28 Ogos 2007

Gejala Merokok Perlu Dibendung Dan Dibanteras.

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya menyokong penuh cadangan pelbagai pihak yang mengesyorkan kerajaan untuk menaikkan harga rokok bagi membendung gejala merokok rakyat Malaysia yang kian parah hari ini. Namun begitu kaedah yang dilihat lebih berkesan adalah dengan mengenakan cukai yang lebih tinggi kepada syarikat-syarikat rokok. Cukai yang diberikan oleh Kerajaan kini perlu dikaji semula kerana kadar ini dilihat jauh lebih rendah berbanding negara jiran yang lain seperti Singapura dan Thailand yang mengenakan 71.5% cukai untuk jualan runcit rokok. Ia juga tidak menepati syor Bank Dunia yang mencadangkan cukai adalah di antara 65% ke 80% untuk membanteras gejala merokok ini. Kadar cukai yang rendah di Malaysia membolehkan syarikat-syarikat rokok menetapkan harga yang murah bahkan boleh pula menurunkannya kepada kadar yang lebih rendah mengikut kehendak pelanggan. Hal ini dilihat menggalakkan para remaja yang merupakan 30 peratus dari jumlah perokok di Malaysia dan golongan berpendapatan rendah untuk mendapatkan rokok dengan harga yang murah. Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan 1995 perlu dikuatkuasa. Selain itu, PMIUM mencadangkan kempen membanteras gejala merokok perlu dilaksanakan secara konsisten dan berterusan serta tidak bermusim. Apa yang perlu ditekankan oleh kerajaan dalam menggerakkan kempen ini ialah dengan menerapkan kefahaman Islam mengenai bahaya merokok kepada masyarakat Malaysia khususnya masyarakat Melayu beragama Islam. Kebanyakan perokok yang beragama Islam berpegang kepada hukum harus atau makruh merokok untuk terus merokok kerana perbezaan pendapat di kalangan ulama silam. Namun perlu dimaklumi bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia kali ke 37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 sebulat suara memutuskan bahawa merokok adalah haram kerana terdapat terlalu banyak kemudaratan yang berpunca dari amalan merokok ini. Hal ini bagaimanapun tidak dikuatkuasakan secara bersungguh oleh jabatan-jabatan agama setiap negeri sehingga menyebabkan fatwa ini hanya tertulis di atas kertas semata-mata. Walaupun terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama’ mengenai hukum merokok namun keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskannya sebagai haram perlu dicermati semua pihak. Perbezaan pendapat yang berlaku dalam menetapkan hukum ini membabitkan ulama’-ulama’ silam yang belum terdedah sepenuhnya dengan perkembangan dan kemajuan sains. Ulama’ silam yang berpendapat hukum merokok adalah harus berhujah bahawa sebarang usaha untuk mengharamkannya perlu disandarkan kepada nas syara’ yang berautoroti dan jelas sedangkan merokok tidak pernah dinyatakan secara jelas oleh mana-mana nas syara’. Oleh sebab itu mereka berpegang untuk mengekalkannya sebagai halal atau harus. Ulama’ yang menghukumnya sebagai makruh pula berhujah bahawa tabiat merokok walaupun diakui mendatangkan kemudaratan namun tiada bukti jelas ia membawa kematian kepada perokok tersebut. Manakala ulama’ yang mengharamkannya pula berhujah bahawa walaupun hukum asal semua benda adalah harus dan halal selagimana tiada dalil syara’ yang mengatakan sebaliknya, namun kaedah yang menyatakan hukum asal bagi semua benda dan tindakan yang memudaratkan adalah haram boleh dikaitkan dengan hukum haram merokok ini. Tambahan pula kajian terkini yang memaparkan bahawa merokok menjadi punca utama kepada kematian dan penyakit-penyakit yang lain menunjukkan hukumnya adalah jelas haram tanpa syubahah berdasarkan banyak bukti-bukti saintifik yang diyakini. Kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa asap rokok mengandungi lebih daripada 4000 bahan beracun dengan pelbagai bahan kimia disedut oleh perokok seperti butana, kadmium, ammonia, benzena, plumbum, arsenik dan banyak lagi. Hal ini menyebabkan 10,000 orang mati setiap tahun dan menyebabkan ratusan ribu yang lain menderita pelbagai penyakit seperti sakit jantung, paru-paru, kanser dan gangguan kardiovaskular. Berdasarkan fakta dan faktor ini Islam tidak dapat berkompromi dengan mengharuskannya kerana ia jelas mendatangkan kemudaratan dan pembaziran bukan sahaja kepada si perokok bahkan juga kepada orang lain. Oleh hal yang demikian PMIUM juga mencadangkan supaya keputusan yang telah ditetapkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1995 dikuatkuasakan secara serius oleh setiap jabatan agama negeri-negeri. Keputusan ini harus diperkasakan dan diambil cakna oleh kerajaan-kerajaan negeri secara lebih serius dan tanggungjawab. Usaha membendung dan membanteras gejala merokok ini tidak dapat dilaksanakan hanya dengan menaikkan harga rokok semata-mata tanpa memberikan kesedaran bahaya merokok menurut pandangan dan hukum Islam semasa. Sistem nilai dan hukum Islam yang memandang buruk tabiat merokok ini dapat membantu kerajaan dalam mengurangkan jumlah perokok beragama Islam di Malaysia yang kini berada pada tahap yang sangat membimbangkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan