14 Oktober 2008

BAGI YANG BAKAL KE UNIVERSITI AL AZHAR -Malaysiakini

Kenaikan harga pengurusan Universiti Al Azhar di bahagian pelajar agak mengejutkan warga Malaysia di sini. Dahulunya, institusi inilah yang terkenal dengan pengajian yang termurah dari segi perbelanjaan kemasukan dan belanja tahunan. Masing-masing menganggarkan berbagai tanggapan mengenai sebab-sebab kenaikan yang mendadak ini. Bahkan salah satu akhbar di Mesir mengeluarkan kenyataan tentang sistem pengurusan Al Azhar yang kurang sistematik walaupun telah dinaikkan harga pengurusan. Rungutan pelajar kerap kali kedengaran setiap kali berjumpa rakan-rakan. Masing-masing melahirkan tidak puas hati dengan pengurusan di bahagian pelajar yang masih tergendala walaupun peperiksaan sudah bermula. Ditambah pula dengan gelagat nakal pelajar bangsa arab yang cukup membosankan ketika mereka membuat urusan. Kadang kala penantian seharian untuk membuat kad pelajar menjadi sia-sia walau sudah lama menunggu. Dengan mudah sahaja pegawai terbabit menyatakan "datang esok!". Bukan sekali, bahkan berkali-kali kejadian seperti ini berlaku. Bagi anda yang bukan belajar di sini, pasti susah untuk menggambarkan keadaan yang berlaku, memandangkan pengurusan IPT di Malaysia lebih teratur dan sistematik berbanding pengurusan di sini. Agak tidak melampau jika dikatakan "bagai langit dan bumi" perbandingan pengurusan di sini dengan IPT di Malaysia. Bagi pelajar lama yang sudah bertahun-tahun di sini, kejadian seperti ini adalah perkara biasa. Namun, kenaikan mengejut harga pengurusan bahagian pelajar ini yang dikatakan agak luar biasa berbanding tahun-tahun yang lalu. Walau bagaimanapun, catatan ini bukan untuk melemahkan semangat mereka yang ingin datang ke Mesir. Bahkan ini sebagai persiapan diri supaya anda lebih bersiap sedia dengan kesabaran dan keikhlasan yang tinggi sebelum menjejakkan kaki ke bumi para nabi ini. Mungkin pengurusan di bahagian pelajar agak memboringkan namun, ianya dapat dicari ganti dengan keilmuan para ulamak yang dikagumi bagi mereka yang benar-benar ingin mengaut ilmu pengetahuan di sini. Bahkan lebih ramai lagi ulamak-ulamak di merata-rata tempat yang sanggup mencurah keilmuan mereka secara percuma kepada yang menginginkan. Cuma diri sendiri sahaja penentu sama ada mahu ataupun tidak. Bahkan, sepatutnya bukan nilai harga pengurusan yang tinggi yang patut dijadikan sebagai alasan. Kerana agak berbaloi dengan thaqafah yang dicurahkan oleh pensyarah-pensyarah di kelas pengajian. Yang pastinya, ikhlaskan niat dan kembali kepada matlamat utama anda ke Universiti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan