13 September 2007

Bara perkauman masih mengancam negara

Sekadar mengikuti laporan akhbar tentang ucapan Tun Musa Hitam ketika menerima ijazah doktor kehormat di Universiti Malaya disebutkan sebagai berkata kira-kira, perbincangan terbuka mengenai isu-isu sensitif tidak bererti keharmonian negara sedang bermasalah. Tetapi dalam laporan ucapannya itu, banyak pula menyebutkan tentang kebimbangannya terhadap suasana masyarakat yang ada yang jika tidak ditangani sebijak mungkin, nescaya memberikan natijah negatif. Tajuk berita itu memberikan suatu gambaran seperti tiada apa-apa yang pincang dalam hubungan masyarakat majmuk yang ada itu tetapi amaran-amaram yang diberikan menampakkan satu kebimbangan yang amat mencemaskan. Apa pun Tun Musa adalah orang terbaik untuk bercakap tentang keharmonian kaum dalam negara ini. Baliau adalah orang yang mengalami sendiri suasana kecelakaan 13 Mei 1969. Kabinet yang ditubuhkan oleh kerajaan Mageran selepas peristiwa berdarah itu memberinya jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Beliau tahu sangat apa yang berlaku dan apa masalahnya. Selepas terpinggir dari politik yang aktif sementara sekutu rapatnya Dr. Mahathir dipecat dari UMNO, Tun Musa menyambung pengajian di England. Bidang kajiannya ialah hubungan kaum. Ia memberikannya mengerti urusan keharmonian yang menjadi subjek yang sangat menarik selama 50 tahun Malaysia merdeka. Pemimpin Malaysia amat suka menonjolkan isu keharmonian kaum kepada dunia dan cuba menyuapkan kepada masyarakat antarabangsa bahawa Malaysialah contoh terbaik dalam menangani masalah perkauman. Dan Malaysia sangat seronok apabila orang luar yang datang ke Malaysia menyebut dan memuji kebijaksanaan pemimpin-pemimpin Malaysia menangani isu kaum dan perkauman. Dan pemimpin-pemimpin Malaysia masing-masing menonjolkan diri sebagai orang-orang yang melepaskan diri dari pemikiran dan amalan perkauman. Sebaliknya tidak penat-penat cuba melemparkan pemikiran dan amalan perkauman itu bersarang dalam tubuh badan Lee Kuan Yew yang merajai Republik Singapura. Lee Kuan Yew Mungkinlah Singapura itu mengisi kemerdekaannya mengikut amalan perkauman. Tetapi pada hari tua Lee Kuan Yew, masalah kaum di Singapura seperti telah selesai. Semua penduduk Singapura ialah orang Singapura. Tetapi perkauman itu tidak berapa ada semasa Tanah Melayu belum merdeka. Ia berbenih semasa menuntut kemerdekaan dan benih itu berputik semasa mencapai kemerdekaan. Ia ranum ketika dalam tahun 1969 dengan ledakan kecelakaan 13 Mei itu. Semua orang berkhutbah dan mendakwahkan keharmonian bagi memadam dan membenamkan ancaman perkauman yang boleh membakar keharmonian. Ubat besarnya ialah pelancaran Dasar Ekonomi Baru (DEB). Ia projek untuk menyusun masyarakat supaya semua kelompok kehidupan tidak lagi membawa gambaran kaum. Nelayan dan petani bukan lagi Melayu. Buruh dan pekerja ladang bukan lagi India dan dunia perdagang dan bandar tidak lagi Cina. Sasarannya tercapai apabila kemiskinan terhapus dalam tempoh pelaksanan DEB itu. Akan tetapi DEB itu terus diselubungi bahang berkauman. Tujuh belas tahun selepas tempoh pelaksanaan DEB tamat, api perkauman dari kewujudan DEB itu menyala sedang matlamatnya tidak pernah tercapai malah jauh ikan dari pagang. Kira-kira 38 tahun selepas peristiwa 13 Mei, semuanya lupa akan bahaya perkauman dan sekaliannya bergerak dalam suasana sebelum kecelakaan itu. Beberapa tahun selepas 13 Mei saya menyertai satu perbincangan semua kaum dan semua pertubuhan tentang perkauman. Orang kerajaan dan pendukung kerajaan cuba meyakinkan bahawa perkauman itu sudah banyak diredakan. Saya tidak percaya kepadanya. Dia cuba meyakinkan betapa banyaknya kemungkinan peristiwa yang lebih besar dari 13 Mei telah dapat digagalkan. Gagalnya kejadian itu cuba dijadikan hujah suasana sudah baik. Tetapi pada saya hujahnya itu adalah bukti perkauman itu bertambah parah. Kejadian seperti 13 Mei itu tidak tercetus lagi kerana ia dapat dipatahkan. Apabila kemungkinan seperti itu berlaku banyak kali, bererti suasana tidak harmoni. Ia cuma tidak sempat meledak kerana sempat dicegah. Yang dikatakan sudah baik adalah apabila tidak ada sebarang kemungkinan perkara itu berkembang. Yang menyebabkan kebakaran ialah kerana adanya api. Kalau api tidak ada, tiadalah kemungkin kebakaran. Apa yang berlaku ialah api yang ada hanya terkawal. Jika terkawal, 13 Mei itu pun tidak berlaku. Tragedi 13 Mei berlaku kerana tidak terkawal. Selama 50 tahun merdeka, api dapat dikawal, tetapi masing-masing tidak berupaya memadamkan api itu. Api itu tidak dapat dipadamkan kerana kerajaan selama 50 tahun merdeka ini tidak pernah jatuh ke tangan yang tegas. Kesemuanya terdiri dari orang yang tidak tegas. Ketidak-tegasan itu menyebabkan tiada sebarang dasar yang tegas diwujudkan. Dasar pendidikan tidak tegas. Tiada yang dapat menuju kepada perpaduan. Dasar bahasa tidak tegas. Semua menuju kepada penggunaan multi-lingualisme – pengunaan kepada berbilang bahasa. Dasar kebudayaan tidak tegas sehingga menjadi budaya cacamerba. Dasar agama tidak tegas hingga agama Islam yang dikatakan agama Persekutuan tiada apa-apa kelebihan dari agama-agama lain. Kesemuanya sudah menjadi agama Persekutuan hingga agama Islam sudah dilayan seperti agama-agama lain juga. Dasar ekonomi juga tidak tegas. Ia seperti sangat pro bumiputera hingga bukan bumiputera merasakan tidak tempat untuk mereka. Tetapi dalam agihan ekonomi yang mengalir kepada bumiputera adalah terhad. Yang sepatutnya mengalir kepda bumiputera mengalir ke tempat lain juga. Api perkauman itu tidak dapat dipadamkan. Singapura telah menyelesaikan masalah perkaumannya. Tetapi perkembangan di Singapura itu adalah serambi yang memarakkan perkauman di Malaysia. Singapura mengamalkan berbagai-bagai bahasa, tetapi yang benar-benar terpakai ialah Inggeris dan Mandarin. Apa yang berkembang di Singapura itu, itulah yang ditiru untuk dikembangkan di Malaysia. Islam membangun umatnya. Umat Islam Melaysia ikut membangun. Tetapi kebangkitan tidak dapat diterima oleh semua. Ia dicurigai seperti Bush mencurigainya. Sesungguhnya keharmonian itu sangat terancam. Bilakah akan datang satu pimpinan yang tegas untuk menanganinya?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan