26 Oktober 2008

KEJORA GANTI MPS

Kembara Jejak Realiti (KEJORA) kini di persiapan terakhir, demikian menurut pengarahnya, Ustaz Hanafi Zulkifli ketika dihubungi sebentar tadi. Ujar beliau lagi, KEJORA atau lebih dikenali sebelum ini dengan Minggu Pengetahuan dan Silaturrahim (MPS) adalah bersifat ke arah lebih santai bersesuaian dnegan temanya kali ini "Ke Garisan Sedia, Mula.."
Program dijangka akan bermula pada 25 Oktober ini selama tiga hari bertempat di Ismailiyyah. Majlis perasmian dijangka diadakan pada pagi 25 Oktober ini oleh Presiden PMRAM, Ustaz Khairul Anuar Ismail. Untuk itu, semalam beliau yang juga pemangku Ketua Lajnah MUhafazah bersama-sama beberapa anggota Badan Pengurus PMRAM meninjau persiapan terakhir yang dilakukan oleh AJK penggerak program bagi memastikan KEJORA berjalan lancar seperti yang dirancang.
Beliau juga mengharapkan agar semua mahasiswa dan mahasiswi baru menyertai KEJORA ini kerana ia adalah satu kewajipan bagi PMRAM memperkenalkan pertubuhan itu kepada mereka yang terbabit. "Tidak ada pengecualian kerana ia adalah program mega yang menjadi kewajipan kepada PMRAM melaksanakannya.
Cuma konsep dan nama program sahaja berubah namun matlamatnya tetap sama," tegas beliau lagi yang juga Timbalan Setiausaha Agung PMRAM. Beliau juga mengingatkan para peserta untuk berkumpul di Dataran Hayyu 'Asyir pada malam ini (24 Oktober) sebelum maghrib dan dijangka bertolak jam 8 malam.Pihaknya juga akan membuka meja pendaftaran di lokasi tersebut bermula lepas Asar hingga malam bagi peserta yang ingin menyertainya atau bagi menjelaskan yuran pendaftaran.
Dijangka 17 buah bas akan memenuhi kawasan dataran tersebut bagi membawa para peserta, AJK pelaksana dan anggota Badan Pengurus serta AJKT HEWI PMRAM ke satu destinasi yang sama.
Sepanjang tiga hari di sana, para peserta akan diisi dengan pelbagai pengisian yang berbentuk santai yang amat menarik. Antaranya talkshow, ceramah, gerak kerja berkumpulan (GKB), pengenalan sejarah ARMA, sejarah PMRAM dan paling menarik dapat berkenalan dengan teman dari negeri yang berlainan.