13 Januari 2009

Perasmian muktamar majlis amal islami -Malaysiakini

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan merasmikan muktamar kebangsaan Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).Muktamar sehari bertemakan "Bersatu Membela Islam" anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) itu antara lain bertujuan membincangkan mengenai isu semasa dan permasalahan sosial akibat perkembangan globalisasi. Turut hadir pada majlis yang dihadiri kira-kira 3,000 peserta dari badan bukan kerajaan (NGO) Islam di seluruh negara itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Yang Dipertua Yadim Datuk Mohd Nakhaie Ahmad.Antara kertas kerja yang dibentangkan bertajuk "Peranan Pertubuhan Islam Dalam Memartabatkan Islam di Malaysia" oleh Presiden Jemaah Islah Malaysia (JIM) Zaid Kamaruddin. Terdahulu pada ucapan pembukaan, Mohd Nakhaie yang juga pengerusi MAIM berkata NGO Islam perlu sentiasa bertindak adil dan matang bukan hanya untuk orang Islam tetapi juga untuk manusia keseluruhannya.Masyarakat Islam tidak akan mampu bergantung harap sepenuhnya kepada parti-parti politik semata-mata tanpa kekuatan lain iaitu NGO Islam dalam menentukan masa depan rakyat seluruhnya, katanya. sumber : BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan