KISAH cinta agung Ayat-Ayat Cinta yang diadaptasi daripada novel karya Habiburahman ElShirazy akan ditayangkan di TV3, Jumaat ini jam 9 malam. Filem yang ditonton lebih empat juta penonton di Indonesia adalah antara filem cinta berteraskan Islam yang memberi nafas baru kepada produksi layar lebar. Ayat-Ayat Cinta mengisahkan Fahri Abdullah Shiddiq lakonan Fedi Nuril, seorang penuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir.
Fahri adalah seorang pelajar pintar dari keluarga miskin yang mendapat biasiswa untuk belajar di Mesir. Fahri adalah seorang pelajar yang berdisiplin dan berdedikasi, dia memulakan kehidupan sebagai pelajar di Mesir sambil menterjemah buku agama dengan penuh semangat.
Fahri mengecap semua yang diinginkan namun cuma satu saja yang boleh dikecapi jejaka itu iaitu perkahwinan. Jejaka ini adalah seorang yang lurus dan suci serta tidak percaya kepada konsep perhubungan sebelum berkahwin.
Dia sukar meluahkan perasaannya apatah lagi Fahri juga cukup malu apabila berhadapan dengan wanita. Dalam hidupnya, cuma ada dua wanita yang rapat dengannya iaitu ibu dan neneknya. Namun, hidup Fahri mula berubah apabila dia didampingi empat gadis jelita yang berbeza. Fahri memikat hati seorang wanita bernama Aisha Greimas dipegang oleh Rianti Cartwright, mahasiswi asing keturunan Jerman dan Turki yang berpenampilan cerdas, cantik. Aisha datang ke Mesir kerana melakukan penyelidikan di sana. Selain Aisha, Fahri turut diminati tiga lagi gadis yang juga tidak kurang hebatnya.
Nurul lakonan Melanie Putria ialah gadis Indonesia anak kepada seorang kiyai terkenal yang menebal sifat pemalunya. Maria (Mrissa Puteri) pula adalah seorang penganut Krisitian Koptik tetapi lancar membaca al-Quran. Seorang lagi gadis yang menyimpan perasaan pada Fahri ialah Noura lakonan Zaskia Adya Mecca. Biarpun empat wanita datang mencuba nasib, namun cinta Aisha ternyata berjaya menakluki hati dan jiwa raga Fahri yang begitu kukuh dan mendalam pegangan agamanya. Meskipun filem Ayat-Ayat Cinta berada dalam kelompok filem cinta, namun tarikan istimewa filem itu terletak kepada pancaran cahaya keislaman yang ditonjolkan menerusi watak Fahri. Jadi, jangan lupa temu janji anda bersama filem hebat ini di TV3 yang akan menemui penonton Jumaat ini jam 9 malam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan