18 Oktober 2008

Murahnya Aqidah Umat Islam Masa kini-Malaysiakini

KUALA LUMPUR: Hanya mahu mendapatkan wang mudah, seorang wanita sanggup menjual agama dengan mengisytiharkan dirinya murtad melalui SMS untuk memperdaya orang ramai supaya memberi derma kepadanya. Difahamkan, wanita terbabit menghantar SMS secara rambang kepada pemilik telefon bimbit kononnya terpaksa keluar daripada Islam kerana kesempitan wang dan tekanan keluarga. Melalui SMS yang disebarkan itu, dia cuba menagih simpati orang ramai membantunya menghulurkan wang sara hidup bagi menyelamatkannya daripada memeluk agama lain. Tindakan itu ternyata berjaya memperdaya beberapa pemilik telefon bimbit yang sanggup memberikan wang kepadanya semata-mata bagi menyelamatkan akidahnya. Ini didedahkan Timbalan Pengerusi Pertubuhan Sahabat Insan dan Iman Malaysia (Sidim), Ahmadi Baharudin, selepas menerima aduan berhubung penyebaran SMS berkenaan yang diterima beberapa rakan, baru-baru ini. Menurutnya, wanita terbabit menghantar mesej dengan kata-kata ‘saya kecewa dengan orang kita (Islam) tidak boleh membantu saya yang hidup susah. Tapi bila saya minta wang dari penganut agama ******** mereka cepat membantu. Saya cabar anda untuk bantu saya jika tidak mahu saya keluar agama Islam. “Sebaik membaca SMS itu, saya terkejut dan tak sangka wanita berkenaan sanggup mengugut mahu keluar Islam hanya kerana kesempitan wang,” katanya.Selepas menerima SMS itu, dia cuba membantu, namun wanita itu enggan mengangkat panggilan telefon.“Apa yang pelik, dia menjawab SMS yang dihantar. Melalui SMS yang dibalas, dia memberitahu mempunyai seorang anak dan hidup dalam kesusahan. “Malah, tindakan suaminya menghilangkan diri turut menyebabkan hidup semakin terhimpit,” katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro, semalam.Ahmadi kemudian bertanya mengenai masalah sebenar dan terkejut apabila wanita itu mencemuh dan mempersoalkan Islam. “Dalam SMS itu, dia menyoal mengapa begitu susah untuk mendapatkan bantuan orang Islam sedangkan penganut agama lain mudah memberi bantuan kepadanya.“Dakwanya, dia menemui beberapa orang Islam untuk meminta bantuan, tapi tidak dilayan dan berbeza sekali daripada layanan diterimanya daripada penganut agama ******* yang didakwa lebih prihatin membantunya. “Wanita itu seterusnya mendakwa sedang berurusan dengan seorang pendakwah agama ******* untuk mendapatkan bantuan kewangan,” katanya.Daripada SMS itu juga, wanita itu mencabar Ahmadi dengan menyebut “Kalau betul dan ikhlas membantu dan prihatin sesama umat Islam, bertindaklah segera membantunya sebelum mengambil keputusan keluar Islam dan menjadi murtad.” Wanita berkenaan turut menyertakan sekali nombor akaun bank untuk memudahkan urusan sumbangan kewangan kepadanya kononnya untuk mengelakkannya murtad.Namun, kata Ahmadi, selepas disiasat penghantaran SMS seperti itu satu lagi bentuk penipuan dengan menggunakan agama sebagai modal memperdaya mangsa. “Kejadian itu amat dikesalkan jika individu yang cuba mengutip wang daripada orang ramai itu orang Islam sendiri. Perbuatan itu berdosa besar dan sesat.“Dia tidak sepatutnya mempermainkan agama Islam dan perlu segera bertaubat. Segeralah melakukan solat taubat nasuha dan mengucap dua kalimah syahadah,” katanya.Menurutnya, memeluk agama Islam ialah satu perjanjian atau akad dan seseorang yang sudah berjanji tidak boleh sewenang-wenangnya keluar sesuka hati. ulasan: Betapa mudah dan murahnya aqidah umat islam pada masa kini dengan mudah diperdaya dan ditipu oleh golongan yang jahil murakkab. Nak elak mudah saja, laksanakan islam yang sebenar dalam kehidupan insya Allah selamat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan