12 Mac 2008

RASULULLAH TERIMA PANDANGAN MUSLIMAT

ARENA politik penuh dengan warna warni, sedih, gembira, marah, kecewa dan penuh tipu muslihat.Justeru, melangkah ke alam politik memerlukan kekuatan mental dan fizikal yang padu kerana jika tidak, anda mungkin tumbang dan menyerah kalah. Politik sering dikaitkan dengan lelaki malah sejak dahulu lagi, golongan adam mendominasi bidang ini malah tiada peluang wanita untuk mencelah.Namun, mutakhir ini menyaksikan semakin ramai golongan hawa menceburi politik, seolah-olah wanita juga setanding dengan lelaki dalam arena yang penuh warna warni ini.Dalam Pilihan Raya Umum ke-12 ini, pencalonan wanita untuk kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) membuktikan peranan dan komitmen mereka mendapat pengiktirafan.Tetapi bagaimana Islam melihat pembabitan golongan hawa dalam berpolitik?Adakah pembabitan mereka dalam politik masa kini mempunyai asas dengan generasi terdahulu khususnya pada zaman perkembangan Islam?Prof Madya Dr Mohd Nasran Mohamad dari Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata kaum wanita membabitkan diri dalam kegiatan sosial dan politik sejak zaman awal Islam lagi.Menurutnya, kitab-kitab hadis dan sejarah Rasulullah s.a.w banyak menceritakan mengenai pelbagai kegiatan serta lapangan yang diceburi wanita di luar rumah."Hasilnya pelbagai sumbangan dan penglibatan wanita pada zaman awal Islam sama ada secara langsung atau tidak, boleh dikategorikan sebagai aktiviti politik."Antara pembabitan mereka yang boleh dianggap sebagai kegiatan politik ialah penyertaan dalam bay'ah al-a'qabah (perjanjian taat setia), jihad, permesyuaratan dan kepimpinan," katanya.Beliau berkata, dalam bay'ah al-aqabah kedua ada dua wanita, Nusaybah binti Ka'ab dan Asma' binti Umar bersama lima lelaki melakukan bay'ah untuk menyokong perjuangan Rasulullah s.a.w dan menentang musuh Islam serta menegak sebuah pemerintahan bernegara."Selepas proses bay'ah dijalankan, Rasulullah menyuruh mereka memilih 12 orang di kalangan mereka sebagai nuqaba' (ketua)."Ini adalah contoh penyertaan wanita dalam urusan politik sebagaimana yang difirmankan Allah dalam surah al-Mumtahanah," katanya.Mohd Nasran turut mengulas dalam konteks jihad, apabila Rasulullah s.a.w tidak pernah melarang wanita turut serta dalam kerja bantuan seperti merawat tentera yang cedera dan menyediakan keperluan lain, seperti Aisyah, Ummu Salamah dan Rubay' binti Mu'awwid.Pada zaman Rasulullah juga pandangan wanita turut diambil kira, sekali gus menyerlahkan lagi pengiktirafan yang diberikan Islam terhadap golongan terbabit."Sebagai contoh ramai di kalangan sahabat tidak puas hati dengan tindakan Rasulullah menandatangani perjanjian Hudaibiyah yang jelas dilihat menguntungkan pihak musuh. Mereka tidak mengendahkan arahan Rasulullah supaya mencukur kepala. "Melihatkan hal ini Ummu Salamah mencadangkan supaya baginda bercukur terlebih dulu. Selepas baginda bercukur, barulah sahabat lain mengikutinya."Peristiwa ini menunjukkan harus meminta pandangan dan berbincang dengan kaum wanita yang bijak serta berkemampuan seperti Ummu Salamah."Saidina Umar al-Khattab pernah mencadangkan untuk menetapkan kadar mahar sebanyak 400 dirham. Bagaimanapun, cadangan ini dibantah oleh Khawla' yang berhujah tidak ada nas syarak yang menetapkan demikian."Bantahan ini diterima oleh Umar. Peristiwa ini menunjukkan pengiktirafan Islam terhadap pandangan wanita walaupun dalam bentuk yang tidak formal," katanya.Contoh paling jelas ialah peranan yang ditunjukkan Aisyah dalam perang Jamal kepada pembabitan wanita dalam hal berkaitan kepemimpinan atau politik, sekalipun beliau dikatakan melakukan kesalahan kerana menentang Saidina Ali.Begitupun, keharusan berpolitik bagi wanita di kalangan ulama jika diselusuri ada pelbagai persepsi; wanita tidak boleh menjadi ketua, wanita tidak dibenarkan terbabit dalam politik dan wanita dibenarkan terbabit dalam politik. Perbezaan ini timbul pemahaman masing-masing terhadap nas umum.Menurut Mohd Nasran, dalam hal kepemimpinan dan politik, kaum wanita mestilah mematuhi peraturan serta adab yang digariskan agar kebersihan diri, keluarga dan masyarakat sentiasa terjaga.Antara garis panduan itu ialah keizinan suami atau wali (penjaga), pakaian bersesuaian dengan kod etika Islam, sentiasa bersama mahram dan mengelakkan daripada fitnah, menghindarkan diri daripada perhiasan yang menarik perhatian lelaki serta memastikan tanggungjawab sebagai isteri atau ibu tidak diabaikan."Secara umumnya pendapat dan ijtihad ulama dalam isu ini masing-masing didokong oleh dalil serta hujah yang jelas adalah mempunyai kekuatan yang tersendiri."Tidak dinafikan pandangan mereka ini sedikit sebanyak dipengaruhi adat resam, persekitaran dan persepsi masyarakat tertentu."Dengan mengambil kira pelbagai aspek ini, sama ada pendapat yang menyokong mahupun menentang, masing-masing mempunyai unsur positif dan negatif," katanya.Tetapi katanya, disebabkan tiada nas qat'ie (khusus) yang melarang wanita bergiat dalam politik, sepatutnya wanita dibenarkan bergiat dalam bidang ini, dengan tertakluk kepada syarat seperti di atas

Tiada ulasan:

Catat Ulasan