12 Julai 2008

Perkara Yang Merosakkan Ukhuwah ..

" Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu ( yang bertelingkah ) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. " Q.S Al-Hujuraat : 10" Dan Kami cabut akan apa yang ada di hati mereka dari perasaan hasad dengki sehingga menjadilah mereka bersaudara ( dalam suasana kasih mesra ), serta mereka duduk berhadap-hadapan di atas pelamin masing-masing."Q.S Al-Hijr : 47 Berapa banyak kehidupan yang berubah menjadi keras ketika ikatan persaudaraan telah pupus, ketika sumber-sumber kecintaan kerana Allah telah kering, ketika individualisme telah menggeser nilai-nilai persaudaraan, saat itu setiap individu berada dalam kehidupan yang sukar, merasa terpisah menyendiri dari masyarakatnya. Kebanyakan manusia pada umumnya, perilaku mereka telah tercemar oleh perkara-perkara yang dapat merosakkan persaudaraan, yang terkadang mereka menyedari perkara tersebut, dan terkadang tidak menyedarinya. Oleh sebab itu, kami akan mencuba memaparkan beberapa perkara yang dapat merosakkan persahabatan dan persaudaraan. Sebelumnya, akan kami kemukakan terlebih dahulu beberapa hadith dan perkataan para ulama' salaf mengenai hubungan persaudaraan.
Dalam sebuah hadith yang menerangkan tentang tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah di hari tiada naungan kecuali naungan Allah, Rasulullah menyebutkan salah satu di antaranya adalah," Dan dua orang lelaki yang saling mencintai kerana Allah, mereka berkumpul dan berpisah keranaNya. "HR Bukhari dan MuslimDan di dalam sebuah hadith qudsi, Allah berfirman;" Orang-orang yang saling mencintai keranaKu, berhak atas kecintaanKu "HR Malik dan Ahmad Muhammad bin Munkadir ketika ditanya tentang kenikmatannya dalam kehidupan ini, beliau menjawab, " Ketika bertemu dengan saudara-saudara ( sahabat-sahabat ), dan membahagiakan mereka."
Al-Hasan berkata, " Kami lebih mencintai sahabat-sahabat kami dari pada keluarga kami, kerana sahabat-sahabat kami mengingatkan kami akan kehidupan akhirat, sedangkan keluarga kami mengingatkan kami akan kehidupan dunia." Khalid bin Shafwan berkata, " Orang yang lemah adalah yang sedikit menjalin persaudaraan. " Perhatikanlah beberapa perkataan di atas, baik dari ayat-ayat Allah, hadith, mahupun perkataan para ulama, kemudian lihatlah pada kenyataan tentu akan menunjukkan kebenarannya. Siapakah yang menolongmu untuk mampu tetap teguh memegangi hidayah?
Siapakah yang meneguhkan kamu untuk tetap istiqamah? Siapakah yang menemani kamu ketika dirundung bencana dan malapetaka? Kerana itu Umar pernah berkata, " Bertemu dengan para ikhwan dapat menghilangkan kegalauan dan kesedihan hati. " Jika demikian, bagaimana mungkin seorang yang berakal akan mengesampingkan ukhuwah dan lebih memilih kehidupan yang kacau dan hingar bingar. Perkara-Perkara Yang Dapat Merosakkan Ukhuwah, Di Antaranya Adalah :
1. Tamak Dan Rakus Terhadap Dunia, Terhadap Apa-Apa Yang Dimiliki Orang Lain. Rasulullah SAW. Bersabda;" Zuhudlah terhadap dunia, Allah akan mencintai kamu. Zuhudlah terhadap apa yang dimiliki oleh manusia, mereka akan mencintai kamu. "HR Ibnu Majah Jika kamu tertimpa musibah, mintalah musyawarah kepada saudaramu dan jangan meminta apa yang engkau perlukan. Sebab jika saudara atau temanmu itu memahami keadaanmu, ia akan terketuk hatinya untuk menolongmu, tanpa harus meminta atau menitiskan airmata.
2. Maksiat Dan Meremehkan Ketaatan. Jika di dalam pergaulan tidak ada nuansa zikir dan ibadah, saling menasihati, mengingatkan dan memberi pelajaran, bererti pergaulan atau ikatan persahabatan itu telah gersang disebabkan oleh kerasnya hati dan perkara ini boleh mengakibatkan terbukanya pintu-pintu kejahatan sehingga masing-masing akan saling menyibukkan diri dengan urusan yang lain. Padahal Rasulullah SAW bersabda;" Seorang muslim adalah saudara bagi muslim yang lain, tidak menzaliminya dan tidak menghinakannya. Demi Zat yang jiwa Muhammad ada di tanganNya, Tidaklah dua orang yang saling mengasihi, kemudian dipisahkan antara keduanya kecuali hanya kerana satu dosa yang dilakukan oleh salah seorang dari keduanya. "HR Ahmad Ibnu Qayim, dalam kitab "Al-Jawabul Kafi" mengatakan, " Di antara akibat dari perbuatan maksiat adalah rasa gelisah ( takut dan sedih ) yang dirasakan oleh orang yang bermaksiat itu untuk bertemu dengan saudara-saudaranya.
" Orang-orang ahli maksiat dan kemungkaran, pergaulan dan persahabatan mereka tidak dibangun atas dasar ketakwaan melainkan atas dasar kebendaan sehingga akan dengan mudah berubah menjadi permusuhan. Bahkan perkara itu nanti akan menjadi beban di hari kiamat. Allah SWT berfirman;" Pada hari itu sahabat-sahabat karib: Setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan takwa ( iman dan amal soleh ). "Q.S Az-Zukhruf : 67Sedangkan persahabatan kerana Allah, akan terus berlanjutan sampai di syurga; " Dan Kami cabut akan apa yang ada di hati mereka dari perasaan hasad dengki sehingga menjadilah mereka bersaudara ( dalam suasana kasih mesra ), serta mereka duduk berhadap-hadapan di atas pelamin masing-masing. "Q.S Al-Hijr : 47
3. Tidak Menggunakan Adab Yang Baik (Syar'i) Ketika Berbicara. Ketika berbicara dengan saudara atau kawan, hendaknya seseorang memilih perkataan yang paling baik. Allah berfirman;" Dan katakanlah ( wahai Muhammad ) kepada hamba-hambaKu ( yang beriman ), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik ( kepada orang-orang yang menentang kebenaran ); sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka ( yang mukmin dan yang menentang ); sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia. "Q.S Al-Israa? : 53 Dalam sebuah hadith Nabi SAW bersabda;" Kalimah thayibah adalah shadaqah. "HR Bukhari
4. Tidak Memperhatikan Apabila Ada Yang Mengajak Berbicara Dan Memalingkan Muka Darinya. Seorang ulama salaf berkata, " Ada seseorang yang menyampaikan hadith sedangkan aku sudah mengetahui perkara itu sebelum ia dilahirkan oleh ibunya. Akan tetapi, akhlak yang baik membawaku untuk tetap mendengarkannya hingga ia selesai berbicara. "
5. Banyak Bercanda Dan Bersenda Gurau. Berapa ramai orang yang putus hubungan satu sama lainnya hanya disebabkan oleh canda dan senda gurau.
6. Banyak Berdebat Dan Berbantah-Bantahan. Terkadang hubungan persaudaraan terputus kerana terjadinya perdebatan yang sengit yang boleh jadi itu adalah tipuan syaitan. Dengan alasan mempertahankan aqidah dan prinsipnya padahal sesungguhnya adalah mempertahankan dirinya dan kesombongannya. Rasulullah SAW bersabda;" Orang yang paling dibenci di sisi Allah adalah yang keras dan besar permusuhannya. "HR Bukhari dan MuslimOrang yang banyak permusuhannya adalah yang suka mengutarakan perdebatan, perbalahan dan pendapat. Tetapi debat dengan cara yang baik untuk menerangkan kebenaran kepada orang yang kurang faham, dan kepada ahli bid`ah, perkara itu tidak bermasalah. Tetapi, jika sudah melampaui batas, maka perkara itu tidak diperbolehkan. Bahkan jika perdebatan itu dilakukan untuk menunjukkan kehebatan diri, perkara itu malah menjadi bukti akan lemahnya iman dan sedikitnya pengetahuan. Jadi, boleh juga dengan perdebatan ini, tali ukhuwah akan terurai dan hilang. Sebab masing-masing merasa lebih lebih kuat hujjahnya dibanding yang lain.
7. Berbisik-Bisik ( Pembicaraan Rahsia ) Berbisik-bisik adalah merupakan perkara yang remeh tetapi mempunyai pengaruh yang dalam bagi orang yang berfikiran ingin membina ikatan persaudaraan. Allah SWT berfirman;" Sesungguhnya perbuatan berbisik ( dengan kejahatan ) itu adalah dari ( hasutan ) Syaitan, untuk menjadikan orang-orang yang beriman berdukacita; sedang bisikan itu tidak akan dapat membahayakan mereka sedikitpun melainkan dengan izin Allah; dan kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman berserah diri. "Q.S Al-Mujaadalah : 10
Rasulullah bersabda;" Jika kalian bertiga, maka janganlah dua orang di antaranya berbisik-bisik tanpa mengajak orang yang ketiga kerana itu akan dapat menyebabkannya bersedih. "HR Bukhari dan Muslim Para ulama berkata, " Syaitan akan membisikkan kepadanya dan berkata, ' Mereka itu membicarakanmu'." Maka dari itu para ulama mensyaratkan agar meminta izin terlebih dahulu jika ingin berbisik-bisik ( berbicara rahsia ).

KEPUTUSAN RAYUAN PROGRAM BERKEMBAR DITOLAK

Mesyuarat Pentadbiran Al-Azhar berhubung Kemasukan Mahasiswa Malaysia ke Al-Azhar (Muadalah) yang diadakan pada 30 Jun 2008 yang lalu telah bersepakat menolak rayuan daripada Malaysia berkenaan isu ini.Pihak PMRAM sedang menunggu keputusan rasmi selepas permohonan kali kedua akan diuruskan pada minggu hadapan.

JAULAH TARBAWI KE TURKI

Tanggal 5 Julai 2008 merupakan tarikh bersejarah buat PMRAM apabila buat julung kalinya berjaya menganjurkan rehlah ke Turki hasil kerjasama di antara pihak PMRAM dan wakil mereka di Mesir. Rehlah ini bertujuan untuk mengeratkan ukhuwah sesama Muslim tanpa mengira bangsa dan kaum di samping bertukar pandangan dan maklumat sepanjang di sana.Rombongan seramai 16 orang ini mula berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah pada jam 1.00 pagi yang diketuai oleh Saudara Khalil Yahya daripada Perak. Sebaik sahaja tiket diberikan oleh pihak Turki, Ustaz Umar kepada semua peserta, Presiden PMRAM yang hadir bersama-sama dalam majlis perlepasan tersebut memberikan kalam nasihatnya.
Dalam ucapannya beliau mengharapkan semua peserta supaya saling taaruf dan kenal- mengenali antara satu sama lain memandangkan kesemuanya daripada tempat dan negeri yang pelbagai, selain itu beliau juga mengingatkan agar menjaga akhlak dan keperibadian selaku pelajar Muslim dan selaku duta kecil PMRAM sepanjang di sana.Selain itu, beliau juga mendoakan agar perjalanan ini selamat pergi dan pulang dan sentiasa dalam pemeliharaan Allah.
Selepas bacaan doa yang diketuai oleh Saudara Mohd Zarimi dari Shoubra, peserta bersiap untuk bertolak. Tiga peserta akhir yang lewat tiba di lapangan terbang turut sempat untuk menyertai rombongan tersebut. Turut bersama pada malam tersebut ialah Naib Setiausaha Agung Saudara Hanafi Zulkapli dan Ketua Badan Sambutan dan Rehlah Saudara Mohd Adlan Mokhtaruddin.Rombongan ini telah berlepas pada jam 4.00 pagi dan tiba pada jam 6.30pagi. Sebagaimana maklum, rombongan ini sepatutnya berlepas pada 3 Julai yang lalu, akan tetapi berlaku permasalahan yang tidak dapat dielakkan menyebabkan penerbangan ditangguhkan pada 5 Julai.PMRAM mendoakan rombongan wakil PMRAM ke Turki ini agar selamat pergi dan kembali semula ke Mesir.

KELANTAN JUARA PIDATO PIALA PRESIDEN PMRAM

1 dan 2 Julai, Hayyu Asyir – Asrama Pelajar Selangor buat julung-julung kalinya menjadi saksi pertandingan Pidato Piala Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir di sini. Pertandingan yang mengambil masa dua hari ini mendapat sambutan baik daripada para mahasiswa. Pertandingan ini terbahagi kepada dua peringkat, iaitu peringkat saringan pada hari pertama dan peringkat akhir pada hari kedua.
Peringkat pertama telah menyaksikan sejumlah 7 orang peserta berentap untuk melayakkan diri ke pusingan akhir.7 orang peserta yang terlibat ialah Noraidin Nordin (Shoubra), Mohd Ridzuan Nazri (Shibin el-Kom), Mohd Fakhruddin Zurajali (Kelantan), Azizul Hafiz Ameryddin (Perak), Ahmad Haikal Idris (Selangor), Abu Dzar Ahmad (Dumyat), dan Muhammad Nuruddin Amiruddin (Pulau Pinang).Untuk mengadili pertandingan ini pula, tiga orang hakim yang bertauliah telah diimpot untuk mengelakkan sebarang kontroversi atau ketidak-adilan. Bagaimanapun hanya tiga orang peserta layak ke peringkat akhir iaitu wakil daripada Shoubra, Kelantan dan wakil tuan rumah sendiri, Selangor.Hari kedua bermula jam 6.15 petang.
Tiga orang finalis tersebut dikehendaki memberikan pidato berkaitan satu tajuk yang telah diberikan selepas berakhirnya peringkat saringan dan satu lagi pidato spontan. Ketiga-tiga orang peserta telah menunjukkan prestasi dan potensi tinggi, menyukarkan pihak hakim menentukan siapakah yang paling layak bergelar johan pertandingan ini. Turut hadir menyaksikan pertandingan ini Presiden PMRAM sendiri, Ustaz Mohd Khairul Anuar Ismail.
Selepas solat Maghrib, majlis perasmian penutup Pertandingan Pidato Piala Presiden PMRAM 2008 diadakan untuk mengumumkan para pemenang, sekaligus menutup tirai pertandingan ini. Majlis dimulai dengan ucapan pengarah program, Ustaz Syafiq Zulakifli. Seterusnya tuan Presiden dijemput untuk melontarkan kata taujihatnya buat para hadirin. Dan akhir sekali, wakil hakim pertandingan ini, Encik Mohamad Noor Deros dari Singapura, diberikan penghormatan untuk menuturkan sedikit ulasan tentang prestasi keseluruhan peserta pidato, sekaligus mengumumkan nama pemenang.Pertandingan Piala Presiden PMRAM kali ini telah dimenangi oleh wakil dari Kelantan, Mohd Fakhruddin Zurajali, tempat kedua digondol oleh wakil tuan rumah, Ahmad Haikal Idris, manakala tempat ketiga disandang wakil Shoubra, Noraidin Nordin.Tahniah buat para pemenang dan kepada yang kurang bernasib baik, cuba lagi di tahun hadapan!

PROGRAM PENGHAYATAN REJAB DAN DAURAH KITAB

Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan serta Badan dan Unit Pengetahuan dan Penyelidikan PMRAM 2008 akan mengadakan PROGRAM PENGHAYATAN REJAB DAN DAURAH KITAB. Program akan diadakan pada 6 JULAI bertempat di ASRAMA PELAJAR SELANGOR, HAYYU ASYIR.
Tentatif Program
(AHAD) - 6 JULAI 2008
8.30 pagi - 12.00 tengahari
Daurah Kitab - Sullam Al-Munajat
Oleh : Ustaz Mohd Nazrul bin Abdul Nasir (Mantan Badan Pengurus PMRAM)
5.30 - 7.30 petang
Pembentangan Kajian Ilmiah (Tesis Master)
Oleh : Ustaz Mahyuddin bin Hashim
Selepas Solat Maghrib
Ceramah Penghayatan Bulan Rejab
Oleh : Dr. Jamal Faruq ( Pensyarah Universiti Al-Azhar)
Majlis Pelancaran Biah Solehah
Bersempena dengan program tersebut juga, pihak Badan Pengetahuan dan Penyelidikan PMRAM mengadakan soalan kuiz khusus untuk merancakkan lagi program berkenaan. Soalan-soalan yang telah dijawab hendaklah dihantar terus ke emel PMRAM ; pmram30@yahoo.com sebelum 6 JULAI 2008. Pemenang akan menerima cenderahati daripada pihak penganjur.
Soalan-soalannya adalah seperti berikut : Soalan Kuiz Isra’ Mikraj
1. Bilakah terjadinya peristiwa Isra' dan Mikraj? Berikan takrif Isra' dan Mikraj?
2. Dua surah yang menceritakan tentang peristiwa Isra’ dan Mikraj?
3. Nyatakan simbolik disebalik peristiwa Isra' dan Mikraj?
4. Dua jenis minuman yang ditawarkan kepada Rasulullah s.a.w? Minuman yang menjadi pilihan Rasulullah? Apakah rahsia disebalik pemilihan minuman tersebut?
5. Kubur mujahidah yang dilawati Rasulullah s.a.w semasa Isra’?
6. Makhluk yang mengejar Rasulullah s.a.w dan Jibril a.s semasa Mikraj?
7. Perintah teragung dari Allah s.w.t kepada Rasulullah s.a.w? Bilangan waktu yang perlu dilaksanakan pada awal perintah tersebut diturunkan?
8. Nabi Muhamad telah berjumpa dengan Nabi-Nabi yang terdahulu disetiap tingkatan langit,sebutkan nama Nabi-Nabi tersebut mengikut peringkat langit?
9. Tempat Rasulullah s.a.w solat bersama nabi-nabi terdahulu?
10. Sahabat yang mengakui kebenaran peristiwa Isra’ dan Mikraj?

AGAK-AGAK SIGH KENA SAMAN TAK ??

KOTA BHARU: Seorang anggota polis memberitahu Mahkamah Majistret di sini semalam, tindakannya menyaman pelajar pondok berserban kerana kesalahan tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal, dibuat ekoran status itu belum boleh diiktiraf sebagai lebai.Saksi pertama pendakwa, Konstabel Che Sidek Omar Mat Hassan, berkata beliau memahami Kaedah-Kaedah Motosikal (Topi Keledar) 1973 yang dibaca bersama Pengecualian 1975, menyatakan pengecualian hanya untuk seseorang bergelar haji, Sikh dan lebai.Beliau memberitahu perbicaraan terhadap pelajar Madrasah al-Diniah al-Bakriah, Pusat Pengajian Islam Pondok dekat Pasir Tumboh, Ahmad Nasir Darus, 27, yang mengaku tidak bersalah terhadap kesalahan tidak memakai topi keledar di Jalan Pasir Tumboh, di sini, jam 6.30 petang pada 20 September 2007.
Pemuda itu berdepan dakwaan mengikut Kaedah 4 Motosikal (Topi Keledar) 1973 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) dan dibaca bersama Seksyen 128(1) akta sama. Sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Polis, Cif Inspektor Mohd Yusri Mamat, di hadapan Majistret, Tengku Amalin A'Ishah Putri Sultan Ismail Petra, manakala Ahmad Nasir selaku Orang Kena Saman (OKS) diwakili Peguam bela, Ahmad Rizal Affande Zainol.Che Sidek yang bertugas sebagai anggota Unit Peronda, berkata ketika ditahan, pelajar terbabit (Ahmad Nasir) memberitahu statusnya sebagai pelajar pondok, maka tindakan saman boleh diambil kerana pelajar terbabit belum layak dianggap lebai kerana masih belajar.
"OKS (orang kena saman) beritahu saya, dia pelajar pondok, bukan lebai. Pada pemahaman saya, dia masih pelajar," katanya menjawab soalan Mohd Yusri.Beliau berkata, ketika ditahan, pelajar terbabit tidak memakai topi keledar, sebaliknya berserban dengan ikatan kemas dan masa sama tidak menunjukkan sebarang dokumen yang menyatakan dia dikecualikan daripada memakai topi keledar.Terdahulu, saksi itu turut disoal Ahmad Rizal mengenai kefahamannya terhadap peruntukan Kaedah Motosikal yang menyebut pengecualian saman terhadap mereka yang bergelar haji, hajah, Sikh dan lebai.Ahmad Rizal merujuk maksud lebai yang dipetiknya daripada Kamus Dewan dan Kamus Pelajar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang bermaksud - orang yang tahu tentang agama, orang yang melakukan kerja bersangkutan agama dan gelaran kepada orang yang tahu hal-hal atau taat kepada agama.
Che Sidek yang sudah enam tahun bertugas sebagai anggota polis, memberitahu beliau dapati Ahmad Nasir itu ada ciri-ciri seorang lebai, tetapi tidak bersetuju cadangan Ahmad Rizal bahawa saman terhadap pelajar itu menyalahi Pemberitahuan Pengecualian 1975 bagi Kaedah-Kaedah Motosikal (Topi Keledar Keselamatan) 1973.Tengku Amalin menetapkan 21 Julai ini sebagai tarikh hujahan bertulis kedua-dua pihak, diikuti hujahan balas peguam bela dan hujahan pihak pendakwa masing-masing pada 4 dan 18 Ogos ini, sebelum keputusan kes ditetapkan pada 15 September depan.