Antara kesulitan yang dialami oleh persatuan dalam melaksanakan gerak kerja ialah kekurangan tenaga kerja bagi menjayakan projek. Seringkali program-program yang dianjurkan oleh persatuan digerakkan oleh tenaga-tenaga yang sama.
Bukan disebabkan oleh ketiadaan pelapis untuk menggantikan tugas, tetapi disebabkan keengganan pelajar untuk menerima tanggungjawab yang diberikan kepada mereka. Sekiranya diteliti dari pelbagai sudut, pasti akan menemui bahawa gerak kerja yang dijalankan dalam persatuan akan memberikan manfaat yang amat berguna.
Sebaik sahaja tiba musim cuti, masing-masing selalunya mempunyai agenda tersendiri bagi memenuhi masa yang terluang. Tetapi, selalunya perkara-perkara yang diisi lebih kepada keseronokan dan kepuasan diri dengan peningkatan waktu tidur, berbual kosong, bermain internet atau game, aktiviti sukan yang melampau, travel yang tak berkesudahan dan sebagainya.
Sedangkan keterlibatan diri dalam persatuan lebih kepada meningkatkan kemahiran dan jati diri dalam segenap sudut. Di samping melatih diri dalam berorganisasi, bahkan turut menjanakan thaqafah dengan program-program ilmiah yang dianjurkan oleh pihak persatuan.
Dengan aktiviti yang lebih kepada kerjasama antara ahli, akan mengeratkan lagi silaturrahim di samping memudahkan gerak kerja dalam menjayakan sesuatu program. Selalunya, kerjasama di dalam persatuan adalah secara berterusan dari bermulanya perlaksanaan sesuatu program sehinggalah ianya berakhir.
Sikap tolong-menolong dapat dilihat dengan lebih jelas bahkan turut menghasilkan kemesraan dan suasana harmoni. Ukhuwah inilah yang akan diikat sehingga tamat pengajian dan sudah semestinya akan saling ziarah-menziarahi walaupun masing-masing sudah berumahtangga.
Berapa ramaikah yang berani dan tenang apabila berhadapan suatu jemaah?
Selalunya diri akan berasa gementar dengan darah yang gemuruh sehingga menyebabkan tubuh bergigil apabila berdepan dengan hadirin yang ramai.
Tidakkan dengan melibatkan diri di dalam persatuan akan sentiasa berada di dalam situasai begini? Sudah pasti dengan penglibatan yang berterusan akan berjaya mengikis sedikit demi sedikit ketakutan apabila berdepan dengan hadirin yang ramai. Bak kata pepatah melayu "alah bisa, tegal biasa". Dengan keterlibatan inilah akan menambahkan lagi keyakinan di dalam diri untuk menghadapai sebarang kemungkinan yang berlaku.
Oleh yang demikian, jelaslah sebenarnya tenaga mahasiswa di dalam persatuan amat-amat diperlukan bagi meringankan beban yang dipikul oleh sahabat yang lain. Siapa lagi jikalau bukan anda sahaja yang mampu menolong mereka...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan