18 November 2008

BKSAM lancar Islamic Circle-Malaysiakini

13 November-Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) telah melancarkan Islamic Circle (IC) peringkat BKASM. Program di bawah Lajnah Dakwah dan Tarbiah itu telah dirasmikan oleh anggota Badan Pengurus PMRAM, Ustaz Muhammad Abdul Malik Abdul Karim yang juga Ketua Badan Penerangan dan Penerbitan PMRAM di Dewan Darul Ehsan, Rumah Selangor. Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat subi Al-Quran oleh Ustaz Khairullah diikuti ucapan alu-aluan oleh Yang Dipertua BKASM, Ustaz Abdul Aziz Akhimullah Roslan seterusnya ucapan perasmian.Dalam ucapan perasmiannya, Ustaz Abdul Malik yang juga Badan Pengurus angkat bagi Selangor mengingatkan kepentingan usrah yang seharusnya diambil berat oleh semua. Ujar beliau, selain untuk berkenal-kenalan, matlamat usrah adalah lebih besar dari mengadakan perhimpunan atau ceramah. "Matlamat untuk mengenali, memahami dan akhirnya bantu membantu sepertimana yang kita tahu rukun usrah (taaruf, tafahum dan takaful) itu akan lebih dapat direalisasikan dalam kelompok atau pertemuan yang kecil seperti usrah," jelas beliau lagi. Beliau turut kecewa dengan sikap sesetengah pihak yang mengkritik manhaj usrah yang disusun oleh PMRAM. "Kita akui PMRAM ada kelemahan yang kita baiki dari semasa ke semasa. Sebab itu baru-baru ini kita baru selesai mengadakan Simposium Nuqaba'. Tujuannya ialah bagi meningkatkan mutu usrah dan naqib kita," ujar beliau. Tambah beliau, bagi mereka yang tidak berpuas hati dnegan manhaj yang disusun, seharusnya bersikap lebih telus sama ada berbincang dan memberikan cadangan dan pandangan yang lebih baik kepada pihak PMRAM. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pegawai Pembantu Kewangan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), En.Daud Jamil, Yang Dipertua BKASM. Ustaz Abdul Aziz Akhimullah Roslan dan Ketua Jabatan Nuqaba' BKASM, Ustaz Norhan Hamsi. Majlis berakhir dengan pelancaran kumpulan usrah ikhwah dan akhawat serta pembahagian fail usrah kepada fasilitator kumpulan sebagai gimik pelancaran yang disampaikan oleh En.Daud Jamil.