25 Ogos 2007

Kemerdekaan negara mengikut perspektif Islam

DALAM Islam, mensyukuri nikmat kemerdekaan adalah wajib kerana tanpa wujudnya negara merdeka dan berdaulat yang mempunyai pemerintahan sendiri tentu kita tidak dapat melaksanakan ibadat dengan sempurna kepada Allah Taala. Jadi ditinjau dan dihayati makna kemerdekaan negara secara tersirat, ia membawa kepada makna kedua iaitu pejuang negara seperti Mat Kilau, Tok Bahaman, Tunku Abdul Rahman Putra, Datuk Onn Jaafar dan seangkatan dengannya tidak berjuang dengan segenap raga melainkan untuk menentang perhambaan manusia ke atas manusia. Perhambaan bukan saja bermaksud di tangkap, diikat, dipenjara, dihukum atau dikerah dalam bentuk fizikal melakukan kerja berat, tetapi genggaman secara ‘total’ ke atas corak kehidupan, hala tuju dan penguasaan sumber alam kita mengikut telunjuk kuasa asing yang hanya menjaga kepentingan material dan agenda peribadi mereka saja. Dalam konteks sekarang, penjajahan tidak hanya berlaku dalam bentuk ketenteraan tetapi dalam bentuk pemikiran, politik, ekonomi dan budaya. Dalam Islam penjajahan juga berlaku secara maknawi iaitu penjajahan hawa nafsu, kejahilan dan bisikan syaitan. Penjajahan maknawi sentiasa berada dalam jiwa manusia. Justeru, Islam menyuruh berperang terhadap mereka dengan senjata keimanan, ilmu, amal dan keikhlasan, sesuai fitrah kejadian manusia sebagai khalifah Allah. Kemerdekaan daripada sifat mazmumah yang berpunca daripada penjajahan maknawi juga dituntut dalam Islam seperti sebuah hadis diriwayatkan al-Bayhaqi berbunyi bahawa Nabi SAW bersabda: Kami pulang daripada Jihad yang kecil kepada jihad yang lebih besar. Jihad lebih besar merujuk kepada kemerdekaan jiwa daripada penjajahan maknawi yang sentiasa mahu menguasai manusia pada setiap detik dan saat yang menghalang kepada mengenal Allah dan mengabdikan diri kepada-Nya. Boleh dikatakan bahawa kemerdekaan negara tidak dapat direalisasikan melainkan selepas berjaya memerdekakan diri daripada musuh maknawi. Hal ini kerana kesedaran kemerdekaan negara daripada kuasa asing tercetus daripada pengenalan diri manusia terhadap Penciptanya dan tugas mereka sebagai khalifah-Nya. Jadi kemerdekaan yang menyeluruh ialah kemerdekaan diri daripada cengkaman makhluk sama ada berbentuk jasmani dan rohani kepada perhambaan diri kepada Allah. Pengabdian diri kepada Allah dapat dijelmakan menerusi penghayatan terhadap ajaran Islam dan hukum hakam yang diturunkan oleh-Nya melalui lidah Rasulullah SAW. Jika diimbas kepada sejarah Islam, diutuskan Rasulullah di muka bumi ini ialah untuk memerdekakan manusia daripada perhambaan sesama manusia kepada perhambaan diri kepada Allah. Sebab itulah berlaku peperangan pada zaman Rasulullah dan sahabat untuk membebaskan manusia daripada cengkaman kezaliman dan penindasan sesama manusia yang berteraskan kepada telunjuk hawa nafsu yang tidak pernah puas mengeksploitasikan anggota badan manusia mencapai cita-citanya alam dunia ini. Ia juga menghalang manusia daripada menghayati tujuan hidup sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi ini yang dapat dimanifestasikan dengan menjunjung titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebuah hadis membuktikan hal ini seperti diriwayatkan al-Tibrani bahawa Nabi SAW: “Semurka-murka Tuhan yang ditaati oleh manusia di muka bumi ini di sisi Allah ialah hawa nafsu mereka.” Hadis ini bermaksud orang yang mengikuti dan taat pada perintah hawa nafsunya pada hakikatnya ia mempertuhankan hawa nafsunya dalam kehidupan dirinya. (al-Ghazzali,1995:38). Sebab itu paksi kepada segala kejahatan, kezaliman dan penindasan berpunca daripada mengikut hawa nafsu serakah manusia. Jika diselidiki secara halus faktor penentangan terhadap kuasa penjajahan ini datang daripada dorongan agama Islam sendiri yang dianuti masyarakat Melayu kita. Islam sangat menitikberatkan kedaulatan dan kebebasan negara daripada kuasa asing yang mengancam kestabilan politik, ekonomi, sosial dan agama itu sendiri. Sebab itu Islam menyarankan seorang pemimpin yang dilantik memegang tampuk pemerintahan, dibantu ulama menjalankan hal ehwal masyarakat dan agama dalam sebuah negara yang merdeka untuk mencapai kebahagiaan manusia di dunia dan akhirat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan