Firman Allah SWT: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) itu pada malam al-Qadar. Apakah cara yang membolehkan engkau mengetahui kebesaran Lailatulqadar itu? Lailatulqadar ialah malam yang paling baik berbanding 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin Tuhan mereka membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar. (al-Qadr: 1-5)
ANTARA tuah menjadi umat Nabi Muhammad SAW kerana adanya Lailatul Qadar yang lebih baik dari 1,000 bulan dan ia (malam Lailatul Qadar) adalah satu malam daripada malam-malam pada setiap Ramadan.
Setiap orang berazam mahu berjumpa dengan malam berkenaan. Ada yang melihat dan mempercayai Lailatul Qadar itu berbentuk satu lembaga yang akan datang berjumpa individu tertentu dan boleh diminta apa sahaja yang dihajati.Kerana itu ada yang mentradisikan pemasangan pelita di halaman rumah, terutama pada dan selepas 15 Ramadan, kononnya untuk menarik perhatian para malaikat Lailatul Qadar masuk ke rumah mereka.
Sebenarnya untuk masuk ke rumah sesiapa pun, malaikat tidak perlu ditarik dan diumpan (barangkali sama juga dengan disogok atau dirasuah) dengan pemasangan pelita, kerana gelap bagi kita (manusia) tidak semestinya gelap kepada para malaikat.Lagi pun Lailatul Qadar itu sendiri adalah nama bagi suatu malam, bukannya nama bagi satu lembaga.Lailatul Qadar yang mana dalam bentuk berkat dan kebergandaan pahalanya adalah khusus untuk kalangan yang beriman dan bertakwa sahaja.Kepada yang tidak beriman dan tidak bertakwa, yang beragama Islam tetapi tidak sembahyang, yang banyak buat maksiat, kalau sembahyang pun pada hujung waktu atau secara ekspres atau pun bagi yang melakukan suruhan Allah dalam keadaan jahil. Jangankan dengan memasang pelita, kalau dipasang lampu limpah pun malaikat bertugas pada Lailatul Qadar tidak akan datang dan kebaikan satu malam yang menyamai 1,000 bulan tidak akan diperolehi.
Yang paling berpeluang mendapat keberkatan, faedah, untung, laba, keistimewaan dan tuah dari Lailatul Qadar ialah mereka yang sentiasa berusaha tanpa rasa jemu dan rasa putus asa meningkatkan kualiti iman dan taqwa, terutama yang melakukan kerja amal ibadah dan menjauhi segala kemungkaran semata-mata kerana Allah dan bukannya yang selain dari itu, termasuk bukan kerana mahu berjumpa dengan Lailtul Qadar.
Kalau mengharapkan kedatangan Lailatul Qadar dalam bentuk lelaki tua berpakaian serba putih dan juga berjanggut putih untuk diminta agar dipenuhi segala hajat, ia tidak mungkin akan jadi kenyataan, malah kepercayaan untuk bertemu Lailatul Qadar berwajah sedemikian itu sebenarnya ada unsur-unsur Kristianisme yang penganutnya akan tunggu Santa Claus pada malam hari Krismas.Hakikatnya mahu tidak mahu kita yang masih hidup berpeluang bertemu dengan malam Lailatul-Qadar kerana ia adalah satu malam daripada malam-malam sepanjang Ramadan pada setiap tibanya Ramadan.
Macam mana pun perolehan kebaikan atau sama ada akan dipenuhi atau tidak hajat kita pada malam tersebut bergantung kepada jumlah amal ibadat, termasuk taubat nasuha dan doa yang dilakukan.
Dengan sekadar membaca Bismillah atau menyebut Allah pun pada malam berkenaan, nilainya akan lebih tinggi dari yang yang dibaca atau disebut pada malam dan hari-hari biasa. Bacaan dan sebutan pada Lailatul Qadar sama dengan bacaan atau sebutan 1,000 bulan.
Bagi yang hidup sentiasa dalam berzikir, bertasbih, bersedekah, sembahyang malam dan melakukan pelbagai amal kebajikan, pahala yang akan diganjarkan kepadanya akan sama dengan yang dilakukan dalam tempoh 1,000 bulan yang bersamaan dengan 76 tahun 10 bulan
Maknanya kalau seseorang itu sejak mula akil baligh lagi sudah gigih, ketagih dan kemaruk beramal ibadat dan ia pula sempat hidup selama 63 tahun, maka setelah dikira dari umur balighnya pada usia 15 tahun, maka peluang untuknya mendapat pahala berganda pada malam Lailaul-Qadar ialah sebanyak 48 kali.
Jumlah kebaikan yang diperolehnya pula adalah bersamaan 1,000 bulan didarab dengan 48 kali, bermakna untuk ganjaran pahala dari malam Laillaul Qadar sahaja berjumlah 48,000 bulan, bersamaan dengan amalan yang dilakukan oleh 48 keturunannya.Amat malanglah bagi yang beribadat secara sambil lewa, juga bagi yang hanya gigih, ketagih dan kemaruk bermusim dalam beribadat, termasuk hanya tunjuk kesungguhan pada bulan puasa dan pada malam-malam yang dijangka Lailatul Qadar.
Beribadat perlukan komitmen dan kena sentiasa berusaha tanpa rasa jemu, kecewa dan putus asa untuk meningkatkan kualiti dan tahap keimanan dan ketakwaan. Walaupun tamak bagi mengumpul kekayaan keduniaan tidak berapa digalakkan dalam Islam tetapi tamak untuk tingkatkan kualiti iman dan taqwa adalah digalakkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan