18 November 2008

PRISMA KELUARAN KELIMA DAH TERBIT-Malaysiakini

Badan Penerangan dan Penerbitan (BPP) PMRAM menerbitkan risalah PRISMA bagi bilangan kelima untuk sesi ini dengan memuatkan beberapa berita ringkas yang berkaitan aktiviti PMRAM. Anggota Badan Pengurus PMRAM, Ustaz Muhammad Abdul Malik Abdul Karim berkata, pihaknya tetap mengeluarkan risalah untuk sebaran umum walaupun web rasmi PMRAM telah beroperasi. "PMRAM tidak boleh bergantung kepada web semata-mata kerana dengan penyebaran risalah, kesannya lebih dirasai terutama bagi mereka yang sukar melayari web PMRAM, dengan penyebaran risalah ini sedikit sebanyak akan memberi maklumat kepada ahli," ujar beliau. Menurut beliau, dengan cetakan antara 400 hingga 500 naskhah pada setiap keluaran, pihaknya tidak mampu menyampaikannya kepada semua ahli PMRAM yang mencapai angka ribuan kini. "Walau bagaimanapun pihaknya cuba mengedarkan dengan jumlah yang terhad kepada seluruh BKAN dan DPM. "Jadi kita amat mengaharpkan agar ahli dapat menghargai setiap helaian PRISMA yang dikeluarkan kerana ia adalah antara sebaran PMRAM," ulas beliau lagi. PRISMA diterbitkan oleh Unit PRISMA yang diletakkan di bawah Urusetia Penerangan Umum (UPU) di bawah Badan Penerangan dan Penerbitan PMRAM dan diedarkan secara percuma. Unit lain yang berada di bawah BPP ialah WARTA (majalah berkala), Unit Web, PMRAM Multimedia Centre (PMC) dan Kem Latihan Penulis (KELAP) selain Urusetia Penerangan Umum (UPU).