Harus lengkapi syarat menutup aurat Menutup aurat adalah menutup had anggota badan yang boleh menimbulkan fitnah atau keaiban diri kita. Soal bertudung tidak sama dengan soal menutup aurat. Perintah Allah adalah supaya menutup aurat agar kesucian diri kita terpelihara daripada pandangan orang yang tidak berkenaan. “Dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak dari mereka.” (An Nur: 31) “Tudung adalah salah satu kaedah untuk menutup bahagian aurat dari atas kepala sehingga ke bahagian dada. Salah faham masyarakat adalah apabila menekankan soal bertudung tetapi mengabaikan hukum aurat. Perintah Allah diturunkan supaya meletakkan kain tudung di atas kepala sehingga labuh menutupi dada adalah kerana ayat tersebut diturunkan kepada wanita di zaman jahiliah yang sudah sedia berpakaian labuh tetapi cuma tidak menutup rambut mereka. Mereka disuruh supaya menambah pemakaian tudung kepala dan diperintahkan melabuhkannya sehingga menutupi dada,”demikian menurut Mohd Nor Mamat, Pengarah Kanan (Etika), Fellow (e-learning) Bahagian Hal Ehwal Akademik, Universiti Teknologi Mara (UiTM).
“Dan hendaklah mereka melabuhkan kain tudung mereka sehingga menutupi dada (dan leher) mereka.” (An Nur: 31). Bermakna, pakai tudung sematamata belum menjamin perintah menutup aurat terlaksana. Penutupan bentuk dada masih termasuk dalam aspek penutupan aurat. Kadangkala, pemakaian fesyen bertudung hari ini lebih menekankan kecantikan dan seni berbanding melengkapkan syarat menutup aurat. Sebab itu terdapat hadis yang menyebut tentang wanita yang berpakaian tetapi seumpama tidak berpakaian (di sisi Allah). “Dari Abu Hurairah R.A. katanya: “Ada dua macam penduduk neraka yang keduanya belum kelihatan olehku, kaum yang memiliki cambuk seperti ekor sapi, yang dipergunakannya untuk memukul orang. Dan wanita-wanita yang berpakaian, tetapi sama dengan bertelanjang (kerana pakaiannya itu terlalu minimum, terlalu nipis atau tembus pandang, terlalu ketat atau pakaian yang merangsang lelaki kerana sebahagian auratnya terbuka, dan wanita yang mudah dirayu atau suka merayu, rambut mereka (disanggul) bagaikan bonggol unta. Wanita-wanita tersebut tidak dapat masuk syurga, bahkan tidak dapat mencium bau syurga padahal bau syurga dapat tercium dari jarak yang sangat jauh”. “Ringkasnya, apa pun yang kita pakai, apabila melengkapi syarat menutup aurat, maka ia adalah terlaksana. Setakat pemerhatian saya, kebanyakan ahli masyarakat kita faham dan tahu tentang aurat, had aurat dan dosa mendedahkan aurat tetapi tidak diamalkan,” ujarnya. Aurat wanita Menurut Mohd Nor lagi, salah faham masyarakat juga berlaku apabila bercakap tentang aurat, objeknya adalah wanita sedangkan lelaki juga ada had urat yang wajib ditutup. Menutup aurat yang sebenar bagi lelaki adalah antara pusat hingga lutut (paling minimum, dan perlu mengikut kesopanan). Bagi wanita, aurat mereka adalah seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan bila berada di tempat terbuka atau bersamanya terdapat lelaki yang bukan muhrim. Apabila bersama sesama wanita atau dengan muhrim seperti bapa, abang dan sebagainya. Aurat mereka adalah antara pusat hingga lutut dan anggota badan yang menimbulkan fitnah. Anggota yang menimbulkan fitnah mengikut pandangan ulama ialah seluruh badan kecuali bahagian hujungan seperti leher ke atas, lengan ke tepi dan betis ke bawah. Tambahan syarat kepada pakaian untuk menutup had aurat tadi termasuklah longgar, tidak nipis dan tidak menampakkan bentuk yang menarik perhatian nafsu. Hari ni, kadang-kadang bukan sahaja dada nampak, baju terbelah sampai nampak perut di tepi pun ada, lengan baju kembang sampai nampak sehingga bahu pun ada malah kain terbelah pun banyak sehingga nampak betis malah lutut juga. Selagi tidak melengkapi syarat di atas maka arahan menutup aurat masih belum terlaksana,” akhiri Mohd Nor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan