22 Oktober 2008

Nazrey Johani di Konsert Apresiasi Graduan

Artis jemputan, Nazrey Johani hari ini (21 Oktober) telah bersama-sama mahasiswa dan mahasiswi di kawasan Sabie' dalam program ramah mesra dan promosi Kamus Al-Miftah serta Konsert Apresiasi Graduan. Majlis berlangsung di dua tempat iaitu zon Sabie dan zon 'Asyir. Zon Sabie berlangsung di Rumah Perak jam 4 petang manakala di zon 'Asyir di Rumah Selangor jam 7 malam. Ia secara tidak langsung adalah sebagai sesi pertemuan beliau bersama mahasiswa sebelum persembahan beliau di konsert tanggal 22 Oktober ini. Majlis di Rumah Perak itu turut dihadiri oleh Yang Dipertua Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM), Ustaz Mohamad Mujahid Mohamed Fadzil. Majlis yang hampir sama juga berlangsung di Rumah Selangor dengan sambutan yang amat menggalakkan dari warga BKASM. Majlis bermula selepas solat Isyak itu dimulakan dengan ucapan alu-aluan Ketua Badan Penerangan dan Penerbitan PMRAM, Ustaz Muhammad Abdul Malik Abdul Karim yang juga pengarah Konsert Apresiasi Graduan. Kemudian diikuti ucapan alu-aluan Pegawai Pembantu Kewangan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Encik Daud Jamil diikuti Pengurus I Al-Azhar Media, Ustaz Khairi Zainudin. Dalam ucapan itu, beliau turut menceritakan hasrat serta keazaman beliau hingga mengambil masa beberapa tahun bagi menghasilkan Kamus Al-Miftah itu. Ucapan terakhir dari Nazrey Johani yang turut menyelitkan dengan beberapa rangkap lagu dengan suaranya yang merdu. Beliau turut mengiklankan laman web beliau yang boleh dilayari iaitu: www.sahabatnazrey.com.my atau www.nazreyjohani.com. Pihak PMRAM mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada En.Daud Jamil serta pihak Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) atas kesudiaan menyediakan tempat bagi promosi malam ini. Acara akhir bagi Nazrey Johani malam ini ialah mengadakan wawancara dengan stesen radio Qommunity.com di Hayyul 'Asyir yang dimiliki oleh individu mahasiswa dari negara Indonesia. Wawancara hampir sejam itu dapat didengari secara langsung melalui internet.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan