Persatuan Ulama Malaysia (PUM) berharap pemimpin Islam sama ada daripada pihak kerajaan atau pembangkang lantang menyuarakan bantahan dan kecaman terhadap kekejaman Israel ke atas penduduk Palestin di Gaza."Jika kita tidak membela nasib umat Islam kita sendiri, siapa lagi yang harus diharapkan?" tanya Setiausaha Agung PUM Dr Roslan Mohd Nor menerusi satu kenyataan, Isnin.
Beliau berkata PUM amat kesal dan sedih dengan tindakan Israel yang terus membedil serta menyerang Gaza dengan menggunakan bom kimia dan mencerminkan Israel berniat untuk menghapuskan penduduk Palestin dari bumi mereka.Dr Roslan turut menggesa umat Islam dan para pemerintah negara Islam agar kembali mengukuhkan diri dengan mematuhi ajaran Islam dan bersatu menegakkan keadilan di negara mereka sendiri dan dalam isu antarabangsa agar dimenangkan oleh Allah S.W.T. dalam perjuangan mereka.
PUM menyeru rakyat seluruh dunia, termasuk Amerika, mendesak kerajaan mereka dan pimpinan politik yang dipergunakan oleh rejim Zionis serta golongan pelampau Kristian agar menamatkan segera tindakan keganasan kerajaan negara mereka bagi mempertahankan hak dan nyawa manusia yang tidak berdosa.
"Penganut agama Islam, Kristian dan agama-agama lain perlu bekerjasama membanteras keganasan individu dan negara, penjajahan dan segala bentuk kejahatan bagi menyebarkan keadilan, keamanan, kesejahteraan, dan persaudaraan sesama manusia," katanya.PUM juga, katanya menyokong tindakan kerajaan membawa usul mengutuk kekejaman Israel ke atas penduduk Palestin di Gaza dalam Sidang Khas Parlimen hari ini.
Dr Roslan berkata sokongan padu yang diberikan oleh Sidang Khas Parlimen serta parti politik pembangkang dan penyokong kerajaan itu satu tindakan berani yang harus dipuji dan bersandarkan kepada kecaman ke atas kezaliman yang dilakukan oleh rejim Zionis ke atas rakyat Palestin."Sokongan padu yang diberikan oleh anggota Parlimen menunjukkan kesepaduan suara rakyat Malaysia dalam mengecam dan mengutuk tindakan yang tidak berperikemanusiaan," katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengusulkan kepada Dewan Rakyat supaya Malaysia menggesa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menubuhkan dengan serta-merta satu tribunal jenayah antarabangsa untuk Palestin bagi menyiasat dan mendakwa penjenayah perang Israel yang disyaki terlibat dengan kekejaman dan keganasan ke atas Palestin.
sumber : BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan