27 Ogos 2007

Hayati kemerdekaan melalui khutbah Jumaat

2007 merupakan tahun yang istimewa kerana pada tahun ini genap 50 tahun negara kita menyambut ulang tahun kemerdekaan. Kemerdekaan sesebuah negara adalah sesuatu perkara yang bernilai kerana negara tersebut bebas daripada penjajahan dan penghambaan. Begitu juga Malaysia yang pernah dijajah oleh beberapa kuasa asing selama ratusan tahun telah bebas dan merdeka sepenuhnya pada tarikh keramat 31 Ogos 1957. Kemerdekaan Malaysia memberi dimensi baru kepada ketuanan anak watan dalam mentadbir dan mengurus negara. Jika sebelumnya pentadbiran negara ditentukan oleh kuasa asing, tetapi ia berubah selepas negara kita mencapai kemerdekaan. Warganegara Malaysia sendiri tidak kira bangsa Melayu, India, Cina dan lain-lain bersatu dan berganding bahu mencorak kepimpinan negara. Namun perjuangan menuntut kemerdekaan bukanlah semudah laungan “merdeka” yang dialunkan oleh rakyat Malaysia setiap kali tibanya 31 Ogos setiap tahun. Perjuangan yang melibatkan pemimpin tertinggi negara hinggalah rakyat bawahan disirami air mata, peluh dan darah. Bukanlah mudah membangkitkan semangat rakyat Semenanjung Tanah Melayu ketika itu jika tidak hasil jiwa-jiwa yang kental, sabar, berani dan berwawasan untuk menggerakkan kesatuan dalam menuntut kemerdekaan. Generasi muda sekarang ini perlu sedar tanpa kesusahan generasi dahulu memperjuangkan kemerdekaan negara, maka sudah pasti mereka tidak dapat hidup senang pada zaman sekarang. Jika generasi terdahulu berjuang mendapatkan kemerdekaan, maka generasi sekarang perlu berjuang mempertahankannya. Justeru, cerita tentang sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan perlu dihebahkan terutamanya menjelang bulan kemerdekaan. Ini bagi mengingatkan generasi kini tentang sejarah mulia itu seterusnya menimbulkan rasa sayang dan cinta pada negara. Di Malaysia kita mempunyai saluran yang banyak untuk menyampaikan sejarah kemerdekaan. Di samping media cetak dan elektronik, satu saluran lain yang boleh digunakan ialah melalui khutbah Jumaat khususnya kepada umat Islam. Sempena Ogos bulan kemerdekaan, maka mimbar Jumaat harus memfokuskan tentang skop kemerdekaan negara. Khutbah Jumaat dianggap antara platform terbaik menyampaikan maklumat tentang kemerdekaan negara seterusnya membangkitkan kesedaran dan penghayatan mengenainya. Puluhan ribu umat Islam di Malaysia membanjiri masjid-masjid di seluruh negara untuk mendengar khutbah seminggu sekali itu. Tahun 2007 ini merupakan keistimewaan daripada Allah s.w.t. kerana menyaksikan lima kali Jumaat dalam bulan Ogos dan yang lebih istimewanya ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke 50 pada tahun ini juga jatuh pada hari Jumaat. Adalah dicadangkan bahawa pejuang-pejuang kemerdekaan yang masih hidup diberi peluang berkhutbah menyampaikan pengalaman mereka kepada masyarakat. Ia lebih mempengaruhi hadirin yang mendengar hasil daripada pengalaman sebenar mereka. Ia juga sebagai satu salah satu cara memberikan penghargaan di atas pengorbanan dan sumbangan mereka dalam membebaskan negara daripada penjajahan. Jika tidak semua masjid di Malaysia mampu melaksanakannya, memadailah masjid-masjid daerah ataupun sekurang-kurangnya masjid-masjid negeri. Jika kita tidak melaksanakan cadangan ini sekarang, maka kita tidak lagi berpeluang melakukannya pada masa akan datang. Andai kata mereka yang dianggap memahami dan menghayati maksud menuntut kemerdekaan negara ketika itu (tahun 50-an) berumur lingkungan lima belas tahun ke atas, maka mereka sekarang sudah berumur 65 tahun ke atas. Kita hanya mempunyai beberapa tahun sahaja lagi sebelum generasi tersebut pergi meninggalkan kita. Itupun jika mereka diberi kesempatan oleh Allah s.w.t. untuk terus hidup setahun dua lagi. Isi khutbah yang disampaikan sepatutnya bukan lagi hanya berbentuk teori seperti definisi kemerdekaan atau hukum berjihad menuntutnya. Apa salahnya, khutbah itu berbentuk penceritaan pengalaman menuntut kemerdekaan negara. Ini kerana di sebalik cerita tersebut terkandungnya tuntutan bertakwa kepada Allah dan memerdekakan jiwa daripada penjajahan syirik. Ia juga sudah memenuhi antara rukun khutbah Jumaat yang menuntut hadirin supaya bertakwa kepada Allah s.w.t. Jika ada parut yang tersisa, tangan atau kaki yang kudung akibat berjuang menuntut kemerdekaan, maka tunjukkan. Jika boleh menyebabkan para hadirin menangis kerana mengimbau keperitan menuntut kemerdekaan, maka lakukan. Tujuannya adalah mewujudkan rasa keinsafan generasi sekarang betapa penderitaan generasi pra merdeka semata-mata untuk kesenangan generasi sekarang. Pada 23 Mac 2007 Polis Kelantan mencatat sejarah tersendiri apabila Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi tampil membaca khutbah Jumaat di Masjid Mukim Langgar, Kota Bharu, Kelantan sempena sambutan Ulang Tahun Pasukan Polis Ke-200. Justeru, tidak ada sebab cadangan pejuang kemerdekaan menyampaikan khutbah tidak boleh dilaksanakan. Walaupun teks khutbah Jumaat di bawah kelolaan jabatan agama negeri masing-masing, apa salahnya tahun ini pihak berkenaan mengambil pendekatan yang dicadangkan ini. Namun cadangan ini hanyalah lontaran idea awal dan perlu dihalusi lagi oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab. Janganlah apabila sudah terlewat barulah kita tersedar dan tercari-cari kesempatan yang tidak lagi dapat diperoleh. Hargailah pejuang-pejuang kemerdekaan ini selagi mereka ada. Fikir-fikirkanlah! - IRWAN MOHD. SUBRI ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan