25 Ogos 2008

BOTOX MENURUT PANDANGAN ISLAM

MENIPU adalah haram, semua orang tahu ia termasuk dosa besar, bukannya dosa kecil. Yang menipu biasanya seronok saja tetapi yang tertipu malu, hati terguris, perasaan tercalar dan kerana itulah Islam awal-awal lagi mengharamkannya.Menipu pula banyak jenisnya, ada yang menipu duit, tipu janji maka jadilah janji palsu. Kata janji hendak kahwin alih-alih kahwin dengan orang lain. Kata nak bayar hutang tetapi lesap tak nampak ‘batang hidung’.
Dalam banyak-banyak menipu, yang kita hendak bincang kali ini ialah tipu wajah, tipu umur dengan menutup dan mengubah bentuk wajah dengan cara yang diharamkan oleh Islam. Yang saya maksudkan ialah menipu wajah dengan memakai susuk dan pembedahan plastik.Jika hendak menjadi lebih cantik, kita sanggup mengikut cara hidup materialistik barat yang sanggup mengorbankan berapa saja jumlah duit supaya berubah bentuk wajah.Hidung kemek diangkatnya, mata sepet dibulatkannya, tulang muka ditinggikan dengan pembedahan plastik. Semua ini termasuk yang dilaknat Allah dan Rasul-Nya, kerana di dalamnya terkandung penyeksaan dan perubahan bentuk ciptaan Allah tanpa ada suatu sebab yang mengharuskan untuk berbuat demikian, melainkan hanya untuk pemborosan dalam hal-hal yang bersifat ‘show’ (pertunjukan) dan lebih mengutamakan bentuk, bukan inti, lebih mementingkan jasmani daripada rohani.Bagaimanapun, Syeikh Dr Yusof al-Qaradawi menyebut: “Adapun kalau ternyata orang tersebut mempunyai cacat yang kiranya menjijikkan pandangan, misalnya kerana ada daging tambah yang boleh menimbulkan sakit jiwa dan perasaan, maka ketika itu adalah tidak berdosa orang untuk berubat selagi dengan tujuan menghilangkan kecacatan atau kesakitan yang boleh mengancam hidupnya. Kerana Allah tidak menjadikan agama buat kita ini dengan penuh kesukaran.” (Al-Halal wal Haram Fil Islam )
Islam bukan sahaja mengharamkan penipuan dan segala mak neneknya malah syariat turut mengharamkan perubahan yang memiliki unsur-unsur penipuan sama ada menerusi pembedahan plastik atau penggunaan produk kosmetik botox yang menukarkan wajah yang tua kepada muda. Tujuan syariah dalam hal larangan penipuan seperti ini boleh difahami dengan jelas dari hadis Rasulullah maksudnya: “Tukarlah ia (warna rambut, janggut dan misai ) dan jauhilah dari warna hitam.” (Sahih Muslim) Hadis larangan ini menunjukkan kepada larangan penipuan umur. Ini kerana uban yang dihitamkan bertujuan kelihatan lebih muda. Justeru, tidak kira dari kalangan lelaki mahupun perempuan, ia dilarang oleh Islam. Hal ini samalah seperti botox yang biasanya digunakan oleh wanita atau lelaki yang kulitnya sudah kelihatan tanda ketuaan, bagi mengekalkan rupa mudanya, maka mereka melakukan botox dan lebih teruk lagi iaitu susuk.
Adapun pemakaian susuk, ia dianggap lebih berat kerana ia biasanya melibatkan ilmu sihir. Susuk juga dipakai di tempat tertentu seperti muka, badan, malah kemaluan dan jika ada yang mendakwa menggunakan ayat al-Quran, jelas bertentangan dengan Islam.Melihat kepada apa yang didakwa (menggunakan ayat al-Quran), ia sama seperti bomoh melakukan jampi tetapi mendakwa menggunakan ayat al-Quran. Berkenaan pembelajaran ilmu sihir, al-Quran mengatakan: “Mereka belajar suatu ilmu yang membahayakan diri mereka sendiri dan tidak bermanfaat buat mereka.” (al-Baqarah: 102) Rasulullah menilai sihir sebagai satu daripada dosa besar yang boleh menghancurkan sesuatu bangsa dan dapat merendahkan darjat pelakunya di dunia ini lagi.Justeru itu sabda Rasulullah maksudnya: “Jauhilah tujuh perkara besar yang merosakkan. Para sahabat bertanya: Apakah tujuh perkara itu, wahai Rasulullah? Jawab Nabi, iaitu:
1) menyekutukan Allah;
2) sihir;
3) membunuh jiwa yang oleh Allah diharamkan kecuali kerana hak;
4) makan harta riba;
5) makan harta anak yatim;
6) lari dari peperangan;
7) menuduh perempuan-perempuan baik, terjaga dan beriman” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sebahagian ahli fiqah menganggap, sihir itu bererti kufur atau membawa kepada kufur. Sementara ada juga yang berpendapat ahli sihir itu wajib dibunuh demi melindungi masyarakat dari bahaya sihir. Al-Quran juga telah mengajar kita supaya kita berlindung diri kepada Allah dari kejahatan tukang sihir, iaitu firman-Nya, bermaksud: “(Dan aku berlindung diri) dari kejahatan tukang meniup simpul.” (al-Falaq: 4) Peniup simpul satu cara dan ciri yang dilakukan ahli-ahli sihir. Dalam salah satu hadis dikatakan: “Barang siapa meniup simpul, maka sungguh ia telah menyihir dan barang siapa menyihir maka sungguh dia telah berbuat syirik.” (Riwayat Thabarani) Susuk itu ada persamaannya dengan peniup simpul ini, iaitu dijampi dan kemudian susuk dimasukkan ke dalam tubuh.
Jelas, bahawa pemakaian susuk mampu mempengaruhi seseorang itu mempercayai ada kuasa lain selain kuasa Allah. Ini juga diharamkan melalui hadis yang sahih sebagaimana pengharaman kepercayaan kepada tangkal dan menggantungnya. Pemakai susuk mula percaya dan seterusnya bergantung kepada susuk dalam kehidupan hariannya. Ketika itu, jelas mereka dalam keadaan syirik dan menanggung dosa besar.Islam tidak menghalang umatnya kelihatan cantik, malah menggalakkan umatnya menghias diri, namun perlu mengikut cara dibenarkan dan tidak membabitkan perbuatan syirik seperti memakai susuk mahupun pembedahan plastik dan botox.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan