26 September 2007

Mahasiswa Baru Di Mesir Dihalang Memasuki Rumah Anak Negeri?

Setiap tahun Mesir akan menerima kedatangan ramai mahasiswa baru yang melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar sama ada di Kaherah atau di cawangan-cawangan Al-Azhar di seluruh Mesir. Saban tahun kedatangan mereka akan disambut oleh PMRAM bersama BKAN (Badan Kebajikan Anak Negeri). Mereka akan ditempatkan di setiap rumah negeri sebelum dihantar ke tempat pengajian yang dipohon oleh setiap mahasiswa dan mahasiswi. Namun begitu, berlaku suasana yang tidak sihat apabila sebahagian mahasiswa baru tidak dibenarkan memasuki Asrama Rumah Negeri dengan alasan rumah negeri sudah penuh dan pelbagai alasan yang lain. Suasana ini dapat dilihat di beberapa negeri seperti Selangor dan Terengganu. Kedatangan pegawai hal ehwal pelajar (HEP) sebelum ini dilihat ingin membantu memudahkan urusan–urusan pelajar telah bertukar menjadi tembok besar kepada para mahasiswa untuk mendapat tempat di rumah negeri masing-masing. Perkara ini jelas terbukti apabila 11 orang pelajar Universiti Darul Iman (UDM) yang tiba pada 16 September baru-baru ini dihalang memasuki Rumah Negeri dengan pelbagai alasan. Tidak cukup dengan itu, tindakan yang sama dilakukan ke atas pelajar-pelajar Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah (KUDQI) seramai 49 orang yang terpaksa mencari rumah-rumah sewa yang berdekatan dalam tempoh yang singkat pada masa yang sama harga rumah ketika ini melambung tinggi dan begitu sukar untuk didapati dengan mudah. Begitu juga suasana yang berlaku kepada pelajar-pelajar Selangor. Kita melihat bahawa semua pelajar yang disisihkan daripada Rumah Negeri adalah pelajar-pelajar persendirian. Jika difikirkan dengan baik, para pelajar yang datang secara persendirian inilah yang patut diutamakan dari sudut menjaga kebajikan mereka. Namun perkara yang sebaliknya berlaku. Pujian yang tinggi patut diucapkan kepada Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang Mesir kerana sudi menyediakan tempat kepada 11 orang pelajar Terengganu yang menerima nasib malang ini. Begitu juga kepada beberapa individu yang tidak loket memberikan rumah sewa mereka sebagai tempat persinggahan pertama bagi pelajar-pelajar baru untuk meneruskan usaha menuntut ilmu di bumi barakah ini. Bagi PMRAM, kedatangan para pegawai yang ditugaskan untuk menyelia rumah-rumah negeri sepatutnya adalah untuk memudahkan urusan kebajikan para mahasiswa dan bukan untuk menyukarkan. Satu ketika dahulu, walaupun para pegawai tidak ada untuk menyelia rumah negeri, para mahasiswa yang diwakili oleh Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) dapat menjaga kebajikan para pelajar dengan begitu baik. Sepatutnya suasana harmoni ini perlu kembali diwujudkan tanpa ada unsur-unsur ugutan terhadap pelajar. Semoga kebajikan dan kebebasan para mahasiswa tidak akan tercalar disebabkan tindakan beberapa orang pegawai rumah negeri. PMRAM akan cuba sedaya mungkin untuk memberikan kebajikan kepada seluruh warga Malaysia di bumi Mesir ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan