26 September 2007

Kembali kepada Islam untuk elak kisah Nurin Jazlin berulang

Kira-kira dua tahun lalu, seorang bapa pernah memberitahu, hidupnya sentiasa di dalam keadaan "takut" dan "risau". Bapa ini yang menetap di Kampung Pandan Dalam, Kuala Lumpur mempunyai lima orang anak perempuan dengan yang sulung berusia 15 tahun dan yang bungsu berusia tujuh tahun. Pada ketika itu, kesemua anaknya masih bersekolah samada menengah mahupun sekolah rendah. Kedua ibu-bapa ini bekerja di sektor swasta. Dia memberitahu, hidupnya sentiasa takut dan risau dengan keadaan lima orang anak perempuannya yang bersekolah ini. Hampir setiap waktu, dia akan menghubungi rumah samada anaknya sudah berada di rumah ataupun tidak. Dia terlalu bimbang dengan keselamatan anak-anaknya ini. Katanya, hatinya akan berdebar walaupun anaknya keluar berjalan kaki secara bersendirian walaupun tidak sampai 500 meter dan di waktu siang hari. Selain itu, dia juga terlalu bimbang dengan tahap sosial anak-anak remajanya itu. Dia cukup yakin "peer group" boleh mempengaruhi tingkah laku anaknya ini jika dia terleka seketika. Dalam isu yang lain, seorang pakar motivasi pernah memberitahu dia menghadapi kes yang mana seorang remaja perempuan yang bersopan santun, berbudi bahasa dan dalam lingkungan keluarga bahagia telah dirogol kerana tidak melayan seorang lelaki yang cuba mengurat dirinya itu. Keluarga dan remaja tersebut dikatakan "trauma" dengan insiden ini memandangkan kehidupan mereka yang cukup bahagia dan patuh dengan ajaran agama. Bukti tahap sosial masyarakat makin buruk Akhirnya isu yang terbaru dan disifatkan suatu tragedi kepada tahap sosial masyarakat kini adalah kematian tragis seorang kanak-kanak Nurin Jazlin Jaziman pada 17 September 2007 yang lalu. Gadis yang berusia lapan tahun dan pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak yang di laporkan hilang pada 20 Ogos 2007 lalu ditemui mati dalam sebuah beg pakaian sukan di Taman Petaling Jaya Utama, Petaling Jaya. Dia menjadi mangsa penderaan seksual melampau! Pada 2003, seorang kanak-kanak Nurul Huda Abdul Ghani,10 tahun ditemui mati selepas dicekik dan dirogol di Kampung Pekajang, Tanjung Kupang, Gelang Patah, Johor. Pada 8 Januari 2004, satu lagi kes yang membabitkan kanak-kanak Harirati Saridi ditemui mati dan dirogol ketika dalam perjalanan ke sekolah di Kampung Ratau, Menggatal, Kota Kinabalu Sabah. Kemudian pada 22 Disember 2004, kes Siti Syazwani Ahmad Dusuki, murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan Pinang Tunggal, Sungai Petani Kedah dilaporkan hilang ketika pulang mengaji al-Quran ditemui terbunuh selepas di rogol di ladang sawit tidak jauh dari rumahnya. Sebelum ini masyarakat tidak akan lupa kes kematian Nor Iszyani Amlia Ahmad Iskandar, berusia dua tahun dalam keadaan menyayat hati di Damansara Damai, Petaling Jaya. Dalam kejadian ini, dubur kanak-kanak malang itu cedera teruk ditusuk objek keras manakala kemaluannya ada kesan cubitan. Ini yang dilaporkan oleh pihak media. Bagaimana pula dengan kejadian lain yang tidak didedahkan oleh media terutamanya yang dilaporkan kepada pihak polis. Atau yang lebih tragis lagi tidak dilaporkan kepada dengan pihak polis untuk mengelakkan aib keluarga dari kacamata masyarakat umum. Selain ini, satu kajian Pusat Penyelidikan Innocenti Tabung Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Kanak-Kanak (Unicef) mendedahkan setiap tahun 3500 kanak-kanak berusia kurang 15 tahun di 27 negara maju meninggal dunia akbat penderaan dan dikaitkan dengan kemiskinan dan tekanan. Keadaan ini dikaitkan dengan negara maju akibat masalah sosial dan keluarga tetapi apa pula kedudukannya di negara ini? Cukupkah sekadar reaksi marah kita? Gambaran yang diberikan adalah seolah-olah tahap sosial masyarakat kita yang ada sekarang sedang menuju ke arah hampir "bobrok", tidak selamat dan kurang menyakinkan. Seluruh lapisan rakyat begitu marah, merintih dan kecewa dengan segala kejadian yang menimpa kanak-kanak ini. Masing-masing beranggapan kejadian ini tidak harus atau perlu berlaku. Masing-masing sekadar merintih dengan melahirkan pelbagai harapan seperti dikenakan tindakan yang tegas terhadap perogol, perlunya kerajaan wujud pelbagai Akta, meminta masyarakat lain agar lebih perihatin di samping mengharapkan pihak berkuasa lebih berperanan dan agresif dalam menguatkuasakan undang-undang. Apabila dalam tempoh 40 hari tiada sebarang isu besar dan meluas yang dipaparkan oleh media massa, keadaan akan kembali kembali asal- meneruskan kelekaan hidup masing-masing dan lupa dengan isu yang cukup dahsyat ini. Para ibu bapa yang perihatin dengan tahap sosial masyarakat masa kini meneruskan "kerisauan" demi "kerisauan" walaupun kerajaan terus hebah negara sentiasa aman dan tenteram. Kemudian, rakyat akan merintih, marah dan kecewa kembali apabila isu yang dahsyat ini kembali berulang setelah mendapat liputan yang meluas dari media massa. Masing-masing bersikap stereotaip - minta tindakan tegas, pihak berkuasa perlu menguatkuasaan undang-undang dan kerajaan perlu lebih bertanggung jawab. Hentikan sikap hepokrit sesetengah masyarakat ini. Cukuplah dengan sikap opportunis kerajaan yang perihatin dengan masalah sosial masyarakat apabila kembalinya isu yang dahsyat ini. Sekarang adalah masa kita bertindak dan bukannya kembali merintih, marah yang selepas itu kita akan lupa kembali kepada sikap "kelekaan" dengan kehidupan harian. Apa yang harus kita lakukan? Masalah sosial bejat masyarakat akan berulang sentiasa kerana kita tidak pernah bertindak. Kita tidak pernah bertanya kepada diri sendiri, apakah tindakan yang perlu dilakukan dengan segara akan sosial masyarakat dapat diperbaiki. Tanpa disedari sesetengah masyarakat samada yang kaya, sederhana dan miskin telah melakukan pelbagai kesalahan kerana tidak pernah mendidik anaknya menjadi manusia yang berguna dan berakhlak. Ada sesetengah ibu bapa yang tidak pernah melakukan disiplin terhadap anaknya seperti menegur anak perempuan berpakaian tidak menutup aurat, pergaulan bebas lelaki- perempuan, masa yang tidak menentu di rumah, anak menjadi mat rempit dengan alasan kononnya menjaga kebebasan dan kemerdekaan anak-anak. Sesetengah mereka tidak pernah menegur anak remaja perempuan yang berpakaian ketat dan singkat sehingga nampak anak pusat dan seluar dalam pelbagai warna dari arah belakang apabila mereka duduk. Sesetengah ibu dan bapa akan mempertahankan anak remaja lelakinya menghisap rokok atau ditangkap kerana menjadi mat rempit dengan pelbagai alasan. Masyarakat umum melihat tingkah laku sesetengah anak remaja Melayu masakini. Lihatlah cara mereka berpakaian. Lihatlah cara mereka bergaul dengan orang yang lebih tua. Lihatlah sikap mereka yang masih remaja duduk melepak sambil menghisap rokok antara lelaki dan perempuan. Masyarakat hipokrit ini tidak boleh ditegur tetapi marah apabila berlakunya sesuatu tragedi yang menimpak anak remaja lainnya! Sikap hiprokrit masyarakat ini disogok tindakan kerajaan yang terlalu opportunis. Kerajaan Islam Hadhari yang tersasar Kerajaan begitu hebat menghebahkan konsep Islam Hadhari tetapi tiada sebarang langkah atau tindakan untuk mengurangkan sosial masyarakat yang hampir "bejat" ini. Kerajaan hanya kaya dengan konsep, kaya dengan kata-kata dan slogan tetapi tindakan adalah sifat. Secara simboliknya apabila kerajaan melancarkan tidak sampai seminggu konsep Islam Hadhari- suatu konsert dangdut besar-besaran diadakan di Stadium Merdeka yang dikenali sebagai "Inul-Goyang Garudi". Suatu fenomena yang cukup dahsyat apabila kerajaan Islam Hadhari membenarkan media elektronik yang memaparkan pelbagai program hiburan dan tayangan gambar yang menjolok mata terutamanya yang membabitkan anak-anak remaja Melayu dan Islam yang terus masuk ke dalam rumah. Kerajaan Islam Hadhari membenarkan media elektronik mengadakan pelbagai program realiti termasuk tayangan bagaimana mahu mencari seorang isteri yang bertentangan dengan kaedah Islam.Malahan suatu ketika dahulu mana-mana artis lelaki dilarang sama sekali berambut panjang, kini semakin hebat dan memualkan. Pelbagai program yang menjolok mata ini disifatkan sebagai "membalas dendam" untuk kepuasan kerana suatu ketika dahulu kerajaan agak menyekat kerana ia disifatkan begitu melekakan dan menjejaskan pembentukan peribadi masyarakat. Mungkin ada di kalangan masyarakat yang beranggapan ia terpulang kepada individu untuk melihat mana yang baik dan buruk tetapi anggapan ini adalah tidak betul kerana kerajaan membenarkan siaran ini dari berlangsung. Kenapa negara-negara Islam lainnya masih mengekalkan siaran yang lebih berdisplin sedangkan kita tidak? Segala bentuk hiburan yang melampau dan akhlak buruk sesetengah anak remaja Melayu Islam sememangnya mengundang malapetaka. Ia boleh mengundang kepada nafsu kepada setiap lelaki atau perempuan di dalam keadaan jisim yang kecil mahupun besar. Ia boleh mengundang kepada lelaki yang menghadapi masalah "sexual disorder" atau kecelaruan seks sehingga kanak-kanak kecil menjadi mangsanya. Kerajaan perlu mengakui hakikat dengan kehebatan berjaya menjaga keamanan dan ketenteram rakyat dalam tempoh 50 tahun tetapi perlu mengakui bahawa moral sesetengah masyarakat sekarang semakin "bejat". Kerajaan yang hebat dan bertanggungjawab tidak boleh lepas tangan terhadap isu yang disifatkan buruk tetapi menghebahkan meluas isu yang dianggap baik dan positif. Apa yang penting bertindaklah sekarang. Masyarakat perlu ditegur dan menegur di antara satu sama lain agar peristiwa ini tidak berulang. Kaum keluarga yang perihatin dengan masalah moral ini perlu berani membuat teguran atau tindakan terhadap ibu dan bapa yang bersikap sambil "lewa" terhadap anak-anak mereka. Sebagai pemimpin utama negara, Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi juga perlu bersikap lebih banyak bekerja, menantau dan sensitif dengan membuang slogan "Kerja bersama saya dan bukan untuk saya" sebagai alasan dia "lepas tangan" atau tidak mahu bertanggung jawab kepada menteri atau pegawai yang dilantiknya. Hentikanlah sikap sesetengah masyarakat Melayu yang hipokrit dan sesetengah pemimpin kerajaan yang oppurtunis! Kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dan bukan berpaut kepada slogan semata-mata

Tiada ulasan:

Catat Ulasan