara itu menegaskan Islam menentang amalan berkhatan wanita. Mufti Besar, Ali Gomaa, berkata amalan tradisi berkhatan di kalangan wanita pada era kini adalah berbahaya dan dilarang. "Ia dilarang," katanya. Sementara itu, Imam Universiti al-Azhar, Sheikh Mohamed Sayed Tantawi, pernah menganggap amalan berkenaan tidak menepati kehendak Islam walaupun beberapa tokoh Islam tempatan mempertahankannya. Tantawi dan pemimpin Kristian Mesir, Pope Shenouda, bersetuju tiada perintah mengkhatankan wanita disebut sama ada dalam al-Quran atau Injil. Mengulas isu ini, Prof Madya Dr Abdul Basir Mohamad dari Jabatan Syariah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata kepelbagaian pendapat ulama itu sepatutnya tidak menjadi isu kerana ia perkara ijtihad. “Perkara ini ijtihad, kerana tidak ada nas yang jelas. Menegah khatan tidak salah, menyuruh juga tidak berdosa,” katanya, sambil menegaskan pendirian yang diambil seperti Mesir berdasarkan kemaslahatan semasa. “Ia cuma pandangan ulama dan sepatutnya cara (khatan) perlu diperkemaskan,” katanya. Pada 1950-an kerajaan Mesir cuba menghalang bidan daripada melakukan khatan ke atas bayi perempuan tetapi membenarkan doktor melakukannya bagi menjamin ia dilaksanakan dalam keadaan selamat. Satu tinjauan Tabung Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef ) pada 2003 mendapati, 97 peratus wanita berkahwin di Mesir sudah menjalani khatan. Kajian terbaru Kementerian Kesihatan dan Penduduk Mesir mendapati 50.3 peratus kanak-kanak dan remaja antara 10 hingga 18 tahun sudah berkhatan. Menurut Abdul Basir, umat Islam di negara ini mengambil jalan tengah dan bersikap hati-hati dalam melaksanakan khatan. “Apa yang saya tahu khatan wanita ada tiga tahap, iaitu yang ringan, pertengahan dan melampau. Kita ambil jalan yang paling ringan iaitu hanya guris sedikit, tidaklah sampai mencederakan. “Melakukannya memang tidak boleh sampai tahap menzalimi kerana manusia memang perlu kepada nafsu, cuma tidak mahu ia terlalu rakus. Buang keterlaluan hingga tiada nafsu haram. Binatang pun haram buat begitu, inikan pula manusia yang memerlukan zuriat,” katanya. Walaupun tiada nas jelas dalam perkara ini, katanya ada petunjuk yang menjadi panduan dan dipegang oleh umat Islam khususnya di negara ini dalam melaksanakan khatan baik kepada lelaki atau perempuan. “Masyarakat tidak perlu kelam-kabut dengan isu ini, kerana kes (kematian) itu sangat jarang. Saya difahamkan juga cara yang mereka guna tidak mengikut prosedur rapi seperti yang kita diamalkan,” katanya. Beliau menjelaskan, khatan kepada perempuan walaupun ada pihak yang tidak bersetuju, tetap mempunyai kebaikan iaitu dapat menundukkan naluri nafsu yang membuak-buak. “Sekarang, masyarakat begitu bebas, gejala sosial menjadi-jadi, sukar dikawal. Apa salahnya untuk mengawal naluri nafsu. Kita laksanakan khatan kepada perempuan dan menjadikannya sebagai satu ikhtiar. “Kita melaksanakannya juga berasaskan panduan agama dan mengambil langkah berhati-hati. Sebab itu hingga ke hari ini di negara kita tidak ada kes seperti itu (Mesir),” katanya.

HaPus DoSa MenjElang RamAdhan

SEMUA orang tahu racun sangat berbahaya. Jangankan racun, keracunan makanan pun ditakuti. Bagaimanapun, tidak ramai orang yang tahu betapa bahayanya dosa. Ia lebih berbahaya daripada racun. Dosa membuatkan seseorang merana di dunia dan akhirat. Paling teruk kalau terminum racun orang akan mati tetapi bahaya dosa orang akan dibakar di neraka dan sebelum dibakar api neraka, orang berdosa ini terlebih dulu membakar yakni menyusahkan orang lain di dunia. Ada orang kata dosa adalah soal peribadi masing-masing, buat masing-masing tanggung, jaga kubur masing-masing. Sangat tidak betul kata-kata itu. Kubur kita orang lain yang gali manakala kubur orang lain terkadang kita yang kena uruskan. Maknanya dosa yang kita lakukan akan menyusahkan orang lain. Peminum arak rasa itu perbuatan peribadi, duit dia dan kalau mabuk dia yang terhoyong-hayang. Memanglah duit dia tetapi jika dah mabuk dia langgar orang, dah berapa ramai mangsa kemalangan angkara pemabuk. Rumah tangga lintang pukang dek kerana arak. Kan menyusahkan orang tu. Antara bahaya dosa yang banyak itu ialah: (1) Akan dicabut daripadanya nur iaitu cahaya dan seri keimanan terutama apabila melakukan dosa besar. Muka yang tidak pernah dibasahi air wuduk akan kehilangan serinya. Wajah inilah yang akan menerangi anggota wuduk di akhirat nanti. (2) Tertutup daripada kebenaran. Maknanya pendosa mana baik dan buruk tetapi tak ikut kebaikan, dia tahu yang buruk tetapi tidak dapat meninggalkannya. (3) Hilang rasa spontan terhadap amal kebaikan dan ganjaran serta tawaran pahala. Bila sebut syurga dia tidak teringin, bila disebut neraka tidak takut apa pun malah mengejek masuk neraka bukan seorang. (4) Berat dan payah benar apabila ingin beramal sebaliknya mudah dan ringan apabila diajak melakukan dosa dan maksiat. Menurut ibnu al Qayyim, sesiapa yang melakukan dosa pada waktu malam, dia amat berat untuk melakukan amal pada siang kerana dosa yang dilakukan pada waktu malam menghalang beramal dan begitulah sebaliknya. (5) Dosa membuatkan hati jadi keras dan degil. Payah benar nak dengar nasihat. Dia nasihat orang boleh tapi sangat berat bila ditegur. Suka bertekak, berbalah dan tidak menghormati orang lain. Bahasanya kasar dan tidak menghormati perasaan orang lain. (6) Dosa derhaka kepada orang tua boleh berjangkit kepada anak-anak. Allah membalas dengan tindakan anak yang akan menyakitkan hatinya sebagaimana dia menyakiti ibubapanya. (7) Dosa menjadi hijab doa payah diterima Allah. Ada riwayat yang menyatakan sesiapa makan makanan haram, doanya tidak diterima Allah selama 40 hari. (8) Terkadang dosa menjadi penghalang daripada mendapat dan menemui jalan penyelesaian. (9) Dosa menjadi penyebab turunnya bala Allah. Ada satu hadis, Rasul bersabda yang maksudnya apabila nampak sangat zina dan riba, sesungguhnya mereka mengizinkan Allah menurunkan azab.

16 September 2007

Hari Taklimat Mahasiswa Muadalah (HATIM) 2007

Universiti Al-Azhar sekali lagi akan mengadakan imtihan Tahdid Mustawa bagi para mahasiswa dan mahasiswi muadalah untuk menentukan tahap pencapaian akedemik setiap mahasiswa/wi yang akan bergelar Azhari/ah. Jesteru itu, pihak Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir akan mengadakan program Hari Taklimat Mahasiswa Muadalah (HATIM) 2007 pada 20 September 2007 (Khamis) yang bertujuan untuk memberikan pendedahan awal kepada seluruh mahasisiwa/wi sesi kemasukan 2007/2008 cara-cara terbaik untuk menghadapi peperiksaan Tahdid Mustawa. Antara agenda HATIM 2007 adalah seperti berikut: Mengadakan peperiksaan percubaan tahdid mustawa bagi mahasiswa/wi muadalah sesi kemasukan 2007/2008. Memberikan pendedahan dan penerangan cara-cara terbaik untuk menghadapi peperiksaan tersebut. Slot bersama Badan Pengurus PMRAM 2007. Peperiksaan Tahdid Mustawa akan dijalankan pada 23 September 2007 (Ahad) jam 10 pagi bertempat di Universiti Al-Azhar, Sayyidina Husain di bangunan kuliah masing-masing (bagi mahasiswa) dan Universiti Al-Azhar Hayyu Sadis (bagi mahasiswi). Para mahasiswa dan mahasiswi muadalah diminta membawa pasport ketika peperiksaan Tahdid Mustawa. PMRAM mendoakan kejayaan kalian. Semoga berjaya.