Anak aku, dalam ramai-ramai, ada yang akan menjadi menteri." Ramalan itu pernah dinyatakan oleh Tokoh Agama, Allahyarham Mohd. Yassin Mohd., namun yang nyatanya, salah seorang anaknya iaitu Tan Sri Muhyiddin dijangka melangkah ke depan lagi sebagai Timbalan Perdana Menteri.Menurut abang Muhyiddin, Abdul Rahman, 70, dia masih ingat bagaimana arwah ayahnya memberitahu mengenai ramalan itu.
"Jadi, memang betullah apa yang arwah orang tua saya beritahu, malah dia (Muhyiddin) berjaya pergi lebih tinggi lagi hari ini," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.Abdul Rahman yang merupakan Guru Besar Sekolah Rendah Agama (Arab) Saadiah di sini mengulas mengenai kejayaan Muhyiddin memenangi jawatan Timbalan Presiden UMNO dan bakal menjadi Timbalan Perdana Menteri pada Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur, semalam.
Menurut Abdul Rahman, dia berkongsi kegembiraan di atas kejayaan Muhyiddin dan yakin kemampuan adiknya itu membantu Datuk Seri Najib Tun Razak membawa negara ke tempat yang lebih baik dan berjaya."Semalam, seluruh keluarga berdebar menonton keputusan pemilihan di televisyen, sekali tengok dia berjaya, syukur Alhamdulillah.
"Walaupun kami adik-beradik berlainan emak, namun hubungan kekeluargaan kami amat baik," katanya.Menurutnya, biarpun Muhyiddin dikenali sebagai seorang pendiam, namun tindakannya tegas dan disegani sebagai seorang pemimpin yang berpengalaman lagi berpengetahuan luas.Sementara itu, menurut anak saudara Muhyiddin, Hairani Abdul Rahman, 35, dia mengenali bapa saudaranya itu sebagai seorang yang berprinsip dan amat bertanggungjawab.
"Saya diberitahu yang sifat pendiam itu mengikut Allahyarham ayahnya yang merupakan seorang guru agama," katanya yang bertugas sebagai guru di sekolah yang sama.Jelas Hairani, Muhyiddin yang juga belajar agama di sekolah itu juga dikenali sebagai seorang yang berpandangan jauh dan tegas dalam merealisasikan sesuatu perancangan.
Sementara itu, bagi seorang penduduk di kawasan Pagoh, Ruslan Sabtu, dia amat bersyukur di atas kejayaan Muhyiddin selaku Timbalan Presiden UMNO memandangkan beliau sememangnya amat berkelayakan.
"Kelebihannya adalah dia berpengalaman luas sama ada di peringkat kementerian ataupun kerajaan negeri."Kejayaan malam tadi menunjukkan masyarakat Pagoh khususnya dan rakyat di belakang Muhyiddin," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan