“... serta banyak mengingati Allah” [surah al-Ahzab ayat 21]Ciri ketiga bagi golongan yang boleh menghargai Sirah, adalah kemampuan dirinya untuk berada kekal dalam zikrullah.
Ia bukanlah suatu yang mudah kerana Rasulullah SAW sendiri sering melafazkan doa “Wahai Allah, bantulah aku supaya aku boleh sentiasa mengingatiMu, dan berkekalan mensyukuriMu serta senantiasa memperelokkan ibadahku kepadaMu”Manusia yang memuliakan Rasulullah SAW adalah manusia yang membesarkan Allah. Manusia hanya akan terus menerus membesarkan Allah jika dirinya sentiasa dalam zikrullah. Zikrullah itu bukanlah ertinya melafazkan kalimah Tuhan pada bibir semata-mata kerana itu hanya zikir lisan yang tiada kesan.
Sedangkan Allah SWT telah berjanji bahawa “sesungguhnya dengan zikrullah itulah hati menjadi tenang” [surah ar-Ra’d : 28]. Perlulah manusia ingat bahawa zikir yang mendatangkan tenang kepada hati bukan sekadar zikir lisan malah perlu seiringan dengan zikir hati dan zikir perbuatan. Seandainya manusia bertemu ujian, dan hatinya menjadi resah dengan ujian, maka yakinlah bahawa dirinya akan sentiasa resah.
Allah SWT telah menjadikan kehidupan dan kematian itu sebagai ujian, lantas memberikan makna bahawa manusia sentiasa hidup dalam keadaan diuji. Kerana itulah manusia mesti mencari bahagia dan letak bahagia adalah di hati. Untuk memberikan kebahagiaan kepada hati, setiap diri empunya hati mesti berkeadaan banyak mengingati Allah pada hati, lisan dan badan.
Tatkala lisannya menyebut Subhanallah (Maha Suci Allah), hatinya perlu disucikan dari kecelaan supaya dapat merasai kesucian Allah yang dilafazkan. Di dalam masa yang sama, anggota badannya juga perlu melakukan perbuatan-perbuatan yang mensucikan Allah. Dengan gabungan zikir tiga dimensi ini, barulah seseorang itu dikatakan berzikir.Membaca sirah Nabi SAW akan menemukan kita dengan suatu jalan yang susah dan payah.
Jalan Nubuwwah itu adalah jalan yang bermula dengan ketawa ejek manusia, balingan batu yang menumpahkan darah, sepi sendirian tatkala kematian teman hidup dan penyokong dakwah, malah terhumban buang di negeri asing, dipaksa pergi meninggalkan kampung halaman. Tidak mungkin hati boleh memilih untuk mencontohi hidup seperti ini melainkan hati itu perlu memiliki rasa yang sama dengan hati baginda SAW.
Hati baginda tidak pernah duka dengan ujian, tidak pernah derita dengan ejekan. Dirinya cekal menuju Akhirat kerana hatinya sentiasa bertali hayat dengan Tuhan. Kerana itulah baginda ramai ketika sendiri, baginda tenang ketika diuji. Sirah Nabi SAW akan hanya beroleh penghargaan daripada manusia yang hatinya bertaut dengan Tuhan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan