25 Ogos 2008

10 PERATUS SAJER YANG BANTAH

POLEMIK yang tercetus di Universiti Teknologi Mara (UiTM) berikutan cadangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berhubung pembukaan sepuluh peratus tempat kepada mahasiswa bukan Bumiputera menimbulkan reaksi pelbagai pihak sekali gus menggegarkan industri pendidikan negara.Selain berpendapat ada agenda di sebalik cadangan itu serta mengaitkannya dengan politik tanah air, isu itu dilihat sebagai satu 'penderaan dan tekanan' kepada mahasiswa serta warga universiti terbabit sekali gus menggugat kelangsungan proses pencarian ilmu.
Meskipun ada berpendapat cara itu mampu membuka pintu kepada mahasiswa bersaing dan menjana perkongsian idea, ramai tidak bersetuju dan berpegang pada pendirian, UiTM perlu dipertahankan demi menjaga kepentingan hak serta keistimewaan Bumiputera.Mengulas isu terbabit, Penolong Naib Canselor Komunikasi Korporat UiTM, Profesor Madya Dr Ahmad Redzuan Abd Rahman, berkata institusi pendidikan seharusnya bersih daripada propaganda pihak tertentu bagi menjamin matlamat asal tidak tergugat.Menurutnya, mencampur aduk institusi itu dengan isu remeh bagi kepentingan pihak atau individu lain bukan saja menjadikan pelajar sebagai mangsa tapi mencetuskan fenomena berbeza."Berbeza di sini maksudnya, apabila tujuan utama pelajar ini diganggu, secara tidak langsung mereka sukar menumpukan perhatian pada pelajaran.
"Apatah lagi jika disogokkan dengan sesetengah isu sensitif sedangkan setiap anasir tidak sihat tidak boleh dibebankan pada mereka mahupun institusi pendidikan. "Ia perlu bersih dan bersifat telus demi menjamin kelangsungan bangsa pada masa depan."Jika institusi dipolitikkan atau ditekan dengan isu bersifat negatif, apa akan berlaku? Sudah tentu ilmu mahupun misi gagal serta lari daripada matlamat sebenar. Itukah yang dimahukan pihak terbabit?" katanya.Isu UiTM mengundang kecaman pelbagai pihak selain melukakan hati warga universiti Bumiputera terbesar di negara ini. Ia turut dianggap menggugat hak orang Melayu sepertimana tertakluk pada artikel 153 yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.
Dr Ahmad Redzuan berkata, cadangan memberi kuota sepuluh peratus kepada bukan Bumiputera bukanlah sesuatu yang ikhlas namun lebih pada desakan pihak ketiga yang tidak mahu melihat Bumiputera mempunyai kelebihan.Menurutnya, dalam konteks ini, pembukaan kuota bukanlah jalan terbaik kerana pelajar Bumiputera juga perlu mempunyai satu institusi pendidikan yang diberi mandat melahirkan graduan mengikut acuan sendiri.Pada masa sama, beliau mengakui kaum lain juga memahami UiTM diwujudkan khas bagi Bumiputera ."Kaum lain tahu kedudukan UiTM dan mereka tidak persoalkannya. Yang dicadangkan ini adalah agenda politik yang tujuannya mahu beransur-ansur melemahkan kekuatan Melayu, secara fizikal atau rohani."Malah saya percaya, kaum bukan Melayu tidak memerlukan UiTM sebagai tempat belajar dan jika diberi pun mereka tidak akan masuk, seperti yang terjadi pada Maktab Rendah Sains Mara."Begitu juga yang menimpa Sekolah Wawasan yang dicadangkan tidak lama dulu. Orang Melayu menerima tetapi kaum bukan Melayu menentang perkongsian yang dicadangkan melalui sistem sekolah berkenaan.
"Justeru, itu hanya propaganda tapi dikesali kerana membabitkan institusi pendidikan yang seharusnya tidak diganggu," katanya.Beliau juga menolak andaian, pelajar UiTM akan gagal bersaing serta tidak kompetitif jika institusi itu tidak membuka pintunya."UiTM sudah membuktikan kejayaannya mendidik, melahirkan pelajar cemerlang serta menguasai pelbagai bidang kerjaya sejak ditubuhkan, justeru tidak relevan mempersoalkan kewibawaannya."Seharusnya, masyarakat atau pihak terbabit melihat UiTM dengan bangga kerana institusi ini berjaya melahirkan graduan Bumiputera berkualiti dan menjadi aset negara, bukan mempertikaikan kemampuannya. Malah pada pendapat saya, tidak wujud perkataan gagal bersaing," katanya. Beliau berkata pelajar Bumiputera lebih berkeyakinan apabila bersaing sesama sendiri dengan mengikut sistem universiti yang mengasuh mereka supaya menyedari peranan sebagai rakyat Malaysia.
Aktiviti seperti debat, seni, teknologi maklumat, inovasi, penyelidikan serta sukan yang membabitkan pelbagai bangsa dan negara juga menjadi platform membuktikan pelajar UiTM mampu bergaul serta menyesuaikan diri."Ini juga membuktikan mereka diterima, jadi apakah relevan jika pihak terbabit menyatakan pelajar UiTM tidak berdaya saing mahupun memerlukan sokongan bangsa lain untuk maju?"Saya berpendapat, isu ditimbulkan hanya demi kepentingan pihak tertentu dan amat menyedihkan. Seharusnya, ketenteraman institusi pendidikan tidak diganggu. Biarkan mereka belajar dengan tenang tanpa disogok atau dijadikan mangsa sesuatu kemelut," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan