15 Mac 2008

Syariat Diketepikan ???

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Zainuddin Md Zin, semalam memfailkan kira-kira RM5 juta terhadap tiga pembekal dan penjual ayam, termasuk Tesco Stores (Malaya) Sdn Bhd kerana menjual ayam yang tidak disembelih. Zainuddin, 55, menamakan Perak Duck Food Industries Sdn Bhd, CKL Marketing Sdn Bhd dan Tesco sebagai defendan pertama, kedua dan ketiga dalam saman yang difailkan menerusi Tetuan M K Othman & Co di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi Jalan Duta, di sini. Beliau dalam tuntutannya memohon ganti rugi khas, termasuk kos pembelian ayam, kos perbelanjaan makan dan minum bagi pertemuannya dengan wakil dari Perak Duck Food Industries Sdn Bhd dan kos bagi menghadiri pemeriksaan di Bahagian Hab Halal Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) di Cyberjaya. Selain itu, beliau juga menuntut menghadiri pemeriksaan di Persatuan Pengguna Islam (PPIM) di Keramat di sini dan kos untuk menghadiri pemeriksaan di Jabatan Agama Islam Perak di Ipoh yang semuanya bernilai RM1,375.77. Zainuddin juga memohon defendan untuk membayar ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan yang bernilai RM5 juta kerana defendan pertama dan kedua berlaku khianat dengan membekalkan makanan berlogo halal kepada semua umat Islam. Di samping itu, beliau turut memohon mahkamah untuk menghalang ketiga-tiga defendan untuk menjual, mengedar, memasar atau menyebabkan produk itu berada di pasaran. Plaintif juga meminta mahkamah mengarahkan ketiga-tiga defendan memohon maaf kepada semua umat Islam di negara ini berterusan selama tiga hari di muka hadapan akhbar utama bahasa Melayu dengan menanggung segala kos perbelanjaan. Dalam writ saman berkenaan, beliau juga mendakwa defendan pertama gagal memastikan keadaan ayam yang dihasilkan tidak disembelih mengikut Syara' dan tidak prihatin serta sensitif kepada kehendak umat Islam. Defendan kedua pula didakwa secara cuai menyelia pengeluaran produk yang berlogo halal pada bungkusan itu, manakala defendan ketiga gagal melakukan sebarang pemeriksaan bagi memastikan keselamatan halal produk itu sebelum dipasarkan. "Pada 28 Oktober tahun lalu saya membeli tiga ayam selasih di Tesco dan mendapati ayam yang dilabelkan logo halal tidak disembelih dengan betul mengikut prosedur penyembelihan. "Sangkaan saya ternyata betul apabila PPIM mengesahkan ayam yang dibeli tidak halal kerana urat leher ayam yang disembelih itu tidak putus," katanya. ULASAN RINGKAS UZAR Tindakan ini adalah baik bagi meningkatkan kesedaran dan sensitiviti seluruh pembekal dan penjual ayam dan lain-lain bahan makanan yang berlogo halal. Pengguna mesti menunjukkan 'consumer sovereignty' atau kedaulatan kuasa pengguna dalam bab ini. Menurut teori ekonomi, ‘rule of the game' bagi sesebuah pasaran, jika tuntutan kita terhadap ayam yang bersih dan halal kuat dan tinggi, maka pembekal akan terpaksa atau berlumba-lumba memenuhi tuntutan itu bagi memastikan ia kekal sebagai ‘player' dan mampu memperolehi keuntungan, jika tidak ia terpaksa keluar dari pasaran akibat tidak mampu memenuhi tuntutan pengguna. Justeru, sebagai pengguna Islam, kita mesti lebih kuat dan lebih bersatu dalam menuntut dan menunjukkan sensitiviti kita dalam hal ini. Ia tidak boleh dibuat sambil lewa. Malah, teori dan model tadi juga telah diiktiraf oleh system kapitalis barat sendiri, yangmana mereka mengiktiraf perlunya interaction of supply and demand di antara pembekal dan pengguna. Bagi mereka ia penting bagi mencipta kesimbangan atau ‘equilibrium' yang menjamin apa yang terbaik buat pengguna sahaja kekal di pasaran.
Jangan Hanya Ayam Yang Halal
Namun, perlu dingat, ayam sahaja yang halal tidak banyak membantu dunia dan akhirat kita. Hasilnya, perlu dipertingkatkan lagi tuntutan kita kepada perbankan dan kewangan yang halal, lagi banyak kita tuntut pengurusan kewangan secara halal, lebih lagi industri akan 'terpaksa' memberikan respond, ini sifat pasaran kapitalis yang sentiasa ikut kehendak pasaran, Ye kita tahu kita telah terperusuk di dalam sitem ekonomi kapitalis yang menguasai dunia, namun jangan kita tewas dengan sistem ini dalam semua keadaan, at least kita pergunakan sistem ini untuk menewaskan produk, perkhidmatan dan sistem yang tidak Islam.
Cerita Pengaruh Pengguna
Semalam (20 Feb 2008) sebuah syarikat kewangan beribu pejabat di Singapura yang sebelum ini memberikan perkhidmatan konvensional dan Islam menjemput saya untuk berbincang dan membantu bagi mewujudkan sebuah syarikat pengurusan dana Islam di Singapura. Mereka mula menjadi amat bersemangat apabila Pengerusi Al-Rajhi Bank Saudi, bersetuju untuk melabur dalam syarikat ini bagi menambahkuatkan perkhidmatan kewangan dan pelaburan Islam di Sinagpura khususnya dan di rantau Asia umumnya. Tapi syarikat mereka akan menjadi Islam seratus peratus. Alahmdulillah, tidak lagi macam dahulu, poket kanan jual barang halal, poket kiri jual yang haram. Sama seperti sebahagian ejen jualan insuran dewasa ini. Poket kanan dijual Takaful Halal, tiket ke Syurga, di poket kanan dijualnya Insuran haram, tiket ke Neraka. Mendukacita melihat ejen sebgini yang meletakkan matlamat duit dihadapannya tanpa mengira kesan panjang yang dijualnya itu. Lihat, Muslim di Singapura sedang bergerak untuk memperkenalkan lebih banyak pengurusan kewangan halal. Malah kerajaan bukan Islam mereka juga meminati cadangan ini. Saya tidak pasti samada apakah yang tersirat di sebalik minat mereka, namun yang pasti ia adalah salah satu kesan dari tuntutan ramai yang mulai makin cenderung kepada pengurusan kewangan Islam. Lihat bagaimana kuatnya pengaruh pengguna. Demikian juga yang berlaku di Tanah Besar China, Jepun, Thailand dan lain-lain. Mereka bukan diperintah oleh orang Islam, tapi hasil desakan dan permintaan penguna seluruh dunia, mereka akur dan mula membenarkan bank-bank Islam dibuka. Dalam bab ayam tadi, kita tahu bahawa ayam sembelih bukan sahaja sihat dan baik untuk Muslim, malah ia juga sangat baik untuk bukan Islam, ini kerana darahnya yang telah terpancut keluar semasa proses sembelihan. Lebih jauh dari itu, bukan hanya ayam sembelih menurut Islam baik untuk mereka, malah semua ajaran Islam adalah baik untuk bukan Islam juga, mereka prejudis kerana tiada pendedahan yang benar dan tepat diberikan. Termasuklah dalam hal ini, sistem politik, ekonomi, kepimpinan, makanan, pakaian dan lain-lain yang menuruti disiplin Islam, pasti sesuai buat semua dan baik untuk semua.
Kesimpulan Kesimpulannya, proses ini bermula dari diri kita, maka bertindaklah. Mari bertindak menjauhi ayam tidak sembelih, system kewangan tidak sembelih, sistem pemerintahan tidak sembelih, sistem pendidikan tidak sembelih, dan banyak lagi yang belum atau tidak disembelih. Bertindaklah tepat pada masanya sebelum kita disembelih hasil kelemahan sistem ini di dunia, dan disembelih di kubur hasil kerana kealpaan dan tiada kepekaan kita. Sekian, Zaharuddin Abd Rahman http://www.zaharuddin.net/

Pemimpin adil wujud masyarakat harmoni

Oleh Tuan Sidek Tuan Muda MASYARAKAT ibarat sebuah kapal yang memerlukan nakhoda untuk mengemudi dan memimpinnya mengharungi detik suka, duka, senang, susah, kaya, miskin, aman mahupun perang. Tanpa pemimpin nescaya huru hara dan kacau bilau masyarakat. Elok pemimpin, eloklah masyarakat. Justeru, pemimpin dan kepemimpinan sangat penting. Pemimpin mempunyai tanggungjawab besar bagi memastikan segala yang berada di bawah kepemimpinannya memperoleh keadilan serta kesejahteraan dalam kehidupan. Islam sebagai cara hidup sangat menitik beratkan soal pemimpin dan kepemimpinan. Bahkan tugasan asasi manusia sebagai 'khalifah Allah' adalah untuk memimpin mengikut kapasiti setiap individu serta mengurus harta Allah di alam ini. Allah sebagai Tuhan yang menciptakan manusia sudah tentulah Dia Maha tahu mengenai segala yang berkaitan dengan manusia. Oleh itu, Allah melalui kitab panduan-Nya al-Quran menggariskan prinsip asas yang perlu diikuti seseorang pemimpin bagi memastikan masyarakat menikmati kehidupan aman, sejahtera serta mendapat keredaan-Nya. Prinsip tersebut tidak lain melainkan berlaku adil dan menjauhi kezaliman. Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini) supaya kamu mengambil peringatan mematuhinya." - (Surah al Nahl, ayat 90)
Firman Allah lagi yang bermaksud: "Serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil." - (Surah al Hujurat, ayat 9) Nabi SAW adalah seorang pemimpin. Baginda bukan pemimpin biasa tetapi pemimpin agung luar biasa yang meninggalkan panduan untuk pemimpin seterusnya sama ada dalam bentuk kata-kata mahupun perbuatan supaya mereka dapat melaksanakan tugas sebaik mungkin. Jika diikuti panduan itu, sudah tentu pemimpin dan masyarakat yang dipimpinnya menikmati kehidupan sejahtera dan diredai Allah. Antara panduan ialah sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Tujuh golongan yang Allah berikan lindungan kepada mereka pada hari yang tiada lindungan melainkan lindungan Allah; pemerintah yang adil, pemuda yang membesar dalam keadaan beribadah kepada Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua lelaki yang berkawan dengan penuh kasih sayang kerana Allah bertemu kerana-Nya dan berpisah kerana-Nya, lelaki yang diajak berzina oleh seorang perempuan yang ada kedudukan serta mempunyai harta lalu dia berkata: aku takut kepada Allah, lelaki yang memberi sedekah lalu disembunyi hingga tiada diketahui oleh tangan kirinya apa yang telah disedekahkan oleh tangan kanannya, dan lelaki yang berzikir mengingati Allah dalam keadaan sunyi lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah." - (Hadis Muttafaq'alaih) Rasulullah SAW menyebut golongan pertama yang akan mendapat lindungan Allah pada hari kiamat kelak ialah pemerintah yang adil. Dr Mustafa Said al Khin dalam kitab Nuzhah al Muttaqin menjelaskan sebab didahulukan pemerintah yang adil daripada selain ialah kerana banyak kebaikan yang berkaitan dengannya. Adalah menjadi tanggungjawab asas kepada setiap pemimpin memastikan keadilan ditegak dan dipelihara kerana ia akan memastikan banyak kebaikan dapat dinikmati masyarakat. Banyak sabda baginda menyuruh pemimpin bersifat adil. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Ahli syurga itu ada tiga golongan: sultan atau pemimpin yang adil serta mendapat taufik, lelaki penyayang dan lembut hatinya terhadap kaum kerabatnya dan orang Islam, dan orang tidak kaya yang mempunyai tanggungan banyak tetapi menjaga kehormatan diri dengan tidak meminta-minta." - (Hadis riwayat Muslim) Sabda Rasulullah lagi yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang adil di sisi Allah pada hari kiamat berada di atas mimbar daripada cahaya (menunjukkan kedudukan mereka yang tinggi di sisi Allah di dalam syurga); iaitu mereka adil di dalam hukuman mereka, adil terhadap ahli keluarga mereka dan adil terhadap segala yang berada di bawah tanggungjawab dan tanggungan mereka." - (Hadis riwayat Muslim) Di samping itu ada beberapa hadis memberi amaran kepada pemimpin yang tidak adil serta tidak berbuat baik kepada golongan dipimpin. Antaranya, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak seorangpun daripada hamba Allah diberi tanggungjawab memimpin, lalu dia mati pada hari dia dimatikan dalam keadaan melakukan penipuan terhadap rakyatnya kecuali Allah haramkan ke atasnya syurga." - (Hadis Muttafaq 'alaih) Rasulullah bersabda lagi yang bermaksud: "Barang siapa yang dilantik oleh Allah untuk menguruskan hal ehwal orang Islam tetapi dia tidak melaksanakan sesuatu yang memberikan kebaikan kepada mereka serta tidak memenuhi keperluan dan hajat mereka, nescaya Allah tidak akan memberikan sesuatu kebaikan kepadanya serta tidak memenuhi keperluan dan hajatnya pada hari akhirat." – (Hadis riwayat Abu Daud dan al Tirmizi) Wahyu Allah dan sabda Rasulullah SAW menggariskan prinsip penting yang menjadi tanggungjawab asas seseorang dilantik menjadi pemimpin iaitu berlaku adil serta menjauhi sifat zalim dan berbuat kejahatan. Adil dalam setiap tindakan, menguruskan dan mentadbir. Dengan sifat adil, orang yang dipimpin akan berpuas hati dan keadaan menjadi sejahtera serta aman. Semoga pemimpin di semua peringkat sama ada negara, negeri, daerah, kampung, mahupun keluarga dapat berlaku adil terhadap segala yang di bawah tanggungjawabnya. Dengan itu, masyarakat dapat menikmati kehidupan yang aman, sejahtera, harmoni serta diredai Allah. Sesungguhnya semua tanggungjawab itu akan disoal dan dihitung Allah di akhirat kelak. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Setiap kamu adalah penjaga dan setiap kamu akan ditanya tentang rakyatnya (apa yang dijaga); seorang pemimpin akan ditanya mengenai rakyatnya, seorang lelaki adalah penjaga kepada ahli keluarganya dan akan ditanya mengenai jagaannya, seorang perempuan adalah penjaga kepada rumah suaminya dan akan ditanya jagaannya, seorang khadam adalah penjaga kepada harta tuannya dan akan ditanya mengenai jagaannya, dan setiap kamu adalah penjaga dan akan ditanya tentang jagaannya." - (Hadis Muttafaq 'alaih)
Penulis ialah pensyarah Pengajian Islam Institut Teknologi Maklumat Malaysia Kuala Lumpur

bukan pertikai .. Tolak Hadis pun Aqidah boleh Goyah

BERDEPAN dengan dunia serba moden menyaksikan pelbagai pembaharuan, dari aspek pemikiran hingga kepada bentuk material. Setiap detik ada saja teknologi baru direka cipta tetapi bagi mereka yang bersifat statik sudah semestinya ketinggalan, merasakan semakin sukar untuk menikmati kehidupan selesa.Tidak kelihatan sebarang kesalahan apabila manusia berlumba-lumba memajukan diri untuk mendapat kesenangan dan keselesaan, malah sesuai dengan tugas manusia sebagai khalifah, bertanggungjawab memakmurkan bumi ini dengan sebaik-baiknya.Cuma iklim pemodenan itu bagi sesetengah pihak mempengaruhi pemikiran mereka secara keseluruhan, tiada lagi keterikatan agama, sehinggakan segala permasalahan diselesaikan menggunakan hujah rasional serta makmal uji kaji yang boleh dilihat dengan mata dan logik akal saja.Disebabkan itu juga, sesetengah pihak mempertikaikan hadis sebagai sumber hukum, mahu supaya hadis dikaji semula, malah dengan mudah menolak hadis, sedangkan ijmak (kesepakatan) ulama menerimanya sebagai sumber hukum Islam.Apakah pengaruh pemikiran seperti itu boleh diterima dan dibiarkan berleluasa? Tidakkah pengaruh seperti itu akan mengundang bahaya kepada masyarakat Islam, terutama golongan awam yang cetek mengenai perkara berkaitan agama dan hadis itu sendiri?Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Zamihan Mat Zin, berkata sudah tentu pemikiran dan dakyah yang dibawa golongan antihadis itu sesat dan membawa bahaya kepada kemurnian akidah masyarakat Islam."Golongan ini mengatakan hadis perlu dikaji semula kerana mendakwa tidak sesuai dengan keadaan semasa. Contohnya berkenaan aurat, bagi mereka pada masa dulu praktikal kerana di Makkah bentuk muka buminya berpasir dan berlaku ribut pasir."Tetapi sekarang kata mereka faktor cuaca panas, pakaian menutup aurat tidak relevan lagi, malah apabila menutup aurat nampak orang Islam dalam bungkusan, kelihatan tidak matang dan tidak membangun, sedangkan di Barat tidak tutup aurat pun boleh maju," katanya.Hadis ialah segala ucapan nabi, perbuatan dan keadaannya. Keadaannya bermaksud segala yang diriwayatkan dalam buku sejarah seperti berkaitan keputeraannya, tempatnya dan segala yang berkaitan dengannya.Ijmak ulama Islam menetapkan hadis adalah dasar bagi perundangan Islam dan umat Islam berkewajipan mematuhi hadis sebagaimana diwajibkan mematuhi al-Quran.Banyak ayat al-Quran memberikan pengertian secara tegas hadis itu suatu dasar bagi syariat Islam yang wajib ditaati sebagaimana wajib ditaati al-Quran. Justeru, umat Islam tidak boleh membelakangi, meninggalkan atau menentang hukum hadis atau hukum al-Quran atau kedua-duanya sekali sama ada dengan alasan atau tidak. Zamihan berkata, mereka yang menolak hadis adalah mengingkari hadis sebagai sumber hujah dalam perundangan Islam sama ada mengingkari separuh atau sebahagian daripadanya, contohnya menerima hadis nabi dari sudut perbuatan, tidak menerima perkataan nabi, sedangkan hadis itu termasuk perbuatan dan perkataan nabi. "Ada yang mengatakan hadis perlu dikaji semula, ambil hadis yang dirasakan sesuai saja, mempertikai perkara ghaib (sam'iyat) seperti dosa, pahala, titian sirat, syurga dan neraka. "Menurut mereka, perkara ini menakutkan orang dan menolak kemajuan. Mereka menggunakan unsur rasional dalam dakyah mereka," katanya sambil memperakui: "Memang sesetengah mereka adalah ahli akademik dan cerdik pandai dalam sesuatu bidang, tetapi pemikiran mereka terlalu bebas sehingga menggunakan akal tanpa batasan, mahu hadis dikaji semula."Katanya, perkara ghaib memang tidak boleh dibuktikan melalui eksperimen di makmal dan dengan sebab itu, bagi memperoleh kesentosaan serta keselamatan dunia dan akhirat, manusia memerlukan bimbingan wahyu.Menoleh kepada sejarah antihadis, ia berlaku selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w apabila Musailamah al-Kazzab mengisytiharkan dirinya mengingkari kefarduan zakat, menunjukkan dia tidak mempercayai nabi dan perintah baginda. Selepas itu, muncul puak Khawarij dan Syiah yang menggunakan hadis bagi kepentingan masing-masing mengikut kesesuaian pemikiran mereka. Zamihan berkata, selain itu, mereka yang mengatakan nabi tidak melakukan sesuatu perkara dengan sewenang-wenangnya disebabkan kejahilan diri sendiri juga dikatakan antihadis."Ada yang kata jangan buat ini kerana nabi tidak buat, sedangkan dia sendiri tidak mengetahui sama ada nabi melakukannya atau tidak, hanya dia yang pandai-pandai mengatakan demikian dan ini termasuk orang antihadis, juga bahaya. "Orang Islam kena memahami setiap apa yang tidak dilakukan nabi tidak semestinya haram. Ada yang nabi tinggal dan tidak melakukannya kerana hendak mengajar umatnya dan ada benda harus. "Lainlah bagi mereka yang benar-benar tahu mengenai hadis, boleh mengatakan ini dan itu, nabi lakukan dan tidak lakukan. Tetapi bagi orang awam tidak boleh mengatakan sesuatu ikut sesedap rasa," katanya.Beliau berkata, tindakan membuat kesimpulan sendiri terhadap satu-satu hadis yang dibaca juga mendatangkan bahaya."Contohnya mengatakan bidaah menyambut Maulidur Rasul sebab nabi tidak melakukannya. Nabi tidak mengadakannya kerana nabi sibuk dengan benda lain lagi. Jangan kata faktor hadis untuk tolak sesuatu benda sekiranya kita tidak tahu."Jika membaca hadis Bukhari atau Muslim rujuk syarahnya (keterangan), barulah dapat faham lebih mendalam. Jika tidak, kita menghurai hadis mengikut pemikiran sendiri yang secara tidak langsung membawa kepada antihadis. "Dalam satu-satu perkara kadangkala ada berpuluh, malah beratus hadis yang menyentuh mengenainya. Bagi mengelak salah faham dan pentafsiran sendiri yang tidak ketentuan, kenalah mengikuti pentafsirannya daripada cerdik pandai hadis," katanya.Menurutnya, golongan yang menggunakan al-Quran saja sebagai sumber hukum dan tidak mahu menggunakan hadis juga amat berbahaya kerana dalam memahami kandungan kitab suci memerlukan hadis sebagai penjelas dan pentafsir.

PERAMPAS HARTA ANAK YATIM ???

RAMALLAH: Beratus-ratus tentera Israel yang dibantu kereta perisai, menyerbu rumah di bawah kendalian Persatuan Kebajikan Islam Palestin, termasuk asrama anak yatim dalam satu serbuan kejam di Hebron, awal minggu ini. Selain merosakkan harta benda, askar Zionis itu turut mencuri hasil sumbangan asing termasuk makanan, pakaian, kasut dan perabot yang semuanya mencecah ratusan ribu dolar. Malah bukan setakat makanan seperti hasil tenusu, tetapi juga peralatan penting dapur dan peti sejuk turut dicuri tentera Zionis berkenaan, kata saksi dan pegawai majlis tempatan. Bagi menyuarakan rasa tidak puas hati itu, ribuan anak yatim terbabit mengadakan bantahan di Hebron, kelmarin tetapi ia tidak mendapat liputan meluas media antarabangsa. Perkhidmatan media Arab melaporkan semalam, persatuan itu yang terbesar di Palestin, menguruskan dua rumah anak yatim dan beberapa asrama yang menjadi tempat perlindungan kira-kira 7,000 anak-anak yatim Palestin. "Semua barangan dicuri askar Israel itu penting kerana menjadi sumber makanan serta pakaian hasil sumbangan orang ramai dan rakyat asing kepada anak yatim terbabit," kata Ahmed Farah, pegawai pertubuhan Islam berkenaan. Beliau turut menafikan sekeras-kerasnya pertubuhan kebajikan itu dimiliki Hamas. "Kami adalah pertubuhan kebajikan dan tiada kena mengena dengan politik. Pertubuhan ini beroperasi sejak 1964 sebelum pencerobohan Israel. Malangnya, kami sering menjadi sasaran tentera dan pihak perisikan Israel." - Agensi

12 Mac 2008

JOM SOLAT

SOLAT fardu adalah satu ibadat yang wajib dilaksanakan individu Muslim, baik ketika waktu lapang mahupun sibuk dengan urusan, solat tetap kena dikerjakan setiap hari.Melaksanakan solat ialah melakukannya menurut sebagaimana yang diperintahkan dan ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w, bermula dari takbir, bacaan, perbuatan hingga ke akhir salam dengan hati penuh keikhlasan dan takwa. Orang beriman mesti mendirikan solat kerana solat itu tuntutan iman, manakala iman adalah sifat jiwa dan nur batinnya. Jadi, orang yang mendirikan solat adalah orang beriman dan golongan ini sudah pasti berhak menjadi hamba Allah yang patuh kepada perintah-Nya menurut erti kata sebenar.Mendirikan solat menurut tertib sempurna adalah suatu bisikan dan munajat kepada Tuhan yang dapat mendidik fikiran, hati dan jiwa ke arah kesucian dan kemuliaan.Selain itu, dengan ibadat berkenaan berupaya membimbing akhlak dan gerak geri kehidupan ke jalan yang sejahtera, terpelihara dari segala anasir yang membawa kerosakan serta terhindar daripada melakukan sebarang tindakan di luar batas kesopanan.Dalam Islam, solat juga adalah alat pendidikan dan dengan sebab itu kejahatan yang merosakkan masyarakat dan menimbulkan kekacauan akan dapat dicegah oleh tenaga jiwa yang terdidik melalui ibadat berkenaan.Muslim yang taat mengerjakan solat sepanjang hidup, lagi mengerti betapa besar kepentingan solat itu kepadanya dan faham pula segala hikmah dan rahsia bacaannya akan mendapat kekuatan dari dalam dirinya sehingga mampu menghadapi segala macam fitnah dan pancaroba."Sesungguhnya manusia itu dijadikan (bersifat) loba mengeluh apabila kesusahan menimpa dia dan kikir apabila keuntungan mengenai dia, kecuali orang-orang yang solat, yang berkekalan atas solat mereka." (al-Ma'arij:19-23)Ibadat solat juga adalah pembersih segala bentuk kesalahan Muslim setiap hari. Dengan pembersihan itu akan hati sentiasa suci. Hati yang suci akan memancarkan segala sumber kebaikan dan kehalusan budi pekerti pada setiap individu Muslim.Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Bagaimana pendapat kamu jika sekiranya ada sebatang sungai di pintu rumah seorang daripada kamu, lalu dia mandi di situ setiap hari sebanyak lima kali. Adakah masih tertinggal sesuatu daripada dakinya? Mereka berkata: Tidak tertinggal lagi sesuatu daripada dakinya. Baginda bersabda: Maka yang demikian itulah bandingan solat lima waktu, Allah menghapuskan dengannya segala kesalahan." Pendek kata, solat adalah satu rukun Islam yang besar faedahnya, malah banyak pula hubungkaitnya dengan kesucian hidup di dunia ini.Justeru, tidak wajar sekiranya ibadat berkenaan diabaikan, malah dilakukan secara sambil lewa, kerana faedahnya cukup besar dalam menjamin kesejahteraan Muslim.Sekiranya diperhatikan dalam al-Quran banyak ayat perintah supaya mendirikan solat dan dalam masa yang sama melarang keras sikap cuai, lalai dan meninggalkannya.Tetapi sejauh mana umat Islam mengerti terhadap perintah itu? Janganlah perintah tinggal perintah, kerana jika demikian tidak tersingkaplah kejayaan dan kecemerlangan yang akan menjamin kesejahteraan umat Islam di dunia dan akhirat. Dalam hadis ada menerangkan mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja atau dengan kesedaran bererti menyediakan satu pintu kekufuran dan akan dimasukinya pada bila-bila masa.Kewajipan melaksanakan solat bukanlah satu tugas yang berat, malah ringan serta mudah disempurnakan dalam beberapa minit saja. Seorang Muslim yang melaksanakan kewajipan ini akan mudahlah kelak baginya menunaikan kewajipan hidup yang lain. Tetapi ia mudah bagi mereka yang celik mata hatinya, bagaimana pula mereka yang tetap berasa berat, malas, terbeban? Rasulullah s.a.w sangat mengambil berat mengenai solat. Waktu baginda mengirimkan Muaz ke Yaman baginda berpesan dengan sabdanya (maksud): "Wahai Muaz, sesungguhnya sepenting-penting urusan engkau di sisi aku ialah solat."Menurut riwayat, Saidina Umar al-Khattab pernah mengirimkan surat kepada setiap hakim (penguasa) negeri di dalam kekuasaannya, dengan katanya: "Sesungguhnya dari sepenting-penting urusan kamu di sisiku ialah solat. Sesiapa yang memelihara solatnya dia memelihara agamanya dan sesiapa yang mensia-siakannya dan dia lebih lagi mensia-siakan kepada apa yang selainnya. Dan tidak ada bahagian dalam Islam bagi mereka yang meninggalkan solat."

Nak Tegur Pun Ada Kaedah

ANTARA kaedah yang digunakan Nabi Muhammad s.a.w dalam memberikan tunjuk ajar kepada umatnya ialah tidak menjuruskan ucapan kepada orang yang bersalah dengan menyebut kesalahannya.Baginda biasanya membuat teguran dengan menggunakan lafaz yang ditujukan kepada orang yang tidak ada dalam majlis atau dengan lafaz umum boleh didengar oleh orang ramai, seperti “kenapakah kaum itu melakukan itu... dan itu?” Pernah satu ketika Nabi s.a.w memerintah seorang daripada suku Bani Asad (untuk memungut zakat). Ada pendapat mengatakan namanya ialah Ibn Allutbiyyah. Apabila dia datang menemui Nabi, dia berkata: “Ini untuk kamu dan ini untuk diriku.”Rasulullah s.a.w berdiri di atas mimbar lalu memuji Allah dan bersabda: “Kenapakah seorang amil yang aku utuskan (untuk memungut zakat dan sebagainya) berkata ini ialah untuk kamu dan ini dihadiahkan untukku. Kalaulah dia tinggal di rumah bapanya adakah hadiah itu diberikan kepadanya atau tidak? Dan demi Tuhan yang diriku di dalam kekuasaan-Nya, tidak ada seorang pun di antara kamu mengambil sesuatu daripadanya hanyalah dia datang pada hari kiamat membawanya di atas bahunya.” (Muslim, kitab al-Imarah)Arahan yang dilakukan secara tidak langsung itu me nunjukkan baginda menghormati manusia sebagai anak Adam dan sedar tujuan perundangan ialah untuk mem perbaiki bukan memburukkan seseorang, kerana membu rukkan seseorang yang bersalah itu boleh mendorongnya supaya berterusan melakukan kesalahan.Baginda pernah memarahi sahabatnya, Khalid bin al-Walid apabila dia mencaci seorang wanita yang berzina dari Bani Ghamid ketika baginda menjalankan hukuman rejam ke atas wanita itu.Tindakan Nabi ini adalah implimentasi secara praktikal terhadap kejernihan jiwa dan kebersihan lidah yang terhindar daripada percakapan cabul dan mencela walaupun kepada seteru.Apabila baginda luka pada hari peperangan Uhud dan darahnya mengalir, sahabat berkata kepada baginda: “Ka laulah engkau mendoakan ke atas mereka (supaya sesuatu bala menimpa mereka), lalu baginda bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya aku tidak diutuskan sebagai seorang yang melaknat, tetapi aku diutuskan sebagai pendakwah dan rahmat, wahai Tuhanku berilah hidayah kepada kaumku kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui.” Orang Islam datang menemui Rasulullah s.a.w untuk ber tanya berhubung perkara agama serta dunia dan sering kali al-Quran memberikan jawapan.Ada lima belas tempat di dalam al-Quran yang menyebut soalan serta jawapannya, antaranya ayat 215, surah al-Ba qarah, maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah ianya dibelanjakan?) Katakanlah; apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan, maka berikanlah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin dan orang musafir (orang yang terlantar dalam perjalanan).”Kebanyakan ayat ini ialah ayat Madaniyah (ayat yang diturunkan di Madinah) dan surah al-Baqarah adalah surah yang pertama diturunkan di Madinah. Surah ini adalah surah yang paling banyak mengandungi soalan serta jawapan kepada persoalan terbabit.Ini kerana orang Islam pada masa itu ingin mengetahui banyak perkara berkaitan dengan masyarakat baru Islam yang menjadi asas kepada kekuatan negara Islam yang baru lahir itu.Jika al-Quran tidak mengemukakan jawapan kepada segala persoalan yang dikemukakan oleh orang Islam, sudah tentu Nabi s.a.w memberikan jawapan dengan jawapan yang boleh memberikan manfaat kepada mereka di dunia dan akhirat.Baginda memberikan jawapan lengkap kepada semua per soalan, sama ada secara ringkas atau lebih lanjut mengikut keperluan. Baginda tidak membiarkan orang yang bertanya dalam keadaan tidak berpuas hati atau membiarkan mereka tanpa mengetahui walaupun satu aspek daripada persoalan yang diajarkan.

RASULULLAH TERIMA PANDANGAN MUSLIMAT

ARENA politik penuh dengan warna warni, sedih, gembira, marah, kecewa dan penuh tipu muslihat.Justeru, melangkah ke alam politik memerlukan kekuatan mental dan fizikal yang padu kerana jika tidak, anda mungkin tumbang dan menyerah kalah. Politik sering dikaitkan dengan lelaki malah sejak dahulu lagi, golongan adam mendominasi bidang ini malah tiada peluang wanita untuk mencelah.Namun, mutakhir ini menyaksikan semakin ramai golongan hawa menceburi politik, seolah-olah wanita juga setanding dengan lelaki dalam arena yang penuh warna warni ini.Dalam Pilihan Raya Umum ke-12 ini, pencalonan wanita untuk kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) membuktikan peranan dan komitmen mereka mendapat pengiktirafan.Tetapi bagaimana Islam melihat pembabitan golongan hawa dalam berpolitik?Adakah pembabitan mereka dalam politik masa kini mempunyai asas dengan generasi terdahulu khususnya pada zaman perkembangan Islam?Prof Madya Dr Mohd Nasran Mohamad dari Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata kaum wanita membabitkan diri dalam kegiatan sosial dan politik sejak zaman awal Islam lagi.Menurutnya, kitab-kitab hadis dan sejarah Rasulullah s.a.w banyak menceritakan mengenai pelbagai kegiatan serta lapangan yang diceburi wanita di luar rumah."Hasilnya pelbagai sumbangan dan penglibatan wanita pada zaman awal Islam sama ada secara langsung atau tidak, boleh dikategorikan sebagai aktiviti politik."Antara pembabitan mereka yang boleh dianggap sebagai kegiatan politik ialah penyertaan dalam bay'ah al-a'qabah (perjanjian taat setia), jihad, permesyuaratan dan kepimpinan," katanya.Beliau berkata, dalam bay'ah al-aqabah kedua ada dua wanita, Nusaybah binti Ka'ab dan Asma' binti Umar bersama lima lelaki melakukan bay'ah untuk menyokong perjuangan Rasulullah s.a.w dan menentang musuh Islam serta menegak sebuah pemerintahan bernegara."Selepas proses bay'ah dijalankan, Rasulullah menyuruh mereka memilih 12 orang di kalangan mereka sebagai nuqaba' (ketua)."Ini adalah contoh penyertaan wanita dalam urusan politik sebagaimana yang difirmankan Allah dalam surah al-Mumtahanah," katanya.Mohd Nasran turut mengulas dalam konteks jihad, apabila Rasulullah s.a.w tidak pernah melarang wanita turut serta dalam kerja bantuan seperti merawat tentera yang cedera dan menyediakan keperluan lain, seperti Aisyah, Ummu Salamah dan Rubay' binti Mu'awwid.Pada zaman Rasulullah juga pandangan wanita turut diambil kira, sekali gus menyerlahkan lagi pengiktirafan yang diberikan Islam terhadap golongan terbabit."Sebagai contoh ramai di kalangan sahabat tidak puas hati dengan tindakan Rasulullah menandatangani perjanjian Hudaibiyah yang jelas dilihat menguntungkan pihak musuh. Mereka tidak mengendahkan arahan Rasulullah supaya mencukur kepala. "Melihatkan hal ini Ummu Salamah mencadangkan supaya baginda bercukur terlebih dulu. Selepas baginda bercukur, barulah sahabat lain mengikutinya."Peristiwa ini menunjukkan harus meminta pandangan dan berbincang dengan kaum wanita yang bijak serta berkemampuan seperti Ummu Salamah."Saidina Umar al-Khattab pernah mencadangkan untuk menetapkan kadar mahar sebanyak 400 dirham. Bagaimanapun, cadangan ini dibantah oleh Khawla' yang berhujah tidak ada nas syarak yang menetapkan demikian."Bantahan ini diterima oleh Umar. Peristiwa ini menunjukkan pengiktirafan Islam terhadap pandangan wanita walaupun dalam bentuk yang tidak formal," katanya.Contoh paling jelas ialah peranan yang ditunjukkan Aisyah dalam perang Jamal kepada pembabitan wanita dalam hal berkaitan kepemimpinan atau politik, sekalipun beliau dikatakan melakukan kesalahan kerana menentang Saidina Ali.Begitupun, keharusan berpolitik bagi wanita di kalangan ulama jika diselusuri ada pelbagai persepsi; wanita tidak boleh menjadi ketua, wanita tidak dibenarkan terbabit dalam politik dan wanita dibenarkan terbabit dalam politik. Perbezaan ini timbul pemahaman masing-masing terhadap nas umum.Menurut Mohd Nasran, dalam hal kepemimpinan dan politik, kaum wanita mestilah mematuhi peraturan serta adab yang digariskan agar kebersihan diri, keluarga dan masyarakat sentiasa terjaga.Antara garis panduan itu ialah keizinan suami atau wali (penjaga), pakaian bersesuaian dengan kod etika Islam, sentiasa bersama mahram dan mengelakkan daripada fitnah, menghindarkan diri daripada perhiasan yang menarik perhatian lelaki serta memastikan tanggungjawab sebagai isteri atau ibu tidak diabaikan."Secara umumnya pendapat dan ijtihad ulama dalam isu ini masing-masing didokong oleh dalil serta hujah yang jelas adalah mempunyai kekuatan yang tersendiri."Tidak dinafikan pandangan mereka ini sedikit sebanyak dipengaruhi adat resam, persekitaran dan persepsi masyarakat tertentu."Dengan mengambil kira pelbagai aspek ini, sama ada pendapat yang menyokong mahupun menentang, masing-masing mempunyai unsur positif dan negatif," katanya.Tetapi katanya, disebabkan tiada nas qat'ie (khusus) yang melarang wanita bergiat dalam politik, sepatutnya wanita dibenarkan bergiat dalam bidang ini, dengan tertakluk kepada syarat seperti di atas

ADAB ZIARAH PESAKIT

* Jangan duduk terlalu lama ketika menziarahi pesakit kerana perbuatan ini boleh mengganggunya. * Apabila berada di sisinya, hendaklah sentuh dan pegang tangannya. Kemudian letakkan tangan pada dahinya serta tanya mengenai penyakit dan keadaannya. * Berdoa supaya dia segera sembuh. * Ceritakan kelebihan sakit yang dialami sahabat, rasul dan nabi serta orang beriman supaya pesakit itu tidak berasa gelisah dengan kesakitan dialaminya. * Berikan nasihat yang baik serta ucapkan perkataan yang dapat meredakan kesakitannya seperti "bersabarlah, kesakitan ini adalah satu ujian." * Jangan makan makanan yang dihadiahkan kepadanya atau makanan yang disediakan untuknya. * Sunat dibacakan doa untuknya, seperti dalam hadis yang dinyatakan at-Tirmidzi yang bermaksud: "Ya Allah, hilangkanlah penyakitnya, wahai Tuhan bagi manusia, sembuhkanlah. Engkaulah yang menyembuhkan, tidak ada kesembuhan melainkan kesembuhan dari-Mu jua, sesuatu sembuhan yang tidak meninggalkan sebarang penyakit."

CIRI- CIRI PEMIMPIN

PEMIMPIN satu amanah dan bukannya tempat mencari kemuliaan sebab amanah ini akan ditanya di akhirat nanti. Realitinya hari ini pemimpin dipuji, diberi sambutan dan tepuk sorak. Siapalah tidak ghairah pasang angan-angan menjadi pemimpin, hingga ada yang berkata: “Asyik dia orang saja dapat, bila lagi giliran aku pula.”Islam sejak beratus tahun lampau mencipta rekod kepemimpinan di pelbagai benua dan kota, terus melakarkan beberapa pra syarat agar pemimpin betul-betul ‘menjadi’ dan orang yang dipimpin menerima nikmat kepemimpinan, bukan hanya terpimpin selamat di dunia malah juga di akhirat nanti.Syarat pertama pemimpin ialah iman. Dalam surah al-Kahfi Allah menyatakan iman itu ada tiga implikasi, iaitu 'imun', 'aman' dan 'amin.'Imun maknanya kebal daripada maksiat dan kebal daripada rasuah. Aman maknanya dia berasa aman bila bersama Allah, malah di depan orang dia baik, di belakang orang pun dia tetap baik, bukannya hipokrit. Manakala 'amin' pula maknanya orang yang boleh dipercayai. Apabila sudah dipercayai barulah layak menerima amanah .Syarat kedua ialah ilmu kepemimpinan. Kepemimpinan bukannya secara spontan atau pakai tangkap muat sahaja, sebaliknya mesti ada ilmu.Makna kepemimpinan ialah cara menggunakan pengaruh untuk mempengaruhi pengikut mencapai matlamat yang digarap. Jika tidak ada ilmu, sepak terajang dan kerenah kepemimpinan, nanti kita pula yang dipimpin.Syarat ketiga ialah 'selfleadership.' Bagaimana kita boleh memimpin orang lain kalau diri kita tidak terpimpin?Perkataan 'leader' merujuk kepada tanggungjawab (al-mas'uliyah). Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: “Setiap kamu dalam pemimpin dan setiap kamu akan diminta pertanggungjawab berdasarkan apa yang kamu pimpin.”Syarat ini menggambarkan orang yang memimpin itu mampu bertanggungjawab terhadap diri sendiri. Maknanya, pemimpin tidak cepat melemparkan tanggungjawabnya kepada orang lain, tidak cepat terpengaruh dengan khabar yang tidak pasti. Jika dia melakukan kesilapan, diri sendiri menanggung risiko, bukan mengkambing hitamkan orang lain demi keselamatan diri.Syarat keempat ialah pemimpin memerlukan 'The Power Of Communication.' Ketika berinteraksi dengan pengikut akan menghadapi pelbagai kerenah, keinginan dan tuntutan yang semestinya mampu menenangkan mereka walaupun hajat tidak tertunai, bukannya putar belit. Cara berkomunikasi ada empat:
1) Cakap mudah difahami, bahasa terang, arahan jelas tidak berbelit-belit.
2) Kesamaan. Setiap orang mudah didampingi, tidak ada tembok pemisah atau terlalu protokol. Pasangan berkahwin sebab banyak kesamaan antara mereka. Mereka nescaya bercerai jika ada banyak perbezaannya.
3) Ikhlas. Walaupun ikhlas terletak di hati dan tidak nampak dengan mata namun ia dapat dirasai. Jika tidak ikhlas seakan ada satu gelombang yang mengganggu perasaan orang yang dipimpin. Kata-kata tidak tajam tidak masuk di hati.
4) The power of service. Cakap hanya perlu pada tempatnya tetapi bertindak semestinya lebih banyak. Allah memberikan kita dua telinga supaya kita banyak mendengar, Allah memberikan kita dua mata supaya kita banyak melihat dan mengamatinya, kemudian bertindak berasaskan pendengaran dan pemerhatian.Rasanya elok juga disinggung sedikit perkara yang menambah komitmen moral seorang pemimpin berasaskan tafsir lima ayat surah al-Muddassir.
i- Bangun dan beri peringatan. Pemimpin mempunyai kepedulian sosial yang tinggi. Sekiranya di sekelilingnya terdapat perkara menyalahi kebenaran, dengan kuasanya dia akan meluruskannya.
ii-Mesti membasarkan Allah. Pemimpin perlu sentiasa ke depan tetapi jangan mendahului Allah.
iii- Bersihkan pakaiannya. Pakaian luar dan dalam iaitu hati biar turut bersih.
iv- Tinggalkan dosa.
v- Janganlah memberi sesuatu kerana ingin mendapat lebih banyak malah kalau boleh jangan ingat bahawa kita pernah memberi kepada seseorang.

POLITIK RASULULLAH

JIKA sebelum ini jarang orang berminat bercakap mengenai politik, melainkan golongan yang terbabit secara langsung dengannya, keadaan adalah sebaliknya, malah remaja juga berminat mengetahui senarionya.Di rumah bersama seisi keluarga, minum bersama teman di warung atau restoran, mengisi masa terluang di pejabat, malah di jalanan, topik perbualan mengenai politik tidak ditinggalkan, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-12 bulan depan.Sering juga diperkatakan bahawa politik itu kotor. Tetapi, hakikatnya orang yang terbabit dengan politik yang melakukan onak sehingga dikatakan kotor.Penyalahgunaan kuasa, politik wang, maki hamun dan skandal seks menyebabkan politik dipalit kekotoran.Tetapi, bagaimana Islam melihat politik dan pilihan raya itu sendiri. Nabi Muhammad s.a.w ketika mengembangkan Islam turut menggunakan politik. Kamus Dewan Edisi Tiga, "politik" bermaksud ilmu cara pemerintahan, ilmu siasah dan ilmu kenegaraan; kedua, segala sesuatu berkenaan pemerintahan sesebuah negara atau hubungannya dengan negara lain dan ketiga, kelicikan, muslihat atau tipu muslihat. Takrifan itu membuktikan makna politik amat luas, bukan saja merujuk kepada pengetahuan dan kebijaksanaan mentadbir negara, malah membawa maksud tipu muslihat. Jadi, tidak hairan ada pihak menggunakan muslihat tersendiri untuk mendapatkan pengaruh dan gelaran yang diidamkan, kerana politik itu sendiri dari satu sudut dikatakan muslihat.Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zin, berkata politik ialah keupayaan manusia mengurus sesuatu, mengikut disiplin ditetapkan.Beliau berkata, manusia sudah lama berpolitik malah di kalangan nabi termasuk Rasulullah s.a.w, baginda turut berpolitik."Nabi Muhammad s.a.w dari muda mempunyai kebijaksanaan termasuk berniaga sehingga Khadijah tertarik padanya, manakala Nabi Nuh a.s ada kepandaian mengemudikan bahtera."Nabi Yusuf pernah dilantik menteri dan Nabi Musa pernah berdoa supaya saudaranya, Nabi Harun menjadi pembantunya dalam gerak kerja dakwah," katanya.Beliau turut mengungkap nas dari surah Thahaa, ayat 29, bermaksud: "Dan, jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari keluargaku." Dalam Islam, urusan membabitkan pelantikan pemimpin bukan perkara sampingan atau main-main, malah ia menjadi topik khusus dalam pewarisan Nabi Muhammad s.a.w bagi memastikan agama dan politik dunia terpelihara.Justeru itu, katanya, menjadi kewajipan bagi umat Islam melantik pemimpin bagi memastikan Islam dan umatnya terbela dan apabila dilantik mesti ditaati."Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan rasul dan kepada ulil-amri (pemimpin) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya." (an-Nisa: 59) Zamihan berkata, Nabi Muhammad s.a.w sudah menggambarkan ada pemerintah yang memerintah dengan baik dan pemerintah yang buruk."Apabila pemerintah baik, Nabi kata kamu kena dengar dan apabila pemerintah yang buruk, disuruh kita menghindarinya. Itulah juga dinamakan politik," katanya.Beliau berkata, kewajipan umat Islam ke atas pelantikan pemerintah adalah fardu kifayah seperti jihad dan menuntut ilmu."Tidak salah menggunakan sistem demokrasi walaupun asalnya dari barat, sebab ada kebaikannya."Walaupun ada yang kata tiada demokrasi dalam Islam, tetapi Islam tidak menafikan manfaat demokrasi."Malah, sistem pilihan raya seperti sekarang ini juga tidak mengongkong syariat Islam daripada terlaksana. "Hari ini kerajaan melaksanakan pelbagai sistem Islam, seperti ekonomi Islam dan pendidikan Islam. Itu semua lanjutan sistem demokrasi."Jika ada yang mengatakan kena ketepikan pilihan raya dan kembali kepada sistem syura seperti zaman awal Islam, masalahnya kini tiada sistem khalifah. Bagaimana mahu kembali kepada cara itu, sebab sistem khalifah itu sendiri tidak ada."Kita tidak mampu kembali kepada sistem itu, tetapi kita kena ada cita-cita ke arah itu dan oleh kerana demokrasi menjadi latar belakang pemerintahan sistem negara, jadi tidaklah mengapa untuk menjadikannya wahana dalam pemerintahan dan orang Islam diberikan hak memilih. "Walaupun dalam Islam tidak dinyatakan secara khusus penegasan membuang undi untuk memilih pemimpin, masih ada nas mengenai prinsip asas dalam surah al-Maidah supaya bantu membantu hal kebajikan dan bertaqwa serta melarang daripada melakukan dosa dan pencerobohan."Dalam konteks Malaysia yang dinilai pengundi ialah calon atau ideologi politik. Mengundi asalnya adalah harus, tetapi jika calon yang baik menjadi sunat malah wajib pula, sebaliknya calon jahat hukumnya haram disokong," katanya.Beliau juga menjelaskan beberapa kriteria yang sewajarnya tersemat pada diri pemimpin, iaitu orang yang adil mempunyai ilmu mendalam, sempurna pancaindera dan tidak mengalami kecacatan (jika cacat seperti buta mudah ditipu orang), berpandangan terbuka, berwibawa dan berani mengemukakan pendapat, bijak, tegas dan dari keturunan mulia."Tetapi janganlah kerana politik timbul sengketa, sehingga anak berbalah dengan bapa, putus persahabatan dan suami isteri sampai bercerai."Dalam kempen juga kena ada etika, seperti bercakap benar, apabila berjanji ditunaikan, apabila diberikan amanah tidak khianat, apabila berselisih faham tidak melangkaui had, tidak mengadu domba dan menabur fitnah," katanya.

Budaya nasihat lambang persaudaraan

Oleh Penulis Khas YaPEIM Setiap individu berhak syor usul yang baik dalam konteks memberi ajaran, petunjuk PERMINTAAN seorang pelajar supaya Imam al-Ghazali memberi nasihat dalam bentuk tulisan supaya ia dijadikan panduan hidup, diberi maklum balas dalam bukunya Ayyuha al-Walad bahawa memberi nasihat itu mudah. Namun, timbul kesulitan daripada sudut orang yang mahu menerima nasihat itu. Kenyataan Imam al-Ghazali itu menunjukkan tradisi dan budaya nasihat menasihati antara sesama manusia sesuatu yang mudah dipraktikkan. Setiap orang berhak menasihati orang lain dalam konteks memberi ajaran, petunjuk dan pengajaran yang baik. Malah, apabila seseorang mengesyorkan atau mengusulkan sesuatu yang baik juga boleh dikira sebagai agenda nasihat menasihati. Islam meletakkan aktiviti nasihat menasihati sebagai lambang persaudaraan dan persahabatan sejati yang ditandai dengan dasar keimanan. Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara." Surah al-Hujurat, ayat 10) Malah, Nabi SAW pernah bersabda, daripada Anas yang bermaksud bahawa kesempurnaan iman seseorang itu terletak di atas prinsip persaudaraan sejati sehingga dia boleh mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri. Sehubungan itu juga, Nabi SAW pernah mengaitkan bahawa agama itu terdiri atas nasihat seperti sabda baginda yang bermaksud: "Agama itu nasihat. Sahabat bertanya: Untuk siapa (wahai Rasulullah)? Baginda menjawab: Bagi Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya dan pemimpin umat Islam dan seluruh umat Islam." Nasihat menasihati boleh berlaku dalam institusi keluarga, masyarakat dan negara. Nasihat Lukman al-Hakim kepada anaknya seperti yang dirakamkan dalam surah Luqman ayat 13-19, mengandungi mesej pendidikan yang jelas kepada kita. Nasihat itu memperlihatkan keprihatinan ayah terhadap anaknya dalam kehidupan. Ia meliputi aspek hubungan hamba dengan Pencipta-Nya dan hubungan sesama hamba. Nabi dan Rasul dalam misi dakwah kepada kaum mereka juga menyampaikan nasihat supaya tunduk kepada kekuasaan yang agung dan mentauhidkan Allah. Nabi Nuh umpamanya yang didakwa sebagai sesat dan menyampaikan ajaran sesat memberitahu kaumnya, baginda adalah penyampai risalah dan amanah Allah serta pemberi nasihat dalam misi dakwahnya. Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya lalu dia berkata: Wahai kamuku sembahlah Allah, sekali-kali tiada Tuhan bagimu selain-Nya, sesungguhnya (kalau kaum tidak menyembah Allah, aku takut kamu akan ditimpa azab hari yang besar (kiamat). Pemuka dari kaumnya berkata: Sesungguhnya kami memandang kamu berada dalam kesesatan yang nyata. Nuh menjawab: Hai kaumku, tidak ada padaku kesesatan sedikitpun tetapi aku adalah utusan dari Tuhan semesta alam. Aku sampaikan kepadamu amanat-amanat Tuhanku dan aku memberi nasihat kepadamu, dan aku mengetahui dari Allah apa yang tidak kamu ketahui..." (Surah al-A`raf, ayat 59-64) Begitu juga dengan Nabi Hud yang dituduh sebagai orang bodoh dan pendusta ketika berdakwah kepada kaumnya. Baginda menjawab bahawa baginda adalah utusan Allah yang mempunyai ciri bijak pandai, mempunyai peranan sebagai penyampai amanah Tuhan dan pemberi nasihat yang boleh dipercayai. Ini dirakamkan oleh Allah dalam firman yang bermaksud: "Dan (Kami telah mengutus) kepada kaum 'Aad saudara mereka, Hud. Dia berkata: Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada Tuhan bagimu selain-Nya. Maka mengapa kamu tidak bertakwa kepada-Nya?. Pemuka yang kafir dari kaumnya berkata: Sesungguhnya kami benar-benar memandang kau dalam keadaan kurang akal dan sesungguhnya kami menganggap kamu termasuk dalam golongan orang yang berdusta. Hud berkata: Hai kaumku, tidak ada padaku kekurangan akal sedikitpun, tetapi aku adalah utusan dari Tuhan semesta alam. Aku menyampaikan amanat Tuhanku kepadamu dan aku hanyalah pemberi nasihat yang terpercaya bagimu..." (Surah al-A`raf, ayat 65-68)

Pekeliling Keselamatan Terkini PMRAM

Jumaat, 07 Mac 2008 Pihak Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) memandang berat terhadap kes-kes samun, kecurian dan peras ugut bersenjata yang menimpa sebahagian mahasiswa Malaysia sejak akhir-akhir ini. Sebahagian kes mengakibatkan kecederaan tubuh badan dan luka kesan daripada peras ugut bersenjata. Oleh itu, PMRAM meminta seluruh ahli agar lebih berhati-hati dalam memastikan tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini hasil daripada kecuaian para pelajar. Para mahasiswi Malaysia khususnya diminta agar TIDAK KELUAR PADA WAKTU MALAM tanpa ditemani oleh beberapa pelajar lelaki (musyrif) demi mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini seperti rogol dan bunuh. Oleh itu, sebagai langkah menjaga keselamatan diri individu ahli PMRAM di semua peringkat, pihak PMRAM mengharapkan setiap individu mengambil berat terhadap perkara-perkara berikut:-
1. Mahasiswi tidak dibenarkan sama sekali berada di luar rumah bermula dari waktu maghrib sehingga keesokan harinya. Sekiranya mahasiswi terdesak untuk keluar pada waktu malam, mereka wajib ditemani oleh beberapa orang pelajar lelaki (musyrif) yang ditetapkan oleh BKAN / DPM. 2. Memastikan rumah anda berkunci dari dalam sebelum anda tidur. Ini kerana ada beberapa percubaan untuk menceroboh rumah pada waktu malam ketika para pelajar sedang nyenyak tidur.
3. Dilarang membawa masuk warga arab tempatan atau asing ke dalam asrama BKAN atau rumah sewa demi keselamatan diri dan harta benda masing-masing.
4. Para mahasiswa digalakkan membawa tongkat semasa berada di luar rumah pada waktu-waktu yang sunyi seperti pada waktu malam dan selepas subuh. Ini sebagai persediaan untuk keselamatan diri jika berlaku sebarang kemungkinan yang tidak diingini.
5. Jangan melayan sebarang sapaan dan panggilan daripada bukan warga Malaysia yang tidak dikenali. Sebahagian kes peras ugut bersenjata berlaku apabila para mahasiswa pergi menemui orang asing yang memanggilnya dan menyapanya.
6. Berhati-hati dengan orang berkulit hitam. Kes seorang pelajar lelaki yang dipukul di Hayyu `Asyir selepas solat Subuh dan kes seorang pelajar lelaki yang digertak dengan sebilah pedang di Hayyu Zuhur adalah melibatkan beberapa orang lelaki berkulit hitam.
7. Jangan melalui lorong-lorong gelap. Kebanyakan kes ugut bersenjata berlaku di lorong-lorong gelap yang dilalui oleh para pelajar.
8. Jangan mempamirkan barang-barang berharga anda di hadapan orang Arab seperti telefon bimbit, duit dan laptop.
9. Para mahasiswa digalakkan agar menaiki teksi dan duduk di bahagian belakang. Ini bagi memastikan anda dapat sampai terus ke pintu rumah dan mengelakkan sebarang kemungkinan yang tidak diingini sewaktu anda berada di dalam teksi.
10. Tidak dibenarkan sama sekali mengambil wang di bank atau mesin-mesin ATM pada waktu malam. Para pelajar diminta agat tidak berseorangan semasa mengambil wang.
11. Jangan membawa wang yang banyak sewaktu anda berada di luar rumah.
12. Pelajar lelaki yang menjadi peneman para siswi (musyrif) pada waktu malam tidak digalakkan berseorangan. PMRAM menggalakkan bilangan para pelajar yang menjadi musyrif adalah lebih dari seorang dan membawa tongkat.
13. Para mahasiswa tidak digalakkan berkopiah pada waktu malam. Ini adalah bagi mengelakkan kita daripada dikenali sebagai mahasiswa Malaysia kerana kopiah adalah identiti pelajar lelaki Malaysia.
14. Utamakan nyawa anda sekiranya anda diperas ugut sama ada anda diacu dengan senjata atau tidak. Serahkan segala kepunyaan anda kepada penjenayah sekiranya keadaan terlalu mendesak. Jangan melawan.
15. Sekiranya anda berjaya melepaskan diri daripada penjenayah, sila menjerit agar dapat didengari oleh masyarakat setempat.
16. Sila simpan nombor-nombor berikut di dalam telefon bimbit anda. Hubungi pemilik-pemilik nombor berikut sekiranya perlu.
Presiden PMRAM 010-5839069 BKTD PMRAM 011-2356361
Zon Hayyu Sabi'
YDP KPP (Perlis) 010-3960323 YDP BKKIMM (Melaka) 010-6198564
YDP KPKM (Kelantan) 010-2960431 YDP KPIPM (Perak) 010-6563771
YDP BKPPPM (P.Pinang) 010-5041230
Zon Hayyu Thamin
YDP BKPJM (Johor) 010-6109675
Zon Asyir YDP MKKK (Kedah) 010-7617653 YDP BKAKLM (K.L) 010-5470398
YDP BKMIP (Pahang) 016-1921690 YDP KPT (Terengganu) 010-5007486
17. Berikut adalah tempat-tempat bahaya yang pernah berlaku kejadian samun dan ugut bersenjata.
a) Suq Sayyarat Hayyu `Asyir b) Hayyu Zuhur. c) Bawwabah 2 dan 3, Hayyu `Asyir. d) Mahattoh Gami', Hayyu `Asyir. Syari' al-Bukhari, Akhir Mahattoh Hayyu Sabi' f) Hadiqah (kawasan lapang) yang berada di `Agiba Petrol (berdekatan dengan Rumah Negeri Sembilan dan Rumah Kelantan) g) Kawasan yang berdekatan dengan Masjid Musa Ibnu Nusair h) Hadiqah Dauliyyah.
Dikeluarkan oleh: Jabatan Setiausaha Agung PMRAM 2007