13 Oktober 2008

AL-KISAH DATUK SHAH RUKH KHAN

BERKOCAKLAH sedikit meja hiburan apabila Shah Rukh Khan dianugerahkan gelaran 'Datuk'. Yang tanya itu pun bukan kalangan artis tetapi pembaca setia akhbar Berita Harian khususnya yang gemarkan ruangan sisipan Hip. Mereka bertanya teman, apa kesnya Shah Rukh Khan dianugerahkan gelaran tinggi itu. Kata kalangan ini lagi, apakah sumbangan aktor terkenal Bollywood itu dalam dunia hiburan kita sehingga melayakkan dirinya untuk bergelar ‘Datuk’? Kalau setakat gemar datang Melaka, kata mereka, rasanya artis kita pun ramai yang gemar pergi Melaka, makan ikan bakar, melawat A Farmosa dan tempat bersejarah di Melaka. Maksud mereka, biarlah alasan untuk memberi anugerah itu nampak logik dan bukan jadi bahan senda dan ketawa masyarakat. Mereka juga berpendapat ramai lagi artis kita yang layak diberi anugerah itu seperti Ratu Jazz Sheila Majid, aktres tersohor negara Azean Irdawaty dan juga sifu muzik M Nasir. Mereka juga bimbang kalau aktor seperti Shah Rukh Khan pun mesti dipanggil ‘Datuk’, barangkali tak mustahil Amitabh Bachan pula akan dapat gelaran ‘Tan Sri’ atau pun ‘Tun’. Teman katalah juga, nak dapat gelaran ‘Tan Sri’ atau ‘Tun’ perlu jadi ‘Datuk’ dulu. Tetapi kata mereka, dalam situasi sekarang ini macam-macam boleh berlaku macam cempedak tiba-tiba jadi nangka! Kalau tanya teman, memanglah tak ada jawapannya kerana pertamanya bukan teman yang bagi gelaran itu dan keduanya bukan hak teman nak tentukan siapa layak dan siapa pula yang tidak. Bukan kerja teman pun. Itu kena tanya pihak yang beri gelaran itulah. Tetapi teman faham benarlah sentimen kalangan yang bertanya soalan itu kerana kalau ikutkan siapalah Shah Rukh Khan itu. Bukan rakyat Malaysia pun. Bukan macam Michelle Yeoh yang juga dianugerahkan dengan gelaran ‘Datuk’. Pelakon yang semakin galak mencipta nama di Hollywood itu sekurang-kurangnya anak kelahiran Ipoh, Perak. Shah Rukh Khan? Barangkali dia sekadar menjadi minat mereka yang kaki wayang Hindustan dan kegilaan gadis remaja dan wanita separuh umur yang berpendapat dia seorang aktor yang kacak gila. Faktor kacak ini pun subjektiflah kerana ada yang kata tak handsome manapun Shah Rukh Khan itu. Rupanya lebih kurang macam pekerja Bangla. Jadi, kalangan yang tak sependapat dengan mereka yang mengatakan pelakon itu kacak, naik hairan apabila ada yang tergila-gilakannya. Itu teman tak masuk campurlah. Suka hatilah kerana cita rasa masing-masing. Kalau ikutkan mata teman, aktor Hollywood, Brad Pitt paling kacak. Suatu ketika dulu Robert Redford dan Michael Douglas. Bagaimanapun tetap kacak di mata teman adalah Rosyam Nor walaupun ada yang kata Rosyam sudah tak handsome. Tetapi bagi teman dia tetap handsome. Sekarang lagilah nampak kacak sebab perangai dan budi pekertinya memang terpuji. Berbalik kepada soal gelaran tadi, hakikatnya begitulah dalam tempoh 10 tahun ini. Gelaran ‘Datuk’ dan ‘Datin’ sudah menjadi begitu lumrah dan bunyi murah pula sehinggakan ada yang kata kalau baling batu, pasti ada yang terkena kepala si Datuk dan si Datin. Bagaimanapun teman begitu pasti ada yang tidak sependapat kerana bagi sesetengah orang gelaran itulah yang menjadi laluan mudah untuk banyak perkara terutama soal pengaruh, kuasa, imej dan bisnes. Kalau dulu orang tak berapa hendak peduli tetapi dengan gelaran, orang pasti buka mata. Ya Datuk, Ya Datin! Kebanyakannya dapat layanan VIP. Duduk pun di main table saja. Tak payah beratur, semuanya dapat laluan istimewa. Ibaratnya macam hari-hari lalu red carpet! Tetapi bagi teman, gelaran itu tentunya datang dengan tanggungjawab. Tanggungjawab untuk memastikan perilaku yang mulia agar setanding dengan gelaran yang digalas itu. Ia bukan sangat soal hendak dapat layanan VIP atau duduk di main table saja dan menaiki kereta atau rumah mewah. Sudahlah teman pun tak hendak mengomel panjang mengenai perkara ini bimbang nanti ada yang sensitif pula. Atau ada yang akan kata, teman ni bunyinya macam anggur masam kerana tak dapat gelaran apa-apa. Hakikatnya kalau Aiman tak kisah, teman pun tak kisah juga mengenai gelaran kerana teman lebih senang dengan kehidupan teman yang santai bersahaja. Nak naik teksi pun tak siapa nak peduli!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan